Sunday, November 26, 2006

Wahai Pemerintah Negara
Dengarlah Jeritan Batinku

“Kami rakyat marhaen, orang Melayu, terutamanya golongan peniaga dan professional dalam industri bangunan, terasa begitu terpinggir setelah Datuk Seri Abdullah Ahmad mengambil teraju pentadbiran negara.

Saya sering mengikuti ucapan-ucapan Tun Dr. Mahathir Dr. Mahathir Mohamad dan ada ketikanya saya hadir di dalam dewan untuk mendengar ucapan beliau.

Isu-isu yang diketengahkan oleh Tun Dr. Mahathir sangat relevan. Kami rakyat marhaen terasa benar yang Tun Dr. Mahathir bercakap bagi pihak kami yang sudah tidak tahu ke mana lagi harus kami mengadu.

Ramai di kalangan kami tahu apa yang dicakapkan oleh Tun Dr. Mahathir adalah benar. Terutama sekali apabila Tun Dr. Mahathir menyentuh soal kontrak, tender, pembayaran, RMK-9, dan penguasaan KJ serta orang-orang di sekelilngnya.

Dibolot

Apa gunanya modal insan yang diagung-agungkan Datuk Seri Abdullah kalau peluang pekerjaan kurang, semantara kontrak dan peluang perniagaan kepada professional Melayu hanya dibolot oleh segelintir orang yang berada di lingkaran Datuk Seri Abdullah dan KJ?

Ini kenyataan. Ianya terlalu banyak berlaku sejak dari mula Tun Dr. Mahathir meletak jawatan. Saya adalah salah seorang yang cukup teruk menerima akibat dari ketamakkan orang-orang di sekeliling Datuk Seri Abdullah.

Bukan saya seorang, malah ramai lagi yang hanya mampu melihat satu persatu projek yang telah kami usahakan sejak zaman Tun Dr. Mahathir, satu persatu disonglap, samada oleh keluarga Datuk Seri Abdullah, rakan-rakannya, atau KJ and co.

Kami langsung tidak berada di dalam mana-mana ‘kem’ politik. Kami hanya sekadar rakyat biasa yang menyokong kerajaan, menyumbang kepada pembangunan fizikal negara, dan mencari rezeki halal di negara tercinta.

Kenapa kami dipinggirkan dan hanya diberi "sisa-sisa lebihan" setelah semua "isi" mereka kaut? Yang lebih teruk lagi, sekarang ni, nak mencari "sisa-sisa lebihan" pun payah.

Di dalam industri bangunan, bukan sahaja kami terpaksa bersaing dengan orang-orang Datuk Seri Abdullah dan KJ untuk mencari projek, malah ditekan oleh segolongan kakitangan kerajaan yang amat korup.

Korup

Tujuhbelas tahun saya berada di dalam industri bangunan, di zaman Datuk Seri Abdullah, segolongan kakitangan kerajaan nampaknya semakin berani, korup dan meminta-minta.

Di mana-mana sahaja, itu yang berlaku kepada saya dan ramai lagi. Di mana-mana jabatan, di mana-mana PBT, di mana-mana kementerian, di mana-mana agensi kerajaan, amalan di atas yang dulunya sangat tersembunyi, sekarang ini secara terang-terang dilakukan oleh segolongan kakitangan kerajaan di zaman Datuk Seri Abdullah.

Kakitangan terbabit malah berani meminta dalam jumlah yang bukan-bukan! Jadi, apa yang Datuk Seri Abdullah cakap pasal membenteras rasuah?

Sama ada Datuk Seri Abdullah tahu atau tidak, segolongan kakitangan kerajaan banyak membuatkan projek-projek tergendala pelaksanaannya.

Surat niat dan LA sangat susah untuk dikeluarkan. Selalunya lembab kalau kita tidak ada "connection" dengan pegawai-pegawai atau kita tidak ada "aku janji" dengan mereka.

Mereka ini cukup tamak. Walau menerima gaji bulanan dari kerajaan, tetapi tidak melepaskan peluang mendapatkan habuan lumayan dari projek-projek kerajaan!

Sudah berkali-kali saya dengar, Datuk Seri Abdullah membuat kenyataan, kononnya supaya pihak kementerian berkenaan membayar segera kepada kontraktor-kontraktor bumiputera, dan perunding-perunding binaan. Tetapi ini semua omong kosong.

Connections

Hanya dua atau tiga kerat yang dapat bayaran. Itu pun dengan "certain connections". Yang selebihnya terpinga-pinga. Tapi, setia menunggu hingga ke saat ini.

Soal bayaran ini ada diketengahkan (tersiar di TV) oleh wakil Pergerakan Wanita UMNO dari Perak, kalau tak silap saya, dan Datuk Azizah dari Johor, dalam perbahasan di Perhimpunan Aagung Umno (PAU). Tapi, langsung tak disiarkan oleh media arus perdana pada keesokannya.

Saya rasa seolah-olah Datuk Seri Abdullah langsung tidak mengambil berat soal ini dan cakap-cakapnya sekadar melepaskan batuk di tangga. Projek-projek RMK9 yang diumumkan entah bila akan menjadi kenyataan?

Yang dibina hanyalah projek-projek mega seperti jambatan Pulau Pinang, awlau pun dulu, Datuk Seri Abdullah kata tidak akan menuruti Tun Dr. Mahathir yang sering membina projek-projek mega!

Sebelum Hari Raya, projek-projek jalan oleh JKR ditender dan disiarkan di dalam akhbar. Tetapi, tarikh lawatan tapak dan tutup tender adalah tahun depan. Seingat saya belum pernah berlaku perkara seperti ini di zaman Tun Dr. Mahathir.

Kemudian, ditender pula projek-projek BLT yang merangkumi projek-projek KKDN, seperti balai polis, kuarters PDRM dan ibupejabat polis. Saya dengar, ianya hanya untuk "formality." Dah ada orang-orang KJ yang kononnya dah "booking".

Upfront

Dulu pun saya pernah memohon untuk terlibat dalam perancangan projek-projek tersebut kepada pegawai BLT. Tetapi, mereka meminta "upfront" sehingga saya terpaksa mengundurkan diri.

Sewaktu PAU baru-baru ini, secara tiba-tiba ditender pula projek-projek sekolah baru. Tetapi, sekali lagi tarikh lawatan tapak dan tutup tender adalah Februari tahun depan.

Siapa punya angkara semua ini? Tidak pernah berlaku hal seperti ini di zaman Tun Dr. Mahathir. Maka, ramai orang berasa amat pelik dan curiga.

Adakah ini semata-mata untuk "menggula-gulakan" perwakilan Umno dan menunjuk-nunjuk bahawa Datuk Seri Abdullah dan kerajaan serius untuk melaksanakan projek-projek RMK-9?

Baru-baru ini pegawai Kementerian Pelajaran memaklumkan kepada kami untuk menghantar profile syarikat masing-masing kerana belum kesemua 200 buah sekolah telah diserahkan untuk rekabentuk dan perancangan oleh perunding swasta.

Syarat yang dikenakan oleh pegawai yang terlibat ialah 15 % hingga 25%. Sungguh tak masuk akal. Sudahlah sebelum ini, orang-orang seperti kami dikenakan 25% kalau ingin mendapatkan projek Kementerian Pelancongan melalui UPEN, BLT minta "upfront", PBT pulak minta "duit kopi" bulanan, sekarang pegawai di Kementerian Pelajaran pula minta 15%-25%.

Rembat

Zaman Datuk Seri Abdullah ni memang teruk. Pembodek-pembodak Datuk Seri Abdullah tuduh zaman Tun Dr. Mahathir korup. Sebenarnya, zaman Datuk Seri Abdullah nampaknya lebih korup dan lebih KURAP!

Kalau report kepada BPR, bukannya nak disiasat ke atas pegawai-pegawai berkenaan. Sebaliknya, fail-fail kita pula dirampas. Ini berlaku kepada salah seorang rakan saya sendiri.

Satu lagi rencana Datuk Seri Abdullah yang sangat dimusykilkan ialah PFI. Ini melibatkan SME Bank, satu bank yang pada asalnya ialah Bank Pembangunan yang sangat korup dan hanya membantu kroni sahaja.

Dulu diumumkan bahawa projek sekolah di bawah PFI. Sekarang, selepas Tun Dr. Mahathir "buat bising", open tender pula. Dulu Datuk Seri Abdullah umum nak bagi JKR semuanya. Bila Samy Vellu menolak, sekarang diberi semula kepada perunding swasta. Design and build, dimansuhkan!

Betul seperti Tun Dr. Mahathir kata, PFI tu lebih kurang design and build saja. Ini cuma untuk lebih justified orang-orang KJ "rembat" peruntukan. Mana tidaknya? Projek PFI yang saya laksanakan awal bulan dulu, tersangkut kerana SME Bank mintak 10%. Sehingga sekarang wang pinjaman tidak diberi walau telah lama diluluskan.

Penaung

Tak percaya? Tanya Zahid Hamidi. Itupun kalau dia mau cerita! Saya yakin pegawai-pegawai di SME Bank memang berani dan korup kerana ada "penaung". Adik ipar saya yang memohon pinjaman dari SME Bank untuk memperluaskan perniagaannya turut dikenakan 20% oleh pegawai bank berkenaan.

Apa yang kami alami sperti di atas sangat menyedihkan. Apa yang berlaku kepada peniaga bumiputera kita juga amat menyedihkan. Kalau ini berterusan, saya percaya hanya segelintir bumiputera akan mendapat peluang perniagaan dan hanya segelintir bumiputera juga yang akan merasai kekayaan negara.

Jadi apa yang UMNO cakap pasal Agenda Melayu? Orang seperti kami sudah muak dan menyesal menyokong UMNO dan kerajaan. Rasanya sudah tiba masanya untuk kita membuat pembaharuan. Kalau dikatakan kita akan susah kalau pembangkang memerintah, UMNO dan BN memerintah sekarang pun kita dah susah.

Jadi apa bezanya? Kenapa kita takut mencuba? Saya rasa rakyat negara ini cukup matang untuk mengelakkan kekacauan. Wassalam.”
- antitipu@gmail.com

Kebenaran

E-mail di atas dikirimkan kepada saya baru-baru ini. Saya insaf ianya memang penuh dengan dakwaan dan tuduhan. Melulu tak melulu, terserahlah kepada pihak terbabit mempastikannya. Tetapi, saya juga yakin e-mail di atas mungkin mengandungi beberapa elemen kebenaran.

Oleh itu, pihak pemerintah kajilah e-mail di atas dari segi semangatnya. Kajilah sama ada kesemua tuduhan di dalamnya adalah betul, 70% betul, 50% betul, 25% betul, atau pun keseluruhannya langsung tidak betul.

Bijaksana

Apa yang sangat-sangat membimbangkan saya adalah kenyataan bahawa “orang seperti kami sudah muak dan menyesal menyokong UMNO dan kerajaan. Rasanya sudah tiba masanya untuk kita membuat pembaharuan. Kalau dikatakan kita akan susah kalau pembangkang memerintah, UMNO dan BN memerintah sekarang pun kita dah susah. Jadi apa bezanya? Kenapa kita takut mencuba?”

Saya harap Saudara yang mengirimkan e-mail di atas fikirlah masa-masak sebelum mengambil keputusan menukar selera dalam pilihanraya umum kelak. Sepatah kata orang tua-tua kita: bila marahkan nyamuk, janganlah kita bakar kelambu. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian apa gunanya?

Bagaimanapun, sebagai maklum balas kepada pihak pemerintah, kata-kata bahawa segolongan rakyat jelata Malaysia sanggup menukar citarasa demokrasi masing-masing sewaktu pilihanraya umum kelak, kini memang semakin menjadi-jadi. Saya rasa ini adalah akibat persepsi dan kekecewaan mereka terhadap perkembangan siasah Malaysia mutakhir. Perkembangan seperti ini perlu segera ditangani secara bijaksana. – Ruhanie Ahmad.

5 comments:

Anonymous said...

Salam anak bangsa..

Semakin tenat isu korupsi dan 'meminta-minta' di Malaysia ini ya? Benar saya bukan pejuang dan badan pertahanan politik negara tetapi sebagai seorng anak muda yang cintakan negara, saya sentiasa meneliti dan mengambil kisah tentang pembangunan negara tercinta...

Walau Tun bukan idola saya, namun saya tidak pernah menafikan kebijaksanaan beliau dalam pentadbiran negara namun hari ini sebagai pengkritik bebas negara....hati saya sungguh hancur di atas pentadbiran yang penuh kotor oleh PM terkini..

Adakalanya saya rasakan, tak mahu pulang ke tanahair....hati ini panas melihat kemunduran ahli kabinet negara....takut jadi Indonesia pula nnt.....

SALAM REFORMASI

Andin Salleh said...

Apa yang didedahkan oleh penulis ini sangat menarik perhatian saya, walaupun kebenarannya barangkali masih perlu dibuktikan.

Walau bagaimanapun, saya ingin percaya fenomena korupsi di negara ini memang semakin meningkat dan sekurang-kurangnya sebahagian daripada perkara yang didedahkan oleh penulis ada kebenarannya.

Akan tetapi, saya melihat masalah yang kita hadapi sekarang pada asasnya bukanlah masalah seorang PM yang "lemah" semata-mata.

Kalau kita tukar PM, atau kalau Tun M jadi PM sekali lagi pun , saya tidak fikir beliau akan dapat mengatasi masalah rasuah yang semakin teruk ini secara berkesan.

Masalah kita yang sebenarnya ialah masalah parti pemerintah yang sudah terlalu lama berkuasa, sudah kehilangan idealisme, dan terlalu mementingkan pembangunan material.

Kita sudah lama mengetahui, rasuah di dalam UMNO sendiri pun sudah begitu berleluasa dan tidak dapat dibendung lagi.

Jadi kalau pemimpin UMNO tidak mampu membanteras rasuah dalam partinya sendiri, bagaimana mereka hendak membasmi rasuah dalam masyarakat pada keseluruhannya?

Rasuah agaknya sudah berlaku di pelbagai sektor kehidupan di negara ini, dari bawah hingga ke atas. Dan memang lebih teruk dan lebih ketara dalam sektor-sektor tertentu.

Dengan itu, lebih lama UNNO/BN memerintah, penyakit ini mungkin semakin parah, walaupun (katakanlah) pemimpinnya "baik seperti malaikat".

Jadi apakah pilihan kita?

Anonymous said...

Jangan jangan kita saja yg beriya-iya nak tukar kepada parti pemerintah yg baru, akan tetapi Mak Cik Mak Cik dan Pak Cik Pak Cik kampung semuanya masih terbodoh dgn pujuk rayu dan belaian puak puak dan juak juak UMNO di PRU12 nanti .........

Pak Lah bagi depa adalah 'Malaikat' - tapi depa tak sedaq yg Pak Lah tu dah jadi Malaikat Maut ........

HANCUR LEBUR LAH NANTI BUMI MELAYU MALAYSIA KITA NI..........

sahabat said...

Tuan/puan,

Komen-komen ini oke tetapi ia ke arah pemberontakan.

Apalah akan jadi dengan kita ni...

Hancur! Sebelum Kiamat...

Anonymous said...

Salam buat Dato,

kata orang tua-tua kita: bila marahkan nyamuk, janganlah kita bakar kelambu. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian apa gunanya?

Nasihat ini mengajak kita berhati hati dalam bertindak. Masalahnya sekarang apabila kelambu telah dipenuhi nyamuk. Macam mana nak duduk lagi?, siapa yang membiarkan kelambu dipenuhi nyamuk? Saya rasa kita yang memiliki kelambu bertanggungjawab membiarkan nyamuk masuk dan bermaharajalela, apatah lagi yang imune dengan segala ubat nyamuk yang ada dalam pasaran. kenapa? kerana sayangkan kelambu dan tak mampu atau takut. jadi apa gunanya ada kelambu kalau hanya menjadi pelindung kapada nyamuk bukannya dari nyamuk.Itulah perkiraan yang bermain dalam fikiran si marhaen ni. perkiraan yang tak pernah diambilkira .

Jangan salahkan marhaen jika terpaksa membakar kelambu kalau gagal menghalang dan bertindak menghalang nyamuk menguasai kelambu. kerana hanya itu pilihan yang ada pada marhaen.Mungkin kelambu jenis lain lebih baik walaupun berisiko.