Wednesday, November 15, 2006

Kerajaan Ambil Berat
Kesihatan Dr Mahathir
- Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata segala kemudahan akan diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membolehkan bekas perdana menteri itu pulih daripada masalah kesihatan yang dihadapinya.

"Kerajaan bertanggungjawab memberi segala kemudahan dalam proses rawatan negarawan kita itu," kata Perdana Menteri ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

"Marilah kita sama-sama memohon doa ke hadrat Ilahi semoga Tun Dr Mahathir segera pulih kesihatannya," kata Abdullah yang juga Presiden Umno.

Beliau berkata Umno turut mendoakan supaya isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, dan anggota keluarga beliau diberikan ketenangan dan kekuatan bagi membantu proses rawatan bekas presiden Umno itu.

Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada 9 Nov kerana mengalami serangan jantung ringan di rumahnya sekitar 3 pagi.

Beliau dibenarkan pulang dari IJN pada 5.30 petang semalam setelah dirawat selama enam hari. Bagaimanapun, doktor yang merawatnya menasihatkan beliau supaya berehat sekurang-kurangnya tiga minggu.

Dr Mahathir hari ini memohon maaf kepada para perwakilan Umno kerana tidak dapat menghadiri perhimpunan agung berkenaan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Bagaimanapun Dr Siti Hasmah hadir pada perhimpunan itu.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=230083


Mahathir Minta Maaf
Tidak Dapat Hadir
Perhimpunan Umno

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada para perwakilan Umno kerana tidak dapat menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2006 yang berlangsung hari ini.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat bersama. Saya berdoa mudah-mudahan Allah Yang Maha Esa membuka hati kita semua, memberi hidayat dan petunjuk supaya mengorbankan segala-gala demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada orang ramai di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra, tempat berlangsungnya perhimpunan tahunan itu.

Dalam kenyataan satu muka surat yang mempunyai logo Umno dan ditandatangani sendiri olehnya, Dr Mahathir, dengan nombor ahlinya 0000001, mengucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan.

Bagaimanapun, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghadiri majlis pembukaan perhimpunan itu dan duduk di barisan hadapan bersama para pemimpin parti komponen dan tokoh-tokoh veteran parti.

Dr Siti Hasmah tiba untuk menghadiri perhimpunan dengan diiringi dua anaknya Datuk Mukhriz, yang juga Exco Pemuda Umno dan Datin Paduka Marina.

Dr Mahathir yang akan mencapai usia 81 tahun bulan depan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Nov selepas mengadu sakit dada di rumahnya sekitar pukul 3 pagi.

Beliau dibenarkan pulang dari IJN pada 5.30 petang semalam setelah dirawat selama enam hari. Bagaimanapun, doktor yang merawatnya menasihatkan beliau supaya berehat sekurang-kurangnya tiga minggu.

Sebelum mengalami serangan jantung itu, Dr Mahathir telah menyatakan persetujuan untuk menghadiri perhimpunan agung tahun ini.

Dalam temu bual baru-baru ini Dr Mahathir berkata bahawa serangan jantung ringan yang beliau alami itu menyebabkan kerosakan pada salah satu arteri jantungnya ekoran berlakunya pembekuan darah.

Bagaimanapun, katanya, doktor pakar telah berjaya mencairkan darah beku itu dan beliau memerlukan rehat sepenuhnya selama tiga minggu agar kerosakan pada arteri itu dapat pulih kembali.

Pada 1989 Dr Mahathir pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di IJN.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=230044

No comments: