Monday, November 20, 2006

Mahathir Sakit
Abdullah Juga Sakit!
Oleh: Mohd Sayuti Omar
www.malaysiatoday.net

Bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad dikejarkan ke Institiut Jantung Negara (IJN) pada 9 November lepas akibat diserang sakit jantung ringan. Alhamdulilah, kini Mahathir telah pun dibenarkan keluar dan sedang berihat di rumah. Beliau yang mulanya beriya untuk menghadiri perhimpunan agung Umno terpaksa akur kepada arahan doktor, tidak boleh pergi.

Kegagalan Mahathir untuk menghadiri perhimpunan kerana keuzuran itu, maka kuranglah sikit gimik politik pada perhimpunan ala pesta menaburkan retorika terbesar orang Melayu itu. Sebelum ini orang sedang menunggu kehadirannya. Walaupun hanya sebagai pemerhati, orang mahu melihat secara live mengenai pergerakan dan juga interaksi beliau dengan Abdullah, setidak-tidak menerusi bahasa badannya (body language).

Al maklumlah mereka sedang berbalah. Perwakilan atau pemerhati yang sayang dan kasih kepada kedua-dua tokoh itu, atau sayang kepada salah seorang mahu melihat keduanya berada di satu tempat di hadapan mata mereka sendiri. Mereka mahu tontonkan bagaimanakah aksi mereka, secara berhadapan sesudah kedua mereka bergaduh berbulan-bulan lalu.

Menduga

Tetapi Allah Maha Mengurus dan Mentadbir. Harapan dan impian orang ramai itu lenyap apabila tiba-tiba bekas PM itu jatuh sakit pada saat-saat menjelang perhimpunan. Allah sudah dapat menduga, (mungkin) ada perkara buruk yang akan berlaku sekiranya Mahathir menghadiri perhimpunan itu. Jadi untuk menyelamatkan keadaan Allah jadikan Mahathir sakit sebagai alasan dan asbab mengelakkan perkara buruk berlaku!

Bagaimanapun Mahathir seorang yang pandai, yang memiliki otak kancil dan misai tikus. Beliau mengetahui citarasa dan pengharapan orang ramai kepadanya. Beliau dapat menghidu dan membaca naluri orang kepadanya. Barangkali kerana kebijaksanaan inilah menjadikan orang yang mendokong dan mengusung tandunya serta sanggup berkorban untuk beliau dan dalam masa sama melemparkan kebencian kepada Abdullah.

Khabarnya pada perhimpunan itu telah beredar surat apologi – permohonan maaf oleh Mahathir di atas kegagalannya untuk hadir ke perhimpunan itu. Ramai orang di perhimpunan itu menerima surat yang ditandatangani Mahathir itu yang siap dengan nombor keahliannnya; 0000001.

Harapan

Kenapa Mahathir perlu minta maaf kepada perwakilan dan kepada para pemerhati? Beliau tidak payah memohon maaf pun kerana, beliau tidak ada kesalahan dengan perwakilan apa lagi pemerhati. Harapan orang bukan satu kesalahan jika tidak ditunai, apa lagi orang itu tidak pun pernah memberi harapan itu!

Di sinilah bijak dan berlekok-lekoknya politik psikologi Mahathir. Apabila beliau berbuat surat itu ia menggambarkan belau sangat penting dan kedatangannya diharapkan oleh semua orang. Seolah-olah tanpa kehadirannya ke perhimpunan itu hilang seri dan hilang gahnya.

Mungkin pada hakikatnya tidak ada siapa hendak melihatnya lagi. Tentunya mereka yang mendapat setitik air mineral dan sejuring kuih ataupun sehelai surat tawaran projek daripada Abdullah tidak pun mengharap Mahathir hadir.

Kuasa

Ketidakhadiran Mahathir memberi keselesaan dan ruang terbuka kepada Abdullah untuk membaca teks uncapan dasarnya. Dengan tidak ada Mahathir di hadapan, tidak ada sosok yang mengkritiknya, tidak ada ralat dan malu seganlah bagi Abdullah pada sepanjang membaca teks ucapan itu. Satu demi satu perkataan di dalam teks itu dibaca dengan lancar dan tegas sekali.

Selama 1 jam 30 minit Abdullah berucap. Satu peluang yang cukup baik dan luas untuk beliau membentangkan idea dan juga halatuju kepimpinannya. Tidak ada sesiapa menganggunya. Dan kuasa eksekutif sebagai perdana menteri dan presiden Umno beliau boleh lakukan apa saja. Orang menunggu dengan penuh sabar akan peluang itu.

Dalam hal ini kemelut dan juga isu perbalahan beliau dengan Mahathir adalah di antara mauduk (subjek) yang dinanti-nantikan. Orang mahu mendengar apakah jawapan Abdullah di hadapan partinya berkenaan segala tuduhan dan tohmahan bekas PM itu.

Komentar

Sebelum ini orang membayangkan Abdullah akan mengambil kesempatan itu sebaik mungkin dan sekaligus menutupkan segala persoalan itu. Apa lagi apabila Mahathir tidak dapat hadir, orang akan mengira beliau akan menambah dan mengubah ucapan dasarnya yang asal. Namun tidak begitu, ucapannya tetap kekal dan tidak ada apa-apa tambahan meskipun Mahathir tidak muncul!

Tidak ada apa-apa komentar dan juga ualasan terhadap kemelut beliau dengan Mahathir. Persoalan yang dibangkitkan oleh Mahathir, seperti isu Jambatan Bengkok, AP, negara polis, Proton, penglibatan Khairy dalam pentadbiran, rasuah dan sebagainya tidak diberi fokus oleh Abdullah melainkan menjelaskan hal-hal di luar persengketaan itu dengan penuh teratur dan sopan.

Tawar, hambar dan tidak menyengat. Itulah rumusan ucapan Abdullah berkaitan isunya dengan Mahathir. Jika diibaratkan makanan, bukan sahaja orang sakit yang lidahnya pahit untuk tidak menelan makanan itu, hatta orang sihat juga merasa loya untuk mengecapnya.

Kesimpulannya, persoalan yang dibangkitkan oleh Mahathir masih belum terjawab, dan Abdullah masih lagi terhukum dengan tanggapan negatif umum yang dibuat berdasarkan tuduhan dan pentafsiran Mahathir itu.

Hambar

Kehambaran dan kelecahan ucapan Abdullah bukan sahaja mengenai perkara bersifat personal itu saja, tetapi ianya turut berjangkit kepada idealisme dan juga kewibawaan beliau selaku pemimpin Umno dan Kerajaan.

Tidak ada apa-apa perkara baru yang mempamerkan kreativiti Abdullah selaku khalifah dikemukakan untuk direnung dan dibahas, melainkan beliau mengulang frasa-frasa ataupun topik dan sub topik di dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung Umno tiga tahun lalu saja.

Kelemahan dan ketumpulan idea, pandangan dan wawasan Abdullah ini, boleh menyebabkan orang mengesahkan tuduhan negtif ke atasnya sebelum ini, yang beliau lemah, tidak bervisi akan terus berkumandang selepas ini. Dan senario itu juga akan menjadikan Mahathir (selepas beliau sihat kelak), semakin rancak lagi menyerang Abdullah hingga tercapai apa yang dihajati.

http://malaysia-today.net/blog2006/sayuti.php

No comments: