Monday, November 06, 2006

TITAH SULTAN JOHOR
TIMBULKAN TANDA TANYA

SINGAPURA 5 Nov. – Kementerian Luar Singapura menyifatkan titah Sultan Johor agar Tambak Johor dirobohkan bagi menjadikan Johor lebih maju, menimbulkan tanda tanya.

Channel NewsAsia (CNA) melaporkan jurucakap kementerian berkenaan sebagai berkata bahawa Singapura tidak percaya gesaan itu mencerminkan pendirian kerajaan Malaysia.

Sultan Iskandar menimbulkan kejutan pada majlis pelancaran Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atau sebelum ini dikenali sebagai Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) semalam apabila baginda bertitah agar tambak yang menghubungkan Malaysia dan Singapura itu diroboh.

‘‘Causeway tu, bukakan... baru negeri Johor ni maju,’’ titah baginda sebelum melancarkan projek itu yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Menjawab pertanyaan CNA tentang titah Sultan Johor itu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata: ‘‘Saya rasa perkara paling penting ialah kita melihat titah dan komen itu dalam konteksnya yang sebenar.

‘‘Saya fikir apa yang paling penting ialah kita perlu sentiasa belajar dari masa lampau dan pastikan apa jua pembangunan yang bakal kita laksanakan, akan membawa manfaat kepada kesejahteraan kita dan demi kebaikan rakyat.’’ katanya.

– Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_09.html

No comments: