Wednesday, November 08, 2006


KERAJAAN TIDAK PERNAH MENENTANG
PEMBINAAN JAMBATAN GANTI TAMBAK

JOHOR BAHRU 6 Nov. – Kerajaan tidak pernah menentang rancangan untuk membina jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kabinet juga tidak pernah membuat keputusan bahawa tambak itu tidak akan digantikan dengan jambatan.

Bagaimanapun, katanya, yang menjadi halangan ialah apabila Malaysia mahu membuat jambatan lurus menggantikan Tambak Johor, Singapura mahukan timbal balas iaitu supaya negara ini menjual pasir kepada mereka dengan jumlah yang besar dan penggunaan ruang udara.

‘‘Kedua-dua perkara ini merupakan sesuatu yang sukar untuk kita terima dari segi politiknya dan oleh itu kita tidak boleh membina jambatan lurus.

‘‘Bagaimanapun, apabila kita mahu membina jambatan bengkok, walaupun kita telah memberi arahan untuk membinanya, Singapura pula telah membayangkan mereka akan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah antarabangsa.

‘‘Oleh itu apabila kita berdepan dengan kebuntuan, maka Kabinet memikirkan lebih baik kita membatalkan projek ini. Itulah sebenarnya asas keputusan kita,” katanya pada sidang akhbar selepas menutup Konvensyen UMNO Johor.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika ditanya mengenai titah Sultan Johor yang meminta supaya Tambak Johor dirobohkan bagi membolehkan kapal menyeberangi Selat Tebrau yang memisahkan Malaysia dan Singapura.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

Sejuk juga rasa hati kita bila menerima penjelasan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak seperti di atas.

Ini kerana pembatalan projek Jambatan Bengkok di Johor Bahru, April 2006, bukanlah seperti yang ditegaskan dalam kenyataan media Perdana Menteri pada 12 April 2006.

Dalam kenyataan media itu, Perdana Menteri berkata seprti berikut:

“Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor. Keputusan Kerajaan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara. Kerajaan juga membuat keputusan untuk memberhentikan semua rundingan bersabit dengan jambatan tersebut.”

Sumber:http://www.pmo.gov.my/WebNotesApp/PMMain.nsf/ca4eeb
100d5ddf174825708800267d31/e034dd673a4435034825715d000f7ae8?OpenDocument.

Sebagai seorang anak Johor, saya harap Kerajaan Malaysia janganlah ketepikan terus titah DYMM Sultan Johor pada 5 November 2006 yang lalu.

Saya yakin DYMM Sultan Johor bertitah bagi pihak segolongan besar rakyat Johor. Ini kerana DYMM Sultan Johor adalah raja yang berjiwa rakyat.

Oleh itu, besarlah harapan anak-anak Johor, semoga Menteri-Menteri daripada Johor terus melobi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, supaya opsyen membina semula Jambatan Bengkok demi matlamat-matlamat yang strategik kepada Negeri Johor dan Malaysia, mestilah diteruskan pada setiap masa.

Kalau boleh, semua pihak di Johor wajarlah menjadikan SJER atau WPI sebagai kuasa tawar-menawar atau bargaining power untuk pembinaan sebuah jambatan menggantikan Tambak Johor yang diidam-idamkan oleh rakyat Johor.

Kalau tidak, saya khuatir persepsi negatif dan kekhuatiran sebilangan rakyat Johor terhadap SJER dan WPI akan berlarutan. Ini bukan kerana rakyat Johor bersikap sempit atau gagal melihat the bigger picture berkaitan dengan SJER atau WPI .

Tetapi, ini kerana rakyat Johor sewajarnya diberi peluang bertanya, kenapakah bila melihat the bigger picture, atau matlamat besar SJER atau WPI, kita nampak betapa prominennya Singapura dalan konteks itu?

Kenapakah begitu? Adakah kerana ketua pakar ekonomi Khazanah Nasional adalah orang Singapura? Mungkinkah kerana konsultan Khazanah Nasional adalah syarikat Amerika Syarikat? Atau, kenapa?

Apa pun, sama-samalah kita insafi bahawa UMNO Johor adalah “tiang seri” kepada BN Malaysia. Janganlah pandang ringan dan janganlah pandang remeh hakikat ini.

Akhir kata, nenek moyang kita sering berkata: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dalam bahasa Inggeris: There is a will, there is a way. Selamat berjuang wahai anak-anak Johor!
– Ruhanie Ahmad.

No comments: