Wednesday, November 29, 2006


Umno Akan Panggil Pembahas
- Najib

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa pengurusan Umno, sebagai satu langkah proaktif, akan memanggil dalam sehari dua ini beberapa anggota perwakilan parti yang ucapan mereka pada perhimpunan agung Umno lepas, telah menyentuh perkara sensitif.

Timbalan Perdana Menteri berkata polis setakat ini tidak pernah berhubungan dengan ibupejabat Umno mengenai perkara itu.

"Jawatankuasa pengurusan parti akan memanggil mereka dan membuat keputusan yang difikirkan wajar," kata Najib pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan mengenai Kerajaan Tempatan di sini Selasa.

Beliau berkata Umno sedar bahawa terdapat undang-undang di negara ini yang harus dipatuhi oleh para pembahas itu.

"Umno akan bertindak proaktif dan kami akan memanggil mereka dalam beberapa hari ini," katanya.

Mengenai lawatan Pemerintah Tentera Thai Jeneral Sonthi Boonyaratkalin yang mengetuai rampasan kuasa pada September lepas, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata: "Beliau hendak menemui saya, maka saya akan berjumpa dengan beliau."

"Terdapat beberapa isu yang mungkin berkaitan dengan selatan Thailand (yang akan dibincangkan)," katanya merujuk kepada wilayah yang diduduki kebanyakan penduduk Islam Thailand yang dilanda keganasan setelah sekian lama.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=232980

Apa dah jadi ni? Kenapakah rumah dah siap, tapi pahat terus berbunyi? Kenapakah Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2006 sudah berlalu, tapi kecohnya masih berlarutan? Perkembangan seperti ini tak pernah berlaku sebelum ini. Kenapa ya? – Ruhanie Ahmad.

1 comment:

sahabat said...
This comment has been removed by a blog administrator.