Tuesday, November 07, 2006

MEDIA DINASIHAT
USAH KETERLALUAN
EKSPLOITASI UNSUR SEKS

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menasihatkan media agar tidak mengeksploitasi unsur seks secara keterlaluan kerana ia akan menambah masalah dan penyakit sosial di kalangan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas usul UMNO Wilayah Persekutuan yang dalam konvensyennya hari ini menggesa media supaya menghormati etika dengan tidak menyiarkan berita-berita seks secara keterlaluan.

Usul tersebut dibuat berikutan laporan akhbar Weekend Mail yang dalam edisi hari ini membincangkan tentang amalan seks di kalangan rakyat Malaysia di bawah tajuk Let’s Talk About Sex.

Sambil mengakui beliau menerima banyak panggilan tidak puas hati dengan penyiaran rencana itu, Najib berkata, ramai menyatakan laporan tersebut telah melampaui batas, yang tidak sepatutnya dikeluarkan sehinggakan orang yang tidak tahu pun menjadi tahu.

‘‘Sebagai contoh, posisi ini, posisi itu. Ini bukan posisi permainan bola. Ini posisi tertentu yang dihuraikan secara agak terperinci.

‘‘Kalau hendak mencari keuntungan sekalipun takkanlah sehingga sanggup mengorbankan kepentingan orang ramai,’’ katanya ketika berucap menutup Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan di sini.

Hadir sama ialah Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Akhbar Weekend Mail terbitan 4 dan 5 November turut memuatkan tinjauan pendapat rakyat tempatan mengenai seks.

Laporan 16 muka surat itu mendapat perhatian Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan resolusi mendesak dihentikan serta-merta penyiaran artikel seks murah dan eksploitasi wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan 2006, Datuk Kamarudin Ambok berkata, penyiaran artikel seumpama itu boleh menyumbang kepada peningkatan rangsangan seks dan gejala sosial di kalangan remaja.

Mengulas perkara yang sama, Shahrizat berkata, beliau kecewa dan malu atas tindakan akhbar berkenaan.

Beliau berkata, ini bukan kali pertama akhbar tersebut menyiarkan isu sensasi mengenai seks.
“Kami menerima banyak aduan berkaitan eksploitasi wanita oleh akhbar itu tetapi edisi semalam semakin melampau dan ia perlu dihentikan serta-merta,’’ katanya.

Beliau menambah, isu sensitif seperti itu tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka kerana ia bertentangan dengan adab tempatan.

Sementara Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, penyiaran laporan tersebut tidak sesuai dengan budaya timur yang penuh kesopanan dan amat bertentangan dengan ajaran Islam.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm

Hebat betul pejuang-pejuang UMNO Wilayah Persekutuan. Teruk akhbar The Malay Mail dibedalnya pasal memaparkan kisah-kisah seks secara keterlaluan.

Syabas. Inilah yang kita mau. Inilah manifestasi kesungguhan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Apa pun, saya harap, UMNO Wilayah Persekutuan juga akan bertanya, macam mana suratkhabar milik UMNO jadi begitu? Tidakkah ini akan menjejaskan nama baik parti?

Soalnya, salah sapa? Ya. Salah sapa? Bukankah manusia yang bernama Brendan Periera jadi Pengarang Kumpulan NST? Bukankah dia orang kepercayaan pembesar UMNO? Bukankah dia patut dipertanggungjawabkan? Mestikah dia bebas daripada sebarang kecaman?

Terserahlah kepada kita semua. Dulu sewaktu The Malay Mail dipimpin oleh anak Melayu, aman damai. Tak ada pun kecoh-kecoh. Hari ini, editor akhbar tu Mat Salleh yang diimport. Gaji dia pastinya ribu-ribu. Maklumlah pegawai expatriate. Jangan tak tau, tu semua duit UMNO tau. Tapi apa dah jadi? Betul ke orang kata, sebuah akhbar yang mempunyai sejarah kini dah jadi akhbar porno? – Ruhanie Ahmad.

No comments: