SULTAN JOHOR
MAHU TAMBAK
DIROBOHKAN
MAHU TAMBAK
DIROBOHKAN
Oleh Datuk Rejal Arbee
www.beritakmu.net
Kini jelas sudah rakyat Johor sememangnya mahukan jambatan menggantikan tambak yang menghubungi Johor Baru dengan Woodlands di Singapura. Baginda Sultan Iskandar tanpa berselindung lagi telah menyatakan dikhalayak ramai bahawa baginda mahu tambak itu dirobohkan.
Baginda memberi gambaran bahawa tambak itu telah sengaja didirikan penjajah British pada tahun 1920 untuk menyekat lalu lintas kapal di selat itu dan dengan itu telah menjamin kejayaan pelabuhan Keppel di Singapura.
Baginda mahukan kapal boleh merintasi Selat Tebrau kembali dan airnya dapat mengalir dari timur ke barat dan sebaliknya. Ini juga membolehkan pencemaran air yang tersekat kerana di halang tambak itu diatasi. Baginda juga menyatakan bahawa lambang peninggalan penjajah yang telah menipu negara sudah tidak patut wujud lagi.
Titah baginda itu dibuat di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beribu rakyat Johor yang hadir ketika merasmikan Wilayah Pembangunan Iskandar (Wilayah Ekonomi Johor Selatan) pagi Sabtu lalu (4hb Nov). Ungkapan secara spontannya itu telah disambut dengan tepukan gemuruh oleh lebih 3,000 rakyat yang menghadiri upacara itu.
Malah titah baginda didengar oleh seluruh negara berkat siaran langsung oleh RTM 1 dan TV3.
Malangnya titah baginda itu tidak pula diberikan liputan yang sewajarnya oleh akhbar-akhbar perdana hari ini. New Sunday Times memasukkanya sebagai panel bawah di muka lapannya, Berita Minggu hanya berita yang agak ringkas satu kolum di muka dua sebagaimana juga Sunday Star satu kolum di muka tiga. Hanya Mingguan Malaysia memberikan sedikit tonjolan sebagai berita panel atas di muka duanya.
Demikianlah sikap akhbar-akhbar perdana kita mengenai suatu perkembangan yang jelas sekali menunjukkan betapa tidak popularnya keputusan kerajaan pimpinan Pak Lah membatalkan pembinaan jambatan itu walaupun kerja-kerja permulaan sudah pun dilaksanakan pada bulan-bulan akhir pemerintahan Tun Dr Mahathir.
Baginda tidak pula menyebut secara terperinci apakah hanya separuh saja daripada tambak itu (ia itu yang berada dalam wilayah Malaysia) perlu diroboh. Tetapi kiranya alasan merobohkannya adalah untuk menghapuskan lambang penjajahan tentunya baginda bermaksud keseluruhan tambak itu dirobohkan. Dan bolehlah kita simpulkan bahawa apa yang baginda mahukan ialah jambatan lurus dibina menggantikan tambak itu.
Apakah yang boleh diharapkan dari kerajaan Pak Lah sendiri serta juga Pemerintah Singapura hasil dari kenyataan spontan Baginda Sultan Johor itu? Ramai tidak memberikan harapan yang besar tambak itu akan digantikan dengan jambatan dalam tempoh terdekat ini.
Walaupun kita mengetahui Kerajaan Singapura tidak mahu mengecilkan hati baginda Sultan malah sentiasa dilihat mahu mengampu Baginda reaksi awalnya tidak memberikan tanda-tanda baik ia akan ubah sikap degilnya. Kementerian Luarnya menyatakan titah baginda itu tidak mencerminkan kehendak kerajaan pusat. Malah ia menyifatkan titah baginda sebagai ‘pelik’.
Persoalannya sekarang ialah apakah yang akan dilakukan Pak Lah? Sultan sudahpun menyatakan hasratnya. Apakah penasihat-penasihat Pak Lah yang gemar tunduk kepada kehendak republik sekangkang kera itu akan akur dengan kehendak baginda Sultan atau apakah mereka tidak akan menghiraukannya?
Hendaknya jangan pula mereka timbulkan kembali penjualan pasir dan kebenaran jet-jet pejuang republik itu melintasi ruang udara kita sebagai pemberian kepada Singapura bagi mendapatkan persetujuannya membina jambatan.
Tetapi jika dilihat dari reaksi awal Menteri Luar, Datuk Seri Syed Abdul Hamid Albar, seorang anak Johor, tidak banyak yang boleh diharapkan. Kerajaan Pak Lah mungkin tidak akan menghiraukan sangat titah baginda itu. Sama-samalah kita lihat perkembangannya.
Sebagai perspektif terhadap persoalan ini, dilampirkan artikel saya pada 18 April untuk kolum saya di Berita Harian (pada hari Rabu 19 April) tetapi telah di tarik keluar (tidak disiarkan) pada saat-saat akhir oleh pengurusan editorial The New Straits Times. Artikel ini kemudian di siarkan oleh blog Datuk Kadir Jasin pada 19 April dan lamanweb Berita Kmu pada 20 April.
http://www.beritakmu.net/modules.php?name=News&file=article&sid=5521
No comments:
Post a Comment