Reaksi Kenyataan
Tun Musa Hitam
Bahagian Kedua:
Dasar Kebumiputeraan Di WPI
Mencurah Minyak Ke dalam Api?
Oleh Ruhanie Ahmad
Cadangan Tun Musa Hitam supaya kerajaan meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan dalam memajukan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor diibaratkan sebagai tindakan mencurah minyak ke atas longgokan bara yang sedang menyemarak.
Sebab itulah implikasi kepada kenyataan itu sedang hangat dibahas, dipolemik dan dipolitikkan secara meluas oleh majoriti rakyat, biarpun dari kalangan UMNO atau bukan UMNO, baik di kalangan Melayu-Bumiputra atau sebaliknya.
Contohnya, saya difahamkan, pada jam 3.30 petang, Khamis 29 Mac 2007 ini, satu cawangan UMNO di Johor akan menganjurkan satu seminar bertajuk Melayu Ke arah Globalisasi. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dijangka hadir. Kemungkinan besar kenyataan Tun Musa akan dikupas dan dibahaskan di seminar tersebut. Venue seminar: Dewan Putri, Club Taman Putri, Kulai, Johor.
Satu lagi contoh. Saya juga difahamkan bahawa satu ceramah untuk mengupas kenyataan Tun Musa juga dijangka diadakan di Universiti Malaya dalam tempoh terdekat ini. Usaha ini dikatakan membabitkan segolongan aktivis Melayu-Bumiputera. [Nota: Maklumat terbaru. Majlis ini adalah Syarahan Perdana oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Tajuk: Visi Dan Falsafah Pembangunan Tun Razak & Kepentingan DEB. 3.00 petang, Jumaat, 30 Mac 2007, di Dewan Kuliah Akademi Islam, Universiti Malaya. Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka turut hadir.]
Pandangan umum mengenai kenyataan Tun Musa kini digandingi sentimen yang berbeza-beza dari kaca mata Melayu-Bumiputra dan sebaliknya. Saya sendiri pun meluap-luap dengan aneka cetusan jiwa.
Sebagai seorang yang pernah berkhidmat dengan Tun Musa selama hampir lima tahun, saya cukup kaget dengan kenyataan berkenaan. Bagaimanapun, saya pasti kenyataan, cadangan, atau pandangan Tun Musa itu telah dicerna, dituntas dan dirincikan semasak-masaknya. Oleh itu, saya rasa Tun Musa juga sudah mempunyai persiapan mental untuk menghadapi apa jua konsekuens yang muncul akibat kenyataan beliau tempoh hari.
Political Animal
Saya beranggapan begini bukan untuk mempertahankan Tun Musa. Beliau tidak memerlukan sesiapa untuk mempertahankan dirinya dalam hal ini. Tun Musa adalah seorang ‘political animal’ yang cukup berpengalaman!!
Tetapi, saya beranggapan begini kerana lazimnya Tun Musa adalah seorang yang amat articulate dan teliti terhadap apa jua kenyataan, tindakan dan keputusannya.
Saya juga beranggapan begini kerana saya pasti bahawa cadangan, kenyataan, atau pandangan Tun Musa itu dicetuskan kepada masyarakat umum berasaskan satu kebijaksanaan (wisdom) yang mungkin belum sempat diperjelaskan secara terperinci, sama ada oleh Tun Musa sendiri, oleh Khazanah Nasional, mahupun oleh Perdana Menteri.
Kalau inilah hakikatnya, Tun Musa boleh dikatakan telah membuat satu kesilapan yang stratgik kerana “jumping the gun” tanpa terlebih dulu berusaha “preparing and conditioning the minds” orang Melayu-Bumiputera mengenai usaha meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan di WPI.
Lantaran itulah Tun Musa kelihatan seolah-olah bertindak mengkhianati orang Melayu, mengkhianati semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kini diserapkan ke dalam Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang muncul bersama Plan Persfektif Ekonomi ke-3, mengkhianati Fasal 153 Perlembagaan Malaysia, dan juga mengkhianati beberapa peruntukan dalam Perlembagaan UMNO.
Faktor
Pada pendapat saya yang cetek ini, terdapat beberapa faktor yang mendorong cetusan negatif terhadap Tun Musa akibat kenyataan, cadangan atau pandangannya mengenai peminggiran dasar-desar kebumiputeraan di WPI. Antaranya adalah seperti berikut:
Pertama: Semangat, matlamat dan prinsip-prinsip DEB yang kemudiannya diserapkan ke dalam DPN, sudah meresap ke dalam jiwa, minda, darah dan daging orang Melayu-Bumiputera sejak hampir 37 lamanya. Sebab itulah bila mana-mana aspek dasar kebumiputeraan ini cuba dipersoalkan atau pun cuba diganggu-gugat oleh mana-mana pihak, waimah oleh tokoh-tokoh Melayu yang terbilang, pastinya tindakan ini mencetuskan kekeliruan dan kemarahan yang spontan dan serius.
Kedua: Semangat, matlamat dan prinsip-prinsip DEB atau DPN ini juga bersumberkan Fasal 153 Perlembagaan Malaysia yang memaktubkan hak-hak dan keistimewaan Melayu-Bumiputera. Lantaran itu, sebarang usaha untuk memansuhkannya, walaupun sekadar tertumpu kepada sesuatu wilayah pembangunan tertentu sahaja, tentulah usaha berkenaan disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada Perlembagaan Malaysia.
Ketiga: Bagi keluarga besar UMNO, kenyataan Tun Musa disifatkan sebagai mencanggahi beberapa fasal yang membabitkan ekonomi dan kesejahteraan Melayu-Bumiputera, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti tersebut. Oleh itu, walaupun keadaannya agak tenang di kalangan UMNO pada masa ini, musuh-musuh UMNO tentu akan mengeksploitasikan kenyataan, cadangan atau pandangan Tun Musa ini sebagai usaha memindahkan sokongan Melayu-Bumiputera UMNO kepada pihak pembangkang Melayu.
Keempat: Olehkerana semangat, matlamat dan prinsip-prinsip DEB-DPN juga merangkumi aspek kebumiputeraan dalam banyak cabang kehidupan, termasuk pendidikan dan peluang pekerjaan, tentu sekali masyarakat Melayu-Bumiputera jadi kecewa, marah, bimbang dan ragu kalau-kalau usaha meminggirkan elemen kebumiputeraan di WPI ini pula akan diperluaskan kepada soal-soal pendidikan, kerjaya dan lain-lainnya di hari muka.
Persepsi
Di samping faktor-faktor di atas, ledakan rasa marah dan kecewa segolongan Melayu-Bumiputera terhadap Tun Musa ketika ini juga didorong oleh beberapa persepsi yang lahir bersama kewujudan WPI. Ini kerana kemunculan WPI yang agak mendadak disifatkan lebih mendukung kepentingan asing. Antara persepsi ini wujud akibat berikut:
Pertama: Pembangunan WPI tidak direncanakan oleh Unit Perancangan Ekonomi (UPEN). Sebaliknya, projek mega itu dikendalikan oleh Khazanah Nasional. Hakikat ini dicurigai kerana Khazanah Nasional didakwa sebagai penuh dengan kroni Khairy Jamaluddin, menantu Perdana Menteri. Salah seorang pakar ekonomi dalam Khazanah Nasional pula dipercayai seorang warganegara Singapura. Lantaran itu, bertambah-tambah kecewa dan marahlah segolongan Melayu-Bumiputera bila Tun Musa mencadangkan supaya dasar-dasar kebumiputeraan dikecualikan di WPI.
Kedua: Segolongan rakyat Melayu-Bumiputera kini menyifatkan kawasan WPI sebagai extension kepada Singapura. Persepsi seperti ini menyebabkan golongan berkenaan jadi lebih prejudis terhadap WPI. Mereka juga jadi lebih kecewa dan lebih marah akibat arrogance dan sifat kiasu kumpulan elit di Singapura. Kecewaan dan kemarahan ini sudah terpendam dan membara buat sekian lama dan menunggu masa untuk meletus dan meletup. Sebab itulah rasa marah dan kecewa di sebalik persepsi ini diluah dan dicurahkan secara terbuka, khususnya menerusi internet, sebaik sahaja Tun Musa menyatakan bahawa dasar-dasar kebumiputeraan hendak diketepikan dalam pelaksanaan WPI. Sebab itulah sebilangan Melayu-Bumiputera menyifatkan kenyataan, cadangan atau pandangan Tun Musa sebagai usaha menggadaikan maruah serta kedaulatan Malaysia kepada pihak asing.
Ketiga: Segolongan Melayu-Bumiputera amat kecewa dengan Khazanah Nasional dan kepimpinan negara kerana mewujudkan Free Access Zone (FAZ) di WPI. FAZ ini disifatkan sebagai ‘penyerahan’ sebahagian bumi Malaysia dan Johor yang berdaulat dan merdeka kepada pihak asing. Kekcewaan ini juga menunggu masa untuk meletus. Sebab itulah kekecewaan dan kemarahan ini diletuskan bila Tun Musa membuat kenyataannya tempoh hari.
Keempat: Kini wujud persepsi umum bahawa WPI kononnya diwujudkan atas desakan Singapura yang disokong oleh sesetengah kuasa besar tertentu. Persepsi ini mungkin liar dan sembrono. Apa pun, persepsi ini juga menimbulkan kemarahan dan kekecewaan yang menanti masa untuk diluahkan kepada umum. Dan, kenyataan Tun Musa pun menjadi pemangkin utama untuk meledakkan rasa kecewa dan kemarahan tersebut kepada umum.
Anti-Singapura
Kelima: Kini wujud sentimen anti-Singapura di Indonesia dan Thailand, terutama sekali berikutan pelaburan sebuah syarikat milik negara Singapura di negara-negara tersebut. Sentimen seperti ini juga wujud di Malaysia kerana syarikat yang sama pun sudah mula aktif di negara ini, kononnya atas tajaan sesetengah individu yang rapat dengan pucuk kepimpinan negara. Sentimen ini sudah banyak disuarakan. Sebab itulah kenyataan Tun Musa disifatkan sebagai salah satu usaha melindungi aktiviti syarikat-syarikat asing seperti ini. Sebab itulah juga kenyataan beliau kini menjadikan debat dan polemik mengenai syarikat ini semakin segar dan meluas.
Demikianlah antara faktor dan persepsi umum mengenai WPI pada hari ini. Demikian jugalah faktor dan persepsi umum yang menyebabkan segolongan rakyat jelata Malaysia jadi lebih kecewa dan lebih marah bila Tun Musa mencadangkan dasar-dasar kebumiputeraan dipinggirkan di WPI.
Ini bermakna bahawa kalau hari ini ramai rakyat Malaysia yang kesal, yang marah dan yang kecewa dengan Tun Musa, kemarahan, kekecewaan dan kekesalan itu sebenarnya bukan hanya disebabkan oleh kenyataan Tun Musa sahaja. Segala persepsi umum seperti yang saya huraikan di atas juga menyumbang kepada apa yang sedang menggelegak ketika ini.
Dalam senario seperti ini, siapakah yang harus dipersalahkan kalau segolongan rakyat jelata Malaysia merasa kecewa dan marah ke peringkat yang maksima? Adakah Tun Musa menyedari bahawa senario seperti ini akan muncul akibat kenyataannya? Mengapakah Perdana Menteri sendiri tidak membuat kenyataan seperti ini?
Dan, bukankah usaha meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan ini merupakan suatu tindakan yang strategik? Kalau begitu, mengapakah hakikat peminggiran dasar-dasar kebumiputeraan di WPI ini tidak dibincangkan terlebih dulu dengan wakil-wakil politik dan NGO Melayu-Bumiputra daripada seluruh negara? [bersambung dalam bahagian ketiga]