Sunday, November 12, 2006

SAYA MAHU BEREHAT
– DR. MAHATHIR

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) berkata, beliau mahu berehat sepenuhnya daripada sebarang aktiviti dalam tempoh beberapa minggu ini termasuk daripada menghadiri Perhimpunan Agung UMNO Isnin ini.

‘Saya nak rehat... tiada kenyataan apa-apa... harap perhimpunan (Perhimpunan Agung UMNO) berjalan dengan baik,’’ katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama dan RTM hari ini, dua hari selepas dimasukkan ke IJN setelah mengadu sakit dada di rumahnya.

Dr. Mahathir yang memakai kemeja berlengan panjang dan berseluar panjang kelihatan bersemangat sungguhpun keadaannya agak lemah sepanjang temu bual selama 20 minit itu.

Menemani beliau ialah isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Dr. Mahathir berkata, beliau bernasib baik kerana mendapat rawatan awal sebaik saja mendapat serangan jantung ringan itu dan ini membolehkan para doktor pakar mencairkan pembekuan darah di arteri jantungnya.

‘‘Serangan jantung ringan tapi saya datang awal tiga jam selepas serangan... dia orang (doktor) dapat cairkan pembekuan (clot) tak (berlaku) blockage walaupun ada kerosakan di tempat lama (arteri).

‘‘Tinggal lagi saya kena rehat sekurang-kurangnya tiga minggu agar kerosakan itu dapat pulih... so far so good... saya tak mahu fikir apa-apa,’’ katanya.

Dr. Mahathir yang mencapai usia 81 tahun bulan depan pernah menjalani pembedahan pintasan koronari di IJN pada 1989.

Beliau sering mendapat pemeriksaan kesihatan susulan di institut itu. Kali terakhir beliau dimasukkan ke IJN Disember tahun lepas bagi rawatan susulan.

Dr. Mahathir berkata, para doktor telah menasihati beliau supaya berehat sepenuhnya dan tidak melakukan atau memikirkan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatannya.

‘‘Doktor nasihat supaya saya tidak aktif, kena bersenam dan jaga makan sentiasa... terasa ingin nak menulis tapi doktor tak bagi... ingat nak bawa beg... nak buat kerja sikit... ditegah (oleh doktor)... kita kena ikut nasihat doktor,’’ katanya.

Menceritakan rentetan jadual padatnya terutama seminggu lepas sehingga menjejaskan kesihatannya, Dr. Mahathir mengakui bahawa ia agak keterlaluan dan itulah yang menyebabkan beliau mengalami sakit dada.

‘‘Saya memang perlu jalan jauh dan selalunya saya bekerja... tapi pagi Sabtu lepas saya pergi naik kuda lama juga... lepas tu saya terbang ke Arab Saudi.

‘‘Sampai Arab Saudi pukul 11 malam waktu Malaysia dan di sana saya ada majlis yang dihadiri raja Arab Saudi... lepas itu pukul 7 pagi waktu Malaysia terbang balik ke sini, tidur dalam kapal terbang.

‘‘Sampai di sini selepas satu setengah jam saya hadiri satu majlis pembukaan sebuah syarikat dan lepas itu menghadiri majlis makan malam sampai pukul 12 malam dan tidur pukul 1 pagi.

‘‘Pukul 8 pagi saya terbang ke New Zealand dan sampai 11 malam waktu tempatan dan berada sepanjang hari di sana bagi ucapan tiga kali dan sidang akhbar selama satu jam,’’ katanya.

Dr. Mahathir berkata, beliau kemudian berlepas pulang pada Rabu dan sampai pada 5 petang dan dua jam kemudian beliau menghadiri jamuan rumah terbuka Hari Raya anaknya sehingga 11.30 malam dan ketika hendak tidur beliaumengalami sakit dada.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya, termasuk yang membuat sembahyang hajat agar beliau cepat sembuh.

‘‘Doa serta kata-kata semangat ini bagi saya amat tinggi nilainya dan saya ucapkan terima kasih,’’ katanya.

Mengenai kunjungan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadapnya pada hari pertama beliau dimasukkan ke IJN, Dr. Mahathir mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengambil berat dan datang mengunjunginya sungguhpun pada waktu itu beliau (Dr. Mahathir) belum sedar setelah doktor memberikannya ubat sedatif ringan.

Sementara itu Dr. Siti Hasmah berkata, beliau tidak panik dengan keadaan Dr. Mahathir kerana ini bukan kali pertama suaminya mengalami serangan sakit jantung.

‘‘Berbanding pengalaman saya pada 1989 pertama kali Tun dapat serangan jantung, kali ini keadaannya kurang tak seperti dulu.

‘‘Dahulu agak panik... kali ini keadaan serupa tapi tak panik... saya dah tahu apa nak buat. Sebaik saja berlaku saya panggil Dr. Nasir (Datuk Dr. Nasir Muda, doktor IJN) datang ke rumah... saya tahu apa yang berlaku... saya beritahu anak-anak serta pemandu supaya bersiap sedia,’’ katanya.

Mengenai pemakanan suaminya, beliau berkata, Tun menjalani diet sayur-sayuran sampai sekarang.

Sejak dimasukkan ke IJN, Dr. Mahathir menerima kunjungan ramai kenamaan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pagi ini.

– Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

No comments: