Sunday, November 05, 2006


SULTAN JOHOR MAHU
TAMBAK JOHOR DIROBOH
UNTUK LALUAN KAPAL

JOHOR BAHARU 4 Nov. – Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar hari ini meminta Tambak Johor dibuka, atau dalam bahasa Johor dirobohkan, bagi memberi laluan kepada kapal-kapal menyeberangi Selat Tebrau, yang memisahkan Johor dan Singapura.

Baginda bertitah, kewujudan tambak yang dibina penjajah Inggeris itu, kini menghalang kapal-kapal daripada melalui Selat Tebrau, yang menyebabkan Johor sering menerima kutukan.

“Tu causeway tu (Tambak Johor) bukakan, baru negeri Johor ini maju,” titah baginda semasa merasmikan projek Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) di Teluk Danga di sini.

Tambak Johor sepanjang 3,465 kaki (1,050 meter) dari Johor Baharu ke Singapura, dibina pada tahun 1920 dengan keseluruhan strukturnya berukuran 60 kaki lebar (18.18 meter) dan menampung dua landasan keretapi serta jalan raya selebar 26 kaki (7.87 meter). Ia juga membawa paip air dari Johor ke Singapura dan sebaliknya serta kabel komunikasi. Sultan Johor yakin pembangunan SJER akan berjaya dengan kerjasama dan muafakat semua pihak.

Baginda berharap SJER akan membuka peluang kepada semua rakyat Johor dan faedahnya dinikmati semua peringkat masyarakat di negeri ini.

Sultan Mahmud Iskandar turut mengingatkan rakyat Johor agar mengambil iktibar daripada pengalaman nenek moyang zaman dahulu yang mudah ditipu oleh penjajah Inggeris.

“Kita ni jangan tak sedar, jangan kena tipu lagi,” titahnya.

Baginda turut berterima kasih kepada Kerajaan Pusat khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana memberi peruntukan besar untuk membangunkan ekonomi Johor.

Baginda kemudian meletakkan ikonik kapsul masa di tapak perasmian, yang akan disimpan sehingga 2025.

Sempena perasmian itu, projek SJER berharga berbilion ringgit yang diusahakan Khazanah Nasional, diberi nama baru, Wilayah Pembangunan Iskandar.

Projek itu melibatkan pelaburan berjumlah RM47 bilion untuk tempoh lima tahun (2006-2010) dan pelaburan berjumlah RM335 bilion bagi tempoh 15 tahun lagi (2011 hingga 2025).

– Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm

Saya sokong penuh saranan DYMM Sultan Johor. Titah Baginda seperti di atas adalah bukti nyata bahawa rakyat Johor memang rata-rata mahukan sebuah jambatan untuk menggantikan causeway. Jambatan bengkok pun tak apa. Sebab tu kami rasa ralat sangat-sangat bila kerajaan batalkan projek Jambatan Bengkok. Kami juga panas bila kenyataan mengenai pembatalan Jambatan Bengkok itu (dilampirkan di bawah ini) menyatakan ianya dibuat setelah “mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.”

Untuk rekod kita semua, projek Jambatan Bengkok tak ada kena mengena langsung dengan soal penjualan pasir atau pun penggunaan ruang angkasa Malaysia oleh Singapura.

Jadi, kenapa batalkan projek Jambatan Bengkok dan gunakan alasan “mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara”?

KENYATAAN AKHBAR
DATUK SERI ABDULLAH AHMAD
BADAWI PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA, 12 APRIL 2006

KENYATAAN MEDIA MENGENAI
PEMBINAAN JAMBATAN
BAGI MENGGANTIKAN TAMBAK JOHOR

Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor. Keputusan Kerajaan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara. Kerajaan juga membuat keputusan untuk memberhentikan semua rundingan bersabit dengan jambatan tersebut.

Pejabat Perdana Menteri
Putrajaya

Sumber:http://www.pmo.gov.my/WebNotesApp/PMMain.nsf/ca4eeb100d5ddf174825708800267d31/e034dd673a4435034825715d000f7ae8?OpenDocument

Jadi, bila DYMM Sultan Johor dah titah seperti di atas, apa agaknya reaksi kerajaan? Rakyat Johor khususnya, sangat-sangat nak tahu akan perkembangan selanjutnya. – Ruhanie Ahmad.

1 comment:

Pelukis Pelan Johor said...

Pihak kami sedia berbincang mengenal Wilayah Pembangunan Iskandar. Harap semua pihak mempunyai fikiran yang terbuka, kreatif dan kritis.