Saturday, November 18, 2006

Kritikan Mukriz
Langgar Peraturan Pemuda
- Abdullah

KUALA LUMPUR 17 Nov. -- Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan Datuk Mukhriz Mahathir mengkritik ucapan dasarnya pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO adalah melanggar peraturan Pergerakan Pemuda UMNO.

Menurutnya, kenyataan anak bekas Perdana Menteri itu adalah bertentangan dengan keputusan pergerakan itu yang sebelumnya telah meluluskan usul menyokong ucapan Presiden parti.

Sehubungan itu, Abdullah yang juga Perdana Menteri menyerahkan kepada Pemuda UMNO untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Mukriz yang juga Exco pergerakan tersebut.

"Pemuda UMNO telah menjelaskannya kepada saya bahawa itu (kenyataan Mukhriz) tidak dibuat selaras dengan semangat, resolusi, usul Pemuda yang dibentangkan. Itu yang menjengkelkan mereka.

"Dia (Mukhriz) telah menyatakan sesuatu yang saya fikir tidak betul,'' katanya pada sidang akhbar selepas berakhir Perhimpunan Agung UMNO Ke-57 di PWTC, hari ini.

Abdullah mengulas kenyataan Mukhriz dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa tiada perkara baru dalam ucapan dasarnya, kelmarin.

Mukhriz dipetik sebagai berkata: "Saya rasa ucapan (Presiden) itu telah disampaikan tahun lalu. Saya mengharapkan ada perkara baru. Mungkin dia (Abdullah) ada idea lain.''

Sementara itu, ketika ditanya adakah Mukhriz patut melepaskan jawatan sebagai Exco Pemuda UMNO, Abdullah berkata:

"Itu adalah halnya (Mukhriz), kenapa anda tanya saya untuk membuat keputusan baginya, saya tidak membuat keputusan untuknya,'' katanya sambil memberitahu bahawa Mukhriz juga tidak ada menghubunginya berhubung perkara itu.

http://www.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=umno2006&y=2006&dt=1117&pub=umno2006&sec=Berita&pg=bu_39.htm

No comments: