Monday, November 13, 2006

Limabelas Peratus
Anggota Baru Umno
Golongan Muda

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Sebanyak 15 peratus daripada 128,318 anggota baru Umno adalah anak muda yang baru pertama kali menyertai parti politik, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad hari Isnin.

Beliau berkata jumlah itu dicapai hasil kempen penambahan anggota Umno yang dijalankan di seluruh negara dari Januari hingga Oktober lepas.

"Secara tidak rasmi jumlah anggota Umno kini mencapai tiga juta orang. Bagaimanapun, angka rasmi keanggotaan parti akan hanya diketahui apabila selesai proses mengemaskinikan jumlah anggota parti di semua peringkat nanti, yang dijangka dapat diselesaikan penghujung tahun ini.

"Jumlah sebenar anggota Umno akan dapat diketahui awal tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad sempena Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari Isnin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pada akhir majlis taklimat itu, Abdullah turut menyampaikan anugerah kepada Ketua Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh kerana berjaya mendaftarkan anggota baru terbanyak, iaitu seramai 25,294 orang.

Umno Bahagian Kuala Terengganu pula menerima anugerah kerana berjaya mengumpul ahli baru terbanyak iaitu seramai 5,300 orang, diikuti dengan Umno Bahagian Ranau, Sabah (4,497 orang) dan Shah Alam, Selangor (2,815 orang).

Mengenai persiapan Perhimpunan Agung Umno 2006, Radzi berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan setakat ini oleh para petugas Umno, termasuk persiapan dewan persidangan, tempat duduk perwakilan, pengeluaran pas, buku program dan sebagainya, yang kesemuanya berjalan lancar.

"Cuma saya berharap tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini memandangkan jumlah orang yang datang ke PWTC sepanjang perhimpunan lima hari ini nanti sangat ramai," katanya.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=229665

No comments: