Friday, November 24, 2006

Isi Hati Anak Malaysia
Terhadap Pemimpinnya
Oleh NN

Terima kasih kerana menyediakan tempat untuk kami meluahkan pendapat dalam ruangan yang kini sudah menjadi kegemaran saya dan beberapa rakan di sini.

Saya, suami, dan beberapa rakan rakyat Malaysia yang berada di sini, memanjangkan rasa syukur kepada Allah yang memberikan kesejahteraan dan kesihatan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini sudah pun keluar daripada IJN.

Alhamdulilah. Kami di sini berharap sangat semoga Tun Dr. Mahathir dapat berehat bersama keluarga.

Saya menulis kepada www.kuda-kepang.blogspot.com. untuk menyuarakan pendapat saya sebagai seorang anak Malaysia yang dibesarkan semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri, yang sememangnya disayangi dan dikagumi ramai.

Kemajuan yang dikecapi Malaysia, terutama di zaman perintahan Tun Dr. Mahathir, sungguh membanggakan. Saya bangga sungguh menjadi anak Malaysia, punya kereta nasionalnya sendiri, punya multimedia super corridor, punya macam-macam lagi.

Yang penting, kita mempunyai pemimpin yang bijak dan berpandangan jauh. Bak kata orang putih kat sini, "He is a real leader. Smart, brilliant, strong and know what he is doing."

Che Det

Begitulah anggapan orang di New York mengenai Tun Dr. Mahathir. Mereka merupakan pemerhati dari jauh mengenai Malaysia dan bekas Perdana Menterinya.

Saya nyatakan hakikat di atas bukan saya hendak bodek, ampu, atau apa-apa. Tapi, itulah kebenarannya. Itulah kebenaran yang sesiapa tidak boleh nafikan bila bercakap mengenai Che Det.

Malah suami saya, yang juga seorang warga Amerika Syarikat, sangat mengkagumi Tun Dr. Mahathir. Bukan itu sahaja. Keluarga sebelah suami saya, terutamanya bapa mertua dan kakak ipar, sering berbincang atau berborak mengenai TDM yang mereka sifatkan sebagai seorang pengurus negara yang berpandangan jauh, seorang pemimpin yang kuat, dan tidak gentar terhadap pelbagai tohmahan dan ancaman.

Keluarga mertua saya juga sering bertanya dan mahu saya menceritakan mengenai Tun Dr. Mahathir sebagai seorang tokoh, mengenai kemajuan Malaysia, sistem pengurusan negara serta ekonomi Malaysia.

Malah semasa kami berada di sebuah kedai perabut milik rakyat Greek di New York, sebaik saja diberitahu yang kami orang Malaysia, lelaki berkenaan terus menyebut nama "Mahathir Mohamad the Prime Minister, he is a great and strong leader". Semua kenal Malaysia dan mereka kenal disebabkan oleh Che Det.

Demikianlah luahan hati saya mengenai bertapa bangganya saya menjadi anak Malaysia semasa di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir.

Akhir kata, sampaikanlah salam takzim untuk Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah dari kami, anak perantau yang masih cintakan negara dan berbangga dilahirkan sebagai warganegara Malaysia.

No comments: