Friday, November 03, 2006

ULANG TAYANG

MICHIAVELLI, PEMIDATO
PENYAIR & PENGAMPU
Oleh Ruhanie Ahmad

Kita sering membicarakan soal fitnah, rasuah, politik wang, kekecewaan veteran UMNO, dajjal, lembu politik, kuda kepang, loyalis dan idealis UMNO. Berikut ini, sama-samalah kita bicarakan soal pengampu, pembodek, kroni, keranis, dan juga ketegasan pemimpin. Lebih khusus lagi, artikel ini akan tertumpu kepada kelompok manusia yang sering berada di sekeliling seseorang pemimpin, pemerintah, pembesar atau pun raja. Dalam politik, kita sering mendengar istilah pencacai, balaci, juak-juak, gurkha, langau, pengampu dan kroni.

Akhir-akhir ini, ada pula istilah baru yang sinonim dengan semua istilah di atas. Istilah ini dikatakan lahir daripada perasaan meluat dan jelek segolongan rakyat jelata terhadap perilaku segelintir manusia yang sedang berada di sekeliling sesetengah pembesar negara. Istilahnya adalah keranis. Ia diistilahkah begitu kerana sesetengah manusia terbabit, kononnya berlagak seperti kera, monyet atau beruk. Mereka diberi istilah keranis kerana karenah dan perilaku mereka seperti kera kena belacan atau seperti beruk mendapat bunga.

Jadi, pencacai, balaci, juak-juak, pengampu, langau, kroni dan keranis ini adalah kelompok manusia dalam kategori yang sama. Mereka adalah golongan manusia tertentu yang sering berada di sekeliling seseorang pemimpin, pembesar, pemerintah atau pun raja semata-mata untuk mencapai matlamat dan cita-cita peribadinya sendiri. Mereka sering menjadi punca kebencian segolongan rakyat jelata kepada pemimpin, pembesar, pemerintah atau pun raja terbabit. Tindak tanduk mereka dikatakan dikutuk dan dibenci kerana mencanggahi cita-cita, hasrat dan aspirasi majoriti rakyat jelata.

Demikianlah hakikatnya, di mana sahaja di dunia ini. Di sekeliling Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, ada manusia kategori ini. Di sekeliling Perdana Menteri Britain, Tony Blair, ada manusia jenis ini. Di sekeliling mana-mana pembesar, pemimpin, pemerintah atau raja, memang sering terdapat manusia jenis ini.

Pengampu

Di samping itu, ada pelbagai lagi jenis manusia di sekeliling seseorang pemimpin, pemerintah, pembesar atau pun raja. Ada penasihat, ada perasuah, ada pengkhianat, ada pemfitnah, ada pengampu. Para penasihat selalunya mempunyai jawatan rasmi. Hubungan seseorang penasihat dengan seseorang pembesar, pemerintah, pemimpin atau raja selalunya juga secara rasmi.

Bagaimanapun, ada juga kumpulan perasuah, pengkhianat dan pemfitnah yang kadang-kadang bertindak sebagai penasihat. Kumpulan ini agak sukar dikesan aktivitinya secara rasmi. Hubungan mereka dengan seseorang pembesar, pemerintah, pemimpin atau raja juga lazimnya agak tidak rasmi. Mereka bergerak secara berhati-hati.

Tetapi, kumpulan manusia yang dikategorikan sebagai pengampu memang amat mudah untuk dikesan oleh sesiapa. Manusia jenis ini selalunya bermulut manis, penuh dengan pujian-pujian, penuh dengan berita baik, penuh dengan ikrar dan janji, penuh dengan jiwa pengabdian dan kesetiaan, serta penuh dengan kepura-puraan dan kepalsuan. Golongan ini selalunya mendampingi seseorang pemimpin, pembesar, pemerintah, atau raja, dengan niat serta dorongan yang peribadi dan sempit bentuknya.

Seseorang penasihat yang berjawatan rasmi mungkin sukar untuk jadi seorang perasuah, pengkhianat, pemfitnah atau pengampu. Tetapi, seseorang perasuah, pengkhianat, pemfitnah dan pengampu mungkin boleh dengan mudahnya memainkan peranan sebagai seorang penasihat kepada seseorang pembesar, pemerintah, pemimpin atau raja. Seseorang pengampu juga boleh jadi seorang pengkhianat, pemfitnah, dan perasuah. Dia boleh memainkan pelbagai jenis peranan dajjal pada bila-bila masa, semata-mata untuk menyenangkan hati pemimpin, pembesar, pemerintah dan raja yang jadi sasarannya. Dia juga boleh berperanan sedemikian semata-mata untuk mencapai matlamat dan manfaat peribadi yang menguntungkan.

Oleh itu, kumpulan pengampu adalah antara kumpulan manusia talam pelbagai muka dan manusia berjiwa kotor yang boleh menyebabkan kejatuhan seseorang pembesar, pemimpin, pemerintah atau pun raja. Sebab itulah Niccolo Michiavelli berpendapat melalui bukunya berjodol Penguasa, bahawa seseorang pembesar, pemimpin, pemerintah atau raja mestilah bertindak secara bijaksana. Menurut Michiavelli, seseorang pembesar, pemimpin, pemerintah dan raja perlu menyingkirkan para pengampu daripada memenuhi pejabat atau istana mereka. Kalau tidak, mereka akan dikongkong dan dikuasai oleh para pengampu berkenaan. Jika ini terjadi, pastinya mereka tidak akan dihormati oleh rakyat jelatanya sendiri.

Pemidato

Muhammad Yasin Mazhar pula menyatakan dalam bukunya Organisasi Kerajaan Pimpinan Rasulullah, bahawa penyair dan pemidato diberikan tempat yang penting dan tinggi dalam struktur sosial dan politik orang-orang Arab. Ini kerana penyair dan pemidato adalah penyimpan hasrat hati rakyat. Mereka boleh mencipta, mengolah, dan membentuk buah fikiran masyarakat umum. Mereka boleh mencetuskan peperangan. Mereka juga boleh mendorong pencapaian sesuatu perdamaian. Penyair dan pemidato melakukan ini semua menerusi pengaruh lidah masing-masing. Hakikatnya demikian kerana penyair atau pemidato mampu menaikkan semangat pendengarnya. Mereka juga mampu meniupkan angin peperangan dengan amat mudah. Walaupun Rasulullah SAW tidak pernah membenarkan syair-syair yang melampau dan keterlaluan, Baginda tidak lupa menghargai pengaruh dan jasa penyair. Tetapi, syair di zaman Rasulullah SAW hanya boleh digunakan untuk maksud-maksud yang terpuji sahaja.

Kedua-dua buku di atas ditulis berasaskan kepada dua tamadun yang berbeza. Machiavelli (1469-1527) yang masyhur dengan The Prince yang diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Penguasa, menulis berasaskan kepada tamadun Roman dan agama Kristian. Dia menitikberatkan cara-cara mendapatkan keunggulan politik dan keunggulan kuasa. Keprihatinan Michiavelli supaya seseorang pembesar, pemerintah, pemimpin atau raja membersihkan jemaah perjuangannya daripada elemen pengampu adalah antara prinsip asas untuk membolehkan seseorang pembesar, pemimpin, pemerintah atau raja untuk mewujudkan keunggulan politik dan keunggulan kuasa di sesebuah negara.

Buku Organisasi Kerajaan Pimpinan Rasulullah pula ditulis berasaskan tamadun Islam dan Arab. Buku ini menjurus kepada soal-soal kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan di zaman Rasulullah SAW. Menerusi buku ini, Muhammad Yasin Mazhar, memfokus kepada pentingnya penyair dan pemidato kepada pembentukan sesuatu iklim politik dan pendapat umum, serta penggemblengan sokongan rakyat jelata kepada pemerintahnya.

Saya berpendapat, intisari daripada kedua-dua buku di atas penting dan sesuai untuk dijadikan bahan renungan dan rujukan bersama. Khususnya sebelum kita berbicara mengenai The New Straits Times (NST) dan Brendon Preira. Kisah selanjutnya adalah seperti berikut.

Pada malam Ahad 23 April 2006, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A. Samad Ismail, (Pak Samad), merayakan harijadinya yang ke-82. Ramai anak didik, sahabat, saudara mara dan jiran tetangga Pak Samad yang diundang ke kediamannya di Seksyen 16, Petaling Jaya. Antara hadirin adalah Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, Peguam Negera, Tan Sri Abdul Ghani Patail, pejuang kemerdekaan, Tan Sri Mohd. Khir Johari, Tan Sri Mazlan Noordin, Datuk A. Samad Said, Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Mohd.Nazri Abdullah, Datuk Mohd. Khalid Mohamad, Datuk Rejal Arbee, Datuk Ahmad Talib, Datuk P. C. Shivadas, Datuk Ng Poh Tip, Ho Sai Kong, Sutong Omar RS, Dinsman, Datuk Sharifah Aini, M. Nasir, dan saya sendiri bersama isteri. Pendek kata, majoriti hadirin adalah orang suratkhabar dan penulis.

Sukarno

Maka, masing-masing pun merungkai beberapa kisah di sebalik berita. Ada kisah lucu, ada kisah sedih, ada kisah panas. Maka, timbullah kisah Tunku Abdul Rahman, Presiden Sukarno, Adam Malik, Tun Razak Hussein dan lain-lainnya. Segala kisah itu tidak pernah dilaporkan oleh mana-mana akhbar. Tetapi, keseluruh kisah itu juga masih meniti dari bibir ke bibir bila ada sessi bekas wartawan bertemu bekas wartawan.

Dalam suasana gembira, penuh hilai dan tawa itu, tiba-tiba terpacul soalan ini: you kenal tak siapa dia Brendon Preira? Soalan itu ditujukan kepada saya. Pihak yang bertanya adalah salah seorang wartawan veteran yang duduk semeja dengan saya. Wajahnya serius. Dia seolah-olah benar-benar mahu tahu, siapakah Brendon Preira.

Saya tidak mengenali Brendon Preira. Saya tidak mengenali manusia ini. Waktu saya tinggalkan NST dan BH pada 1982, tidak ada seorang pun wartawan bernama Brendon Preira. Tapi, adalah kawan-kawan lain seperti Jacob Paul, Calvin Goh, John Teoh, Tony Hermon, Rudy Beltran, Philip Matthews, Ho Sai Kong, dan Lim Thow Boon. Dalam suratkhabar lain pun tak pernah saya dengar nama Brendon Preira. Dalam The Star, tak ada Brendon Preira. Dalam The Sun, tak ada Brendon Preira. Dalam Bernama, pun tak ada Brendon Preira.

Jadi, saya pun bertanya balik kepada si pembawa soalan tadi. Kata saya, apa hal dengan Brendon Preira? Kata wartawan veteran berkenaan, dia tidak tau. Tetapi, kebelakangan ini, katanya, dia terdengar macam-macam cerita pasal Brendon Preira. Contohnya, kata wartawan veteran itu, ada beberapa anak didik Pak Samad baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada NST. Mereka bersara menerusi Voluntary Seperation Scheme atau VSS. Desas-desus di pasaran mengatakan exodus anak-anak didik Pak Samad ini, walaupun menerusi VSS, dipercayai ada kaitannya dengan kehadiran Brendon Preira di NST pada hari ini. [Nota: Seorang eksekutif kanan sebuah syarikat akhbar pernah berkata kepada saya bahawa VSS di NST itu kononnya memakan kos sejumlah $25 juta.]

Jawapan daripada wartawan veteran itu menyebabkan saya terdorong untuk mengenali siapakah Brendon Preira. Saya juga mahu tahu, apa kena mengenanya kisah ramai wartawan kanan NST berhenti menerusi VSS, dengan Brendon Preira? Siapakah sebenarnya Brendon Preira? Apa dosa dia kepada kumpulan yang meninggalkan NST menerusi VSS? Atau, apakah dosa kumpulan VSS ini kepada Brendon Preira?

Nuraina

Seorang anak didik Pak Samad yang masih bertugas di NST terdengar pertanyaan saya seperti di atas. Dengan sukarela dia pun memberitahu kami semua, Brendon Preira adalah bossnya di NST. Oh, kata saya, Brendon Preira boss kamu di NST. Cakaplah. Apa pasal tak cakap awal-awal yang Brendon Preira adalah bos kamu di NST? Saya ingatkan Nuraina anak Pak Samad yang jadi boss kamu di NST. Nuraina tu senior. Dia masuk kerja di NST pada tahun 70-an. Paling kurang, Nuraina dah mendedikasikan hampir tiga puluh tahun kesetiaannya kepada NST.

Saya hairan macam mana Nuraina Samad boleh jadi kumpulan yang malang di NST. Dia dah kerja dengan NST hampir 30 tahun, tapi tak dapat jadi boss. Brendon Preira pula tergolong kepada pihak yang bernasib baik. Kata orang, dia mulai kerja dengan NST pada 2004, tapi dapat jadi boss. Jadi, atas perkiraan apa, Nuraina Samad tak boleh jadi boss? Atas perkiraan apa, Brendon Preira dapat jadi boss?

Bagaimanapun, perlukah saya ambil tahu soal-soal yang sedang berlaku di NST? Bukankah NST, sebagai warga korporat yang ulung di Malaysia, mempunyai pemimpinnya sendiri? Bukankah wartawan terbilang Malaysia, Datuk Kalimullah Hassan, kini Timbalan Pengerusi NST? Lagi pun, kisah tenggelam dan timbulnya nasib seseorang adalah kuasa Allah SWT jua. Jadi, tak apalah Nuraina Samad. Nasib tidak menyebelahi anda. Bagaimanapun, tahniahlah Brendon Preira.

Memang NST akhbar milik UMNO. Tapi, kalau UMNO sendiri pun mungkin sudah merestui Brendon Preira menjadi boss di NST, kita kenalah hormati keputusan tersebut. Kalau kita tidak mahu hormat, siapa pun tidak boleh mengubah keputusan itu? Dalam pada itu, saya pun menghubungi seorang sahabat lama di NST. Rupa-rupanya, sahabat itu juga memilih untuk meninggalkan NST menerusi VSS. Saya bertanya kepadanya, siapakah Brendon Preira. Katanya, Brendon Preira adalah Group Editor (Pengarang Kumpulan) NST. Dia ni dulu kerja di mana, tanya saya. Kata sahabat saya, dia tidak pasti. Tapi, dengar-dengarnya, Brendon Preira pernah jadi wakil The Straits Times Singapura di Kuala Lumpur. Dia memulakan khidmatnya di NST pada Februari 2004. Umurnya dalam lingkungan lewat 30-an atau awal 40-an. Dia dikatakan sahabat karib kepada Datuk Kalimullah.

Saya juga bertanya kepada sahabat berkenaan, apakah pengalaman Brendon Preira sebelum menjadi Group Editor NST? Sahabat saya tidak pasti mengenai pengalaman Brendon Preira. Dia tidak pasti kalau Brendon Preira pernah jadi editor di mana-mana akhbar sebelum ini. Dia tidak pasti kalau Brendon Preira pernah berkhidmat sebagai editor dengan mana-mana akhbar di seberang laut.

Tercalar

Tapi, kata sahabat saya, ada juga cerita-cerita yang tidak menyeronokkan di sebalik kehadiran Brendan Preira di NST hari ini. [Nota: Tulisan ini disiapkan sebelum Kelab Senator Parlimen Malaysia mendedahkan isu iklan bir dalam NST, sebelah menyebelah dengan berita Perdana Menteri dan sambutan UMNO 60 Tahun. Kisah penyiaran kartun mengenai Rasulullah dalam NST juga tidak disorot.] Kata sahabat saya, entah betul entah tidak, banyak jiwa yang tercalar, dada yang terguris, dan kepala yang terpijak bila Brendan Preira dilantik ke jawatan Group Editor NST . Ini kerana Brendan Preira baru sahaja dua tahun berkhidmat dengan NST. Ramai lagi wartawan yang telah berkhidmat hampir 30 tahun dengan NST atau akhbar sekutunya, tidak langsung dipertimbangkan mengisi jawatan berkenaan.

Kenapa? Kerana mereka tidak ada know-how? Atau, kerana mereka tidak ada know-who? Atau, adakah mereka tidak dipertimbangkan ke jawatan Group Editor NST bukan kerana mereka tidak layak, tetapi kerana mereka tidak jadi pencacai atau pengampu par excellence? Sebab itulah Michiavelli membayangkan melalui bukunya The Prince atau Penguasa, bahawa sesebuah organisasi mestilah dibersihkan daripada seluruh kelompok pengampu. Kalau tidak, parah kesan dan implikasinya.

Maka, oleh kerana beberapa wartawan kanan NST terasa tersindir, terasa tersingkir dan terasa terpinggir oleh perlantikan Brendon Preira sebagai Group Editor NST, mereka pun kecewa, mereka pun demoralised, mereka pun dalam keadaan terumbang-ambing, mereka pun terima sahajalah bila diberi tawaran VSS. Mereka dikatakan telah mengadu hal kepada beberapa pihak yang dipercayai rapat dengan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Malaysia. Tetapi, aduan itu, kata mereka, hanya tinggal aduan. Nasib malang mereka tetap tiada siapa yang sudi membela.

Tetapi, walau apa sekalipun yang telah berlaku, hakikatnya di NST pada hari ini adalah: majoriti yang menerima VSS adalah wartawan Melayu yang berkelulusan tinggi di bidang kewartawanan. Hampir kesemuanya anak didik Pak Samad. Kesemuanya telah membuktikan kesetiaan mereka yang tidak berbelah bagi kepada NST. Kesemuanya adalah berpengalaman. Kesemuanya telah menyumbang kepada kemajuan NST menerusi bidang pengkhususan masing-masing.

Tersingkir

Pada waktu yang sama, hakikat semasa di NST pada hari ini adalah: sebilangan besar wartawan yang kini berada di beberapa kedudukan prominen dalam NST adalah bukan Melayu. Ada dua wartawan veteran yang dikatakan telah diterbangkan pulang daripada Hong Kong, kini jadi editor di NST. Ada seorang wartawan yang telah berhenti daripada NST berpuluh tahun dulu, kini dikatakan telah dilantik menjadi editor di NST. Ada wartawan junior juga dikatakan mendapat kedudukan tinggi di NST.

Kalau ada mana-mana pihak yang curiga atau meragui hakikat ini, gunakanlah kuasa yang ada dan mintalah pengurusan NST memberikan senarai penuh para wartawan dan editornya di semua peringkat pada awal 2004. Kemudian, bandingkanlah senarai itu dengan senarai para wartawan dan editornya pada tahun ini. Dari perbandingan senarai berkenaan, pastinya akan dikesan keseluruhan missing link terhadap apa yang sedang berlaku di NST sekarang. Daripada senarai itu juga, pastinya akan terjawab mengapa sipolan bin sipolan berhenti, terpinggir atau tersingkir. Dan, mungkin juga terjawab soalan berapa ramaikah wartawan serta editor Melayu yang memilih VSS dan berapa ramai pula wartawan dan editor bukan Melayu yang dapat kedudukan istimewa dalam NST mutakhir ini.

Memang apa yang berlaku di NST adalah hal dalaman. Tetapi, NST bukannya organisasi sebarangan. NST adalah organisasi milik UMNO. NST dan UMNO mempunyai sejarahnya yang tersendiri. NST adalah organisasi yang mempunyai roots politik. NST adalah manifestasi kepada perjuangan Tun Razak Hussein mulai 1972. NST adalah manifestasi kepada perjuangan Datuk Harun Idris. NST adalah menifestasi perjuangan Tan Sri Syed Jaffar Albar. NST adalah manifestasi perjuangan Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin. NST adalah manifestasi perjuangan ratusan nasionalis Melayu yang mahukan suratkhabar itu dikuasai oleh majoriti anak-anak pribumi yang berkelayakan di bidang kewartawanan dan pengurusan korporat.

Tun Razak

Oleh itu, orang-orang UMNO perlu bimbang terhadap apa yang sedang berlaku di NST hari ini. Kalau semuanya benar belaka, ini adalah proses memutarbalikkan seluruh pencapaian dan kejayaan kepada seluruh perjuangan di atas. Ini bermakna perjuangan Tun Razak, Datuk Harun, Tan Sri Syed Jaffar, Datuk Suhaimi dan semua nasionalis Melayu, kini sedang diputar balikkan ke zaman awal 70-an. Siapakah yang bertanggungjawab memutar balikkan perjuangan ini? Adakah UMNO prihatin dengan perkembangan seperti ini?

Sebagai seorang yang pernah bertugas dengan kumpulan NST dari 1972 hingga 1982, pastinya saya telah mengikuti dan menginsafi perjuangan UMNO dalam mewujudkan sebuah syarikat tempatan untuk menjadi wadah kepada NST, The Malay Mail dan Berita Harian pada 1973. Sebab itulah saya sentiasa terkenangkan perjuangan Tun Razak. Sebab itulah saya sentiasa terkenangkan perjuangan Datuk Harun selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, yang tidak jemu-jemu mendesak supaya kapitalis asing dilarang menguasai mana-mana akhbar di Malaysia. Saya juga teringatkan desakan bertalu-talu daripada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pimpinan Tan Sri Syed Jaffar Albar dan Datuk Suhaimi. Kedua-dua tokoh ini mendesak supaya jawatan-jawatan sensitif dalam semua akhbar yang dikuasai UMNO, termasuk NST, mestilah terdiri daripada individu yang jelas asal usulnya, dan juga ikhlas hati perutnya.

Kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika itu, soal asal usul yang jelas, dan soal hati budi yang ikhlas ini adalah penting. Ia sangat penting untuk mempastikan tidak ada infiltrasi atau penyusupan oleh mana-mana elemen anti-nasional ke dalam oraganisasi media milik UMNO pada tahun 70-an. Jadi, kalaulah apa yang berlaku dalam NST hari ini betul, pra-syarat seperti ini nampaknya sudah tidak lagi relevan di abad ke-21.

Oleh itu, saya harap, sahabat-sahabat saya yang masih berkhidmat di NST dan BH, sampaikanlah salam hormat saya kepada Brendan Preira. Tolonglah tanya kepadanya, sama ada beliau insaf akan perjuangan Tun Razak, Datuk Harun, Tan Sri Syed Jaffar Albar dan Datuk Suhaimi dalam mewujud dan memartabatkan NST pada tahun 70-an? Tanyalah juga kepadanya, sama ada Brendan Preira insaf akan perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan perjuangan lain-lain nasionalis Melayu di sebalik sejarah kewujudan NST di Malaysia pada awal 70-an? Kalau Brendan Preira insaf, dengan takzimnya kita ucapkan syabas kepadanya. Kalau dia langsung tidak tahu akan hal-hal seperti ini, maka dengan takzimnya juga, kita ucapkan syabas kepada pihak yang merestui perlantikan Brendan Preira sebagai Group Editor NST.Sekurang-kurangnya ahli-ahli UMNO di seluruh negara akan berpeluang memperolehi penjelasan daripada pihak yang merestui perlantikan Brendan Preira.

Mahathir

Oleh itu, ingatlah. NST dan UMNO mempunyai sejarahnya sendiri. Sesiapa yang hendak bermain tinta dalam NST, janganlah main tunjal-tunjal kepala pemimpin UMNO seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, atau pun mana-mana pemimpin UMNO sekalipun. Tun Dr. Mahathir adalah negarawan ulung. Tun Dr. Mahathir adalah antara negarawan yang turut menyumbangkan perjuangannya kepada perkembangan awal NST. Saya tahu akan hakikat ini. Sahabat-sahabat saya, khususnya Alias Rahim, Shafie Nor dan Tengku Mohamad Taib juga tahu akan hal ini. Kami tahu tentang keprihatinan Tun Dr. Mahathir terhadap akhbar ulung yang dimilikki oleh UMNO ini.

Begitulah panjang lebarnya kisah mengenai Brendan Preira. Oleh itu, sesuailah kalau kita merujuk kepada muka surat 79, buku Penguasa, tulisan Niccolo Michiavelli. Di bawah kepala kecil Para Pengampu Harus Disingkirkan, antara lainnya Michiavelli menyatakan perkara berikut:

Seseorang raja hendaklah bijaksana sewaktu memilih para menterinya. Bila raja bertindak bijaksana, para pengampu tidak akan memenuhi istananya. Cara terbaik untuk seseorang raja membebaskan dirinya daripada golongan pengampu adalah dengan memberitahu rakyat jelatanya bahawa dia mengharapkan maklum balas yang sebenar-benarnya.

Seseorang raja yang pintar akan memilih orang-orang bijaksana untuk mengurus pemerintahan negara. Orang-orang ini pula hendaklah berani menyatakan kebenaran kepadanya. Raja yang tidak melaksanakan kebijaksanaan tentu akan dihasut oleh para pengampu atau orang yang selalu berubah pandangan kerana menerima nasihat yang saling bertentangan. Kalau ini berlaku, raja itu sendiri tidak akan dihormati.

Seterusnya, saya juga meminjam tulisan Muhammad Yasin Mazhar dalam buku Organisasi Kerajaan Pimpinan Rasulullah, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1993. Sila rujuk kepada muka surat 242, 243, 244, 245, dan bacalah kisah Penyair dan Pemidato. Oleh kerana kisah ini membabitkan perjuangan Baginda Nabi Mohamad SAW, maka izinkanlah saya menceduk sepenuhnya hal ini untuk renungan bersama, seperti berikut:

Penyair

Kepentingan dan ketinggian tempat para penyair dan pemidato dalam struktur sosial dan politik orang-orang Arab telah diterangkan dengan jelas oleh seorang cendekiawan moden. Mereka diberi jolokan sebagai "penyimpan hasrat hati rakyat".

Oleh kerana orang-orang Arab banyak menggunakan percakapan, mereka terlalu berbangga dengan bahasa. Penyair dan pemidato mereka mendapat penghormatan dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat mereka. Mereka boleh mencipta, mengolah, dan membentuk buah fikiran. Banyak contoh terdapat dalam sastera Arab dan sejarahnya yang menunjukkan bahawa peperangan dan perdamaian sekalipun berada dalam pengaruh `lidah' mereka. Seorang penyair atau pemidato yang boleh menaikkan semangat pendengarnya mampu meniupkan angin peperangan dengan amat mudah.

Walaupun Rasulullah (SAW.) tidak pernah membenarkan syair-syair yang melampau atau keterlaluan, Baginda tidak_lupa menghargai pengaruh dan jasa penyair. Syair hanya boleh digunakan untuk maksud-maksud yang terpuji sahaja.

Saya memetik tulisan di atas untuk membuktikan betapa pentingnya peranan penyair dan pemidato di zaman pemerintahan Rasulullah SAW. Dalam zaman mutakhir, kumpulan penyair dan pemidato ini mungkin dijelmakan semula sebagai kumpulan penulis, wartawan dan editor. Oleh itu, semua pihak perlulah berhati-hati dalam melantik kepimpinan akhbar, khususnya yang dikuasai oleh UMNO. Ini penting supaya peneraju akhbar milik UMNO adalah insan yang berjiwa UMNO. Kepimpinan akhbar milik UMNO mesti hormat kepada pemimpin UMNO. Kepimpinan akhbar milik UMNO mesti tahu sejarah perjuangan UMNO. Kepimpinan akhbar milik UMNO mesti rela berperanan mengukuhkan UMNO dan negara pada hari ini.

UMNO

Kepimpinan akhbar-akhbar terbabit hendaklah insaf bahawa setiap patah perkataan yang mereka tulis di dalam akhbar milik UMNO mestilah mencerminkan aspirasi nasional. Janganlah akhbar-akhbar itu diheret, diseret dan digunakan sebagai wadah perjuangan peribadi seseorang individu tertentu sahaja. Janganlah akhbar itu juga diheret, diseret dan dijadikan wadah publisiti kepada manusia-manusia tertentu sahaja. Insaflah, media milik UMNO adalah milik anggota UMNO di semua peringkat.

Pada waktu yang sama, cuba-cubalah bayangkan kalau kumpulan penyair dan pemidato di zaman Nabi seakan-akan sama fungsinya dengan pemimpin media massa seperti Brendon Preira di NST. Cuba bayangkan apa akan jadi kalau di antara penyair dan pemidato yang sangat dipercayai oleh UMNO adalah seorang insan bernama Brendon Preira. Cuba bayangkan kalau-kalau di belakang Brendon Preira berdiri pula satu individu lain yang lebih berkuasa daripadanya. Ayuh. Bayangkanlah. Bayangkanlah.

Saya tidak mengatakan yang Brendon Preira tidak boleh jadi penyair atau pemidato UMNO. Tetapi, cuba bayangkan, bolehkah S. H. Alattas atau Pak Habib, menjadi penyair dan pemidato kepada MIC? S. H. Alattas menerima pengiktirafan daripada MIC, tak apa juga. Itu pasal UMNO asyik pandang serong kepada beliau. Tapi, tentu haru-biru kalau S. H. Alattas jadi penyair atau pemidato MIC. Takut-takut habis disumpitnya Datuk Seri S. Samy Vellu yang nampaknya sentiasa bermusuhan dengan Datuk S. Subramaniam selama ini!

Oleh itu, saya harap lantiklah kumpulan penyair dan pemidato dengan cermat, penuh hikmah dan bijaksana. Kalau nak lantik kumpulan penyair dan pemidato, pilihlah dengan sebaik-baiknya. Jadi, kalaulah NST itu memang milik UMNO, dosakah kalau anak Melayu atau anak orang UMNO yang jadi Group Editornya? Kalau NST itu memang milik UMNO, jenguk-jenguklah anak-anak buah kita yang kerja di sana.

Moga-moga selepas ini nasib para penyair dan pemidato yang berkhidmat dengan mana-mana akhbar milik UMNO akan dijaga dan dipelihara secara adil dan saksama. Harap-harap UMNO dapat memilih ketua penyair dan pemidato yang pandai menggayakan lagu qasidah, lagu-lagu berzanji aneka irama, dan lagu al-Quran yang betul dan tepat hukum dan tajuaidnya. Dengan kriteria sebegini, mungkin para penulis, wartawan dan editor dapat menggabungkan tenaga bersama-sama kepimpinan UMNO di semua pringkat untuk membanteras segala amalan dajjal secara berkesan di hari muka. – Disiarkan oleh
www.agendadaily.com 30 Mei 2006, Siasah 2 Jun 2006, www.kuda-kepang.blogspot.com 7 Jun 2006 dan Buletin Rakyat 18 Jun 2006.

[Nota akhir: Setelah membaca artikel di atas menerusi agndadaily.com, seorang sahabat menelefon saya. Katanya, dia setuju dengan kata-kata saya di akhir tulisan berkenaan seperti di atas. Iaitu “Saya tidak mengatakan yang Brendon Preira tidak boleh jadi penyair atau pemidato UMNO. Tetapi, cuba bayangkan, bolehkah S. H. Alattas atau Pak Habib, menjadi penyair dan pemidato kepada MIC?” ]

Alex Josey

Sahabat saya bersetuju dengan kata-kata itu. Tetapi, dia meminta saya memberitahu orang-orang UMNO bahawa pada pertengahan tahun 60-an ada seorang pemimpin Malaysia yang dinasihati oleh “seorang penyair bernama Alex Josey yang pernah mengadu-dombakan bangsa Arab di Palestin.” Akibatnya, kata sahabat saya lagi, “rakyat Malaysia pun jadi haru-birulah dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh pemimpin terbabit.”

Sahabat saya yakin Alex Josey adalah penyair yang menelurkan konsep Malaysian Malaysia. Maka, untuk manfaat dan renungan semua pihak, saya turunkan di sini latarbelakang Alex Josey. Secara kebetulannya hakikat ini terkandung dalam satu daripada bab dalam buku Malaysian Malaysia yang sedang saya sediakan penerbitannya ketika ini. Latarbelakang itu adalah seperti berikut:

Menurut Utusan Melayu 14 Julai 1965, Alex Josey adalah seorang wartawan upahan dan bukan warganegara Malaysia. Tetapi, dia mencampuri politik Malaysia. Dia kononnya bekerja untuk kepentingan imperialis Barat dan untuk mencapai cita-cita sesetengah pemimpin yang berhasrat hendak menhancur-leburkan bangsa Melayu, adat istiadat Melayu dan agama Islam.

Imperialis

Alex Josey datang ke negara ini dalam tahun 1952. Sejak itu hinggalah dia diusir dari negara ini, pendiriannya sentiasa berubah-ubah. Dia pernah mengecam orang-orang Cina MCA dan UMNO. Dia juga pernah menentang Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kerana kononnya, bahasa itu bahasa dipunyai oleh bangsa yang mundur.

Alex Josey dikatakan bukan sahaja menjadi agen impearialis Barat di Malaysia. Malah, dia dipercayai telah lama menjadi perkakas imperialis Barat di Palestin hinggalah lahir negara Israel dan Jordan.

Begitulah latarbelakang Alex Josey, seorang penyair di zaman kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Beliau dikatakan telah memperkenal dan melaksanakan konsep Malaysian Malaysia. Adakah latarbelakang ini relevan dalam konteks tulisan saya seperti di atas? Apa pun, sahabat yang menelefon saya yakin, latarbelakang Alex Josey ini masih relevan untuk dijadikan iktibar dan sandaran sejarah dalam perjuangan UMNO mutakhir!

[Saya ulang-siar artikel di atas dalam blog ini sebagai meraikan pemergian Brendon Preira daripada akhbar milik UMNO. Ulang-siar ini juga tanda terima kasih saya dan majoriti orang UMNO kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad yang nampaknya kini mula bertindak membetulkan mana yang pincang, mana yang tempang dan mana yang bertentangan dengan aspirasi UMNO. Kepada Brendon Preira, saya berpesan, terimalah hakikat bahawa UMNO adalah parti yang keramat. Dan, bila anda meninggalkan NST Disember 2006 ini, jangan lagi anda cuba-cuba nak toleh kanan, toleh kiri, atau toleh ke belakang. Jangan buat gitu. Janganlah pergi dengan hati yang rawan. Tiada siapa yang akan rindu-rinduan! – Ruhanie Ahmad]

No comments: