Wednesday, November 29, 2006

Pemilikan Aset:
Najib Mahu Singapura
Bersikap Lebih Terbuka

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kerajaan Singapura bersikap lebih terbuka bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia memiliki aset di republik itu.

Beliau berkata, aliran pelaburan dua hala yang saksama dan seimbang adalah untuk kepentingan bersama serta menguntungkan kedua-dua negara.

Merujuk pelaburan syarikat milik Singapura, Temasek di negara ini beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkata, aliran kemasukan pelaburan dari Singapura ternyata besar.

“Diperhatikan bahawa jumlah dan saiz pemerolehan kepentingan rakyat Singapura, terutama entiti dikawal kerajaan, jauh lebih besar berbanding pemilikan syarikat-syarikat Singapura oleh rakyat Malaysia.

“Dari satu segi, kita memahami pemerolehan yang dikenal pasti adalah sukar untuk syarikat-syarikat Malaysia, mengambil kira struktur ekonomi Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Malaysia dan Singapura: Menyahut Cabaran Baru’ pada Persidangan Serantau London Business School (LBS) di sini hari ini.

Najib berkata, landskap ekonomi global kini menjadi lebih kompetitif dan memerlukan kedua-dua negara untuk bekerjasama.

Dalam hal ini, katanya, dengan perkongsian dan kerjasama yang adil, kedua-dua negara akan kekal bersaing apabila berhadapan dengan kuasa ekonomi yang lebih besar.

“Dengan persaingan yang bertambah, adalah perlu bagi Malaysia dan Singapura untuk melabur bagi masa depan masing-masing,” kata beliau.

Tambah Najib lagi, usaha meningkatkan hubungan politik juga adalah penting, bukan sahaja untuk tujuan diplomasi, malah disebabkan faktor ekonomi.

Justeru jelas beliau, tanpa menghiraukan percanggahan antara dua kerajaan pada masa lalu, kedua-dua negara terus terikat melalui hubungan yang kukuh.

Ini kerana, Malaysia dan Singapura berkongsi sejarah dan kebudayaan melampaui politik.

“Saya fikir pemimpin-pemimpin di Malaysia dan Singapura akan bersetuju bahawa kita mesti bergerak melampaui retorik dan memberi tumpuan kepada asas-asas yang mendasari kepentingan bersama.

“Saya percaya kita harus membangkitkan azam politik untuk bekerjasama di mana kita boleh, dan saling membantu dalam bidang-bidang yang kita tidak boleh.

“Kita tiada pilihan. Logik ekonomi pada hari ini adalah jelas. Kita mesti membina kerjasama untuk memanfaatkan peluang dan kelebihan yang ada di rantau ini.

“Malaysia dan Singapura boleh menjadi pemenang dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar. Tetapi, jika kita memilih untuk kekal tidak berminat, menghadapinya secara bersendirian, maka kita akan ketinggalan dalam persaingan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, syarikat Singapura terutama milik kerajaan seperti Temasek, dialu-alu untuk turut serta dalam pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Katanya, WPI bakal menjana aktiviti ekonomi di wilayah selatan Johor dan sudah tentu akan turut memberi faedah kepada Singapura.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Bacalah kenyataan di atas dengan teliti dan secara berulang kali. Sesudah itu, carilah kesimpulan kepada kata-kata berikut:

Merujuk pelaburan syarikat milik Singapura, Temasek, di negara ini beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkata, aliran kemasukan pelaburan dari Singapura ternyata besar.

“Diperhatikan bahawa jumlah dan saiz pemerolehan kepentingan rakyat Singapura, terutama entiti dikawal kerajaan, jauh lebih besar berbanding pemilikan syarikat-syarikat Singapura oleh rakyat Malaysia.”

Saya pasti kepimpinan Malaysia sentiasa bijaksana dan sentiasa waspada bila berurusan dengan Singapura.

Saya juga harap kerajaan Malaysia akan mengatasi hakikat “bahawa jumlah dan saiz pemerolehan kepentingan rakyat Singapura, terutama entiti dikawal kerajaan, jauh lebih besar berbanding pemilikan syarikat-syarikat Singapura oleh rakyat Malaysia.”

Bagaimanapun, wajarlah hakikat di atas diperjelaskan lagi oleh pucuk kepimpinan negara. Contohnya, nyatakanlah maksud “pemerolehan kepentingan rakyat Singapura, terutama entiti dikawal kerajaan, jauh lebih besar…”

Bagaimanakah ini boleh berlaku? Adakah transaksi yang membabitkan “pemerolehan” seperti di atas dijalankan scara telus? Janganlah sampai dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan! – Ruhanie Ahmad.



No comments: