Friday, November 24, 2006

The Toyol Code
Benarkah Kabinet Dirombak
Ikut Citarasa “Budak Hantu”?
Oleh Ruhanie Ahmad

Perhimpunan Agung Umno (PAU) sudah berlalu. Kini beberapa pihak sibuk meramalkan berlakunya rombakan kabinet tidak lama lagi.

Ramalan sebegini memang munasabah. Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, baru dilantik sebagai senator. Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, pula akan tamat tempohnya sebagai senator Januari 2007.

The Toyol Code yang disiarkan menerusi blog ini baru-baru ini, memang telah meramalkan kemungkinan rombakan kabinet tidak lama lagi.

Menurut ramalan The Toyol Code, 10 orang Menteri penuh dan dua orang Timbalan Menteri dijangka disingkirkan menerusi rombakan berkenaan.

Muka Baru

Mereka dikatakan akan diganti dengan muka-muka baru yang majoritinya berumur di bawah 50 tahun. [sila rujuk kembali The Toyol Code untuk perincian perkara ini.]

Bagaimanapun, berikutan pemaparan lapan siri The Toyol Code dalam blog ini, pihak-pihak tertentu yang dikatakan mempelopori rombakan kabinet berkenaan dipercayai jadi cemas dan dilanda dilemma.

Beberapa orang besar pula dikatakan tertanya-tanya, macam mana blog ini mendapat maklumat yang didedahkan scara bersiri dengan jodol The Toyol Code?

Fitnah?

Untuk mengelakkan sebarang ramalan The Toyol Code jadi polemik umum, ada pula pihak yang dipercayai menyebarkan dakyah, kononnya pendedahan The Toyol Code adalah fitnah.

Saya harap pihak berkenaan jangan mudah melabelkan siri The Toyol Code sebagai fitnah. Sebab pulut, santan biasa, sebab mulut, badan binasa!

Sebagaimana ditegaskan sebelum ini, satu salinan CD mengandungi laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya umum yang dipercayai disediakan oleh “budak hantu” dan “patrick” kini telah pun dibocorkan kepada satu pihak tertentu!

Panik

Hakikat ini dikatakan menyebabkan pihak-pihak terbabit jadi agak panik. Mereka juga dikatakan menyedari keresahan sesetengah kelompok rakyat jelata jika ramalan The Toyol Code jadi kenyataan.

Biar pun begitu, pihak-pihak terbabit dikatakan masih tidak berputus asa. Mereka dikatakan terus berusaha supaya rombakan kabinet yang diura-urakan adalah berasaskan laporan komprehensif yang telah mereka sediakan.

Soalnya, adakah perkembangan seperti di atas benar? Soalnya, tidak mungkinkah rombakan kabinet yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, berasaskan laporan komprehensif yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan?

Doa

Sebagai rakyat jelata, kita insaf bahawa perlantikan Menteri, Timbalan Menteri, dan Setiausaha Parlimen, adalah hak Perdana Menteri untuk menentukannya.

Jadi, sebagai rakyat jelata, kita tidak ada pilihan. Kita juga tidak boleh berbuat apa-apa. Kita hanya boleh tunggu. Kita juga hanya boleh lihat.

Lantas, marilah sama-sama kita doakan semoga Perdana Menteri akan merombak kabinetnya berasaskan laporan dan perakuan agensi-agensi tertentu dalam kerajaan seperti yang telah diamalkan sejak berpuluh-puluh tahun sebelum ini!

5 comments:

Khalid said...

Toyol Code menceritakan majoritinya tentang percubaan pihak-pihak tertentu untuk menguasai kabinet melalui rombakan yang dipercayai akan dilakukan awal tahun 2007.

Soalan saya di sini ialah, kenapa Malaysia ini begitu senang dikuasai orang?
Kenapa begitu senang mempermainkan nasib rakyat?
Kenapa begitu rancak mengumpul harta untuk keluarga dan diri sendiri tanpa memikirkan dosa/syurga/neraka/rakyat?

Meskipun, ada keraguan dalam percaya saya kepada Toyol Code ini, tetapi saya berharap yang ianya tidak akan menjadi.

Negara Malaysia penganutnya ramai yang Islam, dan Islam adalah negara rasmi.

Saya yakin dan berdoa, Allah SWT akan menggagalkan cubaan pihak-pihak yang cuba menguasai negara ini dengan cara dan niat yang tidak baik. Ini kerana mereka(yang merancang Toyol Code) ini akan secara lansung atau tidak lansung akan menyebabkan penduduk Islam dan bukan Islam merana di Malaysia.

Doa orang yang teraniaya makbul dan diterima Allah SWT. Doa adalah senjata orang Islam.

Insyaallah, Allah tak akan membiarkan hamba-hambanya dizalimi. Amin.

Andin Salleh said...

Sama ada ramalan dalam Toyol
Code betul atau tidak, PM sekarang memang wajar merombak kabinetnya, kerana kebanyakan menterinya sekarang adalah lantikan PM yang terdahulu.

Setelah berlakunya "pergeseran" antara beliau dengan Tun Mahathir, dan melihat beberapa orang menteri tidak menunjukkan sokongan dan kesetiaan yang sepatutnya kepada beliau, memang ada kewajarannya beliau menggantikan tokoh itu dengan tokoh lain.

Sama ada tindakan seperti ini betul atau tidak, dan sama ada baik atau tidak untuk kepentingan negara, beliau tentu tidak boleh mengabaikan soal "hidup mati" politik beliau.

Oleh kerana beliau tidak mahu jadi PM satu penggal (maknanya beliau mahu jadi PM dalam jangka masa yang agak lama), beliau tentu perlu memilih orang yang setia dengan beliau untuk "membantu" beliau.

Inilah "lojik politk" walaupun tidak semestinya betul dan baik!

Anonymous said...

wayne,

Sayugia diingat bahawa Malaysia diperintah oleh BN. BN ditunjangi oleh UMNO. UMNO diketuai oleh Presidennya. Presiden UMNO dipilih oleh +(-)2000 ketua bahagian yang hadir di Perhimpunan Agung dan merekalah yang memilih. Presiden UMNO dalam konteks BN dan UMNO akan menjadi PM Malaysia dan berkuasa penuh (pada masa lalu dan sekarang)mengatasi kuasa yang ada pada raja malah Agong. Segala keputusan negara dibuat berdasarkan prerogative PM.

Anonymous said...

- KOMEN DARI BEN EUSOP -

Setelah membaca `huraian' Toyol Code, saya percaya topik yang dibangkitkan memang menarik dan akan menjadi bualan ramai. Apatah lagi dengan `stail olahan' genre penulisan politik yang menarik sebagai bacaan mencambahkan minda.

Tahniah kepada `Si Kuda Kepang' yang masih mampu menari dengan tarian politik sekalipun terpaksa menarik dengan terjengket-jengket.

Jika kita imbas sejarah politik tanah air, memang tidak pernbah terkecuali daripada terjahan-terjahan gosip, surat layang dan spekulasai. Tanpa `unsur-unsur' ini cakap-cakap politik sama ada di warong kopi, restoran dan cafe akan terasa kurang gula dan garamnya.

Malangnya, kita orang Melayu lebih suka bercakap tentang `hal-hal' sebegini. Kita lebih suka membuang masa `bercakap-cakap' politik daripada memikir dan menyelesaikan masalah yang lebih besar seperti rasuah pemimpin politik, salah guna kuasa pemimpin politik, soal nilai dan moral pemimpin politik hingga kepada nasib bangsa Melayu 20 atau 30 tahun akan datang.

Sekalipun bangsa Melayu terus menjadi teras kepimpinan kerajaan sejak merdeka, sekalipun dalam kabinet ramai orang Melayu, sekalipun UMNO masih menjadi parti teras kerajaan pusat dan kerajaan negeri (kecuali Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak), sekalipun Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian diterajui ramai orang Melayu, jawatan-jawatan tertinggi jabatan kerajaan diketuai oleh orang Melayu, Naib-Naib Censelor rata-rata muka Melayu, penguatkuasa-penguatkuasa Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaran terdiri daripada orang Melayu, tetapi dalam beberapa perkara bangsa Melayu masih juga `merempat' di bumi sendiri.

Persoalan ini seharusnya diberikan perhatian utama. Sebabnya, sekalipun orang Melayu menerajui kepimpinan negara selama setengah abad, pemimpin-pemimpin Melayu masih melontarkan kata-kata `perjuangan Melayu belum selesai...."

Persoalan seterusnya, benarkah perjuangan Melayu belum selesai?

Sedangkan, kalau diteliti dan disusuri dari Padang Besar hingga ke Tanjung Puteri, kemudian menyusuri pantai bergigikan pukulan ombak Laut Cina Selatan hingga ke Pengkalan Kubur, pemimpin Melayu lebih banyak menonjolkan stail hidup mewah sebaik saja mendapat kuasa politik. Bukan juga rahsia, selain pemimpin politik isteri, anak-anak dan saudara mara mereka turut mendapat habuannya!

Begitu juga apabila kita bermain ombak dari Kota Bharu membelah gelombang Laut Cina Selatan ke Kuching dan Kota Kinabalu, pemimpin politik Melayu lebih banyak bercakap tentang `tanggungjawab' membela nasib bangsa. Tangan kanan diangkat tanda sumpah setia membela anak-anak bangsa, tetapi tidak mustahil kalau tangan kiri `menyapu' apa saja yang boleh membuatkan mereka kaya raya.

Perjuangan Melayu belum `SELESAI' kini menjadi momokan, sendaan, gurauan dan jenaka. kata sesetengah orang, bukannya perjuangan Melayu belum selesai tapi pemimpin Melayu ada yang BELUM SELESAI mengumpul kekayaan, pemimpin Melayu ada yang BELUM SELESAI mengaup kekayaan negara, pemimpin Melayu ada yang BELUM SELESAI mempusakakan kedudukan kepada anak-anak, menentu-menantu, besan dan biras supaya semua kerja yang `belum selesai' itu dapat diteruskan dan diselesaikan oleh `keturunan' mereka saja.

Siapa yang harus dipersalahkan?

Apakah orang Melayu hanya boleh bersuara menyalahkan pemimpin-pemimpin Melayu atau menyalahkan pemimpin Melayu pada masa lalu?

Dan, kalau kita `rajin' mengimbas sejarah bangsa sendiri, memang kita akan kerap menemui bangsa Melayu dari satu generasi ke satu generasi sering menyalahkan pemimpin, terutamanya pemimpin yang tidak lagi `berkuasa', pemimpin telah hilang `taring kepimpinannya dan pemimpin yang lari meninggalkan `tahta kekuasaannya'.

Inilah warisan yang diwarisi oleh orang Melayu. Lalu, kita harus bertanya kepada diri sendiri, apakah kita suka dengan `warisan' ini? Apakah bangsa Melayu hari ini tidak mampu melakukan sesuatu untuk melenyapkan `warisan' lapuk dan merugikan ini.

Kenapa kita harus bertanya perkara ini kepada diri sendiri? Sebabnya, apabila kita mendapat `laba' daripada orang yang berkuasa, kita dengan setia menutup mulut dan sanggup mengangguk kepala sekalipun kecurangan berlaku di depan mata.

Kita hanya akan berkokok riuh jika tidak mendapat apa yang dicita dan diidamkan daripada pemimpin yang berkuasa. Itulah `diri kita' sebagai bangsa Melayu yang juga terkenal sebagai bangsa yang kental dengan budi pekerti mulia, beradat dan bersopan serta memberi sokongan dengan harapan mendapat laba untuk kepentingan peribadi.

Slogan memperjuangan nasib bangsa, hanya cakap-cakap retorik, cakap-cakap untuk meraih sokongan, cakap-cakap untuk menakut-nakutkan bangsa Melayu supaya terus menyerahkan tampuk kekuasaan kepada `mereka'. Inilah lagu yang terus didendangkan dengan lirik yang diulang-ulang dari satu dekad ke satu dekad. Kalau ada perbezaaan sekalipun, hanya komposer, penulis lirik penyanyinya saja.

Mari kita `turun' ke peringkat cawangan-cawangan parti Melayu terbesar di dunia. Lihat Ketua-Ketua Cawangan, renung pula Ketua-Ketua Wanita, jeling seketika Ketua-Ketua Puteri dan selepas itu lemparkan pandangan kepadaq Ketua-Ketua Pemuda. Semuanya berkobar-kobar mahu memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Kalau bercakap tentang maruah dan kepentingan bangsa Melayu, semangat mereka mengalahkan semangat Hang Jebat.

Tapi, apabila pemimpin peringkat Bahagian menyalahguna kuasa, mengumpul kekayaan dan tidak bermoral, apa yang mereka `buat dan lakukan' sebagai pemimpin peringkat Cawangan atau sebagai AJK Bahagian?

Mereka akan hanya melalak dan menyalak jika jika `diberi laba'. Bila sudah mendapat labah, mereka dengan patuh menzip mulut.

Begitu juga dengan sikap pemimpin peringkat Bahagian yang `takut dan gementar' untuk menegur pemimpin peringkat negeri. Mereka menzip mulut kerana bimbang `hilang jawatan dan kuasa', tidak berpeluang mengumpul kekayaan dan takut dicop tidak `setia kepada pemimpin di atas'.

Inikah pemimpin yang sering berkata untuk memperjuangan nasib orang Melayu? Sebab itu juga setiap kali ada perhimpunan yang membabitkan orang Melayu, akan menjadi pentas untuk menunjukkan sokongan kepada pemimpin tertentu dengan harapan mendapat `laba'.

Semakin tinggi `gred kedudukan' seseorang `pemimpin', semakin menggunung laba yang diharapkan.

Itulah wajah pemimpin-pemimpin Melayu. Mereka tidak segan silu mengumpul kekayaan ketika berkuasa. Hingga ada yang tidak `tahu malu' terus mendabek dada kononnya memperjuangkan nasib bangsa Melayu sekalipun ` kerakusan mengumpul `kekayaaan' telah didedah dan terdedah.

* Harap dapat `bertemu' lagi di blog ini pada masa depan.......TAHNIAH BUAT KUDA KEPANG dan `pelayar-pelayar' blog ini.

Anonymous said...

Sejak membaca The Toyol Code, sentimen anti Singapura membuak-buak dlm kotak pemikiran saya. Benarkah theori wujud atau sekadar konspirasi untuk menjatuhkan pemimpin muda melayu yang berkaliber.

Benarkah temasek menjadi dalang terhadap perancangan ini atau sekadar gimik politik dari kumpulan menteri yang sudah memegang lebih dari tiga penggal untuk terus bertahta. Sungguh pening memikirkan 'The Toyol Code'

Kalau ianya benar, maka ia sangat merbahaya sekali. Kalau ianya rekaan semata-mata bagi menggagalkam pemimpin muda untuk naik, ia amat dikesali.

Memang betul kata Dato' Ruhanie, kita cuma perlu tunggu dan lihat. Jika ianya benar, tentulah 10 menteri dan 2 timb menteri yang dimaksudkan tidak senang duduk. Biarlah mereka mencaturkan kedudukan mereka sendiri.

Seandainya ia sekadar fitnah, untuk menjatuhkan golongan pemimpin yang mahu membawa perubahan didalam arus politik negara, bagaimana ??? Seribu satu kemungkinan boleh berlaku di dalam pentas politik.

Pening kepala memikirkan akan kebenaran 'The Toyol Code' dan implikasinya jika ianya fitnah.