Sunday, November 19, 2006

Lanjutan Isu Kenyataan
Datuk Mukhriz Mahathir:

Pemuda Umno Tunggu Penjelasan
Mukhriz Sebelum Ambil Tindakan

MARAN, 18 Nov (Bernama) -- Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia belum memutuskan tindakan ke atas Datuk Mukhriz Mahathir sehinggalah beliau tampil memberi penjelasan mengenai kenyataannya terhadap ucapan dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung parti itu baru-baru ini.

Ketua pergerakan itu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau masih menunggu sekiranya Mukhriz mahu memberikan penjelasan mengenai kenyataannya Khamis lepas menyifatkan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu sebagai idea lama.

"Macam mana saya nak ambil tindakan kerana saya tidak mendengar penjelasan dia lagi. Kita tunggulah (penjelasan Mukhriz)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Megaraya di sini hari ini.

Hishammuddin berkata beliau telah memberi masa kepada Mukhriz, anggota exco pergerakan itu, untuk menjelaskan apa saja yang terbuku di hati.

"Saya juga cuba beri kelonggaran bahawa kedudukan dia sebagai anak (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir tetapi isu itu menyentuh soal prinsip dan pendirian Pemuda, jadi saya tidak boleh berkompromi dalam isu ini," katanya.

Hishammuddin juga menyifatkan isu Mukhriz itu sebagai isu prinsip yang boleh menjejas semangat setiakawan dan perjuangan dalam pergerakan Pemuda.

Beliau berharap isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin kerana bimbang ia akan menjejas perjuangan pergerakan itu.

"Saya anggap isu itu kecil dan saya serahkan pada Mukhriz untuk menanganinya," katanya.

Beliau berkata tindakan yang akan diambil itu sebenarnya banyak bergantung kepada tindak tanduk Mukhriz selepas ini.

"Kalau niat dia baik untuk Pemuda, pastikan semangat setiakawan kita tidak terjejas dalam exco. Maka beliau mesti lakukan sesuatu dalam masa terdekat ini kerana isu itu tidak sepatutnya berlaku."

"Seorang pemimpin mesti bertanggungjawab apa yang diluahkannya kerana orang akan menilai pemimpin itu pada tindak tanduk dia selepas ini," katanya.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=230970


Lanjutan Isu Kenyataan
Datuk Mukhriz Mahathir:

Mukhriz Tidak Rasional
Kata Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Datuk Mukhriz Mahathir disifatkan sebagai tidak rasional dan enggan berpijak di bumi nyata apabila mengeluarkan kenyataan yang dianggap memperlekehkan ucapan dasar presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa perasmian Perhimpunan Agung Umno 2006 Rabu lepas.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata Mukhriz yang juga anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menerima hakikat bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mendapat sokongan anggota Umno kini adalah Perdana Menteri dan Presiden Umno.

"Beliau tidak berpijak di bumi nyata, hakikat harus diterima bahawa pemimpin datang dan pergi. Pemimpin yang lama dihormati, pemimpin yang baru disayangi, itu patut ada pada kita," katanya kepada pemberita selepas menutup Multaqa Pegawai-pegawi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Semalaysia 2006 di sini, Sabtu.

Sambil menyatakan rasa kesalnya, Ahmad Zahid berkata Mukhriz yang menjadi Exco Pemuda Umno dengan undi tertinggi turut menjejaskan imej sayap parti itu apabila seolah-olah menunjukkan bahawa pemimpin Pemuda tidak memperlihatkan sikap `kejemaahan', sedangkan sebelum itu mereka memutuskan menerima pakai dan menyokong ucapan Presiden parti.

Berhubung keengganan kepimpinan Pemuda bertindak terhadap Mukhriz, beliau berkata Mukhriz bernasib baik kerana jika presiden parti bukan Abdullah atau masih dipegang pemimpin yang lepas, beliau mungkin sudah dipecat atau dikenakan tindakan disiplin.

Mukhriz dalam komennya yang tersiar dalam sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris semalam antara lain berkata ucapan dasar presiden itu tidak mengemukakan idea baru.

Berikutan itu, Ketua Pemuda Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata pergerakan itu tidak bertanggungjawab terhadap kenyataan Mukhriz itu kerana ia merupakan pendirian dan sentimen peribadinya.

Ahmad Zahid yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno turut meminta Mukhriz supaya tidak mengambil kesempatan terhadap sifat lembut yang diperlihatkan Abdullah dengan "menikam dan memberikan komen yang negatif dari belakang".

"Mukhriz menyatakan bahawa ucapan itu tak ada sesuatu yang baru sebab dia ada prasangka buruk dalam jiwanya dan prasangka itu ditukar menjadi kebencian. Bila kebencian mengatasi rasional maka minda dan hatinya tertutup," katanya.

Mengenai Multaqa hari ini, Ahmad Zahid berkata ia bertujuan mendapatkan maklum balas daripada para pemerhati dan perwakilan di luar dewan persidangan semasa Perhimpunan Agung Umno berlangsung.

Beliau berkata segala isu, sama ada positif atau negatif yang diperolehi akan dikumpul dan dijadikan laporan yang akan diberikan kepada pihak kepimpinan parti.

"Ada maklum balas positif dan negatif yang sudah diberikan mereka kepada kepimpinan peringkat tertinggi. Mereka sedang mendapatkan pandangan tentang keadaan sebenar semasa perbahasan, dan juga di luar perbahasan," katanya.

Beliau berkata pada keseluruhannya laporan yang diperolehi adalah memuaskan termasuk mengenai ucapan dasar Perdana Menteri yang mengandungi fakta-fakta yang cukup konkrit.

"Saya dapati laporan-laporan yang diberikan kepada saya dan catatan yang saya perolehi, setiap para ucapan Pak Lah itu ada maklumat-maklumat yang cukup penting dan ucapan Pak Lah tidak retorik.

"Cuma dari segi penyampaian, persembahan Pak Lah tak boleh diubah sebab itu cara dia. Pemimpin yang lain mempunyai stail yang lain. Jadi kita tidak boleh hanya melihat persembahan tetapi harus melihat kepada isi," katanya.

Ahmad Zahid berkata sebagai contoh apabila ucapan itu dibukukan dan diedarkan kepada orang ramai terutama para pemerhati, mereka mengatakan bahawa ucapan itu adalah lebih jelas dan difahami apabila di baca.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=230933

3 comments:

Anonymous said...

apakah benar tuan Presiden mendapat sokongan majoriti ahli UMNO seluruh negara?
betulkah apa yang mere ucapkan itu?

Anonymous said...

Beginilah nasib Mukhriz teman gelak senang dicari tetapi bila kena hantam semua lari....bacoiii.Inilah melayu zaman Pak Lah dimana penyokong ini lah yang akan menjatuhkan beliu suatu hari nanti apabila bersara kelak.Kami bukan lah bodoh yang hitam tetap hitam takkanlah hendak kata putih.Kecualilah kami kaki ampu dan bodek.Ingatlah Mukhriz anda tidak keseorangan dalam hal ini anda berani kerana benar dan kami disini pun berani kerana benar...Dulu Mahathir, sekarang Pak Lah, dulu kami hadir sekarang kami belah....

Anonymous said...

Datuk,
Cuba renungkan ayat saya ini jika baik siarkan jika tidak senyum ejalah...


Apakah sokong itu semuanya membawa kebaikan walaupun hakikatnya merosakkan dan membangkang itu semuanya keburukan walaupun membawa kebaikan.

Apa yang Mukhriz cakap itu benar, kami yang menonton kat tv itu benar,adalah bohong jika kami katakan pada diri kami bahawa persidangan kali ini berhasil,hanya tukang ampu sahaja yang berkata berhasil sedangkan dihati mereka MENGANTUKLAH UCAPAN PAK LAH KALI INI.
Beginilah ala zaman P.lah yang dipuja-puja