Betulkah Kuda Kepang
Kuda Celah Kangkang?
Kini sudah sampai masanya saya jelaskan kenapakah blog ini menggunakan nickname Kuda Kepang. Saya tanyakan hal ini kerana kebelakangan ini ada pelayar blog ini yang kelihatannya seolah-olah mula mempersenda dan menghina Kuda Kepang.
Pelayar blog yang saya maksudkan adalah pelayar yang menggunakan nama Malaysia. Saya yakin Saudara Malaysia yang kebelakangan ini saban hari berpolemik di blog ini, pasti tak tau akan semangat serta falsafah kuda kepang. Dia hanya tau mengatakan, kuda kepang adalah kuda di celah kangkang orang Jawa.
Kuda kepang adalah satu permainan tradisi masyarakat Jawa. Kalau di Johor, ianya cukup terkenal di Muar, Batu Pahat dan Pontian.
Falsafah
Permainan ini membabitkan prinsip dan falsafah kepimpinan dan semangat keseragaman dan kepasukanan. Permainan ini membabitkan prinsip keharmonian dan kesepakatan. Permainan ini membabitkan sikap keberanian, ketegasan dan kesetiaan. Permainan ini membabitkan soal kebenaran dan kemungkaran. Permainan ini memberikan ruang untuk berbeza langkah bila berada dalam gelanggang perjuangan.
Falsafah dan prinsip di sebalik permainan kuda kepang ini berat. Kesemuanya tak mungkin diketemui secara tersurat dalam mana-mana buku. Saya tau hakikat ini kerana saya telah menjiwai semangat dan falsafah kuda kepang sejak saya berumur tujuh tahun!
Sebab itulah saya minta Saudara Malaysia jangan cuba nak persenda-sendakan kuda kepang sebagai kuda di celah kangkang. Jangan perlekehkan kuda kepang. Jangan perlucahkan kuda kepang.
Saudara Malaysia tau tak, permainan kuda kepang ada ketuanya yang menggerakkan langkah tarian penunggang-penunggang kudanya hanya dengan menggunakan tali pecut, tali cemati, ataupun whip.
Seirama
Sedarkah Saudara Malaysia, bahawa seluruh penunggang kuda kepang akan patuh pada arahan ketuanya menerusi pacuan tali pecut itu? Tahukah Saudara Malaysia, muzik kuda kepang lazimnya sehaluan, seirama dan senada?
Insafkah Saudara Malaysia, bila ada pemuzik kuda kepang yang enggan memainkan muzik secara senada dan seirama, maka mana-mana penunggang kuda kepang yang sedang menarikan sesuatu rentak perjuangan boleh menendang dan menerajang pemuzik berkenaan?
Sedarkah Saudara Malaysia bahawa kalau ketua kuda kepang pada ketika itu memihak kepada pemuzik yang sumbang, maka ketua itu juga akan ditendang dan diterajang oleh penunggang kuda yang sedang menarikan sesuatu rentak peperangan?
Terajang
Dan, sedarkan Saudara Malaysia, bahawa kalau bomoh kuda kepang yang mengawal kesejahteraan persembahan kuda kepang juga memihak kepada kesumbangan irama muzik, maka bomoh itu juga boleh disepak, ditendang dan diterajang oleh penunggang kuda yang sedang menarikan rentak peperangan?
Saya pasti Saudara Malaysia tak tau akan hal-hal seperti ini. Maklumlah kononnya Saudara Malaysia seorang sahajalah yang berfikiran bukan ala tradisi Melayu, out of the box, dan non-conventional!
Syabas kalau begitu. Tapi, sebelum Saudara Malaysia boleh terus mempersenda dan menghukum seorang Melayu lain (termasuk Kluangman) sebagai pengamal piawaian Melayu (dengan nada yang agak menghina), kenalilah dulu falsafah dan prinsip di sebalik sesuatu seni dan kebudayaan Melayu (Jawa pun Melayu).
Ini kerana kuda kepang adalah mengenai perjuangan. Kuda kepang adalah mengenai permuafakatan. Kuda kepang adalah mengenai sesuatu bangsa dan warisan tamadunnya.
Oleh itu, saya harap Saudara Malaysia lanjutkanlah proses perguruan saudara. Bila Saudara sudah khatam, silakanlah berpolemik semula di blog ini. Ajaklah Kluangman, Herat, Dr. Muzi, dan lain-lain gentlemen surfers untuk mendebatkan sesuatu topik di blog ini demi agama, bangsa dan negara tercinta.
Akhir kata, izinkan saya katakan kepada Saudara Malaysia sekali lagi, blog ini mengalu-alukan kedatangan Saudara untuk berpolemik pada setiap hari . Tapi, berpolemiklah secara sihat dan budiman.
Ingat Saudara Malaysia. Dalam dunia kewartawanan adalah beberapa pegangan tertentu. Contohnya, if you are in doubt, leave it out. If you are not sure about it, skip it. If you want to show off, please lay off!
Sekian. Terima kasih dan salam takzim daripada saya yang kerdil. – Ruhanie Ahmad.
2 comments:
Atas semangat Kuda Kepang diharapkan Datuk dapat menendang PM Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tempang iramanya.
Post a Comment