Friday, November 03, 2006


3HB NOVEMBER 2003
DALAM SEJARAH NEGARA
MAHATHIR-ABDULLAH
BERDAMAILAH…
(3)
MENYANJUNG TINGGI
BUDI, JASA DAN BAKTI

UCAPAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DATUK SERI ABDULLAH AHMAD
SEWAKTU MEMBENTANG USUL
PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH
KEPADA YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
AHLI PARLIMEN BAGI KUBANG PASU
DI DEWAN RAKYAT, PARLIMEN MALAYSIA
PADA JAM 11.00 PAGI, 3HB NOVEMBER 2003


Tuan Yang di-Pertua. Izinkan saya bangun membawa usul khas di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 27(3), dalam persidangan Dewan kali ini yang berbunyi:

Bahawa Dewan ini, menerima hakikat bahawa Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, yang menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat sejak 16 Julai 1981 dan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, tegas, cekap, berkesan, cemerlang dan bijaksana, telah pun mengosongkan persada kepimpinan negara;

Menghargai serta menyanjung tinggi perjuangan, pengorbanan, budi, jasa dan bakti bekas Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang amat murni, abadi serta tidak ternilai besarnya, menerusi pelbagai dasar, strategi dan program yang pragmatik, demi perpaduan dan ketahanan nasional, keselamatan dan kesejahteraan bangsa serta kemakmuran dan kegemilangan negara;

Menyedari serta menginsafi konsistensi, kesungguhan dan keprihatinan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan umat Islam di seluruh jagat, khususnya di negara Malaysia yang majmuk, menerusi penguasaan dan kecemerlangan ilmu di semua bidang kehidupan mutakhir,

Menghayati serta menyokong penuh kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam menangani krisis ekonomi negara akibat kedurjanaan pengganas kewangan antarabangsa menerusi strategi ekonomi, kewangan dan pengurusan yang unik, efektif dan diiktiraf dunia;

Mengiktiraf bahawa Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu iaitu bekas Perdana Menteri adalah satu doktrin perdana bagi perjuangan membina negara Malaysia yang terus berdaulat dan merdeka serta lebih bersatu padu, sejahtera, aman, makmur, maju, cemerlang, bermaruah dan berwibawa di era globalisasi dan neo-kolonialisme;

Mengakui bahawa perjuangan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu memajukan ICT menerusi penubuhan Koridor Raya Multimedia serta memajukan bioteknologi menerusi kewujudan Lembah Bio akan memberi manfaat besar kepada bangsa dan negara Malaysia di hari muka;

Mengagumi kewibawaan, kebijaksanaan serta keberanian Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang telah memperkasa martabat bangsa dan negara Malaysia serta umat manusia di negara-negara membangun secara amnya, di arena antarabangsa, menerusi inisiatif multilateral sewilayah, di antara benua dan di seluruh jagat, serta menerusi pandangan, gagasan serta pemikirannya yang universal di bidang kemanusiaan, kesaksamaan, kesamarataan, perdagangan sains, teknologi, siasah dan keluhuran undang-undang antarabangsa, khususnya di peringkat ASEAN, APEC, NAM, OIC dan PBB;

Maka, Dewan Rakyat yang bersidang pada hari ini, 3 November 2003, bersamaan 8 Ramadhan 1424H, mengambil ketetapan untuk;

Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih dari seluruh rakyat jelata Malaysia kepada Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu;

Berikrar akan terus berjuang mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan kesejahteraan tanah air menerusi seluruh dasar, strategi dan program yang telah diperkenalkan serta diperjuangkan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu;

Dan terus berusaha ke arah mencemerlangkan rakyat Malaysia di hari muka berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Rukun Negara dan juga matlamat utama Wawasan 2020.

Mahathir

Tuan Yang di-Pertua, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah mengabadikan diri untuk negara bangsa Malaysia selama tempoh 22 tahun 3 bulan 15 hari sebagai Perdana Menteri bermula pada 16 Julai 1981 sehinggalah pada tarikh beliau bersara pada 31 Oktober lalu.

Sesungguhnya khidmat beliau kepada negara bangsa bermula lebih awal dari itu. Suara bernas lagi tegas beliau mula bergema di Dewan ini sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Kota Setar Selatan dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 25 April 1964.

Perkhidmatan beliau sebagai Ahli Parlimen terputus seketika apabila beliau tewas dalam pilihan raya umum pada Mei 1969. Pada 12 Februari 1973 beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Dalam pilihan raya pada 24 Ogos, 1974 beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Kubang Pasu. Beliau lalu dilantik oleh Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Menteri Pelajaran.

Apabila Tun Abdul Razak kembali ke rahmatullah, beliau di lantik oleh Allahyarham Dato’ Hussein Onn sebagai Timbalan Perdana Menteri. Di bawah kepimpinan Dato’ Hussein Onn beliau pernah menjawat jawatan Menteri Perdagangan dan Industri.

Dalam tempoh waktu menjawat jawatan Perdana Menteri beliau turut menjadi Menteri kepada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Ditolak 42 bulan beliau terputus menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan ini, Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu adalah orang kedua yang paling lama selepas Ahli Parlimen bagi Batu Berendam berkhidmat sebagai Ahli Parlimen…. [Tepuk]

Dalam tempoh hampir 36 tahun menjadi Ahli Parlimen, selama 29 tahun beliau menjadi anggota Jemaah Menteri dan selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

Sewaktu menjadi Ahli Parlimen biasa di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara, beliau telah menyuarakan pendapat secara berani, secara kritis, secara terbuka, secara berterus terang.

Wawasan

Beliau memiliki identiti sebagai Ahli Parlimen yang menyuarakan pandangan bernas dan berpendirian tegas. Beliau sentiasa membawa nada pembaharuan sering kali mendahului jauh ke hadapan dari segi pandangan, pendirian unjuran dan wawasan.

Ketika mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke 24. Ketika beliau mengundurkan diri dari jawatan tersebut, Malaysia telah menyambut hari ulang tahun kemerdekaan kali yang ke 46.

Beliau mewarisi dari kepimpinan terdahulu sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan makmur dari segi ekonomi, bertapakkan gagasan sebuah negara yang aman lagi makmur, beliau telah melonjakkan pencapaian negara kepada satu tahap kejayaan yang amat membanggakan.

Contoh

Pembangunan prasarana fizikal dan pembangunan sumber manusia negara berlaku paling pesat dalam tempoh beliau menjadi Perdana Menteri yang lebih penting adalah kejayaan meletakkan negara mendapat pengiktirafan dunia hingga Malaysia dijadikan negara contoh dari segi kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, perpaduan kaum dan toleransi agama serta di iktiraf sebagai sebuah negara Islam yang paling progresif.

Melalui kepimpinan beliau, negara kecil bernama Malaysia bangun untuk memainkan peranan besar di forum antarabangsa, Kerjasama Selatan-selatan diberikan nafas baru, ASEAN berjaya diperbesarkan, Persidangan Negara-negara Komanwel, Negara G15, Persidangan Negara-negara Berkecuali dan Persidangan Negara OIC dapat dianjurkan di Malaysia.

Hari ini Malaysia menjelma sebagai negara ke lapanbelas terbesar dunia dari segi perdagangan. Malaysia telah menggariskan wawasan jangka panjang menjadi sebuah negara maju dalam tahun 2020. Malaysia berkeupayaan menangkis ancaman krisis kewangan 1997.

Beliau berjaya membina dan menyemaikan keyakinan diri, kebanggaan nasional, nilai, maruah dan semangat kenegaraan, di kalangan warga. Beliau adalah wira bangsa, wira Negara, yang telah mengharumkan nama negara, bangsanya di serata dunia.

Bekas Perdana Menteri pemimpin berwawasan. Lebih penting dari itu, beliau mempunyai kesungguhan memastikan wawasan menjadi realiti.

Menghargai

Beliau merupakan negarawan yang memenuhi aspirasi warganya dan memberikan inspirasi kepada mereka untuk mencapai aspirasi yang diimpikan. Seorang negarawan yang mendahului pemikiran warga sezaman, namun berjaya mencipta masa depan yang penuh realiti. Beliau melakukan transformasi kepada negara dari begitu bergantung kepada sumber pertanian menjadi sebuah negara perindustrian dan maju di kalangan negara membangun.

Bahawa warga dan negara amat menghargai jasa dan khidmat bakti yang telah beliau laksanakan secara amanah, secara bertanggungjawab hingga memungkinkan warga dan bangsa berada di persada kehebatan bertapak di altar kecemerlangan muncul sebagai sebuah negara yang dihormati lagi disegani.

Dewan ini, Tuan Yang di-Pertua, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa dan segala bakti, segala cetusan pemikiran, segala kebernasan pendapat, segala pengorbanan, segala khidmat, segala kesungguhan, segala kegigihan yang telah beliau buktikan.

Keluarga

Sesungguhnya Dewan ini juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Asmah binti Mohd Ali dan seluruh anggota keluarga beliau yang turut sama melakukan pengorbanan besar untuk membolehkan beliau menumpukan tenaga, pemikiran dan masa mengabadikan diri berkhidmat bukan sekadar untuk negara dan warga Malaysia, malah di rantau ini di kalangan negara-negara membangun, di kalangan negara-negara Islam.

Kita mendoakan semoga hari-hari persaraan beliau dilimpahkan segala rahmat dan keberkatan. Semoga beliau berada dalam keadaan sihat lagi sejahtera, semoga beliau dan Tun Dr. Siti Asmah serta keluarga dilimpahkan segala kebahagiaan.

Warisan

Semoga khidmat bakti beliau diterima oleh Allah S.W.T sebagai amal maa’ruf, dianugerahkan ganjaran di dunia dan ganjaran akhirat. Sebesar-besar hadiah persaraan yang dapat warga Malaysia berikan kepada beliau adalah untuk meneruskan wawasan dan impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju, makmur, aman dan stabil.

Saya amat bersyukur bahawa bekas Perdana Menteri telah mewariskan satu kejayaan, kejayaan mengekalkan kestabilan politik, kejayaan mengukuhkan perpaduan warga, kejayaan membangunkan ekonomi negara, kejayaan mengisi erti kemerdekaan, atas tapak kejayaan tersebut dengan bimbingan Ilahi dan mengambil pedoman dari kejayaan yang telah dicipta oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Dengan kerjasama anggota Jemaah Menteri dan dengan sokongan dari setiap lapisan rakyat saya akan berusaha menumpukan fikiran dan tenaga meneruskan usaha membina kejayaan lebih cemerlang, lebih gemilang dan lebih terbilang.

Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud:

“Jikalau Allah inginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera maka Tuhan memberikan bangsa itu pemimpin yang baik.”

Kita bersyukur kerana Allah S.W.T telah mengurniakan negara Malaysia dengan barisan kepimpinan yang baik.

Keempat-empat Perdana Menteri terawal Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera - Al-Marhum, Tun Abdul Razak Hussein - Al-Marhum, Tun Hussein Onn - Al-Marhum dan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah mewariskan kepada kepimpinan terkemudian sebuah negara yang aman, stabil dan makmur.

Pemimpin terkemudian berupaya membina kejayaan lebih cemerlang atas kejayaan yang telah dicipta oleh pemimpin sebelumnya.

Setiap Perdana Menteri telah mencipta kejayaan dalam era kepimpinan masing-masing. Dewan ini wajar memperingati jasa dan bakti setiap Perdana Menteri, mewariskan kepada warga sebuah negara yang stabil lagi makmur.

Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas mereka yang telah pergi mendahului kita kembali ke Rahmatullah. Pada petang Jumaat 31 Oktober 2003, bersama 5 Ramadhan 1424 Hijrah, dengan ketentuan Allah S.W.T. saya telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima... [Tepuk]

Penentuan tersebut memperkukuhkan betapa kebesaran kuasa Ilahi bahawa manusia sekadar merancang, Allah juga yang menentukan. Ketahuilah Allah S.W.T. adalah berkuasa dan mentakdirkan segala-galanya dalam ayat Al-Quran 68, Surah Al-Qasas, ada sepotong ayat yang maksudnya: “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancang berlakunya, dan dialah juga yang memilih sesuatu dari makhluknya untuk sesuatu tugas ataupun keutamaan dan kemuliaannya. Tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih selain dari Allah, maha suci Allah dan maha tinggilah keadaannya dari apa yang mereka sekutukan dengannya.”

[Saya siarkan semula ucapan di atas, yang saya petik daripada Laporan Rasmi Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, untuk membantu kita semua mengingati kembali apa yang telah dinyatakan oleh Datuk Datuk Seri Abdullah Ahmad, mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad, genap tiga tahun yang lalu. Kata-kata di atas adalah ikhlas dan jujur. Moga-moga ini membantu kedua-dua pemimpin berkenaan mencari kata damai demi agama, bangsa dan negara. - Ruhanie Ahmad.]


No comments: