Wednesday, July 30, 2008

HOOD LANGGAR ARISS DI PARIT SULONG?

Dua hari lalu saya menerima satu panggilan telefon pada lewat malam. Pemanggilnya adalah seorang aktivis UMNO dalam Bahagian Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Beliau meminta saya bersedia untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan. Katanya, Datuk Ariss Samsuddin (ADUN Semerah) telah menarik diri daripada usaha mengekalkan jawatan yang disandangnya sejak beberapa tahun lalu.

Esoknya, seorang wartawan bebas daripada bahagian tersebut pula menelefon saya mengenai kisah yang sama seperti di atas. Beliau juga mencadangkan saya bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong.

Saya belum buat keputusan mengenai cadangan di atas kerana saya rasa amat berat hati untuk aktif semula dalam UMNO pada senario hari ini. Bagaimanapun, ura-ura saya bertanding sudah mula tersebar luas di Parit Sulong.

Dengan tidak semena-mena, mulai semalam, saya pun mula dihujani oleh SMS daripada beberapa pihak yang tidak memperkenalkan dirinya. Keseluruhan mesej itu amat negatif isi kandungannya. Kesemuanya bernada mengugut. Saya pasti motif utama mesej itu adalah untuk melemahkan semangat saya daripada menyahut cabaran pihak-pihak yang mendorong saya kembali aktif dalam politik di Parit Sulong. Bagaimanapun, saya tidak ambil peduli akan mesej-mesej berkenaan. Saya tahu siapakah sebenarnya di sebalik pengirim mesej tersebut. Kategori individu seperti inilah yang kini sedang menawarkan diri untuk memimpin UMNO Bahagian Parit Sulong dengan menggunakan taktik samseng dan kotor.

Taktik Negatif

Bagaimanapun, saya percaya Ariss lebih arif mengenai taktik-taktik negatif yang kini sedang dihalakan oleh sesetengah pihak di Parit Sulong kepada dirinya sendiri. Saya dapat tahu, Ariss juga sudah membuat satu laporan polis mengenai salah satu ugutan yang beliau terima baru-baru ini.

Berita terbaru mengenai Ariss yang menarik diri daripada pertandingan parti kali ini adalah seperti berikut:

ARISS TIDAK PERTAHAN JAWATAN

BATU PAHAT 29 Julai - Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Ariss Samsudin tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan Oktober ini.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah.

Menurutnya, beliau telah menghantar surat memaklumkan hasrat itu kepada Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Ahmad Zahri Jamil.

Ariss pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut selama 12 tahun serta menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO selama enam tahun bermula 1990.

Utusan Malaysia difahamkan, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Syed Hood Syed Edros diuar-uarkan akan bertanding merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong yang dikosongkan Ariss pada pemilihan kali ini.

Tabur Wang

Berita di atas sungguh memeranjatkan. Soalnya, mengapa Ariss menarik diri? Adakah kerana Ariss tidak larat untuk berhadapan dengan pihak yang mencabar beliau? Mungkinkah tiga kisah di bawah ini adalah antara penyebab beliau tidak mempertahankan jawatannya?

Kisah pertama kiriman Ahli Insaf daripada UMNO Bahagian Parit Sulong, Johor: Ada seorang calon bagi satu jawatan dalam Bahagian Parit Sulong dikatakan menabur wang berpuluh-puluh ribu ringgit banyaknya. Ada sesetengah pihak dalam bahagian itu telah melaporkan kes ini kepada Biro Pencegah Rasuah (BPR) di Batu Pahat. 2.00 PM, 29.7.8

Kisah kedua kiriman blogger Azam: Ini maklumat saya terima pasal Syed Hood, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong. Ramai ketua cawangan golongan veteran dalam bahagian ini mengadu, Syed Hood tabur duit untuk dapatkan pencalonan. Dia nak tanding Timbalan Ketua Bahagian. Dia langgar Datuk Ariss. Dengar ceritanya, Datuk Ariss kecut perut sampai tarik diri tak bertanding apa-apa jawatan. Kalau boleh, sapa-sapa siasatlah tindak-tanduk politik Syed Hood ni. Lagaknya macam tak betul aje. Sapa-sapa yang ada niat nak tanding Timbalan Ketua, balaci Hood serang orang-orang ni dengan mesej SMS yang macam-macam. Orang macam ni pun nak jadi pemimpin UMNO? - 12:17 AM, 30.7.8

Kisah ketiga kiriman Cekodok Masin: Sebagai seorang yang pernah mengundi Datuk baik dalam Bahagian atau pilihan raya Parit Sulong, saya ingin (dapatkan) komen Datuk tentang senario yang berlaku di bahagian Datuk sendiri (UMNO Bahagian Parit Sulong). Perkara ini telah menjadi bualan dan rungutan semua lapisan ahli. Syed Hood menggunakan seluruh balacinya untuk menyerang cawangan-cawangan bagi mendapatkan pencalonan, mengedarkan risalah berupa panduan bagaimana untuk mendapatkan pencalonan bagi Syed Hood, memastikan pencalonan ditutup sebaik sahaja nama Syed Hood dicadang dan disokong, "memandikan" penyokong-penyokong Datuk Ariss dan anak didiknya, Ismail Roslan, mengertak Ketua Bahagian melalui "G8"nya agar jangan campur tangan dalam urusan pemilihan Timbalan (Ketua) dan menabur bantuan (rasuah?) kepada cawangan-cawangan dalam bentuk projek dan sumbangan. Ini perlu disiasat habis-habisan. - 8:51 AM, 30.7.8

Saya tidak mahu komen mengenai ketiga-tiga maklumat di atas. Bagaimanapun, dengan secara rasminya saya umumkan menerusi blog ini, bahawa saya tidak berhasrat untuk bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan UMNO peringkat Bahagian Parit Sulong kali ini.

Cikgu Sudin Atau Haji Yusof

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada para sahabat yang telah mendorong saya supaya kembali aktif dalam siasah, khususnya Saudara Basrah Ali, Haji Manan Zakaria, Haji Ali Kornain dan Saudara Kamisan. Saya juga memohon jutaan ampun kepada mereka dan seluruh sahabat-sahabat lain kerana saya enggan memenuhi hasrat mereka.

Saya yakin ramai lagi individu di Parit Sulong yang layak diberi peluang bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Kita ada Tuan Haji Sudin Ahmad yang kini Naib Ketua dan pernah jadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian. Kita ada Cikgu Rahim Kamisan, pesara guru yang berpelajaran tinggi. Kita ada Haji Yusof Salleh, anak Panglima Salleh yang banyak menabur jasa bakti kepada masyarakat tempatan di era kebangkitan UMNO dalam tahun 1946.

Fikir-fikirkanlah pandangan saya ini. Saya tahu masih ada 92 daripada 139 cawangan dalam Bahagian Parit Sulong yang belum menjalankan persidangan cawangannya. Gunakanlah sepenuhnya peluang ini untuk memberikan demokrasi yang sihat di Parit Sulong.

Kepada pihak yang bertubi-tubi menyerang Ariss, insaflah taktik samseng tidak mempunyai tempat dalam budaya perjuangan UMNO yang tulen lagi abadi, khususnya di Parit Sulong.

Kepada seluruh warga UMNO Parit Sulong pula, insaflah bahawa soal kepimpinan adalah penting kepada corak masa depan anak cucu kita di hari muka. Oleh itu, pilihlah pemimpin anda berasaskan ciri-ciri kemuliaan akal, budi dan pekerti barisan individu yang menawarkan diri. Pilihlah pemimpin anda daripada kalangan individu yang sebati dengan jiwa, hati, nurani dan persekitaran kampung halaman kita sendiri.

Salam takzim dan salam perjuangan daripada saya. – Ruhanie Ahmad, bekas Ahli Parlimen, Naib Ketua dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong.

15 comments:

ALI MAIDIN said...

Orang macam Datuk ni kena ada dalam mainstream Umno. Kalau tak Umno tak balance antara inspirasi dan materialis.

Kamalkamal said...

Salam Datuk,

Sebagai seorang yang berpengalaman dalam arena politik tanah air, Datuk lebih arif dalam membuat keputusan. Bagi saya keputusan Datuk adalah tepat memandangkan suasana politik hari ini yang lebih mementingkan kebendaan berbanding dengan perjuangan.

InsyaAllah Cawangan saya akan mengadakan persidangannya pada Jumaat 01.08.08, Jam 10.00 pagi. Habis persidangan bolehlah ramai-ramai kemasjid tunaikan solat Jumaat. Inilah politik, pelbagai helah digunakan, asalkan matlamat mereka yang berkepentingan tercapai.

Tahun ini, sama seperti tahun 2004, saya tidak berhasrat bertanding samada diperingkat Cawangan ataupun Bahagian walaupun ramai rakan-rakan meminta saya kembali aktif seperti zaman muda-muda dahulu. Melihat situasi politik UMNO sebegini rupa lebih baik jadi ahli biasa saja, lebih selesa walaupun tak bergaya.

zeme said...

Salm Datuk,

Mungkin Datuk boleh menyelamatkan situasi Bahagian Parit Sulong dengan pengalaman yang ada dan di timba selama ini. Tidak salah untuk Datuk kembali kedalam pentadbiran tertinggi UMNO Bahagian kalau ini kebaikan untuk UMNO.

Wasalam.

Anonymous said...

Salam,

Datuk,

Datuk mungkin sudah sedar yg politik Johor (UMNO) akan menjurus kehancuran akibat wang ringgit yang ditabur. Seperti yang saya tahu dan kisah besar di Benut Pontian. Memang memantu org besar sudah turun dan menjanjikan macam-macam. Menurut insider saya di situ, memang tk ada org lain yg akan dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia iaitu lain tidak bukan menantu orang besar UMNO. Sebabnya...semua org tahu..iailah sbb DUIT.....

Harap Datuk boleh kembali dan mengembalikan perjuangan yang sebenar.

Salam

Anak Jati Melayu

PulaiBistari said...

Datuk patut ke bertanding ni.. apa guna bercakap masa tiada kuasa? dapatkan kuasa, kemudian dari atas baru buat baikpulih, tetapi jangan terlupa kalau dah kesedapan dengan nikmat dunia!!
Kelakarlah zaman sekarang ni, semua yang dah tak berkuasa terutamanya TDM bukan main hebat kritiknya. Masa ada kuasa, semua yang mengkritik disalahkannya.. sekarang baru tau kan bila dah kat bawah..
Macam tulah rasanya rakyat yang selama ini tertindas, gaji tak seberapa, harga barang makin menggila, so jangan salahkan sesiapa kalau umno hilang di dunia. Rakyat dah muak, sudah ada alternatif pembela, Pakatan Rakyat boleh dicuba, nak takut apa, Pak Lah lagi teruk dan tak boleh dipercaya.

Semoga Anwar berjaya dengan misinya!!

Unknown said...

semuga datuk berjuang dan jangan gentar.
pepatah orang badawi (bukan ahmad badawi) bahwa
"orang yang berjalan dengan kebenaran adalah mereka yang berjalan tanpa membawa senjata kerana kebenaran itu adalah senjata yang terbaik".
Datuk juga pernah bercerita tentang Mat Indera yang gagah tapi dengan mesyuarah org kampung dapat mengalah kan dia.
bangun lah datuk, saya sokong!!

Hang-Jebat said...

Ramai yang tahu, orang tua mahupun pemuda, jika berada di dalam UMNO, anda tidak boleh buat apa-apa. Jika berjawatan di dalam UMNO, anda semua akan mengalami sindrom fasik. Tahu salah tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Jika di luar UMNO, kita mungkin boleh bertempik seperti mahu luruh bukit dan gunung. Percayalah, UMNO akan rosak jika masih ada pemimpin fasik yang menjadi ketua. Sama-sama kita talkinkan. Tulislah di dalam buku catatan. Di hari tua kelak, usah menangis lagi apabila parti tunjang melayu hancur. Anak cucu kita akan menuding jari kepada kita kerana kita ibarat si Kitul dan Raja Mendeliar. apakah kita akan menunggu pahlawan Acheh dan Jawa dari seberang sana untuk merampas kembali kuasa. Di masa Melayu masih ada kuasa inilah kita tentang pengkhianat seperti si Kitul dan Raja Mendeliar.
Fikir-fikirkanlah,..
www.hang-jebat.blogspot.com/

Syahrulmanan said...

Salam Datuk,

Kali ini saya cuma berdoa semoga harapan baru rakyat Malaysia yang dipandu Anwar Ibrahim menjadi kenyataan. Saya dah muak dengan pemimpin2 UMNO zaman sekarang ni, tak reti nak insaf2 lagi ke?, telur dah di hujung tanduk Datuk!

Anonymous said...

Salam,

Dear Datuk,

Saya rasa Datuk mesti teruskan perjuangan politik Datuk. Walaupun Datuk sudah dimakan usia tetapi itu semua tidak menjadi halangan untuk Datuk untuk terus berjuang demia agama, bangsa dan negara.

Saya amat meminati bidang politik Malaysia dan UMNO dan sudah mengikutinya dari sekolah rendah lagi. Malah kehidupan sejak kecil dikelilingi oleh orang2 yang memperjuangkan kemerdekaan dan menjayakan UMNO pada masa lampau (Bukan sekarang punya UMNO).

Saya kenali Datuk sejak Datuk datang kesekolah saya di MRSM Beseri dan banyak mengikuti ulasana2 surat khabar mengenai kenyataan Datuk selaku President Backbenches.

Bintang politik datuk suram, setelah Datuk dikaitkan dengan anwar ibrahim setelah beliau dipecat dan tersebar dengan luar gambar datuk memberi ucapan dirumah beliau.

Niat Datuk baik, tetapi biasalah dalam politik ada musuh yang tidak dicari.

Oleh sebab itu setelah lama Datuk berjuang melalui media maya ini, saya cadangkan untuk datuk untuk terus berjuang demi bangsa dan agama.

Untuk, Datuk sahutlah harapan kami dari akar umbi ini. Biarlah Tun Mahathir berjuang dari luar UMNO. Mungkin cara beliau. Tapi Datuk masih ahli UMNO, teruskan Datuk. Setidak-tidaknya selamatkan lah UMNO JOHOR yang menjadi tulang belakang UMNO sekian lama. UMNO JOHOR akan hancur sekiranya dibuai DUIT2 HARAM.

Salam

Anak Jati Melayu

Hj.Mat said...

Datuk suasana politik sekarang amat tidak menentu saya berpendapat biarlah datuk macam sekarang lagi baik kepala kurang sakit dan banyak masa untuk keluarga itu amat pengting kerana umur datuk pun dah hampir penghujung,buat amal ibadat banyak-banyak datuk untuk bekalan kita dihari kemudian.
Sekian wassala.harap maaf

Quantum Metal Consultant said...

Adalah lebih baik Dato' berada lebih masa di blog ini untuk memberi sumbangan fikiran dan semangat di mana yang mampu daripada berada sebagai Timbalan Ketua Bahagian (jika menang) tetapi kemudiannya turut hanyut dalam arus perdana.

Dalam seusia Dato' bukanlah saya mempertikaikan keupayaan tetapi lebih wajar berperanan di belakang tabir untuk mendorong yang masih muda untuk terus berjuang.

Melihat ke latar belakang Ariss, memadailah atas apa yang dia sudah sampai ke tahap ini, biarkan kepada yang 'gila kuasa'.

Kehebatan seseorang itu bukan pada masa di mana ia bermula, tetapi ketika di mana ia berada di penghujung nanti.

CUCU TOK KEDU said...

Dato Ron yang dihurmati.

Memang banyak pandangan yang kon diberitahu bahawa Dato perlu kembali aktif dalam UMNO Parit Sulong.

Secara jujur kon berikan pendapat setuju benar! Tapi ianya mungkin Dato lebih arif mengetahui keadaan UMNO sekarang. Dato banyak duit ke?

Jangan Dato fikir kejujuran Dato untuk membangunkan Melayu/Islam akan tercapai seperti apa yang Dato lakukan masa-masa dulu.

Sekarang lain Dato! Oh maaf Dato tentu lebih arif dari kon tentang kehendak UMNO masa kini dan akan datang. Dulu lain sekarang lain.

Dulu ahli menilai perjuangan, sekarang ahli menilai kewangan!

http://rp-semantan.blogspot.com

CUCU TOK KEDU

Akar Umbi said...

Dulu masa zaman pemuda tahun 2000, Hood datang ke tempat saya naik bas, kempen untuk exco pemuda kebangsaan pada masa tu. Dia kata, calon marhaen. Kalau betul seperti apa yang diceritakan, bila dah ada wang, berubah pendekatan pula?

Anonymous said...

Salam Datuk,

Ini pesanan bapak mertua saya yang tinggal di parit maimon parit sulong batu pahat...Dia ckp lebih baik lah Datuk berjuang kembali sbb datuk dah penah tunjuk berjasa...perbetulkan yang tk betul...sekian

salam

limado said...

Datuk. Ini satu keputusan yang bijak. Buat waktu ni memang elok di luar daripada di dalam AJK UMNO. Malu kita dibuatnya. Datuk teruskanlah usaha Datuk sekarang. Biarkan Hood ke Ariss ke tenggelam dengan keghairahan masing-masing. Orang macam ni mana ada kualiti. Yang dia orang tau, nak guna UMNO untuk kaut kekayaan. Tengoklah si Hood tu baru satu penggal jadi MP rumah dah macam istana. Ariss pun apa kurangnya. Rumah banyak, kereta banyak. Dulu posman cabuk je. Saya dengar, Datuk yang mula bagi jalan dia naik. Datuk desak Rasi Yatim jadikan Ariss pegawai penerangan khas pada tahun 1986 dulu. Lepas tu dia naik tocang. Datuk sendiri pun dia langgar. Orang macam ni biarkan hanyut dengan kegelojohannya.