Thursday, July 31, 2008

WARGA UMNO DI KOTA BELUD PUN SANGGAH ABDULLAH?

Jumlah cawangan yang membawa usul ke bahagian masing-masing supaya tidak mencalonkan semula Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke jawatan Presiden UMNO kini meningkat kepada 66.

Blogger Zeme memberitahu blog ini bahawa satu cawangan dalam UMNO Bahagian Kota Belud, Sabah - Cawangan Kulambai Dundau - telah mengusulkan supaya bahagiannya mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden UMNO.

Saudara Mohd Tarmizi pula mengirimkan e-mail bahawa UMNO Cawangan Kampung Masjid, Jeneri, dalam Bahagian Sik, Kedah, mengusulkan supaya UMNO bahagian tersebut juga mencalonkan Razaleigh sebagai Presiden UMNO.

Sementara itu, cawangan dalam UMNO Bahagian Langkawi yang telah mengusulkan Datuk Seri Najib Tun Razak dicalonkan Presiden UMNO dan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku calon Timbalan Presiden UMNO, adalah Cawangan Kampung Tua yang bersidang pada 26 Julai 2008.

Telok Mengkuang

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Telok Mengkuang, dalam Bahagian Kuala Langat, Selangor, pula meluluskan satu usul agar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dipercepatkan dari Jun 2010 kepada 1 Disember 2008.

Sementara itu, seorang warga UMNO daripada Bahagian Sri Gading, Batu Pahat, Johor, melahirkan rasa tidak senang hatinya terhadap kemungkinan tiga jawatan penting dalam bahagian itu diterajui oleh sebuah keluarga.

Katanya, UMNO Bahagian Sri Gading kini diketuai oleh Datuk Mohamad Aziz. Isteri Mohamad adalah Ketua Wanita Bahagian. Kini, anak lelaki Mohamad dijangka jadi Ketua Pemuda Bahagian.

Kepada saya, kepimpinan sesebuah bahagian UMNO dikuasai oleh sesuatu keluarga adalah tidak salah. Syaratnya, mandat kepimpinan itu wajar diberikan kepada mereka menerusi sistem yang demokratik bukannya berlandaskan neopitisme.

Bagaimanapun, jika keadaan seperti ini boleh dielakkan, elakkanlah. Kalau ianya diterima baik oleh majoriti ahli dalam bahagian berkenaan, terimalah hakikat ini dengan hati yang terbuka. Tetapi, jika neopotisme jelas berlaku, maka itulah masanya untuk semua pihak bertindak dengan penuh hemah dan secara demokratik.

UMNO Johor

Ini pula kata-kata semangat daripada Blogger Syahir. Katanya, seluruh usul warga UMNO akar umbi mengenai siapakah yang wajar dicalonkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan tahun ini terpulanglah kepada bahagian masing-masing untuk menerima atau sebaliknya. Kepadanya, usul UMNO Cawangan USJ2 baru-baru ini merupakan suara hati akar umbi. Ini kerana majoriti warga UMNO dalam Bahagian Kelana Jaya memang menyokong perjuangan mengembalikan maruah UMNO seluruhnya. Syahir juga berharap semoga warga UMNO akar umbi di seluruh Johor turut “bersedia menyanggah kepimpinan UMNO masa kini dan menggesa agar kerusi Presiden dan Timbalan dipertandingkan” dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Disember 2008 ini.

Buat diri saya sendiri, keputusan tidak akan kembali aktif dalam siasah UMNO Parit Sulong ketika ini adalah muktamad. Saya berterima kasih atas kata-kata perangsang para sahabat bloggers dari seluruh tanahair dan juga sahabat-sahabat saya yang di Parit Sulong - termasuk ayah mertua kepada Blogger Anak Melayu Jati di Parit Maimoon - yang mahukan saya kembali bersiasah. Tetapi, saya juga ucapkan terima kasih kepada mereka yang menasihati saya supaya berjuang seperti apa yang saya lakukan ketika ini, iaitu menerusi blogs.

Kepada warga UMNO di Parit Sulong, sokonglah sesiapa sahaja yang anda dapati serasi dengan jiwa, falsafah, cita-cita dan matlamat perjuangan UMNO yang tulen lagi abadi demi agama, bangsa dan tanahair. Kalau diminta pandangan saya, Haji Sudin Ahmad boleh diketengahkan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong menggantikan Datuk Ariss Samsuddin yang telah mengundurkan diri daripada pertandingan. Salam takzim dan selamat berjuang. – Ruhanie Ahmad

6 comments:

Unknown said...

Hanya segelintir sahaja yang tidak menyokong kepimpinpinan Pak Lah. Terdapat banyak lagi cawangan dan divisyen yang masih setia menyahut seruan Pak Lah. Saya percaya ini tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada kepimpinan Pak Lah.

pak tam said...

salam ta'zim

parit raja dan parit sulong, umnonya dalam ke arah kepudaran pemimpin yang mampu mengangkat martabat orang melayu. Sedar atau tidak kedua2 tempat ni mempunyai sebuah universiti yg mampunyai ramai ahli2 akademik yg sering mengikuti perkembangan semasa ni. Penilaian sudah tentu telah dibuat ke mana arah tuju politik melayu. Mgkn ahli2 umno sedar atau tidak , kekuatan Pas di kawasan ini, semakin lama semakin kuat, yg mampu merubah senario politik pada pilihanraya akan datang.

Kepada mereka yg menggunakan taktik kotor untuk naik jawatan dalam politik terutama di parit sulong, sedarlah kembali asal usul diri dan keluarga mereka, yg selama ini telah banyak mendapat bantuan serta ehsan dari pemimpin umno terdahulu......


p.s .

dah lama x pekena nasi lemak low piak


salam ta'zim

Unknown said...

Datuk, inilah antara buktinya yang orang benci Dollah memang di mana-mana, sampai di pendalaman Sabah pun ada. Macam ni pun Dollah tak sedar diri.

Unknown said...

Saya ucapkan tahniah kepada ahli-ahli UMNO Cawangan dalam Bahagian Kota Belud yang berani menyanggah Abdullah. Harap-harap banyak lagi cawangan yang mesyuarat hujung minggu ni berani buat usul menolak Abdullah.

Unknown said...

Usaha cawangan seperti ini tak ke mana perginya kalau pemimpin bahagian masih nak ampu Dolah Badawi demi jaga tembolok masing-masing. Kita tunggu dan lihat sajalah bila perwakilan bahagian bermula kelak. Berapa banyak bahagian berani menongkah arus tak calonkan Dolah Badawi.

mengkuang said...

Datuk,
Petang tadi, 1 Ogos 2008, di cawangan Kg. Melele, Bahagian Jerlun, juga telah menerima usul sebulat suara, mendesak bahagian Jerlun mengemukkan usul supaya Dato seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan agong Umno ini dan menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada Timbalannya sebelum Perhimpunan Agong Umno Disember ini