Monday, July 31, 2006



PERMUAFAKATAN ASEAN
DAN DIPLOMASI NASI BASI

Hari ini, Pentadbiran Presiden George W Bush sedang aktif melakarkan semula peta geopolitik di Asia Barat. Sebab itulah Iraq diserang, dijajah dan dimusnahkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya sejak 2003. Sebab itulah Lebanon sedang dimusnahkan dan rakyat jelatanya sedang dibunuh secara kejam oleh rejim zionis Israel. Sebab itulah Iran dan Syria mungkin dibelasah oleh AS dan sekutunya tidak lama lagi. Sebab itulah Palestin sentiasa dihancur-leburkan rejim zionis Israel sejak zaman berzaman.

Berasaskan situasi seperti di atas, mengapakah Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice, diizinkan bermain piano di majlis makan malam sempena Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN, di Kuala Lumpur, pada 28 Julai 2006?

Banyak pihak tersinggung dengan peristiwa tersebut. Sebab itulah agaknya, Kolumnis Awang Selamat, menyorot perbuatan Coondolezza Rice itu dengan nada sinis, dalam ruangan Bisik-Bisik, Utusan Malaysia 29 Julai 2006, seperti berikut:

“Tergamak Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu bermain piano ketika beratus-ratus orang yang tidak berdosa terkorban dan darah terus mengalir di Lebanon dan Gaza akibat keganasan negara sekutunya, Israel. Lagu apa yang dimainkan dan terhiburkah Menteri-Menteri Luar ASEAN?”

Untuk menjawab Awang Selamat, Condolezza Rice mendendangkan lagu Prayer For Peace atau Doa Untuk Keamanan, ciptaan pemuzik yahudi bernama Mozart. Kalaulah Awang Selamat bertanya, sama ada para Menteri ASEAN yang mendengar dengangan lagu itu telah terhibur, saya pula mahu bertanya, mengapakah Condoleezza Rice diberi peluang bermain piano di majlis itu?

Siapakah yang membuat keputusan itu? Mengapakah Malaysia, selaku tuan rumah, tidak sensitif dan tidak membantahnya? Tidakkah tindakan memberikan peluang kepada wakil AS yang jelas merestui zionis Israel terus membunuh rakyat jelata Lebanon itu satu perkara yang memaluklan umat Islam, khususnya bila Malaysia adalah Pengerusi OIC?

Anehnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang bermati-matian menjuarai keprihatinan Malaysia terhadap musibah yang menimpa umat Lebanon akibat keganasan zionis Isral, pun langsung tidak bersuara mengenai insiden di atas.

Berbalik kepada soal permainan piano oleh Condoleezza Rice, adakah seluruh anggota ASEAN menyetujuinya? Atau, adakah insiden itu mencerminkan wujudnya perpecahan di dalam ASEAN pada hari ini?

Kalau begitu, adakah seluruh anggota ASEAN masih setia kepada matlamat asal penubuhannya, iaitu menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai zon aman, bebas dan berkecuali? Adakah seluruh anggota ASEAN tidak ada yang memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia mutakhir ini?

Sebenarnya, permuafakatan dalam ASEAN nampaknya jadi rapuh sejak Peperangan Antikenagasan Global (PAG) dilancarkan oleh AS mulai 2001. Dalam peperangan ini ada segolongan negara ASEAN yang menghantar tenteranya ke Iraq secara bilateral.

Ini bermakna, ada anggota ASEAN, secara langsung atau tidak langsung, turut bertanggungjawab membunuh umat Islam dan menghancurkan negara Islam di Asia Barat. Inikah bentuk keberkecualian ASEAN di abad ke-21?

ASEAN tentunya amat insaf, AS memang telah dan sedang mengeksploitasikan Tragedi 11 September 2001 untuk menegakkan hegemoni dan mengukuhkan neoimperialismenya di Asia Tenggara.

Usaha ini dimulakan pada Januari 2002 - sesudah PAG memusnahkan Afghanistan dan membinasakan Rejim Taliban, tetapi sebelum PAG dilancarkan di Iraq untuk menggulingkan Presiden Saddam Hussein.

Satu perkara yang menarik mengenai PAG di Asia Tenggara ialah, ia tidak dijelmakan dalam bentuk peperangan fizikal seperti di Afghanistan atau di Iraq. Sebaliknya, ia menjelma dalam bentuk siri fitnah, operasi hitam, operasi bendera palsu, ledakan bom secara bersiri, dan pertumpahan darah antara agama.

Contohnya, beberapa bulan selepas tentera AS berkubu di selatan Filipina mulai Januari 2002, sama ada secara terancang atau secara kebetulan, terjadilah pelbagai peristiwa keganasan dan tersebar pula pelbagai propaganda.

Semua ini nampaknya terselaras dan dipercayai akan memudahkan Pentadbiran Bush mengerahkan tentera AS ke beberapa negara lain di Asia Tenggara. Ini termasuklah peristiwa dan propaganda berikut:

Kekecohan kononnya sekumpulan teroris Islam akan mengebom Kedutaan AS di Singapura.

Al-Qaeda kononnya mempunyai sel dan proksinya di Indonesia; peristiwa pengeboman ke atas beberapa kepentingan AS di beberapa kepulauan Filipina dan Indonesia.

Dua siri ledakan bom di Bali dan dua siri lagi ledakan bom di Jakarta, Indonesia.

Beberapa siri pertumpahan darah di selatan Thailand.

Dan, fitnah kononnya Al-Qaeda dan sekutunya mungkin melakukan keganasan berskala besar dan paling dahsyat di Selat Melaka.

Seluruh propaganda, peristiwa, dan fitnah di atas memberikan gambaran seolah-olah Asia Tenggara memang benar-benar dilanda masalah terorisme yang amat parah. Maria Ressa, Ketua Biro CNN Jakarta, di dalam bukunya The Seed Of Terror, menyatakan bahawa “Asia Tenggara adalah sarang teroris kerana majoriti rakyat negaranya adalah Islam.”

Beliau juga menyatakan, ura-ura serangan teroris ke atas beberapa kepentingan AS di Singapura adalah Pelan A kepada rancangan keganasan yang kononnya terbesar yang akan dilaksanakan oleh Al-Qaeda di Asia Tenggara.

Tetapi, serangan tersebut, katanya, gagal dilaksanakan kerana berjaya dikesan dan didedahkan lebih awal oleh pihak keselamatan Singapura. Sebab itulah, tambahnya, Al-Qaeda melaksanakan keganasan alternatifnya menerusi ledakan sebutir bom di Bali, Indonesia, pada 12 Oktober 2002.

Apakah yang dikatakan oleh Maria Ressa itu benar? Tidak mungkinkah serangan terbesar yang kononnya akan dilaksanakan oleh Al-Qaeda di Singapura pada 2002 hanya satu propaganda untuk menghalalkan kehadiran bala tentera AS di beberapa negara di Asia Tenggara di abad ke-21?

Persoalan ini wajar dihalusi kerana Tragedi 11 September 2001 yang telah mencetuskan PAG kelihatannya sentiasa diselubungi misteri, hipokrasi dan konspirasi di peringkat yang paling tinggi. Ia juga perlu dikaji kerana banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh sesetengah kuasa neoimperialis tertentu daripada penyebaran propaganda sedemikian rupa. Antaranya adalah seperti berikut:

· Proses sesetengah kuasa besar tertentu mewujudkan hegemoni dan memperluaskan jaringan neoimperialismenya di Asia Tenggara jadi lebih mudah bila ianya diselindungkan di sebalik PAG.

· Ura-ura keganasan terbesar Al-Qaeda di Singapura dijadikan bahan yang kononnya sahih untuk menakut-nakutkan, mempengaruhi dan mendesak beberapa kerajaan di Asia Tenggara supaya akur kepada apa sahaja saranan dan rancangan oleh sesetengah kuasa neoimperialis dalam melaksanakan PAG di Asia Tenggara.

· Seluruh propaganda, peristiwa, dan fitnah di atas akan dijadikan kes rujukan oleh beberapa media neoimperialis, kononnya untuk membuktikan betapa seriusnya masalah terorisme di Asia Tenggara.

· Seluruh propaganda, peristiwa dan fitnah itu mendorong media neoimperialis dengan sewenang-wenangnya menghebahkan ke seluruh dunia bahawa Asia Tenggara, terutamanya Indonesia dan Filipina, kononnya syurga kepada Al-Qaeda.

Penyembunyian agenda rahsia sebuah kuasa neoimperialis tertentu di sebalik PAG di Asia Tenggara jadi semakin jelas bila Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld, menyatakan di Singapura, pada 4 Jun 2004: “askar-askar AS akan memburu pengganas di Asia Tenggara tidak lama lagi.”

Tambah beliau, “askar-askar AS perlu keluar mencari pengganas di negara yang melindungi mereka serta menjejaki pihak yang membiayai operasi keganasan. AS tidak boleh menunggu satu lagi serangan seperti 11 September 2001 berlaku.”

Kenyataan tersebut membayangkan Pentadbiran Bush mungkin melancarkan PAG di Asia Tenggara dan di negara anggota ASEAN, secara pre-emtif dan ulilateral, pada bila-bila masa. Jika PAG tidak dilancarkan secara fizikal di Asia Tenggara, kemungkinan besar rantau ini dilanda beberapa siri perang saraf.

Kenyataan Rumsfeld di atas menimbulkan pelbagai pertanyaan dan spekulasi yang perlu dihalusi. Antaranya adalah:

Maklumat perisikan dari manakah yang mendorong Rumsfeld mengeluarkan kenyataan di atas?

Negara ASEAN manakah yang sedang disyakki oleh Pentadbiran Bush sebagai “melindungi pengganas” dan “membiayai operasi keganasan” di Asia Tenggara?

Jika PAG dilancarkan di Asia Tenggara, negara ASEAN manakah yang akan diserang? Negara ASEAN manakan yang akan dijadikan “rumah persinggahan” bala tentera AS untuk PAG tersebut?

Jika AS melancarkan PAG secara pre-emtif dan unilateral di Asia Tenggara, apakah reaksi ASEAN dan PBB terhadap peperangan tersebut?

Adakah kenyataan Rumsfeld di atas hanya bertujuan menguji kemuafakatan ASEAN dalam mempertahankan Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali yang ditandatangi di Kuala Lumpur pada 27 November 1971?

Adakah kenyataan di atas bertujuan menggertak Malaysia dan Indonesia yang sentiasa bertegas untuk tidak mengizinkan AS campurtangan di dalam urusan mengawal keselamatan di perairan Selat Melaka?

Adakah kenyataan di atas juga bertujuan mengherdik Thailand yang enggan mengizinkan AS menubuhkan sebuah pengkalan tenteranya di Thailand, dan menolak sebarang campurtangan AS di dalam usaha memulihkan keselamatan dan ketenteraman di selatan Thailand?

ASEAN wajar memandang serius kenyataan di atas. Ini kerana ketika ini memang terdapat banyak faktor kritikal yang mendorong AS menegakkan hegemoni dan meluaskan jaringan neoimperialismenya di rantau ASEN selepas Tragedi 11 September 2001. Antaranya adalah:

Asia Tenggara amat penting kepada usaha AS mengekalkan supremasi ekonominya secara global sesudah China bangkit sebagai kuasa ekonomi terbesar di dunia.

· Asia Tenggara, rakan dagang AS yang kelima terbesar di dunia, dengan 525 juta orang penduduk, dan KDNK US$700 billion setahun, adalah satu daripada pasaran AS yang terbesar di dunia.

· Asia Tenggara jadi destinasi kapitalis gergasi AS dengan pelaburan sejumlah US$35 billion.

· Asia Tenggara mempunyai tiga laluan air yang strategik kepada AS, iaitu Selat Melaka, Selat Lombok dan Laut China Selatan. Sejumlah US$1.3 trillion barang dagangan, atau separuh daripada barang dagangan dunia, termasuk minyak dan gas cecair asli, diangkut oleh kapal dagang menerusi laluan tersebut pada setiap tahun.

· Indonesia selaku anggota OPEC tunggal di Asia Tenggara, adalah pengeksport 20 peratus daripada keluaran gas cecair asli di dunia.

· Bekalan minyak dan gas cecair asli dari Asia Tenggara, khususnya dari Indonesia, Brunei dan Malaysia, adalah penting kepada AS.

· Asia Tenggara dipercayai mempunyai banyak lagi telaga minyak dan gas cecair asli yang belum diterokai, termasuklah di Brunei, Indonesia, Malaysia dan mungkin juga di Vietman, Filipina serta Kepulauan Spratlys.

· Asia Tenggara kini dikategorikan oleh AS sebagai zon yang tidak selamat dan tidak stabil di dunia.

Berdasarkan faktor-faktor strategik di atas, beberapa kumpulan berpengaruh, termasuk warga korporat AS, menyifatkan Asia Tenggara sebagai “wilayah yang mempunyai konsekueansi geopolitik yang besar.”

Satu daripada kumpulan tersebut adalah PNAC yang tokoh-tokoh utamanya kini jadi penasihat Presiden George W Bush. Menerusi laporan bertajuk Pembangunan Semula Pertahanan AS, terbitan September 2000, PNAC menyatakan bahawa pengukuhan tentera AS di Asia Tenggara akan jadi kunci utama kepada usaha AS menangani kebangkitan China sebagai kuasa neoimperialis dunia.

PNAC juga mencadangkan, AS hendaklah mengerahkan tentera darat dan tentera udaranya ke Asia Tenggara, serta membuka beberapa pengkalan hadapan dan satu Unit Ekspedisi Marin di Asia Tenggara.

RAND Corporation pimpinan Zalmay Khalilzad, tokoh PNAC yang kini Duta Khas AS di Iraq, pula menerbitkan satu laporan pada 2000, bertajuk Peranan Asia Tenggara Kepada Strategi AS Terhadap China.

Laporan itu mencadangkan AS mengukuhkan kedudukan tenteranya di Asia Tenggara dan mendapatkan akses kepada kemudahan ketenteraan di wilayah yang sama. Laporan itu menyatakan, pengukuhan tentera AS di Asia Tenggara penting kerana wilayah berkenaan mungkin menghadapi ancaman dari China di masa akan datang.

Ancaman tersebut kononnya akan muncul kerana China yang bangkit sebagai kuasa ekonomi dunia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, mungkin akan menyebabkan konflik bersenjata di Asia Tenggara.

Laporan itu juga mengenalpasti Singapura, Filipina dan mungkin Vietnam sebagai negara yang dijangka boleh memberikan akses kenenteraannya kepada AS, terutamanya kemudahan untuk Tentera Udara AS.

Singapura dikenalpasti kerana kedudukannya yang strategik untuk mengawal laluan di Selat Melaka. Filipina dan Vietnam dikenalpasti kerana mereka akan membolehkan AS membina keperkasaan udara bagi mengawal Laut China Selatan.

Laporan RAND juga mencadangkan agar AS memberikan bantuan keselamatan kepada Filipina, khususnya pertahanan udara dan kawalan laut. Ia juga mendesak supaya AS memulihkan hubungan ketenteraan sepenuhnya dengan Indonesia.

Majlis Hubungan Luar AS pula menyampaikan satu memorandum kepada Presiden Bush pada Mei 2001, bahawa abad ke-21 adalah waktu yang paling tepat dan sesuai untuk Kerajaan AS memfokus kepada Asia Tenggara. Alasannya, kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi yang besar mungkin mengancam dominasi AS di Asia Tenggara di hari muka.

Begitulah warna dan suasana neoimperialisme di Asia Tenggara di abad ke-21 ini. Segala-galanya mestilah difahami sedalam-dalamnya. Selurunya mestilah ditangani secara bijaksana. ASEAN hendaklah bersikap terbuka dan proaktif mengenainya.

Oleh itu, anggota ASEAN wajar bersatupadu. Kalau ada antara mereka yang terlalu intim dengan AS mutakhir ini, intimasi sedemikian harus dikaji semula demi ASEAN. Jika tidak, lama kelamaan ASEAN mungkin retak, pecah dan terbelah.

Berasaskan seluruh hakikat di atas dan perkembangan geopolitik di Asia Barat dan Asia Tengah mutakhir ini akibat angkara AS serta sekutunya, adalah aneh bila Menteri-Menteri Luar ASEAN tiba-tiba sahaja mengizinkan Condoleeza Rice bermain piano untuk lagu Doa Untuk Keamanan. Perkara ini aneh kerana pada realitinya, AS kini menyokong zionis Israel membunuh umat manusia di Lebanon, dan PAG yang dipelopori AS pula menjejaskan kesetiaan sesetengah anggota ASEAN terhadap tanggungjawab mewujudkan zon aman, bebas dan berkecuali di Asia Tenggara.

Jadi, diplomasi jenis apakah yang sedang diamalkan oleh ASEAN? Adakah diplomasi yang boleh menjamin kelangsungan ASEAN di abad ke-21? Adakah diplomasi yang akan menyebabkan permuafakatan ASEAN jadi semakin rapuh? Adakah diplomasi yang mungkin menjadikan ASEAN berkecai seperti nasi yang basi?

SIASAH DAJJAL RAKUS
DAN KAPAK BUNGKUS


Dalam siasah, di mana-mana sahaja, sering wujud kelompok dajjal yang manipulatif dan rakus. Pasti ada golongan manusia yang oportunis. Tentu ada individu yang sanggup berbuat apa sahaja demi temboloknya sendiri. Ada juga pakar-pakar yang khusus untuk sesuatu operasi baling batu sembunyi tangan.

Di Kelantan pun begitu juga. Pada 1966, satu persengketaan siasah di negeri itu menyebabkan pembunuhan. Seorang ahli politik di Rantau Panjang, bernama Samad Gull, mati akibat serangan kapak bungkus.

Kira-kira 40 tahun kemudian, iaitu pada jam 11.15 pagi, Jumaat, 28 Oktober 2006, peristiwa baling batu sembunyi tangan ini berlaku sekali lagi di bumi Kelantan. Mangsanya adalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Nasib baik peristiwa di Lapangan Terbang Kota Bharu Kelantan itu tidak menumpahkan darah. Ini kerana senjatanya bukan kapak bungkus, bukan kapak siam, bukan kapak terbang.

Senjatanya cuma sejenis semburan. Tetapi, pihak penyiasat belum mempastikan sama ada ianya semburan cecair lada putih-lada hitam, atau ianya semburan sejenis gas cecair yang istimewa dan eksklusif.

Bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir memberitahu para wartawan di satu sidang akhbar sesudah peristiwa itu, akibat semburan berkenaan, “mata saya jadi pedih, tekak saya jadi pedih, saya juga jadi susah nak bernafas buat seketika.”

Datuk Paduka Ibrahim Ali yang dikatakan terkena semburan itu secara tepat pada mukanya, dilaporkan sehingga jatuh rebah. Beberapa individu di sekeliling Tun Dr. Mahathir termuntah-muntah. Sesetengahnya pijar badan beberapa jam lamanya.

Angkara siapakah peristiwa baling batu sembunyi tangan ke atas Tun Dr. Mahathir pada pagi itu? Apakah motif sebenarnya. Dan, bagaimana agaknya kalau sesuatu yang tidak diingini berlaku akibat serangan itu?

Mengikut surat-surat jemputan rasmi, Tun Dr, Mahathir ke Kelantan pada 28 Julai 2006 atas undangan dua pertubuhan bukan UMNO. Sebelah petang, beliau menghadiri Majlis Jamuan Teh anjuran Alumni Parlimen dan Dewan Undangan Negeri UMNO Kelantan (APDNK) kelolaan Tan Sri Abdullah Ahmad (Kok Lanas). Sebelah malamnya, beliau menghadiri Majlis Malam Perjuangan Mu Yang Belum Selesai anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kelolaan Datuk Paduka Ibrahim Ali..

Jadi, adalah memeranjatkan bila pada pagi 28 Oktober 2006, tiba-tiba muncul seorang individu, diiringi kira-kira setengah dozen pengawal berjeket hitam dan bertopi hitam, di Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan. Dia mendakwa, Tun Dr. Mahathir datang ke Kelantan pada hari itu atas anjuran dan jemputannya.

Maklumat-maklumat yang saya perolehi daripada pelbagai sumber dan kumpulan mendapati, individu itu adalah seorang usahawan. Dia juga pernah jadi orang nombor dua dalam UMNO Bahagian Kuala Krai.

Hari ini, UMNO Bahagian Kuala Krai diketuai bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bernama Datuk Romzi Abdul Rahman. Beliau adalah ADUN Dabong merangkap Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan, pimpinan Datuk Seri Annuar Musa. Individu terbabit adalah seorang ahli jawatnakuasa bahagian yang dilantik oleh Datuk Romzi.

Kalau hakikatnya demikian, bolehkah individu terbabit disifatkan sebagai mewakili UMNO? Bolehkah majlis untuk Tun Dr. Mahathir yang didakwa sebagai anjuran individu terbabit, disifatkan sebagai majlis anjuran UMNO?

Soalan di atas dijawab sendiri oleh Datuk Annuar menerusi laporan akhbar pada 31 Julai 2006. Katanya, penglibatan individu terbabit “bersifat peribadi dan bukan mewakili parti.”

Kalau begitu, mungkinkah penglibatan secara peribadi oleh individu berkenaan adalah atas arahan rahsia daripada mana-mana tokoh atau pihak tertentu? Soalan ini relevan kerana sebilangan besar rakyat jelata tahu, UMNO Kelantan memang langsung tidak membabitkan diri dengan kunjungan Tun Dr. Mahathir ke Kelantan pada 28 Julai 2006.

Tetapi, segolongan rakyat jelata Kelantan juga tahu akan adanya desas-desus yang mengatakan kononnya sesetengah pihak tertentu memang berusaha keras untuk menggagalkan kunjungan itu.

Saya mengemukakan soalan-soalan di atas kerana kini terdapat banyak desas-desus bertiup kencang. Kononnya segolongan dajjal siasah yang rakus kuasa pula terlibat dengan serangan ke atas Tun Dr. Mahathir, di Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan pada 28 Julai 2006.

Contohnya, pada jam 22.23.50, 29 Julai 2006, saya menerima maklumat daripada seorang sahabat menerusi sistem pesanan ringkas seperti berikut: “I dapat info yang berlaku semalam (peristiwa di Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan adalah) games Mr. X (nama sebenar saya rahsiakan) dan kekasihnya. Sumber (ini) A1 (dan) tepat.”

Pada jam 14:29:44, 30 Julai 2006, saya pula menerima maklumat pesanan ringkas dari pihak yang tidak saya kenali. Mesejnya adalah: “Renunglah. Peristiwa 28 Julai 2006, di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Pengkalan Chepa, (Kelantan), membuktikan ada (segelintir) ahli UMNO mula jadi ‘pengganas’ dan ada (segelintir) pemimpinnya sedia bertindak baling batu sembunyi tangan.”

Seterusnya, mesej itu mengeluarkan beberapa dakwaan yang agak semberono lagi sensitif terhadap dua orang pemimpin UMNO Kelantan dan seorang pegawai tinggi UMNO Malaysia. Pengirim mesej itu mahu pihak-pihak berkenaan disoalsiasat secara rapi. Nombor telefon pengirim itu adalah 012-2118004.

Saya juga menerima beberapa lagi pesanan ringkas mengenai peristiwa yang sama. Kebanyakannya khuatir, kononnya kes itu akan lenyap ditelan zaman. Sebabnya, kerana kini banyak desa-desus mengatakan kononnya pihak-pihak yang terbabit sedang dibela oleh beberapa ‘kabel kukuh’ dari segelintir kalangan istana!

Tetapi, walau apa pun kesudahannya, andaian Tun Dr. Mahathir akan motif semburan itu mungkin tepat. Iaitu, mungkin untuk mencegah beliau daripada berucap kepada kira-kira 2000 rakyat jelata yang menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan.

Ditanya mengapa, Tun Dr. Mahathir berkata: “Saya dapat tau ada sesetengah pihak nak sekat saya daripada berucap. Ada orang takut nak dengar saya bercakap . Ini tandanya ada orang yang dalam keadaan terdesak. Kalau mereka tak ada apa untuk disembunyikan, kenapa mereka takut saya bercakap. Saya tak ada apa nak disembunyikan. Saya akan terus bercakap. Saya tidak cepat putus asa.”

Jadi, gerombolan dajjal siasah yang rakus kuasa dan mungkin wujud di Kelantan pada hari ini, atau pun kelompok penjenayah siasah yang mungkin menggunakan senjata kapak bungkus di hari muka, waspadalah. Tun Dr. Mahathir tidak akan berputus asa.

Beliau berkata, apa yang dilakukannya mutakhir ini bukan kerana beliau mahu kembali jadi Perdana Menteri. “Tapi kalau ada orang buat sesuatu yang merosakkan UMNO, merosakkan Melayu dan merosakkan negara, saya akan tentang. Saya tak peduli siapa, sama ada di luar, atau di dalam UMNO.”

Friday, July 28, 2006

BENDAHARI VETERAN
UMNO KELANTAN KESAL

Bendahari Veteran UMNO Kelantan, Haji Halim Abdullah, hari ini mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang telah menyerang Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan gas lada putih di Lapangan Tebang Kota Bharu pagi tadi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Cawangan Kubang Agol dalam Bahagian Pasir Mas, berkata pihak berkuasa keselamatan perlu segra menyiasat kejadian itu. Ini adalah untuk mengelakkan nama buruk yang mungkin dikaitkan dengan kepimpinan mutakhir Malaysia.

Beliau mendesak pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman dan tindakan yang sewajarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Jaafar Hussin, yang kebtulan berada di Kota Bharu, juga kesal dengan kejadian itu.

Beliau berharap kejadian itu tidak akan diremehtemehkan oleh pihak polis. Sebaliknya, pihak polis perlu menyiasat kes itu secara terperinci.

“Sebagai ahli UMNO saya kesal dengan kejadian itu kerana ia seolah-olah mencerminkan UMNO mempunyai segelintir ahli yang berlagak samseng. Budaya samseng bukan budaya UMNO.”

BREAKING NEWS:
TUN DR. MAHATHIR
DISERANG GAS LADA PUTIH


KOTA BHARU, 11.00 PAGI, 28 JULAI 2006: Ketibaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Lapangan Terbang Kota Bharu di sini hari ini digemparkan dengan serangan gas lada putih.

Pada ketika itu Tun Dr. Mahathir baru sahaja masuk ke dalam sebuah Pajero untuk memberikan ucapan kepada lebih 2000 hadirin yang menyambut ketibaannya.

Dengan tiba-tiba, seorang yang tidak dikenali menerpa ke arah beliau dan terus melakukan serangan berkenaan. Tun Dr. Mahathir lalu terbatuk-batuk dan sukar bernafas buat seketika. Beliau terus membatalkan rancangannya untuk berucap.

Beberapa orang yang turut terhidu gas berkenaan merasa pedih mata, pening dan ada yang muntah-muntah. Datuk Ibrahim Ali yang berada di sisi Tun Dr. Mahathir rebah buat seketika kerana sukar bernafas.

Sesudah itu Tun Dr. Mahathir diselamatkan untuk menaiki kendraan lain dalam keadaan lemah. Dalam satu sidang akhbar di sini Tun Dr. Mahathir berkata: “Saya rasa pedih mata, tekak dan hidung. Inilah kali pertama kejadian seperti ini berlaku ke atas saya. Saya kesal perkara seperti ini terjadi”

Ditanya mengapa, Tun Dr. Mahathir berkata: “Mungkin ada pihak tak mahu bagi saya bercakap. Saya tak pernah mengalaminya sebelum ini. Saya dapat tau ada sesetengah pihak nak sekat saya daripada berucap. Ada orang takut nak dengar saya bercakap . Ini tandanya ada orang yang dalam keadaan terdesak. Kalau mereka tak ada apa untuk disembunyikan, kenapa mereka takut saya bercakap. Saya tak ada apa nak disembunyikan. Saya akan terus bercakap. Saya tidak cepat putus asa.”

Diminta mengulas kejadian itu, Tun Dr. Mahathir berkata: “Tak baiklah sampai physical begini. Penduduk negara ini bukan orang yang ganas.”

Sebenarnya kedatangan Tun Dr. Mahathir ke Kelantan memang cuba digagalkan oleh beberapa pihak tertentu. Ada yang cuba mengelirukan rakyat jlata di sini dengan pelbagai propaganda.

Bagaimanapun, masyarakat setempat yang menyambut Tun Dr. Mahathir di Lapangan Terbang di sini kesal dengan apa yang terjadi. Mereka berkata, kejadian itu akan menjadikan Tun Dr. Mahathir menerima lebih banyak sokongan rakyat akar umbi di seluruh negara.

Mereka juga yakin kejadian ini kononnya akan menyebabkan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus dipertikaikan oleh banyak pihak kebelakangan ini.



MAHATHIR TIDAK BERHASRAT
BALIK JADI PERDANA MENTERI


KOTA BHARU, 28 JULAI 2006: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata di sini hari ini beliau tidak berhasrat kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Sudah cukuplah saya berkhidmat selama 22 tahun. Tapi kalau ada orang buat sesuatu yang merosakkan umno, merosakkan Melayu dan merosakkan negara, saya akan tentang. Saya tak peduli siapa, sama ada di luar atau di dalam UMNO,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Katanya: “Saya tak mahu balik jadi Perdana Menteri. Saya nak selamatkan UMNO daripada kerja pemimpin yang tak boleh bertanggungjawab. Orang yang cakap lain, buat lain. Konon nak telus, tapi bagi kontrek pada keluarga sendiri. Jangan tipu, jangan curi wang kerajaan dan sebagainya.”

Ditanya sama ada Tun Dr. Mahathir mempunyai bukti, beliau berkata: “Ada. Contohnya, Scomi dapat beberapa projek. ECM Libra dapat ambil Avenue Assets milik Kementerian Kewangan. Tak bolehlah Menteri Kewangan bagi pada menantu dia sendiri sesuatu. Tak boleh lulus.

“Seorang ahli Exco Selangor bagi tanah pada keluarga sendiri telah dihadapkan ke mahkamah. Waktu saya jadi Perdana Menteri saya tak ada hak untuk bagi apa-apa pada keluarga saya. Saya ni jadi Perdana Menteri bukan untuk keluarga. Kita jadi Perdana Menteri untuk negara dan bangsa.”

Banyak pihak di sini menyifatkan kenyataan di atas sebagai lanjutan kepada kenyataan Tun Dr. Mahathir sebelum ini. Ini juga membayangkan bahawa beliau tidak akan berhenti sebelum apa yang disifatkannya sbagai kemungkaran diperbtulkan dengan sewajarnya.
ISRAEL INGKAR
ARAHAN PBB


BAITULMAQDIS 27 Julai – Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menelefon tentera Israel sebanyak 10 kali dalam tempoh enam jam untuk memintanya menghentikan pengeboman dekat kedudukan mereka sebelum satu serangan membunuh empat askar pemerhati badan dunia itu hingga mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Pos pemerhati PBB dekat Khiam hampir terkena bedilan Israel sebanyak 21 kali kelmarin, termasuk 12 bedilan dalam lingkungan 100 meter dari pos itu dan lima bedilan yang terus mengenainya mulai pukul 1.20 petang kelmarin (6.20 petang kelmarin waktu Malaysia) sehingga pos itu musnah pada pukul 7.30 malam semalam (12.30 malam semalam waktu Malaysia), kata Penolong Setiausaha Agung PBB bagi operasi pengaman, Jane Lute kepada Majlis Keselamatan di New York semalam.

Pegawai PBB itu berkata, pejuang Hizbullah telah beroperasi di kawasan sekitar pos yang terletak dekat sebelah timur sempadan dengan Israel itu, sebagai taktik biasa untuk mengelakkan serangan Israel.

“Sejak beberapa hari lalu kami berkali-kali memberitahu (pihak Israel) bahawa kedudukan pos itu terdedah, bahawa pejuang Hizbullah berada 500 meter dari situ untuk berlindung dekat kakitangan PBB dan orang awam,” kata ketua program kemanusiaan PBB, Jan Egeland.

“Sebab itulah begitu sukar untuk menjelaskan mengapa kejadian itu masih boleh berlaku.”
Pegawai Israel memaklumkan PBB bahawa pengeboman dari udara ke sekitar pos itu adalah sebahagian daripada persiapan udara untuk melancarkan serangan darat, kata seorang pegawai kanan.

Pegawai di pos berkenaan menelefon tentera Israel sebanyak 10 kali dalam masa enam jam dan setiap kali seorang pegawai tentera berjanji untuk menghentikan pengeboman, menurut laporan awal PBB mengenai insiden itu.

Setelah jelas rayuan itu tidak dihiraukan, komander pasukan pemerhati meminta penglibatan pegawai tinggi PBB di New York.

Timbalan Setiausaha Agung PBB, Mark Malloch-Brown dan Lute sendiri membuat beberapa panggilan kepada Kedutaan Israel di PBB untuk mengulangi bantahan dan meminta dihentikan pembedilan itu, kata Lute.

Dalam kenyataan berasingan, PBB mengesahkan kerakyatan keempat-empat askar berkenaan tetapi tidak menyiarkan identiti mereka kerana setakat ini hanya tiga mayat telah ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu di PBB, Majlis Keselamatan PBB lewat semalam gagal mencapai kata sepakat mengenai satu kenyataan yang mengutuk serangan maut tentera Israel terhadap sebuah pos tentera pemerhati PBB di Lebanon.

Sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menghalang sebarang kritikan terhadap rejim Yahudi itu.

Dalam perbahasan sehari suntuk, anggota Majlis membuat banyak pindaan pada teks dibentangkan oleh China, yang turut kehilangan seorang anggota tentera pemerhatinya dalam serangan itu.

Mereka akhirnya hilang sabar apabila Washington menuntut digugurkan kenyataan yang mengutuk ‘sebarang serangan yang disengajakan terhadap kakitangan PBB.’
– AP/Reuters - Utusan Malaysia 28 Julai 2006.


SERANGAN ISRAEL
24 PALESTIN TERBUNUH


GAZA 27 Julai - Pencerobohan berterusan Israel ke atas Genting Gaza semalam telah menyebabkan 24 penduduk Palestin, termasuk 12 pejuang, dua kanak-kanak bersama ibu mereka terkorban.

Pesawat perang rejim Yahudi itu meneruskan keganasannya hari ini dengan melancarkan peluru berpandu ke arah satu sasaran di timur Bandar Gaza, menyebabkan 15 orang cedera, termasuk seorang yang parah.

Tentera Israel telah meningkatkan serangan udara dan pencerobohan ke atas Gaza dengan alasan menghalang serangan roket para pejuang dan mencari seorang askarnya yang ditawan para pejuang Palestin.

Angka kematian di Gaza semalam merupakan yang tertinggi dalam konflik dua minggu itu. Antara yang terbunuh semalam ialah lapan orang pejuang Hamas dan dua anggota Jihad Islam.

Seorang pejuang Jawatankuasa Penentangan Popular turut terkorban akibat penembak curi, sementara seorang lagi pejuang yang tidak diketahui kumpulannya terbunuh dalam serangan udara.

Para pegawai perubatan memberitahu, dua kanak-kanak perempuan dan seorang bayi dan ibu mereka terkorban selepas terkena bedilan peluru kereta kebal yang disasarkan ke atas rumah mereka di Jabalya, kubu kuat Hamas.– Reuters - Utusan Malaysia 28 Julai 2006.

ISRAEL TIDAK AKAN MENANG
KONFLIK ASIA BARAT- PENGANALISIS

QATAR 27 Julai – Perkembangan di Lebanon boleh menjadi titik peralihan penting dalam konflik Arab-Israel.
Bagaimanapun, Israel tidak akan memenangi konflik itu kerana rejim Yahudi kini terlibat dalam perang yang boleh menjejaskan keberkesanan jentera tenteranya yang dikatakan hebat, menurut seorang penganalisis Arab, Ashraf Ismail semalam.

Kata beliau, ada beberapa sebab untuk mempercayai bahawa tindakan Israel memusnahkan selatan Lebanon dan selatan Beirut akan melemahkan kedudukan rejim Yahudi itu berbanding musuh-musuhnya.
* Pertama, kempen Israel tidak mempunyai objektif yang jelas dari segi taktik atau strategi dan dengan demikian serangan tentera Israel itu tidak lojik jika dilihat dari sudut ketenteraan.
Tindakan Israel tidak mungkin berjaya mengukuhkan kedudukannya berbanding Hamas atau Hizbullah, apatah lagi Syria atau Iran.

* Kedua, Israel tidak mungkin menghapuskan Hizbullah kerana Hizbullah adalah pertubuhan peringkat akar umbi yang mewakili pelbagai golongan dalam masyarakat Lebanon.
Hamas juga tidak boleh dihapuskan atas sebab yang sama.

* Ketiga, kegagalan Israel untuk memperoleh sebarang hasil daripada kempen ketenteraannya setakat ini hanya meningkatkan lagi pengaruh Syria terhadap Lebanon serta memantapkan kedudukan Damsyik berbanding AS dan Israel sendiri.

Penyelesaian di Lebanon tidak akan dicapai tanpa Syria dan kini AS serta Israel memerlukan persetujuan Syria.

* Keempat, ketidakupayaan Bush untuk menangani krisis itu jelas memperlihatkan Amerika sudah kehilangan banyak kuasa globalnya sejak tiga tahun lalu.

Jika Bush tidak dapat mengawal Iran, Syria, Hamas, Hizbullah atau Israel, apakah kuasa sebenar yang dimiliki oleh kuasa besar dunia itu?

* Kelima, zaman peperangan melibatkan kuasa-kuasa besar sudah berlalu dan sebagai gantinya ialah dunia di mana kuasa-kuasa besar perlu hidup dan bersaing dengan entiti bukan negara yang memiliki keupayaan ketenteraan yang cukup tinggi.

* Keenam, penyebaran saluran berita di seluruh dunia membolehkan pertubuhan seperti Hizbullah menggunakan rangkaian satelit global untuk menyampaikan mesejnya.

Selain memiliki stesen medianya sendiri, Hizbullah juga boleh memanfaatkan media global bagi menarik perhatian dunia terhadap keganasan Israel membunuh penduduk awam dan menghancurkan infrastruktur awam. – Agensi- Utusan Malaysia 28 Julai 2006.
ISRAEL ARAH
BEDIL SESIAPA SAJA


BEIRUT/GAZA: Kempen ketenteraan Israel di Lubnan dan Gaza hanyalah pentas bagi negara Yahudi itu menunjukkan ‘kuasanya’ dan betapa mudah membunuh penduduk Arab Lubnan serta Palestin tanpa perlu risau akan dikritik, jauh sekali dikenakan tindakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Terbukti, pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel terhadap penduduk Arab Lubnan dan Palestin tiada tindakan dengan Amerika Syarikat mempertahankan sekutunya itu di PBB.

Sebulan selepas Korporal Gilad Shalit ditawan pejuang Palestin di Gaza, misalnya, sudah 150 warga Palestin maut dibedil askar Yahudi.

Di Gaza, akhbar The Independent melaporkan, tentera Israel melancarkan satu bedilan setiap satu minit di wilayah itu hingga semua bangunan di kawasan Beit Hanoun bergegar.

Kelmarin, 24 penduduk Palestin termasuk tiga kanak-kanak serta seorang warga kurang upaya maut kerana bedilan askar Zionis itu.

Antara korban termasuk seorang ibu, Asmaa dan dua anaknya, Shahd Okal yang baru tujuh bulan dan kakaknya, Mary, 7.

Sementara itu, bagi seorang penduduk Lubnan yang juga pemandu teksi, Ahmed Khalil Ali, 58, Israel sudah lama menghantui hidupnya.

Pada 1974, satu serangan tentera Israel membunuh dua sahabatnya dan melumpuhkan sebelah tangannya. Kini, serangan peluru berpandu Zionis menyebabkan dia kehilangan dua kakinya pula.

Ketika ini, dia dirawat di hospital Beirut dan enggan bercakap dengan sesiapapun. Isterinya dan lima anak mereka yang turut cedera, berkongsi bilik dengannya.

Anak perempuannya, Mira, 16, menjadi jurucakap dan fasih berbahasa Inggeris sambil duduk di kerusi roda dengan kaki dan kepalanya berbalut.

“Ayah saya amat kecewa kerana berasa bersalah tidak lagi mampu melindungi keluarga dan tidak tahu bagaimana menjaga kami selepas ini,” katanya.

Ali bercuti bersama keluarganya di perkampungan Blida, dekat sempadan Israel, apabila tiba-tiba konflik meledak.

“Keadaan seperti gempa bumi. Tiba-tiba saya dengar ibu menjerit nama kami. Dia menarik saya daripada bawah runtuhan rumah kerana kaki saya patah.

“Pada masa itulah kami lihat ayah tiada kaki lagi dan meminta kami membantu menghentikan pendarahan,” katanya lagi sambil berkata keluarganya adalah Syiah tetapi bukan penyokong Hizbullah. – AFP/Agensi - Berita Harian 28 Julai 2006.

BREAKING NEWS:

MAJLIS TUN MAHATHIR
DI KOTA BHARU
CUBA DISABOTAJ

KOTA BHARU, 1.30 PAGI, 28 JULAI 2006: Majlis jamuan teh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bersama Alumni Parlimen dan Dewan Undangan Negeri UMNO Kelantan, di sini cuba disabotaj.

Majlis itu dipercayai cuba disabotaj oleh seorang individu bekas pemimpin UMNO Bahagian Kuala Krai. Individu itu mendakwa dia menerima arahan daripada Datuk Badariah Arshad selaku Ketua Pegawai Operasi Yayasan Perdana di Putrajaya.

Bagaimanapun, sumber-sumber di sini memberitahu Kuda Kepang, individu terbabit dikatakan mendapat arahan daripada seorang pemimpin besar UMNO Kelantan.

Individu itu telah mengarahkan Syarikat A-One Canopy dari Selising, dekat sini, untuk memasang khemah di tengah-tengah Jalan Bayam, berhadapan Kompleks Sukan Hotel Perdana.

Tun Dr. Mahathir akan menghadiri jamuan teh di kompleks sukan berkenaan mulai 3.30 petang ini. Beribu-ribu hadirin dijangka hadir.

Kuda Kepang turut berada di lokasi pada jam 1.00 pagi tadi untuk menyaksikan pihak penganjur dan polis melarang Syarikat A-One Canopy memasang khemah berkenaan.

Menurut tuan punya Syarikat A-One Canopy, Wan Yusof Wan Abdullah, khemah yang cuba dipasang di hadapan kompleks sukan berkenaan adalah untuk 1,000 orang tetamu. Pekerja beliau berusaha memasang khemah itu mulai tengah malam tadi.

Wan Yusof juga memberitahu Kuda Kepang, dia mendapat tempahan untuk memasang khemah itu seminggu yang lalu.

Bagaimanapun, pihak polis dipercayai melarang khemah itu daripada di pasang atas alasan keselamatan awam.

Penganjur majlis jamuan berkenaan terkejut dengan percubaan sabotaj itu. Mereka pun menghubungi polis yang kemudiannya melarang khemah itu daripada dipasang.

Seorang wakil pihak penganjur yang turut berada di Jalan Bayam awal pagi ini untuk mempastikan khemah itu tidak dipasang, berasa kesal dengan percubaan sabotaj itu.



ADA PIHAK KELUAR ARAHAN
GANGGU MAJLIS TUN MAHATHIR

KOTA BHARU, 28 JULAI 2006: Beberapa pihak di sini dipercayai cuba menggagalkan seluruh majlis mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di sini hari ini.

Kuda Kepang difahamkan satu pihak tertentu di sini telah mengarahkan sekumpulan pemuda untuk menggangu seluruh majlis yang dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir.

Tun Dr. Mahathir dijangka berucap di Kompleks Sukan Hotel Perdana di sini pada 3.30 petang. Pada sebelah malamnya, beliau dijangka menghadiri jamuan makan di Hotel Riverview.

Berikutan ura-ura di atas, pihak penganjur meminta hadirin ke majlis-majlis yang dijadualkan supaya bertenang. Antara gangguan yang mungkin dilakukan termasuklah provokasi, jeritan dan ejekan.

Sementara itu, Kuda Kepang mendapati Bandaraya Kota Bharu kini dihiasi dengan berpuluh-puluh kain sepanduk dan poster mengalu-alukan kedatangan Tun Dr. Mahathir.



4 PETUGAS PBB MAUT
AKIBAT TINDAKAN KETERLALUAN
ISRAEL SERANG PEJUANG HIZBULLAH



BEIRUT 26 Julai – Empat orang tentera pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari China, Austria, Kanada dan Finland terbunuh hari ini akibat tindakan keterlaluan tentera Israel menyerang habis-habisan kedudukan Hizbullah di sempadan negara ini.
Kejadian tersebut mengejutkan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan yang menuduh rejim Yahudi ‘secara jelas sengaja menjadikan anggota PBB sebagai sasaran.’

China yang berang dengan kejadian yang membabitkan tenteranya itu telah mengutuk tindakan tentera Israel serta mengarahkan Duta Israel di Beijing memohon maaf secara rasmi.

Beribu-ribu orang di Beijing keluar mengadakan demonstrasi besar-besaran di jalanan mengutuk tindakan Israel itu.

Semasa kejadian itu berlaku, pertelingkahan terus memuncak apabila 13 askar Yahudi dilaporkan terbunuh di selatan Lebanon. Israel turut menyerang Genting Gaza dan membunuh 11 rakyat Palestin.

Saksi memberitahu selepas kejadian pengeboman dari udara di kedudukan pasukan pengaman itu, kira-kira 50 anggota tentera pemerhati Pasukan Antarabangsa PBB di Lebanon (UNFIL) dari India dilihat menggunakan tangan dan penggali bagi mencari mayat empat rakan mereka yang tertanam di bawah runtuhan tersebut.

Duta Perancis yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB, Jean-Marc de La Sabliere berkata: ‘Kami mengutuk pengeboman ke atas kedudukan anggota badan dunia itu.’

Presiden Republik Rakyat China, Hu Jintao menyuarakan rasa kesal dan mengarahkan Kementerian Luar supaya mengeluarkan kenyataan mengecam serangan tersebut.

Agensi berita rasmi, Xinhua melaporkan, mangsa yang terbunuh itu dikenali sebagai Du Zhaoyu, seorang daripada 180 pegawai, askar dan pemerhati yang berkhidmat di Lebanon di bawah misi keamanan PBB.

Turut mengutuk kejadian itu ialah Menteri Luar Lebanon, Fawzi Sallukh dengan menyifatkannya sebagai serangan terancang dan kejam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert meluahkan rasa kesalnya melalui telefon terhadap serangan itu dan beliau berjanji akan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.

India yang mendakwa seorang pemerhati negaranya turut cedera dalam serangan itu kini sedang mempertimbangkan untuk membawa pulang 600 tenteranya yang berkhidmat dengan tentera PBB.

Presiden Finland, Tarja Halonen pula mendesak supaya satu siasatan dijalankan dan beliau berkata: “Tiada apa yang boleh menerangkan serangan Israel ke atas pangkalan pemerhati ini.’’

Tatkala pencerobohan dan keganasan Israel tidak menunjukkan sebarang tanda mengendur, Menteri Pertahanan Israel, Amir Peretz memberi amaran bahawa pihaknya akan mewujudkan sendiri zon keselamatan di selatan Lebanon jika pasukan antarabangsa tidak ditempatkan di situ.

Sementara itu, usaha membawa jentolak ke tempat kejadian menemui kebuntuan dan tentera tetap Lebanon memberitahu, Israel bersetuju menghentikan sementara serangan udara bagi membolehkan kerja-kerja mencari itu dijalankan.

Bagaimanapun jurucakap UNFIL berkata, beberapa jam selepas insiden semalam, tentera Israel terus membedil kawasan sekitarnya.

“Tentera Israel terus melepaskan tembakan berhampiran kedudukan ini dari sebelah Israel dan ia berterusan semasa kerja mencari dan menyelamat dijalankan,” kata Milos Strugar.

Pada masa yang sama tentera Israel terus melancarkan serangan bom ke atas kawasan pinggir Beirut lewat semalam, iaitu serangan berterusan 24 jam yang serentak dengan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleezza Rice ke Asia Barat. – Agensi. Utusan Malaysia 27 Julai 2006.



ISRAEL BUNUH
PENGAMAN PBB

BEIRUT: Israel membunuh empat anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan, dalam serangan yang dianggap badan dunia itu sebagai ‘tindakan yang disengajakan’.

Kejadian kelmarin itu merumitkan lagi usaha mencari penyelesaian selepas rundingan antarabangsa di Rome, Itali, lewat semalam gagal mencapai sebarang persetujuan gencatan senjata di antara pihak yang bersengketa di Lubnan.

Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan mendesak Israel menyiasat segera kejadian yang beliau anggap ‘sengaja mensasarkan’ pusat kawalan PBB di Khiyam, membunuh anggota pengaman dari Austria, Kanada, China dan Finland.

Pasukan pengaman seramai 2,000 anggota yang digelar Pasukan Sementara PBB di Lubnan (UNIFIL) sejak 1978 itu, ditempatkan di selatan negara itu bagi memantau kegiatan Israel dan Hizbullah.

Perancis, yang mengetuai pasukan UNIFIL, membantah tindakan pengeboman tentera Yahudi itu.

Dutanya ke PBB, Jean-Marc de La Sabliere, yang memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan PBB untuk bulan ini, berkata: “Kami mengecam pengeboman ke atas kedudukan UNIFIL.”

China, yang rakyatnya menjadi seorang mangsa serangan tentera Yahudi itu, memanggil duta Israel ke Beijing dan menuntut negara itu memohon maaf.

Annan berkata, Israel melancarkan serangan artileri dan udara yang diselaraskan terhadap pusat kawalan yang sudah lama diduduki pasukan UNIFIL.

Katanya, kejadian itu berlaku walaupun Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert memberi jaminan tidak akan membedil kedudukan UNIFIL.

“Jeneral Alain Pelligrini, panglima pasukan PBB di selatan Lubnan sentiasa berhubung dengan pegawai Israel sepanjang hari sebelum kejadian untuk mengelak perkara sedemikian berlaku,” kata Annan.

Amerika Syarikat (AS) menyatakan kekesalan terhadap kejadian itu dan pegawai Jabatan Negara yang menemani Setiausaha Negara Condoleezza Rice di Rome berkata, Israel sudah memaklumkan bahawa ia satu kemalangan.

Olmert pula, dalam satu kenyataan, kononnya kesalnya dengan insiden itu dan mengulangi laporannya kepada AS bahawa kejadian itu adalah satu kemalangan.

Bagaimanapun laporan dari medan pertempuran memetik jurucakap UNIFIL, Milos Struger sebagai berkata, tentera Israel meneruskan bedilan walaupun pasukannya cuba melakukan operasi menyelamat di tempat kejadian.

Bom yang dilancarkan Israel mengenai tepat kepada bangunan yang menempatkan anggota pasukan UNIFIL.

Tentera Israel yang digembar-gemburkan berjaya menawan kubu kuat Hizbullah di selatan Lubnan, dilaporkan pula oleh akhbar The Guardian Britain, sebagai hanya berjaya bertempur di beberapa kampung dan bandar kecil di selatan Lubnan.

Akhbar itu melaporkan, tentera Israel mengalami jumlah kematian yang tinggi iaitu sehingga 24 orang mati dan 75 cedera, sejak pertempuran bermula 15 hari lalu.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk melawan Hizbullah,” kata Brigadier Jeneral Shuki Shachar, timbalan panglima Pemerintah Bahagian Utara tentera Israel.

“Selepas beberapa hari bertempur, kami menyedari Hizbullah sejak enam tahun lalu berjaya mewujudkan tempat perlindungan, kubu bawah tanah dan mendapatkan bekalan beribu roket yang ada di antaranya disimpan di rumah orang awam,” katanya. – AFP/Agensi – Berita Harian 27 Julai 2006.

[Nota: Seluruh dunia kelam-kabut pasal keganasan dan kezaliman zionis Israel di Lebanon. Seluruh dunia juga mengutuk Amerika Syarikat kerana asyik dolak-dalik untuk menyuruh zionis Israel memberhentikan kekejamannya membunuh umat Lebanon. Jadi saya tercari-carilah berita seperti di atas di muka depan suratkhabar UMNO - The New Straits Times - hari ini. Anehnya, berita di atas tiada di muka depan akhbar itu. Entah mengapa jadi begini! Ada artikel mengenai Lebanon di ruang editorial bertajuk Marching to different drummers in Lebanon. Artikel ini kena dibaca betul-betul untuk memahami inipatinya. Ada berita Lebanon di ruang World muka surat 31, dengan judul Hizbollah kills eight Israeli soldiers. Apa pasal besarkan soal Hizbollah bunuh Israel. Siapa yang teroris dalam hal ini, zionis Israel atau Hizbollah? Dan, di mana kisah dan berita mengenai tentera zionis Israel bunuh pegawai PBB? Ada berita berjudul Israelis back in Gaza 14 killed in raids di muka surat 32. Apa sudah jadi? Apa sudah jadi? Adakah bukan pembaca akhbar-akhbar Melayu di Malaysia mahu dinafikan berita dan gambar mengenai kekejaman zionis Israel yang membelasah PBB, badan dunia yang sewajarnya mengendalikan soal war and peace? Apa sudah jadi wahai NST? Apa sudah jadi? Tapi, walau apa pun yang terjadi, inilah contoh impak dan kesan kepimpinan sesebuah akhbar kepada cara sesuatu berita itu dipersembahkan kepada para pembacanya. Kalau semua suratkhabar dan media elektronik menghebahkan kisah dunia mengutuk zionis Israel kerana membunuh pegawai PBB di Lebanon, bukankah pelik bila NST , akhbar UMNO, langsung pekap berita itu entah di mana?]



ROMBAK PBB
AGAR RELEVAN


Serangan Israel ke atas Lebanon dikatakan memasuki fasa baru apabila ia berlanjutan ke minggu kedua. Keganasan yang masuk hari ke-14 semalam mengorbankan empat orang petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lebanon.

Laporan menyebut bahawa, Israel memohon maaf dengan kejadian berkenaan dan berjanji akan menjalankan siasatan secara terperinci mengenai insiden terbabit. Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan seperti biasa, mengulangi skrip lama dengan mengutuk serangan berkenaan.
Cumanya, kedengaran kenyataan Annan ada ‘suara’ sedikit apabila beliau menuduh serangan ke atas empat petugas PBB itu sengaja dirancang oleh Israel.

Tetapi, ia tidak juga membawa kesedaran atau makna apa-apa kepada Israel apatah lagi menggerakkannya supaya menghentikan kekejaman.

Menurut laporan, peristiwa malang itu berlaku di bandar Khiam, berhampiran sempadan Israel-Lebanon di mana empat orang petugas PBB yang berkhidmat dengan Pasukan

Sementara PBB di Lebanon (UNIFIL) terkena serangan bom yang dilepaskan oleh askar rejim Israel.

Sasaran Israel ialah kubu kuat Hizbullah, yang secara kebetulan terletak berhampiran dengan pangkalan menempatkan petugas badan dunia itu.

Ironinya, ia menimpa PBB semasa masyarakat dunia secara keseluruhannya berasa muak dengan kelambatan badan dunia itu bertindak menangani krisis di Lebanon serta Palestin.
Walaupun dikutuk teruk, PBB hanya mengeluarkan kenyataan retorik dengan menggesa supaya sebarang serangan ke atas Lebanon dan Palestin dihentikan segera.

Malangnya, Israel terus bermaharajalela. Rejim itu tetap menggila apabila mendapat pula lampu hijau daripada Amerika Syarikat (AS) supaya melanjutkan serangan terhadap Lebanon.

Dalam hal ini, Israel dan AS bukan sahaja membelakangkan PBB, malah memperlekehkan badan dunia itu sama sekali. Justeru, ia membawa kepada tersiarnya beberapa kenyataan melibatkan banyak pihak yang menyifatkan PBB tidak lebih daripada sebuah ‘pertubuhan patung’ semata-mata tiada jiwa, tidak ada emosi.

Namakan apa sahaja – semua dilabelkan kepada PBB, pertubuhan yang sangat lemah, tidak bermaya, tidak bertaring, tidak relevan dan sebagainya. Semuanya kerana PBB gagal bertindak dalam menangani krisis di Lebanon dan Palestin.

Perkara itu terjadi bukan salah PBB sebenarnya, ringkas kata bekas diplomat, Datuk Ahmad Mokhtar Selat semasa diminta pandangannya tentang masih relevan atau tidak PBB dengan mengambil kira peristiwa keganasan di Lebanon.

Katanya, sesebuah pertubuhan itu menjadi tidak relevan dan perlukan suntikan reformasi kerana anggotanya tidak bersatu, bukan disebabkan oleh pertubuhan itu sendiri.

‘‘Kalau kita memahami prinsip itu, tidaklah terjadi di mana kita marahkan nyamuk kelambu dibakar. Kita sebenarnya marahkan PBB kerana tidak bertindak, tetapi sebenarnya anggota pertubuhan itu sendiri gagal bersatu dan mencari kata sepakat untuk menangani sebarang bentuk keganasan,’’ kata beliau, yang kini merupakan pensyarah di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik di Universiti Malaya ( UM).

Kepada Utusan Malaysia, Ahmad Mokhtar yang berpengalaman luas dalam hal ehwal diplomatik memberitahu bahawa apa yang berlaku menjadi lebih kompleks apabila ia melibatkan AS, sebuah kuasa besar yang juga anggota Majlis Keselamatan PBB.
Lebih merumitkan, ia mempunyai kuasa veto bersama-sama Britain, Rusia dan China selain Perancis.

AS seperti biasa tidak akan membenarkan sesuatu menimpa Israel, yang selama ini ditatang bagai minyak penuh oleh Washington sekalipun rejim itu secara terang-terang mencabuli mandat PBB.

Ditanya jika kejadian terbaru yang menimpa empat petugas PBB di Lebanon boleh membawa ‘anjakan perubahan dalam tindakan badan dunia itu’, Ahmad Mokhtar mengakui beliau pesimis dengannya.

‘‘Keganasan akan berterusan selagi resolusi yang diputuskan hanya tinggal resolusi dan tidak dipatuhi. Seperti dalam kes krisis di Lebanon, ia akan terus berpanjangan untuk tempoh yang lama selagi melibatkan AS.

Selebihnya, asal usul yang membawa kepada keganasan itu juga menjadi faktor penyumbang.

Masakan luka dan dendam kesumat selama hampir 30 tahun akan berakhir dalam masa tiga hari. Antara lain, saya meramalkan ia akan berterusan.’’

Sementara itu, Presiden Pergerakan Keadilan Antarabangsa (JUST), Dr. Chandra Muzaffar pula berkata, bukan sekali dua, Israel serta AS membelakangkan PBB.

Ini secara jelas menunjukkan istilah takut atau gentar tiada dalam kamus Tel Aviv dan Washington.

Contoh ketara ialah perang ke atas Iraq. Tindakan kurang siuman dan kegilaan Presiden George W. Bush menyebabkan bumi Iraq dihujani peluru canggih pada 20 Mac 2003.

Dalam hal Lebanon pula, kewarasan Bush juga melewati batas kemanusiaan apabila mengeluarkan kenyataan pihaknya telah membekalkan bom dan peluru tepat kepada Israel untuk menghancurkan bumi Beirut.

Kenyataan dikeluarkan ketika mana dunia dipertontonkan dengan imej sedih dan sorotan pilu wajah anak-anak tidak berdosa berdarah dan cedera di sana-sini. Setakat ini seramai 411 orang maut, kebanyakannya orang awam dan selebihnya warga Israel dalam keganasan di Lebanon.

Harus diakui bahawa dalam banyak hal, PBB memang lambat bertindak. Justeru, banyak pihak menyuarakan kebimbangan mengenai relevan peranan PBB dalam menangani isu dan konflik dunia selepas badan dunia itu diperlekehkan AS dan Israel.
‘‘Perang di Lebanon telah pun berlaku, jika boleh dihentikan sekarang adalah sesuatu yang baik tetapi dalam soal ini, kita lebih bimbangkan peranan PBB.

‘‘Kita mesti pertahankan kewujudan organisasi dunia itu walau apa terjadi sekalipun,’’ kata beliau.

Dalam membuat tindakan, sewaktu perang di Bosnia yang meragut ratusan ribu nyawa tidak berdosa ekoran veto Rusia adalah antara contoh kelemahan PBB.

PBB juga mencatatkan kegagalan paling memalukan kerana tidak berupaya mempertahankan zon selamat yang diwujudkannya selain konflik Israel-Palestin dan krisis di Kashmir.

Mengambil kira krisis di Lebanon, kita jujur sahaja mengakui akan terus terpaku kesedihan melihat bumi itu dihancurkan. Pendek kata, nyawa empat petugas PBB juga sama murah dengan hayat orang-orang awam yang mati di hujung bom canggih Israel selama ini. Ia sama sekali tidak senilai dengan nyawa dua askar Israel, dikenali sebagai Ehud Goldwasser dan Eldad Regev yang diculik di sempadan Israel-Lebanon pada 12 Julai lalu _ peristiwa yang mencetuskan keganasan secara besar-besaran sehingga hari ini ke atas Lebanon. - Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN) Utusan Malaysia 27 Julai 2006.

SEJARAH BUKTI
KEZALIMAN YAHUDI

Kezaliman Israel terhadap orang Islam sebenarnya bukan baru. Walaupun serangan terbaru Israel ke atas Palestin dan Lubnan lebih menjurus kepada faktor politik, isu keagamaan tidak boleh diketepikan memandangkan seteru mereka – Hizbullah dan Palestin menonjolkan imej pejuang Islam.

Bagi penganut Islam, tindakan kekerasan dilakukan Israel seharusnya boleh dijangka kerana al-Quran sendiri banyak menceritakan bagaimana orang Yahudi mengingkari perintah Tuhan walaupun sebahagian besar Rasul dan Nabi adalah dari kalangan kaum itu.

Malah, Allah memberi peringatan kepada umat Islam menerusi Surah al-Maidah, ayat 82 bermaksud: “Sesungguhnya kamu dapati orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang beriman ialah orang Yahudi dan musyrik.”

Shakil Ahmed Zia, dalam bukunya A History Of Jewish Crimes pula menyenaraikan beberapa ‘jenayah besar’ yang dilakukan kaum Yahudi terhadap Nabi dan Rasul, Islam, Kristian, Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Barat. Akibat jenayah yang mereka lakukan itu maka wujud gerakan anti-Yahudi dengan sejarah juga menunjukkan bagaimana golongan Yahudi pernah diperangi, ditindas serta sentiasa dipandang penuh curiga di mana saja mereka berada terutama di Eropah.

Asalnya, Islam tidak memusuhi kaum berkenaan. Hal ini dibuktikan ketika permulaan Islam yang mana mereka diberi hak sama seperti penduduk Madinah lain. Mereka hanya diusir selepas melanggar perjanjian dengan orang Islam apabila bersekongkol secara sulit dengan musuh Islam untuk menyerang Madinah.

Malah, seorang pendeta Yahudi, Rahib Benjamin Blech, dalam bukunya Jewish History and Culture menyatakan orang Yahudi menikmati zaman paling aman, kreatif, produktif dan menyinar selepas kemunculan Islam.

Sambil menyifatkannya sebagai zaman keemasan, Blech berkata sifat toleransi jelas kelihatan antara orang Arab dan Yahudi ketika zaman berkenaan yang memungkinkan lahir ramai golongan intelektual, ahli perniagaan, ahli seni, diplomat dan penasihat kerajaan yang disegani di kalangan orang Yahudi.

Begitu juga ketika zaman pertengahan, kaum Yahudi menjadi antara golongan kaya, maju, berpengaruh serta menjadi antara kaum teramai ketika pemerintahan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Mereka hidup dalam suasana makmur di bawah pemerintahan kerajaan Islam dalam tempoh 900 hingga 1200 Masihi sehingga kerajaan berkenaan ditumpaskan oleh tentera Kristian di bawah naungan Ratu Isabella.

Selepas kejatuhan Granada di tangan Isabella dan Ferdinand II, kedua-duanya mengeluarkan Perintah Alhambra pada 1492 bagi mengusir semua orang Yahudi dari Sepanyol dan seluruh wilayah jajahannya.

Sebahagian besar orang Yahudi yang diusir itu kemudian mendapat perlindungan daripada Kerajaan Uthmaniah di Turki. Sikap toleransi itu juga ditunjukkan oleh Salahuddin Al-Ayubi ketika menguasai Baitulmaqdis dan ditonjolkan oleh pihak Barat sendiri menerusi beberapa filem keluaran Hollywood dengan yang terbaru menerusi Kingdom In Heaven.

Seperti dinyatakan dalam al-Quran, kaum Yahudi tidak pernah berpuas hati selagi orang Islam tidak mengikut telunjuk mereka. Bekas Dekan Fakulti Usuluddin Universiti al-Azhar, Prof Dr Mahmud Hamdi Zaqzuq, dalam bukunya, Orientalisme: Kesan Pemikirannya terhadap tamadun Islam berkata sepanjang sejarah orang Yahudi sentiasa mengintai peluang untuk menghancurkan Islam dan umatnya dan satu daripada caranya ialah menerusi gerakan Orientalisme.

"Mereka dapati gerakan itu sebagai pintu untuk memasukkan racun bagi menentang Islam dan orang Islam, lalu mereka masuk ke dalam bidang ini dengan berselindung di sebalik tujuan ilmu seperti mereka dapati gerakan Zionisme itu satu pintu lain yang boleh menguasai orang Arab dan orang Islam," katanya.

Dr Mahmud bagaimanapun menyatakan sukar untuk mendapat jawapan lebih jelas mengenai peranan sebenar Yahudi terhadap gerakan Orientalisme kerana sumber rujukan bagi membicarakan hal itu tertutup berikutan kejayaan golongan berkenaan menyusup masuk dan menyesuaikan diri sehingga menjadi satu unsur asasi dalam gerakan Orientalis Eropah.

Beliau hanya memberi contoh, Ignaz Goldziher (1850-1921), yang berjaya pada zamannya untuk menjadi seorang ketua pakar dalam pengajian Islam dan diiktiraf sebagai pengasas pengajian Islam moden di Eropah.

Goldziher menjelajah negara Islam terutama Syria, Palestin dan Mesir serta menghadiri ceramah ulama dan cendekiawan Islam di Universiti al-Azhar di Kaherah. Kepakarannya sukar diatasi oleh mana-mana sarjana Barat sehingga bukunya seperti Islamic Theology and Law masih dihargai, dirujuk dan dihormati oleh golongan Orientalis sehingga sekarang.

Goldziher juga yang menyebarkan cerita palsu kononnya Masjid Kubah Batu di Palestin dibina oleh Khalifah Abdul Malik Marwan sebagai usaha mengalih kiblat umat Islam daripada Kaabah di Makkah ke Baitulmaqdis kerana cemburu terhadap pengaruh Abdullah Az-Zubair yang menjaga Kaabah ketika itu.

Sebenarnya, ada ramai lagi orang Yahudi menjalankan kajian secara mendalam terhadap Islam dan umatnya yang secara tidak langsung memberi dua keuntungan kepada mereka iaitu memajukan diri dan bangsa mereka serta melemahkan umat Islam.
Antaranya seperti Abraham Geiger (1810-74), rahib muda dari Frankfurt, yang menerbitkan buku Was hat Mohammed aus dem Judenthume aufgenommen?, yang mendakwa ajaran Islam adalah diciplak dari agama asal Yahudi.

Martin Kramer, dalam bukunya The Jewish Discovery of Islam menyatakan senarai pengembara, penulis dan ahli akademik berbangsa Yahudi yang memberi sumbangan dalam usaha memberi kefahaman Eropah terhadap Islam dan Arab terlalu ramai.

Sebenarnya, jumlah mereka bukan saja terlalu ramai tetapi juga terus bertambah dengan usaha tidak henti-henti dan tanpa jemu mengkaji mengenai Arab dan Islam serta menerbitkan buku mengenainya. Josef Horovitz (1874-1931), misalnya, sanggup mengembara bertahun-tahun ke Turki, Mesir, Palestin dan Syria, semata-mata mencari manuskrip Arab silam.

Sehingga kini, sudah wujud pelbagai institut dan pertubuhan di Eropah dan Amerika Syarikat yang melakukan kajian mengenai Arab dan Islam. Malah, ada antaranya yang sudah begitu kukuh kedudukannya dan dihormati di seluruh dunia, memiliki tenaga pengajar yang fasih berbahasa Arab serta menyimpan manuskrip Islam silam.

Walaupun tidak jelas peranan kaum Yahudi terhadap institusi berkenaan, yang jelas rujukan mengenai Islam lebih banyak menggunakan buku dan kajian dilakukan Orientalis berketurunan Yahudi seperti Goldziher, Geiger, Gustav Weil (1808-89), Hartwig Derenbourg (1844-1908), Solomon Munk (1805-67) dan Moritz Steinschneider (1816-1907).

Ketika ini, usaha mereka boleh dianggap agak berjaya kerana masyarakat Yahudi yang hanya berjumlah kira-kira 14.5 juta orang di seluruh dunia dengan sebahagian besarnya tinggal di Amerika Syarikat dan Israel berjaya mengawal pemikiran penduduk dunia serta menggunakan sejarah untuk mengalihkan perasaan curiga masyarakat Barat terhadap mereka kepada umat Islam.

Mereka sentiasa mengingatkan Barat mengenai dosa ‘holocaust’ serta kemenangan Islam dalam Perang Salib.

Ironinya, masyarakat Islam sendiri seakan tidak berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan itu dengan membiarkan sejarah terus dicipta oleh bangsa Yahudi seperti dakwaan Blech. Umat Islam seakan-akan terus membiarkan masa depan mereka direncanakan mengikut acuan kaum Yahudi dan masyarakat Barat.

Jika masyarakat Barat dan kaum Yahudi berlumba-lumba mengkaji Islam dan umatnya, orang Islam sendiri seolah-olah bukan saja tidak berminat terhadap ajaran agama sendiri, malah sanggup menerima bulat-bulat tafsiran mengenai agama mereka yang dibuat oleh Barat dan kaum Yahudi.

Justeru, sudah tiba masanya orang Islam kembali kepada al-Quran dan hadis serta tradisi budaya ilmu seperti zaman permulaan dan kegemilangan pemerintahan Islam terdahulu. Sarjana Islam harus mengkaji pemikiran Yahudi dan mempelajari bagaimana kaedah yang mereka gunakan sehingga berjaya menjadi bangsa yang hebat di dunia ketika ini walaupun populasi mereka hanya kira-kira satu peratus daripada penduduk dunia.

Kegigihan dan kesungguhan menuntut ilmu dalam pelbagai bidang serta kesanggupan sarjana berketurunan Yahudi menjelajah serata dunia semata-mata untuk meneroka ilmu baru sewajarnya perlu dicontohi umat Islam.

Di Malaysia, misalnya, belum ada lagi institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian pemikiran, sejarah atau budaya Yahudi, pecahan mazhab agama kaum berkenaan, kitab Talmud serta melahirkan mereka yang pakar dalam bahasa Ibrani. Sebaliknya, perkataan ‘Yahudi’ di negara ini dan negara Islam lain sering digunapakai sebagai jolokan negatif bagi perkembangan, pemikiran atau sikap yang dianggap membahayakan umat Islam.

Secara tersurat, keadaan ini berbeza di Israel. Selain bahasa Ibrani, Israel sendiri menjadikan bahasa Arab sebagai satu daripada bahasa rasminya sekali gus memastikan rakyatnya memiliki keupayaan bertutur dan membaca dalam bahasa al-Quran itu. Persoalannya sekarang, berapa ramaikah umat Islam yang fasih bertutur dan membaca dalam bahasa Ibrani?

INTI PATI

Al-Quran banyak menceritakan kedegilan Yahudi seperti bagaimana orang Yahudi mengingkari perintah Tuhan walaupun sebahagian besar Rasul dan Nabi adalah dari kalangan kaum itu.

Yahudi jadikan gerakan Orientalisme sebagai pintu untuk memasukkan racun bagi menentang Islam dan orang Islam, lalu mereka masuk ke dalam bidang ini dengan berselindung di sebalik tujuan ilmu.

Seorang tokoh Yahudi, Ignaz Goldziher (1850-1921), yang berjaya pada zamannya untuk menjadi seorang ketua pakar dalam pengajian Islam dan diiktiraf sebagai pengasas pengajian Islam moden di Eropah. - Oleh Shamsul Kamal Amarudin. Berita Harian 27 Julai 2006.


PALESTIN
SERTAI HIZBULLAH
TENTANG ISRAEL


BAITULMAQDIS 26 Julai – Para pejuang Palestin yang berpangkalan di Lebanon akan menyertai pejuang Hiz-bullah dalam peperangan menentang tentera Israel.

Pemimpin Fatah di Lebanon, Sultan Abu al-Aynain berkata, pihaknya mempunyai beribu-ribu pejuang di Lebanon yang bersedia menyertai peperangan dan memberi amaran supaya Israel tidak menyasarkan serangan ke atas khemah-khemah pelarian Palestin.

Bagaimanapun sumber yang rapat dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang juga pemimpin Fatah enggan memberi ulasan terhadap kenyataan Sultan Abu itu.

Sumber itu memberitahu, Abu Sultan merupakan “pemerintah tentera” Fatah di Lebanon.
Sumber-sumber memberitahu, pada masa lalu Sultan Abu pernah dihantar ke Iraq untuk berjuang menentang kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS).

“Kami mahu mempertahankan khemah-khemah kami dan kami akan berjuang untuk mempertahankan kehormatan dan maruah kami,” katanya kepada televisyen Al-Arabiya.
– Agensi. Utusan Malaysia 27 Julai 2006.



ASEAN PERLU
BERSUARA LANTANG
KEPADA AS


Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleeza Rice akan datang ke Malaysia untuk bertemu pemimpin-pemimpin ASEAN hari ini.

Kita percaya inilah peluang bagi ASEAN menyatakan dengan tegas tentang pendirian rantau ini kepadanya berhubung konflik Asia Barat, termasuk soal gencatan senjata di Lebanon dan masalah Palestin.

Sememangnya Israel bersikap keterlaluan dan bertindak bermaharajalela dengan sewenang-wenangnya membunuh orang awam tanpa menghirau tekanan dan pendirian dunia.

Maka kita sedar bahawa sikap sedemikian negara Zionis itu adalah kerana sokongan penuh AS yang secara tidak langsung menggalakkan perbuatan itu.

Kita sewajarnya hairan bagaimana kuasa besar yang menganggap dirinya polis dunia dan menyeru kepada hak asasi manusia dan demokrasi serta mengajak dunia memerangi keganasan tetapi sanggup membiarkan rejim Tel Aviv melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin dan Lebanon.

Daripada pengalaman lalu, dunia seolah-olah lumpuh bila berdepan dengan Israel; yang mendapat sokongan ketenteraan, ekonomi dan moral dari AS dan Eropah, tetapi kita tidak wajar mengalah. Usaha mesti terus digembleng untuk memberi tekanan dan suara kepada AS dan Israel. Maka itulah kedatangan Rice ke negara wajar dimanfaatkan.

Dalam pada itu ASEAN mesti mempunyai satu suara dengan tegas dan lantang menyerukan kepada penyelesaian konflik di Asia Barat, baik berbentuk jangka pendek mahupun jangka panjang.

Sememangnya di kalangan negara-negara ASEAN yang berjumlah 10, hanya tiga merupakan negara-negara bermajoriti Islam iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei yang jelas menyokong perjuangan Palestin.

Tetapi apa yang kita hadapi ini bukan isu agama. Rakyat Lebanon dan Palestin yang kita simpati adalah bukan kerana agama mereka. Tidak semua rakyat Lebanon dan Palestin beragama Islam, banyak di kalangan mereka beragama Kristian dan mazhab-mazhab minoriti lain.

Isu ini bukan soal agama. Ia adalah masalah kemanusiaan dan keselamatan. Kita menentang Israel bukan kerana agama atau bangsa mereka iaitu Yahudi tetapi adalah sikap dan perangai mereka yang zalim dan ganas terhadap rakyat palestin dan Lebanon. Sesungguhnya dunia ini adalah untuk semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa, dan bukan hanya untuk penganut agama Yahudi.

Kita amat menghormati kuasa besar itu serta nilai-nilai baik yang didokongnya seperti kebebasan, demokrasi dan hak manusia. Tetapi kita amat prihatin kerana mereka bersikap dwistandard dengan memilih nilai untuk memberikan layanan. Mengapakah apabila Israel menginjak-injak hak asasi bangsa lain serta melakukan keganasan terhadap orang awam dianggap sebagai mempertahankan diri?

Di sinilah negara-negara ASEAN mesti bersatu dan menampilkan nilai-nilai yang kita bersama pegang iaitu bersikap memperjuangkan keamanan, kemerdekaan, keselamatan dan perdamaian.

Kita percaya setiap negara ASEAN menjunjung nilai-nilai politik yang murni berhubung dengan perjuangan untuk kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran serta hak setiap negara untuk mengamalkan sistem politik masing-masing.

Palestin mahukan negara sendiri yang merdeka dan berdaulat. Sementara Lebanon mahu menjadi negara yang membangun, maju dan makmur tanpa dibayangi dengan perang. Adalah menjadi kepentingan ASEAN untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan Lebanon. – Rencana Pengarang Utusan Malaysia 27 Julai 2006.




PETRONAS SAH BELI SAHAM
ROSNEFT RM4 BILION


KUALA LUMPUR 26 Julai – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Mohd. Hassan Marican hari ini mengesahkan syarikat minyak kebangsaan itu membeli saham-saham bernilai AS$1.1 bilion (RM4.07 bilion) dalam syarikat gergasi minyak Rusia, OAO Rosneft.

Beliau yang tidak menolak kemungkinan untuk meningkatkan lagi pegangan ekuiti dalam Rosneft berkata, pemilikan Petronas itu akan memantapkan kedudukannya sebagai peserta utama industri minyak dan gas sejagat.

Mohd Hassan berkata, Petronas sebagai syarikat yang bercita-cita menjadi pemain global, tidak boleh mengenepikan peluang-peluang perniagaan minyak dan gas di Rusia.

Rusia, kata beliau, mempunyai sumber minyak yang luas dan berada di kedudukan yang strategik di tengah-tengah antara Eropah dan Asia selain laluan menghubungi timur dan barat.

Petronas, katanya, sentiasa memerhati dengan penuh minat perkembangan industri minyak dan gas di Rusia, selain giat membina hubungan niaga dengan syarikat minyak dari Rusia dalam penerokaan minyak, seperti Gazprom di Iran.

“Maka itu, ia adalah sesuatu yang logik untuk dilakukan (menyertai Rosneft) sekiranya Petronas ditawarkan peluang untuk turut serta. Ini juga akan mengurangkan risiko geografi (Petronas).

“Rosneft adalah syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik, diurus dengan bagus dan sebuah entiti yang sedang berkembang pesat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan Petronas Gas Bhd. di sini, hari ini.

Pengesahan beliau itu adalah kenyataan rasmi pertama Petronas selepas proses IPO Rosneft di London, awal bulan ini.

Mengikut laporan media, lebih daripada separuh jualan saham Rosneft bernilai AS$10.4 bilion, iaitu IPO keenam terbesar di dunia, diagihkan kepada lima pelabur termasuk tiga buah syarikat minyak asing termasuk Petronas.

Dua lagi pelabur ialah sebuah bank milik kerajaan Rusia dan seorang individu yang dirahsiakan identitinya, lapor Dow Jones.

Harganya berada di lingkungan AS$5.85 dan AS$7.85 sesaham biasa, menjadikannya memiliki permodalan pasaran antara AS$60 dan AS$80 bilion.

Mohd. Hassan juga menolak kebimbangan mengenai risiko melabur dalam syarikat pengeluar ketiga terbesar Rusia itu yang berdepan dengan beberapa saman mahkamah, persoalan mengenai kebebasan ahli lembaga pengarah dan ketidak tentuan hala tuju kerajaan Rusia yang masih menguasai 85 peratus kepentingan ekuiti Rosneft.

Katanya, penyertaan Petronas dalam Rosneft juga turut mengurangkan risiko geografinya, yang kini tertumpu di benua Afrika.

Mohd Hassan berkata, sebanyak 78 peratus perolehan Petronas adalah datangnya daripada segmen jualan antarabangsa dan eksport.

“Satu daripada strategi yang memerlukan Petronas meluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa adalah pasaran Malaysia yang kecil serta faktor bahawa minyak dan gas adalah perniagaan global.

“Kami memiliki keupayaan dan kepakaran untuk menyertai Rosneft,” kata Mohd. Hassan. – Utusan Malaysia 27 Julai 2006.



ROSNEFT PERKUKUH
MISI GLOBAL PETRONAS


LANGKAH Petronas membeli kepentingan ekuiti dalam syarikat minyak Russia, Rosneft yang membabitkan pelaburan AS$1.1 bilion adalah sebahagian strateginya untuk muncul sebagai peserta global dalam industri minyak dan gas.

Syarikat minyak kebangsaan itu juga tidak menolak kemungkinan untuk menambah pelaburan dalam syarikat itu jika mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

“Kami tidak akan menolak jika diberikan peluang,” kata Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Beliau menegaskan, Petronas berhasrat menjadi peserta global industri minyak dan gas, justeru, pelaburan dalam Rosneft itu adalah sesuatu yang logik untuk dilakukan kerana Russia mempunyai sumber minyak dan gas yang besar.

“Kami perlu mempunyai kehadiran di Russia kerana ia akan mengembangkan lagi jangkauan Petronas pada peringkat global,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan Petronas Gas Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Perniagaan Petronas di luar negara kini merangkumi 38 peratus daripada keseluruhan operasinya, tetapi menyumbang kira-kira 78 peratus kepada jumlah pendapatan.

Mohd Hassan berkata, penyertaan Petronas dalam syarikat Russia itu juga sebahagian daripada strateginya untuk menyeimbangkan risiko pelaburan di luar negara.

“Pelaburan dalam Rosneft ini juga mampu mengurangkan risiko geografik perniagaan kami,” katanya sambil menambah Petronas kini sudah pun bertapak kukuh di Afrika dan Asia Barat.

Dalam kenyataan pertamanya berhubung pelaburan Petronas dalam syarikat Russia itu, Mohd Hassan turut menolak kebimbangan sesetengah penganalisis mengenai risiko melabur dalam Rosneft.

“Rosneft adalah sebuah syarikat yang diuruskan dengan baik,” katanya.

Beliau menegaskan, Rosneft juga adalah sebuah syarikat yang mempunyai potensi besar kerana Russia yang terletak di antara Timur dan Barat berada di kedudukan strategik bagi memenuhi pasaran minyak dan gas di kedua-dua bahagian terbabit.

“Kami sudah memantau perkembangan situasi di Russia sejak beberapa tahun lalu. Sebelum ini kami sudah mempunyai kerjasama dengan syarikat Russia dan Gazprom di Iran serta Lukoil di Uzbekistan,” katanya.

Selain Petronas, dua lagi syarikat minyak antarabangsa yang turut membeli saham Rosneft yang ditawarkan dalam tawaran awam permulaannya (IPO) ialah BP dengan nilai pelaburan AS$1 bilion dan CNPC AS$500 juta.

Rosneft yang dikuasai Kerajaan Russia menawarkan kira-kira 13 peratus daripada sahamnya dalam IPO bernilai AS$10.4 bilion.

Sementara itu, mengenai projek rangkaian paip gas yang menghubungkan Kimanis di Sabah dan Bintulu di Sarawak sepanjang 480 km dijangka siap 2010, Mohd Hassan berkata, ia akan dikendalikan oleh Petronas Gas (PGas).

Beliau yang juga adalah Pengerusi PGas berkata, tinjauan masa depan anak syarikat Petronas itu adalah cerah kerana peningkatan permintaan gas menyediakan peluang perniagaan besar kepada syarikat itu.

“Tentunya masa depan PGas akan lebih baik daripada tahun sebelumnya. Perniagaan ini juga adalah stabil memandangkan jumlah penggunaan gas sentiasa meningkat,” katanya. - Oleh Nor Liza Ahmad. Berita Harian 27 Julai 2006.



2,332 DIBUANG SEKOLAH
DALAM MASA ENAM BULAN


PADANG BESAR: Seramai 2,332 pelajar dibuang sekolah di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana pelbagai kesalahan disiplin, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar

Dalam tempoh sama, beliau berkata, 3,184 lagi pelajar digantung sekolah.

“Jumlah kes buang dan gantung sekolah itu bagaimanapun menunjukkan aliran menurun berbanding tahun lalu. Rekod kementerian menunjukkan sepanjang tahun lalu seramai 7,453 pelajar dibuang sekolah, manakala 15,148 lagi digantung sekolah.

“Bagaimanapun, jika dibanding dengan lima juta pelajar di seluruh negara, peratus yang mewakili buang sekolah tahun ini hanya 0.01 peratus manakala kes gantung hanya 0.06 peratus.

“Tahun lalu, peratusnya agak tinggi iaitu 0.4 peratus dibuang sekolah dan 0.9 peratus gantung sekolah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jati Diri murid sekolah menengah peringkat kebangsaan di Pusat Kokurikulum, Jalan Kaki Bukit di sini, semalam.

Seramai 80 pelajar sekolah menengah dari Perlis dan Kedah yang dibuang dan digantung sekolah mengikuti program ala Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diadakan selama enam hari bermula 21 Julai lalu dan berakhir semalam.

Noh berkata, daripada 2,332 pelajar yang dibuang sekolah tahun ini, 1,897 daripada mereka membuat rayuan dan diterima semula manakala 425 lagi tidak berbuat demikian.

Dalam pada itu, Noh berkata, Kementerian Pelajaran tidak boleh memansuhkan hukuman buang dan gantung sekolah kerana ia perlu untuk menangani masalah disiplin pelajar.

“Pelajar yang melanggar disiplin patut menerima hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan itu.

“Kita tak boleh mansuh. Buang dan gantung sekolah adalah satu hukuman. Dari hukuman ringan hinggalah kepada yang paling berat iaitu buang sekolah. Ini adalah hukuman. Setiap yang salah mesti dikenakan hukuman,” katanya. – Berita Harian 27 Julai 2006.




.


Thursday, July 27, 2006

HARI MALANG
UNTUK KUDA KEPANG

Hari ini kuda kepang kena serang dari pagi sampai petang. Jadi, minta maaf banyak-banyak. Nampaknya ada orang dah panas dengan tulisan kuda kepang. Apa pun, harap ambil ingatan. Jangan bagi kuda kepang naik syeh. Kalau kuda kepang naik syeh nanti kuda kepang tendang dan terajang sampai banyak pihak terduduk dan terbongkang.
Kuda kepang harap bacalah NST hari ini. Ada tak kisah zionis Israel bunuh pegawai PBB dalam paper tu. Kalau tak ada, kenapa? Inikah suratkhabar UMNO? Tapi dengar-dengarnya, Ogos ini ada 'bom' akan meledak. Tak taulah siapa akan jadi mangsanya.
Selamat malam dan selamat berjuang untuk bangsa, agama, dan negara. - KUDA KEPANG

Wednesday, July 26, 2006

BADAWI:
TINDAKAN ISRAEL
TERORISME NEGARA

JAKARTA, MINGGU- Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Badawi, menyatakan tindakan Israel di Lebanon sudah di luar batas dan melebihi kepatutan, sehingga aksi negara itu sudah merupakan terorisme yang didukung oleh negara (state sponsored terrorism).

"Itu sudah diakui dunia. Orang di mana-mana sudah marah, rakyat di negara-negara sudah marah," katanya di Jakarta, Ahad 23 Julai 2006.

Menurut Badawi yang berkunjung ke Indonesia untuk menerima anugrah Doktor Honoris Causa dari Universitas Islam Negeri Jakarta itu, yang marah terhadap kebrutalan Israel itu bukan saja masyarakat di negara-negara Muslim, melainkan juga di negara non-Muslim seperti Australia, Spanyol dan lain-lain. "Semua pihak harus berupaya menghentikan serangan-serangan itu," tegasnya.

Badawi mengatakan sebagai Ketua Organisasi Konferensi Islam (OKI) pihaknya sudah melakukan berbagai upaya untuk menekan Israel agar melakukan gencatan senjata. Ia sudah berkirim surat kepada Dewan Keamanan PBB, Sekjen PBB Kofi Annan dan Sekjen Liga Arab. Namun, upaya tersebut berhadapan dengan Amerika Serikat yang cenderung membela Israel termasuk dalam sidang-sidang di Dewan Keamanan.

"Amerika Syarikat tidak bisa lagi dikatakan netral, karena sudah memihak kepada Israel. Bahkan menurut laporan media, Amerika mengancam mengirim bantuan bom-bomnya kepada Israel. Itu adalah WMD, weapon of mass destruction (senjata pemusnah massal)," katanya. -
http://www.kompas.com/



PERINGATKAN BADAI
DI TIMUR TENGAH


Dushanbe, Tajikistan-RoL-- Badai sedang mematang di Timur Tengah dan akan menyerang dengan hebat, kata Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad kepada wartawan hari Selasa.

"Badai sedang mendekat di Timur Tengah dan akan menyerang secara hebat musuh kemanusiaan," kata Ahmadinejad di Dushanbe, ibukota Tajikistan. "Mereka yang menabur angin akan menuai badai dan itu sangat berbahaya bagi kawasan tersebut," tambahnya sesudah bertemu dengan Presiden Tajik Emomali Rakhmonov.

Ahmadinejad sedang melakukan lawatan dua hari ke negara Asia tengah itu, yang dinilai sebagai upaya memperkokoh pengaruh diplomatik dan ekonomi Teheran di kawasan tersebut. "Libanon adalah negara berdaulat bersejarah. Ia memiliki agama dan haknya. Serbuan tidak menyelesaikan masalah, tapi hanya meneguhkan persoalan di kawasan itu," katanya.

Ahmadinejad memperingatkan bahwa sengketa antara Libanon dengan Israel dapat melibatkan seluruh Timur Tengah seperti badai. "Jika persoalan diputuskan melalui penggunaan kekerasan, segalanya menjadi rumit berganda," kata Ahmadinejad di ibukota negara bekas Soviet itu.

Rakhmonov dan Ahmadinejad menandatangani pernyataan bersama mengungkapkan keprihatinan atas kemelut di Timur Tengah dan menyeru badan antarbangsa turun tangan.

"Tajikistan dan Iran sangat prihatin pada keadaan di Palestina dan Libanon dan tidak menerima penggunaan kekerasan apa pun serta menyeru seluruh badan antarbangsa segera menyelesaikan masalah itu," kata pernyataan tersebut.

Israel terus membomi Beirut hari Selasa, mengahiri 24 jam "ketenangan", yang bersamaan dengan kunjungan Menteri Luar Negeri Amerika Serikat Condoleezza Rice ke kawasan itu.

Iran mendukung kelompok gerilya pejuang Syiah Libanon Hizbullah, yang menawan dua serdadu Israel sesudah serangan lintas batas pada 12 Juli, menyebabkan Israel melancarkan serangan udara atas Libanon.

Ahmadinejad dalam percakapan telepon dengan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan hari Sabtu mengusulkan diselenggarakan pertemuan darurat Organisasi Konferensi Islam (OIC) untuk mencari jalan mengahiri serangan Israel terhadap Libanon.

Menurut Biro urusan Pers Kantor Presiden tersebut, Ahamdinejad menganggap penting pertemuan negara anggota OIC, khususnya di kawasan itu, yang diperlukan dalam keadaan seperti sekarang.

Ia menambahkan bahwa pemerintah Islam, termasuk negara kawasan itu, harus memperhatikan tanggungjawab mereka dengan tindakan lebih gencar, karena jika mereka gagal melakukannya, kekerasan tidak akan terbatas pada Libanon.

Dengan mengacu pada kebungkaman badan antarbangsa serta dukungan sejumlah negara Barat bagi kejahatan Israel, termasuk pembantaian terhadap warga, Ahmadinejad menyeru gerakan jauh lebih gencar negara Islam, yang bertujuan mengahiri serangan Israel.

Presiden Iran tersebut menegaskan bahwa dalih Israel berupa penangkapan dua tentara Zionis itu untuk melancarkan serangan besar-besaran tersebut bertujuan melaksanakan gerakan dengan maksud menghancurkan sebagian besar prasarana dan membunuh ratusan warga.

Ia menambahkan bahwa penguasa Zionis itu adalah ancaman nyata terhadap perdamaian dan keamanan dunia serta negara itu berhasil mencapai tujuannya dalam tahap ini, yang pasti memperluas unsur tindakan ganasnya.

Ahmadinejad mengatakan, "Kemarahan negara kawasan itu atas ketidakacuhan negara besar dunia meningkat dan jika mencapai titik bahaya, hubungan lama negara Timur Tengah dengan mereka, khususnya Eropa, akan memburuk dengan parah." - antara/afp/reuters/mim


3,000 TENTERA LAUT
AS-MALAYSIA
JALANI LATIHAN BERSAMA

KEMAMAN 25 Julai 2006: Seramai 3,000 anggota tentera laut Amerika Syarikat dan Malaysia sedang menja­lani latihan kesiapsiagaan bersama da­lam Eksesais Cooperation Afloat Rea­diness And Training CARAT) di per­airan Laut China Selatan dan Mersing, Johor, selama 10 hari hari bermula semalam.

Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais Markas Operasi Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia Brig Jen Datuk Jusof Embong, berkata latihan secara bersepa­du itu boleh menjadi satu platform ke­pada kedua-dua negara untuk bekerja­sama lebih erat dalam bidang ketente­raan.

Beliau berkata program latihan itu melibatkan kaedah peperangan di laut dan darat, latihan menyelamat serta perhubungan komuniti dengan pendu­duk setempat.

“Kementerian Pertahanan amat ber­besar hati menerima kunjungan ki­ra-kira 1,500 Tentera Laut Amerika Syarikat untuk menjalani latihan di perairan Laut China Selatan dan juga di sekitar pantai Mersing.

“Kita berharap agar latihan ini ber­jalan lancar tanpa, sebarang perkara yang tidak diingini dan saya menyeru kepada anggota tentera kita supaya menimba pengalaman secukupnya da­ripada latihan yang diadakan itu,”ka­tanya semasa berucap pada majlis pe­rasmian Latihan CARAT 2006 di Awana Kijal Resort dekat sini hari ini.

Jusof berkata beberapa siri latihan lain juga telah dirancang dalam ekse­sais itu termasuk Tombak Penyu, Me­kar, Menyelamat, Peperangan Udara dan Pengawasan Pantai.

Katanya satu aktiviti kemanusiaan antara tentera Amerika Syarikat dan penduduk setempat akan diadakan di Sekolah Kebangsaan Seberang Tayur dekat sini esok.

Dalam aktiviti komuniti itu, tentera Amerika akan menghadiahkan 12 bu­ku sekolah itu di samping me­ngadakan klinik sukan, menyerahkan peralatan sukan serta dua kotak berisi alat dan perubatan di samping menge­cat sebuah bilik darjah.- Bernama. Dipetik daripada Utusan Malaysia 26 Julai 2006.

[Laut China Selatan adalah satu-satunya perairan dunia yang kritikal dan penting kepada mana-mana kuasa besar yang menitikberatkan soal keunggulan serta hegemoni geopolitik di abad ke-21, khususnya di Asia Tenggara. Laut berkenaan dikatakan kaya dengan sumber gas asli yang besar jumlahnya. Di laut ini juga terdapat beberapa kepuluan kecil yang jadi rebutan beberapa negara Asia. Lebih penting lagi, Laut China Selatan merupakan salah satu perairan strategik di sekeliling Semenanjung Malaysia. Amerika Syarikat memang sangat-sangat mengidamkan kewujudan satu pangkalan untuk tentera laut dan udaranya di wilayah ini. Sebab itu, mulai Januari 2002, Amerika Syarikat mula berpangkalan di selatan Filipina, atas alasan kononnya untuk persiapan Peperangan Antikeganasan Global di Asia Tenggara. Kini Amerika Syarikat diura-urakan berusaha keras untuk memujuk Thailand atau Vietnam untuk mengizinkannya mewujudkan satu pangkalan tentera udaranya di negara berkenaan. Pastinya Kerajaan Malaysia insaf akan semua hakikat ini. Pastinya latihan bersama di atas hanya setakat latihan bersama sahaja, sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan di hari muka. Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.]


Tuesday, July 25, 2006

ISRAEL DIBEKALKAN
100 BOM GBU-28 AS

DUBAI 24 Julai – Amerika Syarikat (AS) akan membekalkan kira-kira 100 bom ‘pemusnah kubu bawah tanah’ kepada Israel tidak lama lagi untuk membunuh pemimpin Hizbullah, Syeikh Hassan Nasrallah dan memusnahkan parit-parit pertahanan pergerakan Syiah Lebanon itu.

Akhbar milik Arab Saudi, Asharq Al-Awsat dalam laporannya hari ini memetik sumber di Washington dan Tel Aviv sebagai berkata, bom yang boleh menembusi sehingga 40 meter ke bawah tanah itu akan dihantar ke Israel dari sebuah pangkalan tentera AS di Qatar.

Israel mengebom Lebanon sejak pejuang Hizbullah membunuh lapan askar Israel dan menawan dua yang lain pada 12 Julai lalu dan pergerakan itu telah membalas serangan termasuk dengan melancarkan roket ke utara Israel.

Sekurang-kurangnya dua kali pesawat perang Israel membedil bangunan di Beirut dalam serangan yang digambarkan sebagai percubaan untuk membunuh Hassan dan pegawai kanan lain.

Hassan terselamat dalam kedua-dua percubaan itu dan beliau menyatakan para pemimpin tertinggi yang lain juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pentagon tahun lepas meluluskan penjualan 100 bom GBU-28 yang boleh menembusi konkrit setebal 7 meter tetapi disebabkan pemotongan bajet, Kementerian Pertahanan Israel memutuskan untuk tidak meneruskan pembelian.

Akhbar New York Times kelmarin memetik pegawai AS sebagai berkata, pentadbiran Presiden George W. Bush mempercepatkan penghantaran bom panduan satelit dan laser kepada Israel sebagai memenuhi permintaan rejim Yahudi berhubung operasinya di Lebanon.

Laporan itu tidak memberikan butirran mengenai bom berkenaan tetapi menyatakan penjualan itu adalah sebahagian daripada pakej yang diluluskan oleh Pentagon pada 2005.

Sementara itu di Tel Aviv, Menteri Pertahanan Israel, Amir Peretz menyatakan pejuang Hizbullah telah melancarkan 2,200 roket ke utara Israel setakat ini, separuh daripadanya mengenai pekan-pekan di kawasan tersebut.

Pegawai Pasukan Pertahanan Israel (IDF) turut mengakui bahawa usaha untuk mencegah atau mengurangkan serangan roket Hizbullah belum mendatangkan hasil.
– Agensi. Dipetik daripada Utusan Malaysia 25 Julai 2006.


SEGERAKAN GENCATAN
SENJATA DI LEBANON

Gencatan senjata perlu diwujudkan segera di Lebanon demi keselamatan orang awam. Usaha Malaysia dan lain-lain negara yang mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkan gencatan senjata merupakan langkah wajar walaupun pada perkiraan akhir, pengaruh terbesar terletak di tangan Amerika Syarikat (AS).

Sikap banyak negara di PBB berhubung perkara ini mudah difahami dan wajar diterima. Serangan bertubi-tubi rejim Tel Aviv ke atas Lebanon perlu dihalang dengan mengadakan gencatan senjata serta-merta.

Sesungguhnya dunia tidak boleh membiarkan orang awam terbunuh dengan begitu saja akibat daripada serangan Israel itu. Sikap ini bukan saja pegangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang memihak pada Palestin, tetapi demi kemanusiaan tindakan Israel itu mesti dihalang.

Malangnya, pandangan dunia secara umumnya sejak terbentuknya Israel tidak begitu dihiraukan oleh negara Zionis itu. Mereka yang walaupun menjadi anggota PBB mempunyai nilai berbeza daripada kebanyakan pandangan umum.

Rejim Tel Aviv meletakkan kepentingan mereka di atas dan melebihi sikap kemanusiaan dan kesaksamaan dengan bangsa-bangsa lain. Maka tidak hairanlah, mereka tidak mempedulikan kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat Palestin dan Lebanon. Bagi mereka, nyawa orang bukan Yahudi tidak mempunyai harga. Biar beratus-ratus orang bukan Yahudi dibunuhnya, asalkan nyawa seorang Yahudi dilindungi dengan apa cara sekalipun.

Sikap perkauman melampau ini dapat diterapkan kerana adanya sokongan AS yang telah tidak dapat membezakan antara kepentingan Israel dengan mereka sendiri.

Walaupun kita mendukung penuh segala apa jua bentuk usaha bagi menyelamatkan rakyat Palestin dan Lebanon tetapi daripada pemerhatian dan penilaian, rejim Tel Aviv hanya mengenali bahasa kekerasan.

Kita percaya objektif rejim Tel Aviv yang menyerang Lebanon adalah untuk memusnahkan sama sekali Hizbullah. Bukan itu saja, mereka menganggap semua pihak menentangnya secara senjata adalah musuh yang perlu dimusnahkan.

Baginya Hizbullah, Hamas, Syria dan Iran perlu dilumpuhkan sama sekali. Dengan pandangan seumpama ini, pastinya Asia Barat tidak akan dapat mengecapi perdamaian.

Sedangkan Israel telah pun memusnahkan Palestin dan Lebanon secara kekerasan. Kunci kepada penyelesaian politik Asia Barat adalah pembebasan dan kemerdekaan Palestin.
Tetapi apabila negara Barat menyebut keperluan menyelesaikan masalah kunci, mereka merujuk kepada pemusnahan Hamas dan Hizbullah. Israel akan mewujudkan gencatan senjata apabila ia telah memusnahkan kedua-dua kumpulan ini.

Dalam usaha penyelesaian masalah Asia Barat, kita wajar sedar bahawa rejim Tel Aviv merupakan kuasa yang berdiri di atas keganasan dan kekerasan. Sebarang usaha diplomasi ke atas mereka harus disertakan dengan gerakan ketenteraan dan persenjataan.

Malangnya, tidak ada kuasa lain yang mampu mencabar kekuatan Israel-AS ini. Kuasa-kuasa besar seperti Rusia dan China juga enggan berdepan dengan AS yang mempunyai kekuatan tentera paling tinggi.

Maka walau kesemua anggota OIC atau NAM bersatu mencabar Israel, rejim Zionis itu tidak akan mempedulikannya kerana AS berada di pihak mereka. – Rencana Pengarang. Dipetik daripada Utusan Malaysia 25 Julai 2006.



KESAN KEKERASAN ISRAEL
Serangan bertubi-tubi pengganas Israel ke atas negara berdaulat Lebanon sehingga mengorbankan beratus-ratus nyawa manusia dan menyebabkan kerugian harta benda melalui udara, laut dan darat atas alasan usaha menyelamatkan dua askarnya mengundang pelbagai syak wasangka di kalangan masyarakat antarabangsa.

Serangan Israel yang melampau ini walaupun diberi amaran keras oleh Iran dan Syria tidak dikongsi bersama oleh negara-negara Pertubuhan Liga Arab. Sebaliknya, dalam Persidangan Menteri-Menteri Luar Arab di Kaherah baru-baru ini tidak menampakan ketegasan secara kolektif terhadap Israel. Malahan, mereka berpecah kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama yang didukung oleh fahaman Sunni, menyalahkan pejuang Hizbullah kerana menculik askar Israel sehingga mengundang serangan balas Israel ke atas Lebanon.

Kumpulan kedua yang didukungi fahaman Syiah, menyalahkan Israel yang sememangnya bersedia dengan rancangan tersusun untuk menakluki negara yang berdaulat itu tanpa sebarang tindakan diplomatik. Perpecahan ini amatlah mendukacitakan dan menyebabkan Setiausaha Agung Liga Arab, Amro Moussa mengiktiraf bahawa peperangan telah menggugat keamanan dan keselamatan di Asia Barat dan proses perdamaian di situ telah ‘mati’.

Ekoran itu, beliau meminta campur tangan segera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menyelesaikan masalah penaklukan Israel yang tidak sah ini. Masyarakat dunia perlu mengakui bahawa alasan serangan Israel ke atas Lebanon sebagai operasi menyelamat dua askarnya yang diculik Hizbullah bukanlah alasan yang sebenar. Malah, ia adalah sama seperti alasan palsu senjata pemusnah besar-besaran Sadam Hussein yang pernah dikemukakan oleh pihak Amerika Syarikat bagi membentuk pakatan Coalition of Willing dalam usaha menakluki Iraq pada 2003.

Apakah alasan yang sebenar untuk Israel melancarkan peperangan kali ini ? Sekiranya isu ini dikaji secara lebih luas, antara beberapa sebab yang dapat dikenal pasti ialah seperti berikut:

Dasar dan persediaan rapi jangka panjang Israel yang sememangnya ingin memusnahkan Hizbullah di bawah pimpinan Hassan Nasrallah secara kekerasan. Serangan Israel ke atas Lebanon sesungguhnya telah lama dirancang secara rapi oleh pihak Israel.

i. Dalam masa seminggu sahaja peperangan ini, pihak Israel telah memusnah segala infrastruktur awam Lebanon seperti tiga lapangan terbang, lima pelabuhan, beratus bangunan sekolah dan kenderaan yang kononnya menjadi kubu kuat Hizbullah.

ii. Israel juga mahu memulihkan imejnya di kalangan rakyatnya yang jelas telah merosot selepas mengalami kekalahan di Lebanon pada tahun 2000 dan menyebabkan pengunduran askar Israel yang memalukan dari Semanjung Gaza pada 2005. Pengunduran yang dipersetujui oleh bekas Perdana Menteri Ariel Sharon menyebabkan perpecahan politik di Israel dan Parti Likud.

Demonstrasi dan kecaman terhadap tentera dan kerajaan Israel oleh rakyat Israel begitu memuncak dan mewujudkan ketidakpuasan di kalangan penyokong kuat zionisme. Penubuhan parti baru Kadima oleh Ariel Sharon jelas memperlihatkan perpecahan ini. Justeru, pimpinan baru parti Likud Benjamin Netanyahu yang mengantikan Sharon secara rasmi sejak awal Mei, 2006 merupakan seorang terkenal dengan sikap antipembentukan negara Palestin berdaulat dan memperjuangkan penempatan Yahudi di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

iii. Implikasi polisi Amerika Syarikat (AS) di Iraq dan kerjasama dengan Israel untuk membentuk perluasan jajahan di kawasan Asia Barat. Pentadbiran Bush yang menyokong kuat serangan Israel ke atas Hamas di Palestin dan Hizbullah di Lebanon membayangkan peperangan ini tidak akan berakhir dalam jangka masa terdekat dan memberi laluan kepada Israel untuk meneruskan kempen keganasannya tanpa sebarang halangan atau mengikut masa dan cita rasa sendiri.

Langkah Pentadbiran Bush dan Kongres AS yang terus memberi sokongan kepada Isreal dalam penentangan Hizbullah dan Hamas kononnya mereka adalah ‘Kumpulan Pengganas’ dan peperangan Israel ke atas Lebanon adalah sebagai ‘tindakan mempertahankan diri’ adalah demi menjaga kepentingan politik mereka sendiri .

Tambahan pula, pilihan raya Kongres AS akan diadakan tidak lama lagi. Sikap ‘Israel sentiasa betul’ ini juga amat jelas, apabila Kongres AS meluluskan resolusi menyokong serangan Israel ke atas pejuang Hizbullah di Lebanon dan musuh - musuh negara Yahudi secara sebulat suara pada 20 Jun 2006 dengan undian 410 menyokong dan lapan membangkang. Menurut Ketua Republikan di Kongres John Boener, hubungan ‘unik’ Israel dan AS ini menyebabkan pentadbiran AS sentiasa pro-Israel. Ini amat bertepatan dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) 2003, bahawa Yahudi memerintah dunia melalui proksi .

Keengganan pihak Israel untuk mengadakan gencatan senjata dengan pihak Hizbullah dan keganasan melampau terhadap orang awam serta tuduhan melulu terhadap peranan Iran dan Syria dalam sengketa ini oleh Israel dan AS akan mengundang kebencian melampau bukan sahaja di kalangan umat Islam bahkan juga di kalangan masyarakat bukan Islam di seluruh dunia.

Dari satu sudut, keganasan dan penaklukan ini akan menyemarakkan perpaduan di kalangan rakyat Lebanon yang terdiri daripada puak Sunni, Syiah dan Kristian yang masih menjalani proses pembinaan semula negara mereka selepas berlangsungnya perang saudara buat sekian lama.

Ia juga dikatakan dapat menyatupadukan puak Syiah dan Sunni untuk menghadapi ancaman Zionis dan penjajahan di Asia Barat selain akan meningkatkan serangan pejuang berani mati ke atas kepentingan negara-negara Barat khususnya AS dan negara -negara sekutunya.

Bagaimanapun, kesan peperangan ini juga boleh mengundang jurang perpecahan yang lebih luas di antara puak Syiah dan Sunni di negara-negara Asia Barat bagi memenuhi kepentingan pihak-pihak tertentu dan seterusnya mencetuskan persengketaan baru di kalangan mereka seperti yang pernah terjadi antara Iran dan Iraq pada tahun 1980-an.

Apa yang diperlukan sekarang ialah gencatan senjata di kedua -dua pihak demi mengelakkan peperangan ini merebak secara besar-besaran Asia Barat. Masyarakat antarabangsa juga perlu menunjukkan kesungguhan yang padu dalam menyelesaikan masalah ini secara adil dan bukannya menutup mata terhadap keganasan yang ditaja oleh kuasa besar dan proksi dunia. - Oleh MOHD. SHAFIQ ABDULLAH. Dipetik daripada Utusan Malaysia 25 Julai 2006.



EPISOD PENJAJAHAN
ABAD MODEN?

Dunia mengalami pelbagai kejutan sejak akhir-akhir ini. Konflik yang berlaku, terutama melibatkan peperangan dan ketidakstabilan di rantau Asia Barat sejak berpuluh-puluh tahun kelihatan cukup membimbangkan.

Persoalan demi persoalan timbul di kalangan masyarakat dunia, terutama terhadap beberapa insiden yang berlaku sejak bermulanya alaf baru yang disambut secara besar-besaran dulu.

Hanya setahun selepas masyarakat dunia bergembira menyambut kedatangan tahun 2000, pada tahun 2001, masyarakat dunia dikejutkan dengan peristiwa runtuhnya Pusat Dagangan Dunia (WTC), mercu tanda Amerika Syarikat (AS). Dan pada tahun yang sama, episod duka umat Islam di serata dunia pun bermula. Ia tidak lagi tertumpu terhadap Palestin dan Afghanistan semata-mata.

Keganasan, Islam, bangsa Arab, Osama bin Laden dan Al-Qaeda sengaja dimomokkan kepada masyarakat dunia. Insiden 9/11 membawa pula kepada episod duka penjajahan berdarah ke atas Iraq. Ia menjadi alasan buat AS dan sekutunya, Britain untuk bertindak sebagai kuasa 'pengaman' yang kononnya ingin memerangi keganasan. Ekoran itu, peristiwa penjajahan abad moden pun bermula dan rakyat Iraq menjadi mangsa pertama kempen memerangi pengganas.

Sejak itu juga, pelbagai tekanan telah dikenakan terhadap negara-negara Islam. Umat Islam yang hidup secara minoriti di beberapa buah negara terasa bahang kehangatan fitnah yang semakin menular. Di London misalnya, sehingga kini, setelah lima tahun berlalu, masih lagi ada apa yang digelar Islamaphobia.

Persoalannya, benarkah ia dilakukan oleh mereka yang mengaku sebagai umat Islam? Malangnya, pertanyaan itu tidak pernah sama sekali dilontarkan.

Ketika mana teka-teki itu masih tinggal tidak terjawab, Asia terkena kejutan munculnya kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) di Indonesia. Lalu, nama Abu Bakar Basyir mula menjadi sebutan AS dan sekutunya. Biarpun AS cuba mengaitkan beliau dengan agenda keganasan kumpulan radikal Islam, namun sehingga kini tiada bukti yang dapat mengaitkannya dengan markas teroris seperti pergerakan JI.

Ketika tanda tanya kewujudan JI masih membelenggu masyarakat dunia, umat Islam di selatan Thai pula bergolak. Insiden letup-meletup membuatkan kerajaan Thaksin Shinawatra sendiri bagaikan hilang punca untuk mencari siapa dalang sebenarnya.

Dan kini, Lebanon sedang marak terbakar oleh api amarah rejim Zionis. Ironinya, ia bagaikan satu kronologi selepas beberapa peristiwa besar yang lain sebagai pembuka laluan terhadap satu agenda terancang. Agenda di Lebanon ada kaitan dengan Iran, Palestin, Iraq, Syria selain mempunyai hubungan atas apa yang digelarkan ‘keganasan’ oleh pihak tertentu.

Mudah kata, Lebanon menjadi mangsa atas kerakusan agenda sesetengah manusia yang tamakkan kuasa dan kepentingan diri tanpa mengambil kira penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh pihak lain.

Apakah benar, wujud agenda bawah tanah yang terancang dan ia kini sedang dilaksanakan? - Oleh WAN MOHD HAFIZ WAN HAMZAH (WARTAWAN UTUSAN). Dipetik daripada Utusan Malaysia 25 Julai 2006.



ISRAEL PENGGANAS
NOMBOR SATU – DR. KHIR

SHAH ALAM 22 Julai – Masyarakat antarabangsa perlu menganggap Israel sebagai pengganas nombor satu dunia kerana tindakan biadap melakukan serangan ke atas negara lain seperti Lebanon dengan sesuka hati mereka.

Presiden Majlis Belia ASEAN, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, walaupun kesalahan yang dilakukan oleh negara tersebut begitu ketara namun pihaknya kesal masih tidak ada tindakan tegas diambil ke atas negara itu sehingga ke hari ini.

‘‘Saya lihat isu ini akan berpanjangan dan jika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak mengambil tindakan segera ke atas Israel bukan sahaja Lebanon yang akan diserang malah akan merebak hingga ke Syria.

‘‘Jika perkara itu berlaku saya bimbang perpaduan di kalangan umat Islam di seluruh dunia akan pupus, itulah sebenarnya matlamat mereka kerana ia akan menjadikan masyarakat Islam lemah,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Khir yang juga Menteri Besar Selangor berkata, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga perlu memberi tekanan hebat ke atas Israel kerana cara peperangan yang diamalkan negara berkenaan bukanlah jalan penyelesaian terbaik.

Kata beliau, bagi memastikan tekanan ke atas negara itu dilakukan dengan berkesan dan berterusan pihaknya bersedia bergabung dengan Pergerakan Pemuda UMNO untuk melancarkan kempen mengutuk serangan itu secara besar-besaran.

Jelasnya, kempen tersebut perlu diperluaskan hingga ke peringkat negara ASEAN dan seterusnya kepada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan OIC supaya gerakan itu dapat dilihat berjalan dengan lebih bersepadu.

‘‘Saya yakin dan percaya langkah ini boleh digerakkan kerana Malaysia merupakan pengerusi bagi pertubuhan NAM dan OIC selain mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara ASEAN,” ujarnya. – Dipetik daripada Mingguan Malaysia 23 Julai 2006



AS BEKAL ISRAEL
BOM PANDUAN TEPAT

NEW YORK 22 Julai – Ketika Israel meneruskan serangan ke atas Lebanon buat hari yang ke-11, pentadbiran George W. Bush yang sebelum ini membantah gencatan senjata di Asia Barat, membuat persediaan untuk membekalkan bom panduan tepat dengan segera untuk kegunaan tentera rejim Yahudi.

Para pegawai tentera berkata, permintaan untuk membuat penghantaran kali ini adalah di luar kebiasaan dan membayangkan Israel mempunyai beberapa sasaran yang ingin dimusnahkan di selatan Lebanon.

Israel telah pun mengumumkan bahawa serangan itu akan berterusan untuk beberapa minggu lagi.

Di bawah prosedur biasa, penyerahan tidak dibuat dalam beberapa hari selepas permintaan, tetapi ia diputuskan segera disebabkan Israel merupakan sekutu kuat Washington.

White House dilaporkan telah membuat penghantaran segera bom panduan tepat ke Israel, yang telah diminta penghantarannya pada minggu lalu, sebaik sahaja pencerobohan ke Lebanon bermula.

Akhbar The New York Times semalam memetik seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, keputusan menghantar senjata tersebut dibuat selepas berlaku perdebatan kecil dalam pentadbiran Bush bahawa pendedahan mengenai tindakan itu akan mencetuskan kemarahan di kalangan kerajaan Arab dan dunia bahawa Washington membantu Israel sama seperti Iran memberi bantuan senjata kepada Hizbullah.

Ramai pihak melahirkan kemarahan ke atas Washington yang telah pun menyatakan bantahan atas syor Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan supaya gencatan senjata segera dikuatkuasakan untuk memulihkan keamanan di Asia Barat.

Sebaliknya, AS hanya memutuskan untuk menghantar Setiausaha Negaranya, Condoleezza Rice ke Asia Barat esok bagi mencari jalan penyelesaian.

Protes peringkat antarabangsa membantah tindakan Israel dan pendirian AS berterusan buat hari ketiga berturut-turut hari ini, termasuk di Australia, Denmark dan Britain.

Bom tersebut merupakan sebahagian daripada pakej penjualan senjata bernilai berjuta-juta dolar tahun lalu yang membolehkan rejim Tel Aviv mendapat bekalan apabila memerlukannya.

Para pegawai menyifatkan penghantaran tersebut sebagai salah satu contoh pembekalan senjata secara besar-besaran kepada Israel sejak sekian lama.

Penghantaran bom tercanggih itu turut membabitkan penempatan dua kakitangan agensi kerajaan.

Akhbar itu juga melaporkan, para pegawai Pentagon dan tentera enggan menjelaskan maklumat terperinci mengenai saiz dan kandungan penghantaran ke Israel, dan mereka tidak mahu menyatakan sama ada bom-bom itu dihantar menggunakan kargo udara atau saluran penghantaran lain.

Bagaimanapun seorang pegawai berkata, penghantaran tersebut tidak boleh disamakan dengan “pembekalan kecemasan” seperti ketika Israel mengalami kekurangan senjata semasa konflik Arab-Israel 1973.

Seorang jurucakap Kedutaan Israel di sini memberitahu wartawan The New York Times bahawa: “Kami telah menggunakan senjata panduan tepat untuk mematahkan keupayaan Hizbullah dan untuk mencederakan penduduk awam.”

“Sebagai memenuhi peraturan, bagaimanapun, kami tidak mahu komen mengenai bekalan senjata untuk pertahanan Israel.”

Serangan Israel setakat ini telah mengorbankan lebih 350 orang, kebanyakannya penduduk awam di Lebanon dan di pihak Israel pula, seramai 34 orang termasuk 19 askar terbunuh.

Seramai 25,000 warga asing telah dikeluarkan dari Lebanon sejak beberapa hari lalu.
– Agensi – Mingguan Malaysia 23 Julai 2006.



AS BERI ‘LAMPU HIJAU’
ISRAEL SERANG LEBANON SEMINGGU LAGI

BAITULMAQDIS 23 Julai – Pegawai-pegawai Israel percaya mereka mendapat satu lagi ‘lampu hijau’ dari Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan serangan terhadap Hizbullah di Lebanon bagi tempoh sekurang- kurang seminggu lagi.

“Pegawai-pegawai kanan percaya Israel mendapat kelulusan Amerika untuk meneruskan operasi terhadap Hizbullah sehingga Ahad depan,” lapor akhbar Haaretz di laman webnya hari ini.

Sehingga petang ini, pihak pentadbiran AS belum mengeluarkan kenyataan sama ada mengesahkan ataupun menafikan laporan itu.

AS telah menekan keperluan untuk menangani apa yang dilihatnya sebagai punca sebenar konflik iaitu kehadiran pejuang bersenjata Hizbullah di sempadan Israel selain peranan sekutu-sekutunya, Syria dan Iran.

Serangan Israel masuk hari ke-12 hari ini, menyaksikan seramai 365 orang rakyat Lebanon terkorban manakala di pihak Israel pula 35 orang terbunuh dalam serangan balas Hizbullah.

Pada minggu lalu, Israel telah pun mengumumkan bahawa serangan pihaknya ke atas selatan Lebanon akan berterusan beberapa minggu ataupun beberapa bulan.

Pendedahan media itu muncul sehari selepas laporan akhbar The New York Times bahawa pentadbiran George W. Bush yang sebelum ini membantah gencatan senjata di Asia Barat, membuat persediaan untuk membekalkan bom panduan tepat dengan segera untuk kegunaan tentera rejim Yahudi.

Permintaan untuk membuat penghantaran kali ini adalah di luar kebiasaan dan membayangkan Israel mempunyai beberapa sasaran yang ingin dimusnahkan di selatan Lebanon.
White House dilaporkan telah memutuskan penghantaran segera bom panduan tepat ke Israel, yang telah diminta penghantarannya pada minggu lalu, sebaik sahaja pencerobohan ke Lebanon bermula.

Dalam pada itu, pesawat perang Israel membedil selatan dan timur Lebanon hari ini selepas askar yang menaiki kereta kebal dan kenderaan berperisai menyeberangi sempadan dan menawan sebuah kampung untuk memperhebatkan serangan terhadap kedudukan Hizbullah sekalipun penduduk awam bertambah menderita.

Pejuang-pejuang Hizbullah bertindak balas dengan melancarkan serangan roket bertalu-talu ke arah Israel.

Dua orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah apabila bandar pelabuhan Haifa, utara Israel dihujani roket yang dilancarkan dari Lebanon.

Sebagai usaha untuk menamatkan krisis itu, diplomat tertinggi dari Perancis, Jerman dan Britain berlepas ke rantau Asia Barat menjelang kunjungan Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice yang terus menolak seruan gencatan senjata segera sebagai janji palsu.

Dalam gelombang serangan sebelum subuh, pesawat pengebom Israel buat kali pertama menyerang bandar utama di selatan Lebanon, Sidon di mana puluhan ribu rakyat Lebanon mencari perlindungan daripada serangan Israel yang tidak putus-putus.

Sebuah bangunan tiga tingkat menempatkan pusat agama Hizbullah terkena bedilan. Israel turut menyerang pangkalan Hizbullah di pinggir selatan Beirut selain membedil kilang, jalan raya dan jambatan dalam serangan udara di kawasan Baalbeck di timur dan di kawasan selatan.

Penduduk awam yang mengibarkan bendera putih berduyun-duyun meninggalkan selatan Lebanon selepas Israel mengarahkan mereka berpindah, dipercayai sebagai persiapan untuk melancarkan serangan darat besar-besaran. – Agensi – Utusan Malaysia 24 Julai 2006.



SERANGAN ISRAEL
LANGGAR UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA

LARNACA, Cyprus 23 Julai - Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jan Egeland berkata, Lebanon sedang menghadapi krisis kemanusiaan paling besar akibat “perang yang sia-sia” dan mengadu mengenai kesukaran untuk penghantaran bantuan.

Beliau juga mendakwa Israel telah melanggar undang-undang kemanusiaan dengan melakukan serangan ke atas Lebanon.

“Serangan itu melanggar undang-undang kemanusiaan. Ia (kemusnahan) sangat besar, lebih teruk daripada dijangkakan,” kata beliau selepas melawat daerah Haret Hreik di Beirut hari ini.

Terdahulu Egeland yang berada di Cyprus dalam perjalanan ke Lebanon untuk melancarkan rayuan bantuan kecemasan, mengkritik tindak balas Israel terhadap serangan Hizbullah dan tindakan kumpulan militan itu melancarkan serangan roket ke atas negara Yahudi itu.

Beliau menyifatkan tindakan Israel mengebom sebuah kawasan kediaman sesak di Beirut yang menempatkan ibu pejabat Hizbullah sebagai satu pencabulan undang-undang kemanusiaan.

“Semuanya perlu dihentikan. Ia bukan bencana semula jadi tetapi krisis buatan manusia. Ia adalah perang yang sia-sia. Ia tidak sepatutnya dimulakan. Ia tidak sepatutnya dilaksanakan seperti sekarang.

“Kami tidak boleh membawa masuk bantuan ke negara itu dalam apa jua kuantiti atau mengedarkannya ke tempat-tempat yang tertentu. Ia sudah menjadi krisis yang besar dengan lebih setengah juta orang terjejas secara langsung,” katanya.

Kata beliau, angka itu akan bertambah dengan dramatik memandangkan penduduk di selatan Lebanon telah diminta untuk meninggalkan tempat mereka oleh tentera Israel.

Katanya, PBB akan memberi tumpuan untuk menubuhkan koridor kemanusiaan dalam tempoh beberapa hari lagi dan mahu menggunakan laluan perkapalan Cyprus-Beirut untuk membawa bantuan.

Tetapi beliau juga mahu menghantar bantuan melalui jalan raya dan udara dengan menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut yang telah ditutup sejak serangan tentera Israel.

Egeland yang diterbangkan ke Beirut awal hari ini menggunakan helikopter tentera British berkata, beliau akan melancarkan rayuan antarabangsa esok dengan ‘mendesak dan mengemis’ bagi mendapatkan RM370 juta (AS$100 juta).

“Kami sangat bimbang mengenai penduduk awam di selatan yang terperangkap dalam pertempuran. Mereka tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan serangan roket Hizbullah,’’ ujarnya.

Egeland yang bercadang melawat Israel, Selasa ini dan juga Genting Gaza menyatakan kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza akibat tindakan ketenteraan Israel. – Utusan Malaysia 24 Julai 2006



BISIK-BISIK
AWANG SELAMAT

Pada hari ini, umat Islam berada dalam kedudukan yang mudah ditindas dan dizalimi. Begitulah yang berlaku di Iraq, Palestin dan Lebanon.

Semua orang tahu, mengapa keadaan sedemikian berlaku. Jawabnya- umat Islam terutama di Asia Barat tidak bersatu.

Di rantau lain, negara yang umat Islam majoriti termasuk Malaysia, juga berdepan asakan dan cabaran tersendiri.

Maka Awang terpanggil untuk menitipkan pandangan seorang tokoh agama dan pengkaji global dari Indonesia, Muhammad Hanif yang melihat permasalahan umat Islam disebabkan kegagalan untuk kembali kepada al-Quran.

Ketika bertemu Awang kelmarin, beliau sedih kerana kitab suci itu yang sepatutnya menjadi senjata umat Islam, sudah dipinggirkan.

Ini menyebabkan umat Islam gagal menggali mukjizat al-Quran sedangkan ia mampu mempersiapkan kita menangani apa sahaja cabaran.

Membaca al-Quran, menghayati dan menjadikannya pedoman sepanjang masa, akan membentuk keunggulan dan ketahanan umat Islam.

Bekerja keras, mencintai ilmu, bersatu, tabah dan yakin, boleh dijana menerusi al-Quran.
Awang – Berjuang dalam diam. – Utusan Malaysia 24 Julai 2006.



AMERIKA SERONOK
LIHAT LUBNAN HANCUR

Jelas Amerika Syarikat (AS) turut menjadi dalang kepada kekejaman Israel ke atas rakyat Lubnan. Pakatan Tel Aviv dan Washington tetap menegaskan bahawa sebarang penyelesaian kepada krisis Asia Barat ini diasaskan kepada sejauh mana ancaman Hizbullah di selatan Lubnan.

Pentadbiran Bush melakukan apa saja bagi menangguhkan tekanan antarabangsa terhadap Israel walaupun ada memberikan peringatan kepada Tel Aviv bahawa tindakannya itu akan turut memberikan kesan kepada rakyat tidak berdosa, terutama di kawasan berhampiran sempadan Lubnan.

Lebih menyedihkan apabila lebih 300 orang mati di Lubnan, kebanyakannya rakyat awam sejak Israel melancarkan serangan lebih seminggu lalu.

Malah, Dewan Perwakilan Amerika mengundi 410-8 minggu lalu, menyokong Israel dalam pertelingkahannya dengan pejuang Hizbullah. Resolusi juga mengecam ‘musuh kepada negara Yahudi itu’.

Jadi, tiada yang mengejutkan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak supaya diadakan segera gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran Israel dengan pejuang Hizbullah, Washington menentang gencatan senjata mengejut itu.

Walaupun Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan dan Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice bertemu minggu lalu dan kedua-duanya mengutuk pihak yang berperang, jelas AS tidak menunjukkan minat memberhentikan segera pertempuran berbanding PBB.

Malah, pentadbiran Bush jelas tidak menunjukkan minat yang mendalam untuk menghantar Rice ke Asia Barat mencari penyelesaian masalah dengan mengatakan ‘Rice tidak akan pergi dari satu ibu negara ke satu ibu negara lain untuk mencari perdamaian’.

Washington memberi amaran: “Anda tidak akan dapat melihat diplomasi seperti itu akan berlaku” malah pegawai di Washington tidak yakin gencatan senjata akan membawa kepada penyelesaian berkekalan. Jika Israel dan AS enggan berdamai, apa yang boleh dilakukan PBB?

Jelas badan dunia itu kini tidak berupaya memberhentikan peperangan sedemikian, apakah sebenarnya peranan PBB dan sejauh mana pengaruhnya untuk mengawasi dan menguruskan konflik antarabangsa?

Selain itu, peranan Majlis Keselamatan PBB nampak samar dan memihak kepada Israel dan benar kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar bahawa krisis Asia Barat itu banyak bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan PBB.

Ada pihak menuding jari kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) kerana tidak berusaha atau lambat bertindak. Hakikatnya, apa kuasa yang ada untuk OIC mengambil mengambil tindakan bagi menghentikan keganasan Israel ke atas Palestin dan Lubnan?.

Benar kata Syed Hamid bahawa OIC bukan tidak melakukan apa-apa tindakan kerana perkara itu sudah dibawa kepada majlis berkenaan yang menyaksikan resolusi bagi menghentikan keganasan tetapi diveto AS.

Jangan mempersoalkan dulu peranan orang lain, khususnya AS, tetapi di kalangan negara Islam di Asia Barat sendiri, jelas mereka berpecah dalam isu ini.

Ada kalangan negara berpengaruh di Asia Barat menyalahkan Hizbullah kerana menahan askar Israel yang dianggap menjadi punca kepada Israel mengesahkan tindakannya. Apabila ‘nasi sudah menjadi bubur’ akibatnya akan dirasakan bukan saja oleh Hizbullah, malah rakyat Lubnan lain.

Kedudukan ini menguatkan lagi andaian stesen televisyen satelit, CNN yang sejak akhir-akhir ini berteori bahawa serangan Israel akan lebih memuncak selepas ini apabila semua warga asing dipindahkan dari Lubnan.

Kita akan memerhatikan apakah benar teori ini kerana ketika ini serangan Israel terhadap Lubnan hanya bertumpu di selatan negara itu dan bahagian selatan Beirut yang dikatakan tempat persembunyian pucuk pimpinan Hizbullah.

Kita juga menunggu apakah suara rintihan dan permintaan Perdana Menteri Lubnan, Fuoad Siniora akan diambil peduli Israel dan sekutunya AS supaya tidak menghancurkan Lubnan yang dalam proses pembinaan semula negaranya selepas perang saudara sekian lama.

Dengan kata lain, AS seronok melihat Lubnan dihancurkan dan mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa perang semakin ramai.

Persoalannya, apakah niat sebenar kepemimpinan Washington, khususnya Bush dan sekutunya dalam krisis seperti ini? Apakah ini sebagai satu daripada strategi penghapusan pengganas oleh Barat yang diketuai AS?.

Hizbullah atau ‘Parti Allah’ diletakkan sebagai kumpulan pengganas oleh AS dan dianggap bahaya kerana kaitannya dengan Iran dan Syria, selain ada beberapa pihak turut mengaitkannya dengan al-Qaeda.

AS yang bertopengkan Tel Aviv menggunakan kesempatan gerakan membebaskan dua tenteranya yang ditawan untuk melaksanakan dasar kekejaman tanpa peri kemanusiaan menghapuskan Hizbullah yang memang ‘dibenci’ sejak sekian lama, tetapi tidak ada cara melakukannya.Kenapa Israel dan AS berang dengan Hizbullah? Sejak dua dekad terakhir ini, jelas sekali Hizbullah menjadi satu-satunya pasukan yang mampu mengusir dan menewaskan Israel daripada wilayah selatan Lubnan pada 2000 selepas berada dalam taklukan Israel selama 18 tahun, iaitu sejak 1982.

Dendam yang membara itu tidak mampu dilakukan sebelum ini mungkin kerana tidak ada isu yang boleh menjadi pencetus dan Perdana Menteri sebelum ini tidaklah seultra seperti Ehud Olmert yang memerintah sekarang.

Jelas, Olmert bukan saja menjadi pembunuh kepada rakyat Lubnan dan rakyatnya sendiri, tetapi pemimpin Yahudi ini juga menjadi pembunuh proses damai dan penyelesaian isu dua negara Israel-Palestin yang berjiran. – Oleh Hambali Abdul Latiff, Berita Harian 24 Julai 2006.