Wednesday, July 30, 2008

POLITIK WANG DAN SOKONGAN CAWANGAN

Jumlah cawangan UMNO yang mendesak bahagian masing-masing supaya tidak mencalonkan semula Datuk Seri Abdullah Badawi ke jawatan Presiden UMNO di seluruh negara kini meningkat daripada 48 kepada 64.

Menurut blogger Zeme, keputusan terbaru majoritinya daripada cawangan UMNO Bahagian Muar, Johor, yang menjalankan persidangan cawangan masing-masing pada hujung minggu lalu.

Keseluruhan cawangan ini telah mendesak Bahagian Muar mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah ke jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan pucuk pimpinan parti Disember 2008 ini.

Senarai penuh cawangan ini adalah: Cawangan Muarani (Maharani?), Bandar A, Bandar, Parit Perupuk Laut, Sungai Balang, Kampung Indah Parit Bugis, Seri Kemang, Sungai Kelat, Sungai Pulai, Seri Rahmat, Seri Pantai dan Paya Lebar.

Blogger Zeme juga memberikan khabar bahawa satu cawangan UMNO dalam Bahagian Langkawi, Kedah, telah membawa usul supaya UMNO bahagian berkenaan mencalonkan Razaleigh sebagai calon Presiden UMNO. Satu lagi cawangan dalam bahagian ini pula mengusulkan Datuk Najib Tun Razak diberikan peluang bertanding jawatan Presiden UMNO.

Seterusnya, UMNO Cawangan Parit 4 Timur, Bahagian Sabak Bernam, Selangor, telah mengusulkan kepada bahagiannya untuk mencalonkan Najib ke jawatan Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawaqtan Timbalan Presiden UMNO.

Sementara itu, blogger Anak Jati Melayu, mengirimkan info mengenai amalan politik wang di peringkat cawangan seperti berikut:

Menantu (Abdullah) dah lama dok menyuap-nyuap untuk melobi jadi calon Ketua Pemuda. Banyak bahagian di Johor dah dijelajahi (olehnya). Tataetika yang baru di buat pun tak ada halangan bagi sidia. Sehinggakan pergi mesyuarat cawangan bawa pengawal macam polis. Berapa banyak dia tabur (saya) tak tahu. Ada kawan (yang) kerja di satu kementerian cakap, sekali (menantu Abdullah) tabur (duit), semua putih mata. Satu bahagian di Johor, katanya dah diperuntukkan RM1.00 juta untuk pencalonan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. UMNO boleh hancur kerana politik wang. - 8:14 AM, 29.7.8

Ini pula maklumat mengenai politik wang daripada seorang yang menggunakan nama Ahli Insaf daripada UMNO Bahagian Parit Sulong, Johor. Menurutnya, kini ada seorang calon bagi satu jawatan dalam bahagian tersebut dikatakan menabur wang berpuluh-puluh ribu ringgit banyaknya. Ada sesetengah pihak dalam bahagian itu telah melaporkan kes ini kepada Biro Pencegah Rasuah (BPR) di Batu Pahat. 2.00 PM, 29.7.8

Saya tidak akan komen mengenai amalan politik wang ini kerana ada pembesar UMNO sudah buat kenyataan baru-baru ini bahawa BPR memang diminta memantau amalan ini di semua peringkat UMNO yang sedang menjalankan persidangan cawangan masing-masing di seluruh negara. Moga-moga kerjasama daripada BPR akan membantu UMNO memansuhkan amalan politik wang. Jika tidak, seperti yang banyak disuarakan menerusi blog ini, UMNO mungkin musnah akibat politik wang. – Ruhanie Ahmad

14 comments:

azam said...

Datuk. Ini maklumat saya terima pasal Syed Hood, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong. Ramai ketua cawangan golongan veteran dalam bahagian ini mengadu, Syed Hood tabur duit untuk dapatkan pencalonan. Dia nak tanding Timbalan Ketua Bahagian. Dia langgar Datuk Ariss. Dengar ceritanya, Datuk Ariss kecut perut sampai tarik diri tak bertanding apa-apa jawatan. Kalau boleh, sapa-sapa siasatlah tindak-tanduk politik Syed Hood ni. Lagaknya macam tak betul aje. Sapa-sapa yang ada niat nak tanding Timbalan Ketua balaci Hood serang orang-orang ni dengan mesej SMS yang macam-macam. Dia ni besar kepala. Masa jadi wakil rakyat dulu dia tendang pekerja Petronas Parit Sulong. Orang macam ni pun nak jadi pemimpin UMNO? Jahanam UMNO…

Gagak di Rimba said...

Nampaknya politik wang dalam UMN0 sudah semakin teruk.

Tapi bolehkah diatasi dengan campur tangan BPR?

Pada masa yang lalu, walaupun politik wang sudah berlaku dengan begitu meluas, tapi orang yang menerima wang umumnya tidak mahu mengaku.

Jadi tidak ada yang mahu jadi saksi dalam siasatan kes politik wang!

Hairul AS said...

Makluman...

UMNO Bahagian Pandan, Selangor berlaku pertandingan 3 penjuru untuk berebut jawatan Ketua Bahagian Pandan. Pemegang jawatan sedia ada, Datuk Mad Aris khabarnya bersedia untuk mempertahankan jawatan yang disandang manakala cabaran datang dari Ketua Pemudanya sendiri dan juga saudara Jamaludin Ropa yang telah tamat penggantungan 3 tahun akibat disabitkan kesalahan dalam politik wang (kes Isa Samad dulu). Melihat dari segi ketokohan dan pengalaman memang tidak dapat dinafikan sumbangan Datuk Mad Aris. Namun demikian, cawangan-cawangan dalam UMNO Bahagian Pandan inginkan perubahan. Mungkinkah Jamaludin Ropa atau Datuk MAd Aris atau Ketua Pemuda yang bakal mendapat tempat dihati perwakilan. Sama-sama kita saksikan....

Hairul AS said...

Cawangan-cawangan dalam UMNO Bahagian Pandan juga akan mendesak agar perwakilan menamakan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai KETUA PEMUDA UMNO dan juga mencalonkan agar PM -Najib dan TPM - Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kita tidak mau saudara Khairy menjadi Ketua Pemuda UMNo Malaysia. Takbir !!!

nakhoda said...

Datuk, kita ni macam mencurah garam ke laut atau mencurah air ke daun keladi. Entah sapa nak dengar cakap manusia macam kita ni. Tengoklah, politik wang makin jadi-jadi. Presiden UMNO gila kuasa. Menantu dia pun gila kuasa. Najib asyik bisu. Sapa yang nak bela kita Datuk. Kita perah otak kita demi bangsa dan negara. Tapi orang kata kita ni gila. Sasaran kita tak peduli. Mareka semua mabuk habuan waktu ni. Bila sampai mesyuarat bahagian, habuan lagi lumayan. Apa nak jadi orang UMNO ni? Negara hancur tak apa. Yang penting tebolok mereka aje..

putera bentan said...

Saya nak ulangi pendapat saya. Apa yang berlaku pada UMNO hari ini adalah angkara KJ memantu Dollah. Manusia ni sangat ambitious. Dia buat apa saja untuk capai niat nak jadi PM umur 40 tahun. Herannya orang UMNO tak berani bersuara. Semua jadi batu. Ikut je rentak Dollah yang dikongkong KJ. Belakang-belakang ada pemimpin UMNO kutuk Dollah berbakul-bakul. Bila berdepan, cium tangan. Inilah kepura-puraan dalam UMNO. Tok nenek kita dulu tak macam ni. Dia orang jadikan UMNO wadah perjuangan bangsa. Orang UMNO hari ini sanggup bnergolok bergadai kerana nak jadikan UMNO wadah mengkayakan diri.

Jalak Lenteng said...

Datuk,
Kalaupun BPR diminta untuk memantau isu politik wang dalam UMNO,apa tindakan BPR jika dakwaan tersebut benar? Lihat saja kes bekas menteri wilayah persekutuan dahulu, walaupun terbukti bersalah oleh lembaga disiplin UMNO kerana tabur duit,kenapa tiada tindakan undang-undang dibuat dan didakwa di mana-mana mahkamah di Malaysia. Adakah dengan hukuman penggantungan keahlian UMNO dari Lembaga Disiplin UMNO sudah cukup dan tiada tindakan yang sewajarnya dari segi undang-undang negara? Pendek kata, kalau guna duit@rasuah dalam umno, hukumannya hanya gantung keahlian. Tapi kalau beri rasuah selain dari UMNO, hukumannya Penjara. Mana satu yang kita akan pilih?

cekodok-masin said...

Salam Dato',
Sebagai seorang yang pernah mengundi Dato' baik dalam Bahagian atau pilihanraya Parit Sulong, saya ingin komen Dato' tentang senario yang berlaku di bahagian Dato' sendiri. Perkara ini telah menjadi bualan dan rungutan semua lapisan ahli. Syed Hood, menggunakan seluruh balacinya untuk menyerang cawangan-cawangan bagi mendapatkan pencalunan, mengedarkan risalah berupa panduan bagaimana untuk mendapatkan pencalunan bagi Syed Hood, memastikan pencalunan ditutup sebaik sahaja nama Syed Hood dicadang dan disokong, "memandikan" penyokong2 Dato' Ariss dan anak didiknya, Ismail Roslan, mengertak Ketua Bahagian melalui "G8"nya agar jangan campur tangan dalam urusan pemilihan Timbalan dan menabur bantuan (rasuah?) kepada cawangan-cawangan dalam bentuk projek dan sumbangan.Ini perlu disiasat habis-habisan. Seperkara lagi, pemuda pun nampaknya ghairah campur tangan dalam pemilihan bahagian walaupun mereka sendiri berkata hal pemuda jangan bahagian masuk campur tetapi hal bahagian boleh pula mereka kacau...

CUCU TOK KEDU said...

Dato Ron yang dihurmati.

BILA PEMIMPIN UMNO MENABUR BANYAK WANG UNTUK MENDAPATKAN UNDI INI BERERTI PEMIMPIN UMNIO SELAMA INI MELONGGOKKAN WANG UNTUK KEPENTINGAN DIRI SENDIRI. AHLI DAN RAKYAT HARUS BERTANYA PADA DIRI SENDIRI TENTANG DARI MANA PEMIMPIN UMNO INI DAPAT WANG BEGITU BANYAK UNTUK DILAPURKAN MASA PEMILIHAN UMNO DAN PILIHANRAYA? KORUP KOK?

BPR TAK KAN TUTUP MATA SEBELAH!

http://rp-semantan.blogspot.com

CUCU TOK KEDU

zeme said...

Salam Datuk,

Khabaran dari sebelah utara, mesyuarat UMNO Cawangan Kg Mesjid Jeneri, Bahagian Sik yang dianggotai oleh bekas Exco Kanan Kedah serta bekas Ahli Parlimen Sik iaitu Dato' Dr Wan Azmi Ariffin yang telah diadakan pada 26 Julai 2008 dan dihadiri oleh hampir separuh ahli berdaftar dengan rasminya menerima 2 usul untuk dibentangkan di Bahagian. Usul-usul tersebut ialah:

1. Mengusulkan supaya Bahagian Sik mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai calon untuk Presiden UMNO. Usul ini diterima sebulat suara.

2. Usul tambahan juga dibentangkan supaya peralihan kuasa disegerakan.

Wasalam.

Kamalkamal said...

Salam Datuk,

Di Bahagian saya, SP juga tak sunyi dengan perlumbaan merebut seberapa banyak pencalunan. Puak yang diketuai mantan setpol mantan MB Kedah dengan seorang Ketua Cawangan (ahli korporat) begitu sengit. Maka wang menjadi pertaruhan bagi mendapatkan seberapa banyak pencalunan.

Maka tak hairanlah kualiti sesaorang Ketua Bahagian semakin merosot dari segi kepimpinan. Dengan itu tak hairanlah mengapa UMNO/BN boleh kalah teruk dalam PRU yang lalu.

Rasuah wang memang tidak lagi mampu ditanggani walaupun dengan kehadiran BPR. Sebagai rekod Bahagian SP pernah diserbu BPR semasa mensyuarat Perwakilan tapi pihak BPR tak dapat membuktikan kes mengatakan politik wang berlaku. Malah saya juga adalah salah seorang perwakilan pada masa itu. Selepas 6 jam soal siasat semua yang disyaki dibebaskan hingga kini.

Maknanya politik wang dalam UMNO memang tidak boleh dibenteras lagi. Kehadiran KJ dalam arena politik UMNO sebenarnya menyemarakkan lagi politik wang terutama dalam Pemuda UMNO hari. Khabarnya banyak Pemuda UMNO Cawangan telah ditaja demi memperbanyakkan pencalunan bagi membolehkan semua kroni KJ menang diperingkat Pemuda Bahagian. Dengan ini mudahlah KJ berada dipersada Pemuda UMNO Malaysia Disember nanti.

Selamat bersidang walaupun hati memang luka dan mungkin juga berdarah tak lama lagi.

berasiam said...

Salam Datuk Ron

Secara peribadi, saya tidak faham dengan sikap orang-orang Umno, di peringkat mana pun, yang menyatakan tentang ancaman politik wang. Mereka menyalahkan orang yang menaburkan duit sedangkan kita tahu bahawa kita tidak mampu untuk menahan orang menghulur. Begitu juga kita tidak mampu orang menerima benda yang bernama duit.

1. Duit yang ditabur itu kononnya duit orang yang menghulur. Ini merupakan satu andaian singkat yang tidak harus dipegang oleh ahli-ahli Umno. Kita tidak pasti dari manakah punca duit itu. Yang pasti, orang yang menghulur mendapat duit itu kerana kedudukannya dalam Umno dan rentetannya, sama ada dalam kerajaan atau badan-badan yang lain. Duit itu mungkin berpunca daripada taukeh-taukeh yang melabur dan berharap orang yang dibantu akan berjaya dan membayar semula pelaburan mereka dengan dividen yang tinggi. Kesimpulannya, wang yang berlegar semasa pemilihan itu adalah wang percuma yang diperolehi atas kedudukan calon-calon kerana mereka adalah Umno.

2. Undi mestilah diberi kepada orang yang menabur duit. Masakan orang yang menabur duit tahu siapa yang akan dipangkah oleh penerima dermanya. Di sinilah letaknya akal budi orang Umno sebenarnya. Sudah jelas orang yang menghulur itu bersikap rasuah, hendaklah mereka ini disingkirkan dari ruangan kuasa sejauh-jauhnya. Jika mereka masih beroleh kuasa, jangan salahkan politik wang dan sebagainya, salahkanlah diri sendiri yang tidak mempunyai pertimbangan jitu dalam melaksanakan hak yang diberi.

Jika majoriti ahli-ahli Umno benar-benar jujur, tidak akan terpilih seorang pun yang mengamalkan politik wang ke takhta jawatan hatta di peringkat cawangan sekali pun. Rezeki jangan ditolak tetapi maut akan ditempuh sekiranya memilih orang yang menghulur duit ke kedudukan kuasa. Biar mereka rugi menabur wang, termasuklah taukeh-taukeh yang banyak menghulur setiap kali musim pemilihan tiba dengan menyingkirkan proksi mereka dari kuasa.

Jangan salahkan orang yang menabur tetapi salahkanlah orang yang menerima dan kemudian memberi undi kepada orang yang menghulur.

zeme said...

Salam Datuk,

Cawangan Bahagian Langkawi yang telah mengusulkan Dato' Seri Najib Tun Razak (Presiden) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden) adalah UMNO Cawangan Kampung Tua yang bermesyuarat pada 26 Julai 2008.

Sementara itu UMNO Cawangan Kulambai Dundau (Bahagian Kota Belud) Sabah telah meluluskan usul Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden.

Wasalam.

chong said...

64 cawangan?kat Malaysia ada beribu lagi cawangan UMNO.Pak Lah tentu tak heran la.

Politik wang memang boleh merosakkan mana-mana parti sekalipun.politik wang adalah kesalahan yang tak bermaruah. meminta BPR memantau amalan ini di semua peringkat UMNO yang sedang menjalankan persidangan cawangan masing-masing di seluruh negara adalah langkah yang bagus. Moga-moga kerjasama daripada BPR akan membantu UMNO memansuhkan amalan politik wang. Jika tidak, seperti yang banyak disuarakan menerusi blog ini, UMNO mungkin musnah akibat politik wang.