Monday, March 03, 2008

Menyorot PRU12: (1)
Aprroval Rating Abdullah Menurun
Mungkinkah BN Akan Menang Besar?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin sedang dilanda debaran sukma yang amat serius. Ini kerana PRU12 adalah satu-satunya pilihan raya yang didasari arus bawah [under currents] kekecewaan rakyat yang jelas dan nyata.

Malangnya, arus kekecewaan ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh pembesar negara. Lantaran itulah Abdullah yang dikatakan dirasok sindrom penafian, dengan bangganya menggunakan pelbagai perangkaan mengenai ekonomi negara sebagai intipati kepada Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi PRU12.

Oleh itu, sama-samalah kita kaji kesimpulan satu kajian bertajuk Voter Opinion Poll 4th Quarter 2007: Awareness and Perspectives on Demonstrations, the Economy, National Issues and Leadership yang dijalankan oleh Merdeka Center di Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2007.

Sokongan Merosot

Antara kesimpulan utama daripada kajian berkenaan adalah: approval rating of the Prime Minister has decreased from 71% to 61%. [Kadar penerimaan (sokongan?) terhadap Perdana Menteri merosot daripada 71% kepada 61%.]

Kesimpulan ini jadi lebih nyata setelah diteliti perincian peratusan kepada soalan membabitkan tahap sokongan atau bangkangan terhadap cara Abdullah melaksanakan tugasnya sebagai Perdana Menteri.

Secara umum, kadar peratusannya adalah: sewaktu Abdullah mula menjadi Perdana Menteri pada November 2004 (91%), sewaktu harga petrol naik 20 sen pada Ogos 2005 (74%), sewaktu harga petrol naik lagi sebanyak 30 sen pada Mac 2006 (86%), akibat kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada September 2006 (63%), akibat demonstrasi Bersih dan Hindraf pada Disember 2007 (61%). Ini bermakna approval rating terhadap Abdullah menurun sebanyak 30% dari 2004 hingga 2007.

Pecahan approval rating terhadap Abdullah mengikut kaum pula adalah: Melayu pada Oktober 2006 (80%), April 2007 (80%), Jun 2007 (86%), September 2007 (84%), Oktober 2007 (84%), Disember 2007 (76%); Cina pada Oktober 2006 (55%), April 2007 (57%), Jun 2007 (54%), September 2007 (53%), Oktober 2007 (47%), Disember 2007 (42%); India pada Oktober 2006 (62%), April 2007 (73%), Jun 2007 (71%), September 2007 (82%), Oktober 2007 (79%), Disember 2007 (38%).

Keyakinan Menurun

Peratusan approval rating di atas digandingi pula dengan harapan rakyat terhadap kedudukan ekonomi negara yang juga kian menurun daripada 48% pada November 2006 kepada 41% pada Disember 2007.

Secara hitung panjang, peratusan rasa puas hati rakyat kepada cara kerajaan pimpinan Abdullah menguruskan ekonomi negara juga menurun dari 62% pada November 2006 kepada 55% pada Disember 2007.

Seluruh perincian kepada peratusan di atas boleh didownload daripada http://www.merdeka.org.

Siapa Akan Berkuasa?

Memang hasil kajian di atas tidak boleh dijadikan asas mutlak sokongan pengundi kepada BN dan kepimpinan Abdullah. Tetapi, ia boleh dijadikan indikasi kedudukan kerajaan BN dan Abdullah di ambang PRU12.

Jadi, pokok persoalannnya di sini ialah: dengan hari pembuangan undi PRU12 hanya tinggal lapan hari lagi, dengan ledakan pelbagai pengumuman dibuat oleh kerajaan sementara sepanjang tempoh kempen sekarang ini, dengan bertubi-tubinya propaganda kerajaan terhadap kumpulan pembangkang mutakhir ini, dengan pelbagai pendedahan negatif oleh media cetak alternatif dan media internet mengenai kepincangan kerajaan, bagaimanakah agaknya sokongan pengundi terhadap BN dan Abdullah kali ini?

Dan, dengan persepsi negatif segolongan orang UMNO terhadap menantu Abdullah yang dikatakan bertindak umpama sokong membawa rebah, bagaimanakah pula tahap sokongan segolongan warga BN sendiri terhadap BN dalam PRU12?

Seluruh hakikat di atas menjadikan PRU12 mendebarkan kita semua. Bagaimanapun, hanya kebijaksanaan di kalangan para pengundi yang akan menentukan siapakah akan berkuasa selepas ini. Dalam pada itu, ketentuan Allah SWT jua yang akan memuktamadkan segala-galanya! Salam perjuangan dari saya. – Ruhanie Ahmad


1 comment:

su-kj said...

Assalamualaikum Datuk,

1. Bagi saya, soal menang atau kalah kita kena pakai kaedah yang diguna pakai oleh TDM...walaupun hanya 51 undi tetap dikira menang !

2. Perkara yang paling penting kali ini ialah 'faedah untuk rakyat'? Jika undi untuk BN merosot...itu juga akan memberi faedah kepada rakyat.

3. Selamat memilih jangan tersilap pilih.

http://www.penyokong-kj.blogspot.com