Thursday, July 31, 2008

PAS TOLAK USAHA TUBUH KERAJAAN CAMPURAN DENGAN UMNO DAN BN

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- PAS menolak sebarang usaha mengadakan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan campuran sama ada di peringkat pusat atau negeri, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=349784
JANGAN SEKAT ATAU PERKECIL PANDANGAN ANGGOTA CAWANGAN, TEGAS MUHYIDDIN

JOHOR BAHARU 31 Julai — Pemimpin UMNO tidak sepatutnya menyekat mana-mana anggota parti di peringkat cawangan daripada menyuarakan pandangan mereka mengenai pucuk pimpinan parti dan negara, kata Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, anggota parti di peringkat cawangan berhak mengikut Perlembagaan UMNO mengeluarkan pandangan tentang pucuk pimpinan parti dan pandangan tersebut tidak boleh diperkecilkan oleh mana-mana pihak.

“Mereka (anggota cawangan) rasa agak terlibat untuk menyuarakan hasrat atau perasaan tentang kepimpinan negara. Kita tidak boleh memperkecilkan pandangan ahli-ahli di bawah itu kerana mereka ahli parti dan di dalam Perlembagaan, mereka mempunyai hak untuk bersuara.”

“Kita mengamalkan demokrasi di dalam UMNO, jikalau mereka hendak bersuara kita tidak boleh menghalangnya, nanti mereka kata kita ini kuku besi,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis minum petang dengan anggota-anggota UMNO Johor di sini, hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang meminta anggota-anggota cawangan berhenti daripada mencalonkan nama-nama pemimpin untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan beberapa pemimpin parti meminta cawangan menghentikan usul mencadangkan pemimpin sebagai calon pada pemilihan UMNO Disember ini.

Pencalonan pemimpin-pemimpin itu hanya dilakukan di peringkat Bahagian, kata mereka.

Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), walaupun calon-calon yang akan bertanding pada Perhimpunan Agung UMNO Disember ini akan ditentukan oleh UMNO Bahagian, tetapi pandangan daripada anggota cawangan tidak boleh diketepikan.

“Soal sama ada ia (pencalonan oleh anggota cawangan) itu akan di ambil berat oleh peringkat Bahagian atau nama-nama yang dicalon (oleh cawangan), itu adalah soal yang lain.”

“Mereka merasakan ada sesuatu yang luar biasa dan jika mereka hendak memberi pandangan, biarkanlah,” katanya.

Apa yang lebih penting kata Muhyiddin, adalah pandangan dan hasrat anggota parti di peringkat cawangan itu tidak diperkecil dan disekat.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin UMNO tidak seharusnya memperkecil-kecilkan anggota di peringkat cawangan kerana ramai di antara mereka merupakan pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan berpengetahuan tinggi.

“Saya juga merupakan anggota UMNO di peringkat cawangan, walaupun saya Naib Presiden UMNO,” katanya. – Bernama (Utusan On-line 31 Julai 2008, 7:06pm)
MUQABALAH UMNO-PAS SIRI SATU:
MENGAPAKAH NIATNYA TIDAK TELUS?

Ruhanie Ahmad

Muqabalah atau muzakarah? Bersemuka atau berbincang? Dilakukan dengan secara rasmi dan dengan restu kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS atau hanya atas initiatif individu tertentu daripada UMNO dan PAS? Untuk kepentingan Melayu dan Islam atau untuk menubuhkan kerajaan campuran BN-PAS di beberapa negeri dan peringkat pusat? Benarkah wujud jawatankuasa peringkat tertinggi untuk usaha besar ini?

Demikianlah antara persoalan penting dan strategik yang timbul setelah saya meneliti perkembangan politik membabitkan UMNO dan PAS mutakhir ini. Mengapakah seolah-olah wujud satu komplot sulit dalam konteks ini? Siapakah yang akan menjelaskan seluruh persoalan ini kepada rakyat jelata Malaysia dalam waktu terdekat ini?

Baca posting sepenuhnya di: http://puteramalaysia.blogspot.com
ANWAR IBRAHIM TANDING PERMATANG PAUH?

Di bawah ini adalah dua berita terbaru mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datin Seri Wan Azizah Ismail. Perkembangan ini dijangka memerisahkan suasana siasah Negara dalam tempoh terdekat ini,

WAN AZIZAH LEPAS PARLIMEN PERMATANG PAUH

KUALA LUMPUR 31 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beliau akan bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman dibuat pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di sini sebentar tadi.

Dr. Wan Azizah merupakan Ahli Parlimen kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999 iaitu selepas selepas Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan setahun sebelum itu dan dihadapkan di mahkamah.

Kini Dr. Wan Azizah merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.- The Star, 31 Julai, 2008 16:36 PM

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm

WAN AZIZAH KOSONGKAN KERUSI PERMATANG PAUH UNTUK BERI LALUAN KEPADA ANWAR

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.

Wan Azizah, 55, berkata beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya itu hari ini kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini yang turut dihadiri Anwar dan anak mereka, Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai, Wan Azizah berkata perkara itu telah dibincangnya dengan kepimpinan PKR dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. – BERNAMA, 31 Julai, 2008, 16:36 PM

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=349697

PERTAHAN KEDAULATAN NEGARA SEHINGGA KE TITISAN DARAH TERAKHIR, TITAH TUANKU MIZAN

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta pasukan keselamatan negara untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang cabaran yang mendatang serta mempertahankan kedaulatan negara sehingga ke "titisan darah yang terakhir".

Baginda bertitah kecemerlangan dan pengorbanan perwira-perwira terdahulu dalam memastikan agama, bangsa dan negara serta kedaulatan negara dipertahankan, wajar menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada pasukan keselamatan negara sekarang.

"Beta ingin mengingatkan, walaupun negara kita adalah sebuah negara yang sentiasa cintakan kedamaian dan kesejahteraan serta menjalin hubungan baik dengan semua negara, namun isu-isu keselamatan global dan serantau memerlukan pasukan keselamatan yang kuat dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman ke atas kedaulatan negara yang tercinta ini," titah baginda sempena Hari Pahlawan 2008. Titah baginda disiarkan melalui RTM1 Rabu malam.

Baginda juga meminta rakyat menghayati semangat taat setia tidak berbelah bahagi oleh pasukan keselamatan terdahulu apabila hasil perjuangan dan pengorbanan mereka menyebabkan negara aman dan sejahtera.

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=349543
WARGA UMNO DI KOTA BELUD PUN SANGGAH ABDULLAH?

Jumlah cawangan yang membawa usul ke bahagian masing-masing supaya tidak mencalonkan semula Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke jawatan Presiden UMNO kini meningkat kepada 66.

Blogger Zeme memberitahu blog ini bahawa satu cawangan dalam UMNO Bahagian Kota Belud, Sabah - Cawangan Kulambai Dundau - telah mengusulkan supaya bahagiannya mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden UMNO.

Saudara Mohd Tarmizi pula mengirimkan e-mail bahawa UMNO Cawangan Kampung Masjid, Jeneri, dalam Bahagian Sik, Kedah, mengusulkan supaya UMNO bahagian tersebut juga mencalonkan Razaleigh sebagai Presiden UMNO.

Sementara itu, cawangan dalam UMNO Bahagian Langkawi yang telah mengusulkan Datuk Seri Najib Tun Razak dicalonkan Presiden UMNO dan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku calon Timbalan Presiden UMNO, adalah Cawangan Kampung Tua yang bersidang pada 26 Julai 2008.

Telok Mengkuang

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Telok Mengkuang, dalam Bahagian Kuala Langat, Selangor, pula meluluskan satu usul agar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dipercepatkan dari Jun 2010 kepada 1 Disember 2008.

Sementara itu, seorang warga UMNO daripada Bahagian Sri Gading, Batu Pahat, Johor, melahirkan rasa tidak senang hatinya terhadap kemungkinan tiga jawatan penting dalam bahagian itu diterajui oleh sebuah keluarga.

Katanya, UMNO Bahagian Sri Gading kini diketuai oleh Datuk Mohamad Aziz. Isteri Mohamad adalah Ketua Wanita Bahagian. Kini, anak lelaki Mohamad dijangka jadi Ketua Pemuda Bahagian.

Kepada saya, kepimpinan sesebuah bahagian UMNO dikuasai oleh sesuatu keluarga adalah tidak salah. Syaratnya, mandat kepimpinan itu wajar diberikan kepada mereka menerusi sistem yang demokratik bukannya berlandaskan neopitisme.

Bagaimanapun, jika keadaan seperti ini boleh dielakkan, elakkanlah. Kalau ianya diterima baik oleh majoriti ahli dalam bahagian berkenaan, terimalah hakikat ini dengan hati yang terbuka. Tetapi, jika neopotisme jelas berlaku, maka itulah masanya untuk semua pihak bertindak dengan penuh hemah dan secara demokratik.

UMNO Johor

Ini pula kata-kata semangat daripada Blogger Syahir. Katanya, seluruh usul warga UMNO akar umbi mengenai siapakah yang wajar dicalonkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan tahun ini terpulanglah kepada bahagian masing-masing untuk menerima atau sebaliknya. Kepadanya, usul UMNO Cawangan USJ2 baru-baru ini merupakan suara hati akar umbi. Ini kerana majoriti warga UMNO dalam Bahagian Kelana Jaya memang menyokong perjuangan mengembalikan maruah UMNO seluruhnya. Syahir juga berharap semoga warga UMNO akar umbi di seluruh Johor turut “bersedia menyanggah kepimpinan UMNO masa kini dan menggesa agar kerusi Presiden dan Timbalan dipertandingkan” dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Disember 2008 ini.

Buat diri saya sendiri, keputusan tidak akan kembali aktif dalam siasah UMNO Parit Sulong ketika ini adalah muktamad. Saya berterima kasih atas kata-kata perangsang para sahabat bloggers dari seluruh tanahair dan juga sahabat-sahabat saya yang di Parit Sulong - termasuk ayah mertua kepada Blogger Anak Melayu Jati di Parit Maimoon - yang mahukan saya kembali bersiasah. Tetapi, saya juga ucapkan terima kasih kepada mereka yang menasihati saya supaya berjuang seperti apa yang saya lakukan ketika ini, iaitu menerusi blogs.

Kepada warga UMNO di Parit Sulong, sokonglah sesiapa sahaja yang anda dapati serasi dengan jiwa, falsafah, cita-cita dan matlamat perjuangan UMNO yang tulen lagi abadi demi agama, bangsa dan tanahair. Kalau diminta pandangan saya, Haji Sudin Ahmad boleh diketengahkan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong menggantikan Datuk Ariss Samsuddin yang telah mengundurkan diri daripada pertandingan. Salam takzim dan selamat berjuang. – Ruhanie Ahmad

Wednesday, July 30, 2008

HOOD LANGGAR ARISS DI PARIT SULONG?

Dua hari lalu saya menerima satu panggilan telefon pada lewat malam. Pemanggilnya adalah seorang aktivis UMNO dalam Bahagian Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Beliau meminta saya bersedia untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan. Katanya, Datuk Ariss Samsuddin (ADUN Semerah) telah menarik diri daripada usaha mengekalkan jawatan yang disandangnya sejak beberapa tahun lalu.

Esoknya, seorang wartawan bebas daripada bahagian tersebut pula menelefon saya mengenai kisah yang sama seperti di atas. Beliau juga mencadangkan saya bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong.

Saya belum buat keputusan mengenai cadangan di atas kerana saya rasa amat berat hati untuk aktif semula dalam UMNO pada senario hari ini. Bagaimanapun, ura-ura saya bertanding sudah mula tersebar luas di Parit Sulong.

Dengan tidak semena-mena, mulai semalam, saya pun mula dihujani oleh SMS daripada beberapa pihak yang tidak memperkenalkan dirinya. Keseluruhan mesej itu amat negatif isi kandungannya. Kesemuanya bernada mengugut. Saya pasti motif utama mesej itu adalah untuk melemahkan semangat saya daripada menyahut cabaran pihak-pihak yang mendorong saya kembali aktif dalam politik di Parit Sulong. Bagaimanapun, saya tidak ambil peduli akan mesej-mesej berkenaan. Saya tahu siapakah sebenarnya di sebalik pengirim mesej tersebut. Kategori individu seperti inilah yang kini sedang menawarkan diri untuk memimpin UMNO Bahagian Parit Sulong dengan menggunakan taktik samseng dan kotor.

Taktik Negatif

Bagaimanapun, saya percaya Ariss lebih arif mengenai taktik-taktik negatif yang kini sedang dihalakan oleh sesetengah pihak di Parit Sulong kepada dirinya sendiri. Saya dapat tahu, Ariss juga sudah membuat satu laporan polis mengenai salah satu ugutan yang beliau terima baru-baru ini.

Berita terbaru mengenai Ariss yang menarik diri daripada pertandingan parti kali ini adalah seperti berikut:

ARISS TIDAK PERTAHAN JAWATAN

BATU PAHAT 29 Julai - Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Ariss Samsudin tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan Oktober ini.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah.

Menurutnya, beliau telah menghantar surat memaklumkan hasrat itu kepada Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Ahmad Zahri Jamil.

Ariss pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut selama 12 tahun serta menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO selama enam tahun bermula 1990.

Utusan Malaysia difahamkan, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Syed Hood Syed Edros diuar-uarkan akan bertanding merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong yang dikosongkan Ariss pada pemilihan kali ini.

Tabur Wang

Berita di atas sungguh memeranjatkan. Soalnya, mengapa Ariss menarik diri? Adakah kerana Ariss tidak larat untuk berhadapan dengan pihak yang mencabar beliau? Mungkinkah tiga kisah di bawah ini adalah antara penyebab beliau tidak mempertahankan jawatannya?

Kisah pertama kiriman Ahli Insaf daripada UMNO Bahagian Parit Sulong, Johor: Ada seorang calon bagi satu jawatan dalam Bahagian Parit Sulong dikatakan menabur wang berpuluh-puluh ribu ringgit banyaknya. Ada sesetengah pihak dalam bahagian itu telah melaporkan kes ini kepada Biro Pencegah Rasuah (BPR) di Batu Pahat. 2.00 PM, 29.7.8

Kisah kedua kiriman blogger Azam: Ini maklumat saya terima pasal Syed Hood, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong. Ramai ketua cawangan golongan veteran dalam bahagian ini mengadu, Syed Hood tabur duit untuk dapatkan pencalonan. Dia nak tanding Timbalan Ketua Bahagian. Dia langgar Datuk Ariss. Dengar ceritanya, Datuk Ariss kecut perut sampai tarik diri tak bertanding apa-apa jawatan. Kalau boleh, sapa-sapa siasatlah tindak-tanduk politik Syed Hood ni. Lagaknya macam tak betul aje. Sapa-sapa yang ada niat nak tanding Timbalan Ketua, balaci Hood serang orang-orang ni dengan mesej SMS yang macam-macam. Orang macam ni pun nak jadi pemimpin UMNO? - 12:17 AM, 30.7.8

Kisah ketiga kiriman Cekodok Masin: Sebagai seorang yang pernah mengundi Datuk baik dalam Bahagian atau pilihan raya Parit Sulong, saya ingin (dapatkan) komen Datuk tentang senario yang berlaku di bahagian Datuk sendiri (UMNO Bahagian Parit Sulong). Perkara ini telah menjadi bualan dan rungutan semua lapisan ahli. Syed Hood menggunakan seluruh balacinya untuk menyerang cawangan-cawangan bagi mendapatkan pencalonan, mengedarkan risalah berupa panduan bagaimana untuk mendapatkan pencalonan bagi Syed Hood, memastikan pencalonan ditutup sebaik sahaja nama Syed Hood dicadang dan disokong, "memandikan" penyokong-penyokong Datuk Ariss dan anak didiknya, Ismail Roslan, mengertak Ketua Bahagian melalui "G8"nya agar jangan campur tangan dalam urusan pemilihan Timbalan (Ketua) dan menabur bantuan (rasuah?) kepada cawangan-cawangan dalam bentuk projek dan sumbangan. Ini perlu disiasat habis-habisan. - 8:51 AM, 30.7.8

Saya tidak mahu komen mengenai ketiga-tiga maklumat di atas. Bagaimanapun, dengan secara rasminya saya umumkan menerusi blog ini, bahawa saya tidak berhasrat untuk bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan UMNO peringkat Bahagian Parit Sulong kali ini.

Cikgu Sudin Atau Haji Yusof

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada para sahabat yang telah mendorong saya supaya kembali aktif dalam siasah, khususnya Saudara Basrah Ali, Haji Manan Zakaria, Haji Ali Kornain dan Saudara Kamisan. Saya juga memohon jutaan ampun kepada mereka dan seluruh sahabat-sahabat lain kerana saya enggan memenuhi hasrat mereka.

Saya yakin ramai lagi individu di Parit Sulong yang layak diberi peluang bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Kita ada Tuan Haji Sudin Ahmad yang kini Naib Ketua dan pernah jadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian. Kita ada Cikgu Rahim Kamisan, pesara guru yang berpelajaran tinggi. Kita ada Haji Yusof Salleh, anak Panglima Salleh yang banyak menabur jasa bakti kepada masyarakat tempatan di era kebangkitan UMNO dalam tahun 1946.

Fikir-fikirkanlah pandangan saya ini. Saya tahu masih ada 92 daripada 139 cawangan dalam Bahagian Parit Sulong yang belum menjalankan persidangan cawangannya. Gunakanlah sepenuhnya peluang ini untuk memberikan demokrasi yang sihat di Parit Sulong.

Kepada pihak yang bertubi-tubi menyerang Ariss, insaflah taktik samseng tidak mempunyai tempat dalam budaya perjuangan UMNO yang tulen lagi abadi, khususnya di Parit Sulong.

Kepada seluruh warga UMNO Parit Sulong pula, insaflah bahawa soal kepimpinan adalah penting kepada corak masa depan anak cucu kita di hari muka. Oleh itu, pilihlah pemimpin anda berasaskan ciri-ciri kemuliaan akal, budi dan pekerti barisan individu yang menawarkan diri. Pilihlah pemimpin anda daripada kalangan individu yang sebati dengan jiwa, hati, nurani dan persekitaran kampung halaman kita sendiri.

Salam takzim dan salam perjuangan daripada saya. – Ruhanie Ahmad, bekas Ahli Parlimen, Naib Ketua dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong.
ADNAN MINTA CAWANGAN HENTI USUL PEMIMPIN TERTENTU TANDING JAWATAN PRESIDEN UMNO

KUANTAN, 29 Julai (Bernama) - Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari Selasa meminta semua cawangan Umno di negeri itu menghentikan membuat usul mencadangkan pemimpin tertentu untuk bertanding jawatan presiden Umno.

Beliau berkata hanya Umno bahagian yang berhak membuat pencalonan bagi jawatan Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti Disember ini.

"Mesyuarat cawangan bertujuan membincangkan agenda-agenda tertentu bukannya menimbulkan usul mencalonkan pemimpin seperti yang dilakukan beberapa cawangan parti sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua cawangan Umno di Pahang iaitu Kampung Ubai dan Bukit Kuantan 3 yang membuat usul Timbalan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak bertanding jawatan presiden Umno. - BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=349317

ALFATEHAH BUAT SEORANG SAHABAT DAN PEJUANG

Di bawah ini adalah berita mengenai seorang veteran UMNO yang disegani ramai. Di era Datuk Harun Idris, beliau tergolongan dalam kelompok pemuda “pressure group” yang sentiasa bersuara lantang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Beliau adalah seorang sahabat dan seorang pejuang. Beliau adalah Datuk Mufti Shuib. Petang tadi beliau kembali ke rahmatullah. Saya sekeluarga mengucapkan takziah kepada Datin Norlia sekeluarga. Moga-moga roh Allahyarham akan dicucuri rahmat Allah SWT jua. Al-Fatehah! - Ruhanie Ahmad

MUFTI SHUIB MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR 29 Julai – Bekas Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Mufti Shuib meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, di sini kira-kira pukul 6 petang ini.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini pukul 10 pagi esok.

Allahyarham yang merupakan bapa mertua kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azman Wahid, meninggalkan seorang isteri, Datin Norlia Osman serta empat anak lelaki dan dua anak perempuan.

Allahyarham, 68, berasal dari Kampung Baru di sini memegang jawatan Ketua UMNO bahagian berkenaan sejak 1986 hingga 2008. - Utusan.

Untuk berita sepenuhnya sila klik link di bawah ini:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_25.htm
POLITIK WANG DAN SOKONGAN CAWANGAN

Jumlah cawangan UMNO yang mendesak bahagian masing-masing supaya tidak mencalonkan semula Datuk Seri Abdullah Badawi ke jawatan Presiden UMNO di seluruh negara kini meningkat daripada 48 kepada 64.

Menurut blogger Zeme, keputusan terbaru majoritinya daripada cawangan UMNO Bahagian Muar, Johor, yang menjalankan persidangan cawangan masing-masing pada hujung minggu lalu.

Keseluruhan cawangan ini telah mendesak Bahagian Muar mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah ke jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan pucuk pimpinan parti Disember 2008 ini.

Senarai penuh cawangan ini adalah: Cawangan Muarani (Maharani?), Bandar A, Bandar, Parit Perupuk Laut, Sungai Balang, Kampung Indah Parit Bugis, Seri Kemang, Sungai Kelat, Sungai Pulai, Seri Rahmat, Seri Pantai dan Paya Lebar.

Blogger Zeme juga memberikan khabar bahawa satu cawangan UMNO dalam Bahagian Langkawi, Kedah, telah membawa usul supaya UMNO bahagian berkenaan mencalonkan Razaleigh sebagai calon Presiden UMNO. Satu lagi cawangan dalam bahagian ini pula mengusulkan Datuk Najib Tun Razak diberikan peluang bertanding jawatan Presiden UMNO.

Seterusnya, UMNO Cawangan Parit 4 Timur, Bahagian Sabak Bernam, Selangor, telah mengusulkan kepada bahagiannya untuk mencalonkan Najib ke jawatan Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawaqtan Timbalan Presiden UMNO.

Sementara itu, blogger Anak Jati Melayu, mengirimkan info mengenai amalan politik wang di peringkat cawangan seperti berikut:

Menantu (Abdullah) dah lama dok menyuap-nyuap untuk melobi jadi calon Ketua Pemuda. Banyak bahagian di Johor dah dijelajahi (olehnya). Tataetika yang baru di buat pun tak ada halangan bagi sidia. Sehinggakan pergi mesyuarat cawangan bawa pengawal macam polis. Berapa banyak dia tabur (saya) tak tahu. Ada kawan (yang) kerja di satu kementerian cakap, sekali (menantu Abdullah) tabur (duit), semua putih mata. Satu bahagian di Johor, katanya dah diperuntukkan RM1.00 juta untuk pencalonan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. UMNO boleh hancur kerana politik wang. - 8:14 AM, 29.7.8

Ini pula maklumat mengenai politik wang daripada seorang yang menggunakan nama Ahli Insaf daripada UMNO Bahagian Parit Sulong, Johor. Menurutnya, kini ada seorang calon bagi satu jawatan dalam bahagian tersebut dikatakan menabur wang berpuluh-puluh ribu ringgit banyaknya. Ada sesetengah pihak dalam bahagian itu telah melaporkan kes ini kepada Biro Pencegah Rasuah (BPR) di Batu Pahat. 2.00 PM, 29.7.8

Saya tidak akan komen mengenai amalan politik wang ini kerana ada pembesar UMNO sudah buat kenyataan baru-baru ini bahawa BPR memang diminta memantau amalan ini di semua peringkat UMNO yang sedang menjalankan persidangan cawangan masing-masing di seluruh negara. Moga-moga kerjasama daripada BPR akan membantu UMNO memansuhkan amalan politik wang. Jika tidak, seperti yang banyak disuarakan menerusi blog ini, UMNO mungkin musnah akibat politik wang. – Ruhanie Ahmad

Tuesday, July 29, 2008

PERSIDANGAN CAWANGAN, MUQABALAH DAN ABDULLAH

Jumlah cawangan yang berani mengemukakan usul supaya Datuk Seri Abdullah Badawi bersara daripada jadi Presiden UMNO kini meningkat daripada 48 kepada 56.

Berasaskan maklumat terbaru yang diterima oleh blog ini hari ini, senarai cawangan-cawangan tersebut adalah seperti berikut:

Cawangan Kelana Jaya Baru, Bahagian Petaling Jaya Utara, Selangor.

Satu cawangan (nama sebenar belum diperolehi) dalam Bahagian Muar, Johor.

Satu cawangan (nama sebenar belum diperolehi) dalam Bahagian Pokok Sena, Kedah.

Lima cawangan (nama sebenar belum diperolehi) dalam Bahagian Merbok, Kedah.

Sementara itu, cawangan dalam Bahagian Alor Gajah, Melaka, yang mengusulkan supaya bahagian tersebut tidak mencalon Abdullah sebagai Presiden UMNO (seperti dinyatakan dalam posting blog ini sebelum ini) adalah Cawangan Pekan Alor Gajah.

Diharapkan warga UMNO yang mempunyai maklumat mengenai cawangan-cawangan yang bertindak alternatif seperti di atas sudi melaporkannya kepada blog ini menerusi ruangnan komen atau e-mail kepada puteramaya@gmail.com

Sementara itu, renungkanlah beberapa komen berkaitan perkara ini seperti berikut:

Mata-Mata Pencen: Kalau pencalonan untuk penentang Abdullah sebagai Presiden tak cukup, maka sudah sahlah bahawa majoriti ahli UMNO mahu UMNO dikafan dan ditalqinkan selepas PRU13 nanti.- 28.7.8, 9:04 AM

Kluangman: Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM) pernah “disalahkan” kerana melantik Abdullah sebagai penggantinya walaupun pada masa itu bukan sahaja TDM, tetapi seluruh rakyat tertipu dengan lagak “bersih”nya Abdullah. Jika Abdullah terus terpilih, maka gugurlah “kesilapan” TDM dan benarlah Abdullah terus dan lebih “bersih” dari dulu. Itu keputusan majoriti ahli UMNO. Selepas itu, adalah tanggungjawab bersama ahli UMNO untuk melihat parti mereka “ranap” atau terus tegak megah – 28.7.8, 10:47 AM

Tayadih Maysia: Kalau negara sampai dah nak tergadai, ekonomi menjunam, politik kucar-kacir, anak menantu pemimpin kaya raya pun masih nak sokong pemimpin itu juga, tak tahu lagi nak kata apa. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.... – 8:11 AM, 28.7.8

Peon Pencen: Mana ada pemimpin besar di dunia yang mahu berundur secara sukarela melainkan TDM sahaja. Sebagai contoh, Presiden Suharto, Marcos dan Perdana Menteri Thaksin. Kesemuanya dipaksa berundur. Tempoh dua tahun yang dibuat oleh Abdullah bukan tempoh peralihan. Tetapi tempoh “cooling off” (meredakan suasana) dan atur strategi untuk menguatkan kedudukan. Selepas Perhimpunan Agung, kedudukan Abdullah akan nampak gah dan kuat kerana mendapat sokongan besar dari parti. Oleh kerana mendapat mandat penuh, Abdullah akan terus berkuasa sehingga PUR13. Selepas PRU13, Abdullah akan berundur. Sebelum berundur, beliau akan melantik seorang “menteri tua” sebagai PM. “Menteri tua” ini akan melantik KJ sebagai timbalannya. “Menteri tua” ini akan berundur sebelum PRU14. KJ akan di lantik sebagai PM. Semua ini tidak mustahil boleh berlaku kerana wang. - 5:08 PM, 28.7.8

Lamandau: Adalah amat sukar untuk menyingkir orang yang sedang berkuasa melalui proses demokrasi parti politik. Orang yang sedang berkuasa mempunyai beranika teknik, tektik dan pasarana untuk menentukan tekanan seumpama ini tidak akan memberi kesan. Sejarah UMNO menunjukkan bahawa tekanan ke atas presiden parti untuk berundur hanya akan terjadi sekiranya ada tekanan dalaman terdekat (inner circle), iaitu di kalangan Timbalan, Naib dan Ahli MT. Ahli di bawah boleh berteriak sehingga pecah kerongkong namun akan tetap tidak memberi kesan dalam usaha memaksa Pesiden parti berundur. Percayalah, Abdullah akan terselamat dalam PAU kali ini dan akan terus menerajui UMNO sehingga beliau dan keluarganya merasakan dah bosan, baru peralihan kuasa akan terjadi dan tidak semestinya beliau akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Najib! Kalau kita lihat perkembangan mutakhir ini, percubaan membabitkan Najib dengan isu-isu sekarang semakin ghairah diusahakan oleh mereka yang berkepentingan dengan menggunakan jentera yang sofistikated termasuk blogger(s) upahan yang juga menjadi pencetus atau penyebar dakyah tertentu. Saya menjangka usaha ini akan berterusan sehingga Najib tewas tanpa dapat meyerang balas kerana PAU telah berlalu. Jadi, apa opsyen terdedah kepada Najib dewasa ini? Tepuk dada tanya selera. Saya tidak percaya Najib bersikap naif menghadapi kemungkinan ini. Beliau mempunyai jentera yang kuat juga. Bagaimanapun, berapa kuat jentera yang ada, kalau tidak bergerak atau digerakkan, tidak mempunyai apa-apa erti pun. Jangan terantuk baru mengadah!!!- 9:05 PM, 28.7.8

Sang Rajuna: Sebenarnya pemimpin UMNO di peringkat cawangan ialah orang kecil yang tidak berpengaruh dan berkuasa berbanding dengan orang besar di peringkat negeri dan pusat. Jadi, dalam keadaan biasa, tanpa ada tokoh besar lain yang boleh menggerakkan mereka, mana mungkin mereka menentang keputusan yang diambil pucuk pimpinan UMNO? Ini bukan soal bodoh atau pandai. Tapi soal tidak ada kekuatan atau tidak berdaya kerana mereka telah begitu lama dikongkong oleh budaya feudal yang menghendaki mereka sentiasa patuh dan setia kepada orang atas yang biasanya dibayangkan tidak pernah berbuat salah! - 9:38 PM, 28.7.8

Berita Dari Gunung: Titah Tuanku Jaafar baru-baru ini wajar diberi perhatian. Tuanku melihat ada yang bersungguh mengekal kuasa, dan ada yang bermatian mengejar kuasa. Kuasa di tangan yang salah, adalah mudharat untuk negara. - 11:28 PM, 28.7.8

Sahabat: Beberapa minggu sesudah PRU12, seorang Hamba Allah menemui Abdullah untuk mendesaknya bersara. Abdullah memberitahu Hamba Allah tersebut, memang beliau memilih untuk berundur setelah PRU12. Tapi ada dua insan yang berjaya menghalang Abdullah. Ketika itu kedua-duanya sedang atur strategi. Kini kita sedang berhadapan dengan strategi-strategi tersebut. –2.00 PM, 27.7.8

Orang Dalam: Harap warga UMNO dapat membaca apa sebenarnya sebab ura-ura muqabalah UMNO-PAS. Nak selamatkan Islam dan Melayu? Nak selamatkan Malaysia? Nak selamatkan Abdullah? Nak cari alasan singkirkan Najib, Musa Hassan dan Gani Patel? Haji Hadi nak jadi DPM? Beberapa pemimpin PAS akan diatasi masalah kewangannya? Nak pujuk PAS masuk BN biar Abdullah ada majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat? Benarkah UMNO dah ada jawatankuasa tertinggi untuk muqabalah ini, siapa dia dan bila ditubuhkan? 3.15 PM, 27.7.8

Toyol: Biarkan Abdullah asyik dengan game politiknya masa ini. Kita tunggu apa yang akan berlau tak lama lagi. Mudah-mudahan agama, bangsa dan tanahair (alif, ba, ta) kita selamat. – 5.45 PM, 28.7.8

Renungkanlah seluruh komen dan info di atas dengan keinsafan yang dalam. Kalau ada yang masih samar-samar, kirimkanlah surat kepada Abdullah dan minta penjelasan daripadanya. Tapi ingat, apa yang perlu dilakukan, lakukanlah untuk menyelamatkan UMNO dan demi agama, bangsa dan negara!

Buat diri saya, info daripada Sahabat dan Toyol seperti di atas akan saya kaji dengan sedalam-dalamnya. Hanya sesudah itu Insya Allah saya akan menulis mengenai usaha muqabalah UMNO-PAS mengikut hasil kajian yang sedang saya lakukan sekarang ini. Buat sementara waktu, kita fokuskanlah pemikiran serta usaha kita kepada Persidangan Cawangan yang sedang berjalan di seluruh negara dan ikutilah berapa cawangan lagikah yang berani bersuara demi rakyat Malaysia seluruhnya. – Ruhanie Ahmad

Monday, July 28, 2008

HANYA 48 DARIPADA 20401 CAWANGAN MAHU ABDULLAH BERSARA?

Hanya 48 cawangan daripada sembilan bahagian di seluruh negara setakat ini berani menolak kehendak Majlis Tertinggi UMNO supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikekalkan sebagai Presiden dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timblan Presiden dalam pemilihan pimpinan tertinggi parti di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Disember 2008.

Ini bermakna cawangan-cawangan ini juga secara tidak langsung telah menyanggah formula peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib mulai Jun 2010.

Jumlah di atas memang satu peratusan yang amat kecil kerana keseluruhan 191 bahagian UMNO di Malaysia kini mempunyai 20,401 cawangan.

Tetapi, ini membuktikan kenyataan Abdullah pada 10 Julai 2008, bahawa “formula peralihan kuasa yang dibuat secara muafakat antara beliau dan timbalannya mendapat sokongan besar daripada akar umbi yang mahu melihat parti terus kukuh dan aman” tidaklah diterima oleh keseluruhan warga UMNO akar umbi.

Hakikat ini juga membuktikan kenyataan Najib pada 26 Julai 2008, yang meminta "semua cawangan UMNO yang bermesyuarat supaya tidak lagi membangkitkan usul pencalonan beliau sebagai Presiden pada pemilihan parti itu Disember ini” memang agak sukar untuk diterima oleh warga UMNO di peringkat cawangan.

Tindakan cawangan-cawangan di atas juga tidak pedulikan kenyataan Khairy Jamaluddin pada 11 Julai 2008, yang meminta “pelbagai pihak tidak mempertikaikan tempoh dua tahun peralihan kuasa” Abdullah kepada Najib.

Ketika diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Naib Presiden UMNO, bahawa sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan kuasa tersebut terlalu lama, Khairy yang hanya Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata: “Saya tak mahu ulas panjang mengenai kenyataan pemimpin lain yang mempertikaikan tempoh masa peralihan tersebut. Saya tidak tahu apa motif dan agenda mereka.”

Senarai cawangan-cawangan yang setakat ini menolak Abdullah sebagai Presiden UMNO adalah seperti berikut:

Keseluruhan 39 cawangan dalam Bahagian Gua Musang, Kelantan. Cawangan-cawangan ini mengusulkan supaya UMNO Bahagian Gua Musang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah selaku ketuanya, sebagai calon Presiden UMNO.

Cawangan Kampung Ubai, Bahagian Pekan, Pahang. Cawangan ini mengusulkan supaya Najib selaku Ketua UMNO Bahagian Pekan dicalonkan sebagai Presiden.

Cawangan Bukit Kuantan 2, Bahagian Paya Besar, Pahang. Cawangan ini juga mengusulkan semoga bahagiannya mencalonkan Najib menentang Abdullah.

Cawangan USJ2, Bahagian Kelana Jaya, Selangor. Cawangan ini mengusulkan bahagiannya mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin calon Timbalan Presiden.

Cawangan Air Keroh, Bahagian Bukit Katil, Melaka. Cawangan ini hanya mengusulkan Abdullah melepaskan jawatan Presiden UMNO dan tidak lagi bertanding dalam pemilihan parti Disember 2008.

Sebuah cawangan (nama sebenar belum diperolehi) dalam Bahagian Alor Gajah, Melaka, juga mencadangkan supaya Abdullah mengundurkan diri sebagai Presiden UMNO.

Cawangan Jalan Enggang, Bahagian Ampang, Selangor. Cawangan ini mengusulkan kepada bahagiannya supaya mencalonkan Razaleigh mencabar Abdullah.

Sebuah cawangan (nama sebenar belum diperolehi) dalam Bahagian Pandan, Selangor, mengusulkan “bukan Abdullah” sebagai Presiden UMNO.

Cawangan Desa Jaya, Bahagian Johor Bahru, Johor. Cawangan ini mengusulkan bahagiannya mencalonkan Muhyiddin selaku calon Presiden UMNO.

Cawangan Parit Simis Darat, Bahagian Parit Sulong, Johor. Cawangan ini mengusulkan bahagiannya mencalonkan Najib selaku Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden.

Senarai di atas mungkin tidak mencerminkan jumlah yang sebenarnya kerana tindakan yang dianggap sebagai anti-Abdullah ini tidak langsung dilaporkan oleh media perdana.

Akhir sekali, ramai pengirim komen ke blog ini yang bertanya, berapa banyak lagikah cawangan yang berani membawa usul seperti di atas dan adakah usul berkenaan akan membawa kesan kepada corak pencalonan yang akan dibuat oleh peringkat bahagian yang akan bersidang mulai September 2008?

Wajarlah kita serahkan kedua-dua pertanyaan ini kepada warga UMNO akar umbi yang masih menjalankan persidangan cawangan masing-masing dan juga para pemimpin bahagian yang akan bersidangan tidak lama lagi.

Pokoknya, warga UMNO akar umbi peru insaf bahawa tanpa cawangan, tidak akan ada bahagian, perhubungan dan Majlis Tertinggi UMNO. Ini bermakna UMNO cawangan adalah berkuasa untuk mencartakan destini dan masa depan perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanahair asalkan mereka jujur, ikhlas, tegas, berani, konsisten dan komited kepada misi perjuangan UMNO. – Ruhanie Ahmad

Saturday, July 26, 2008

CAWANGAN USJ2 CADANGKAN NAJIB PRESIDEN UMNO DAN MUHYIDDIN TIMBALANNYA

Ada kalangan sahabat yang membidas blog ini kerana hanya memaparkan kisah cawangan yang berusaha menolak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO.

Semoga difahami bahawa kisah cawangan-cawangan yang akur kepada susunan Abdullah untuk mencalonkan dirinya sebagai Presiden UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Timbalannya adalah sentiasa disiarkan oleh media perdana.

Blog ini menyiarkan tindakan yang alternatif sekadar untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa tidak semua cawangan UMNO bertindak umpama lembu cucuk hidung.

Contoh terbaru kepada tindakan alternatif ini adalah seperti yang dikirimkan oleh blogger Syahir the Owl. Diharapkan Saudara Syahir dapat mengirimkan perincian mengenai usul yang beliau maksudkan seperti berikut:

Syahir the Owl: Usul Cawangan USJ 2 mencadangkan Najib - Presiden dan Timbalan - Muhyiddin. USJ 2 dalam UMNO Bahagian Kelana Jaya, Selangor. - 11:16 AM, 26 Julai 2008

– Ruhanie Ahmad

Thursday, July 24, 2008

ADA UMNO CAWANGAN TOLAK ABDULLAH?

Di bawah ini saya siarkan sepenuhnya e-mail daripada Tuan Haji Mustapa Bin Haji Mohd Said, Naib Ketua UMNO Cawangan Ayer Keroh, Bahagian Bukit Katil, Melaka, serta dua komen - satu daripada Saudara Besarsiam dan satu lagi daripada Hairul AS, untuk tatapan seluruh pegunjung blog ini. – Ruhanie Ahmad

Datuk, sebenarnya pada Persidangan UMNO Cawangan Ayer Keroh (cawangan saya) tanggal 19 Julai 2008, satu usul telah dibahaskan dan telah diterima sebulat suara meminta Pak Lah melepaskan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, dan tidak lagi bertanding sebagai Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO bulan Disember 2008 nanti.

Usul ini telah dimajukan kepada pihak UMNO Bahagian Bukit Katil, Melaka, yang mana Ketua Bahagiannya ialah YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam.

Malangnya, tidak ada satu berita pun mengenai usul yang telah diluluskan itu keluar dalam akhbar-akhbar tempatan. Kami rasa, usul Cawangan kami akan dicampakkan ke dalam bakul sampah sahaja oleh UMNO Bahagian Bukit Katil.

Sekian, terima kasih.

Iklas daripada
Hj Mustapa Bin Hj Mohd Said
Naib Ketua
UMNO Cawangan Ayer Keroh
Melaka

Komen Berasiam: Selain 32 cawangan di Gua Musang yang meluluskan usul, sebuah cawangan di Pandan Selangor juga telah meluluskan usul yang senada, mencalonkan selain Pak Lah sebagai Presiden. Usul cawangan di Pandan bukanlah usul tergempar, tetapi usul bertulis yang dimuatkan dalam kertas persidangan.

Komen Hairul AS: UMNO Bahagian Pandan juga tidak akan mencalonkan AAB sebagai Presiden Parti.

Wednesday, July 23, 2008

GUNA FASAL 17.5.1, 14.5.3 DAN 14.5.4
UNTUK KITA MENYELAMATKAN UMNO

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih belum insaf bahawa UMNO mutakhir ini sedang menempah saat-saat kemusnahannya. Sebab itulah pada 20 Julai 2008, Abdullah dipetik oleh BERNAMA sebagai berkata bahawa “formula peralihan kuasa yang dibuat secara muafakat antara beliau dan timbalannya mendapat sokongan besar daripada akar umbi yang mahu melihat parti terus kukuh dan aman.”

Kenyataan di atas membuktikan bahawa Abdullah memang tersalah anggap. Kalau tidak, mana mungkin seluruh 32 cawangan UMNO dalam Bahagian Gua Musang dengan sebulat suara meluluskan usul mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah, bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti pada Disember 2008 ini?

Kalau tidak, mana mungkin satu cawangan dalam UMNO Bahagian Pekan juga membuat usul yang sama? Jika tidak disekat oleh pihak-pihak tertentu, pasti banyak lagi usul seperti ini akan diluluskan di peringkat cawangan di seluruh negara.

Tetapi, biarlah Abdullah seronok sendiri kerana inilah ciri-ciri pemimpin yang sentiasa dilanda sindrom penafian – kenyataan-kenyataannya tidak mencerminkan realiti di peringkat akar umbi.

Fasal 17.5.1

Dalam pada itu, Persidangan Cawangan UMNO yang sudah bermula hujung minggu lalu wajar menghasilkan strategi komprehensif untuk menyelamatkan parti yang sedang dilanda krisis kepimpinan dan krisis keyakinan yang amat serius di peringkat tertinggi.

Persidangan Cawangan perlu menggunakan Fasal 17.5.1 yang memberikan kuasa kepada warga akar umbi untuk “membincangkan dasar parti untuk dikemukakan kepada mesyuarat Perwakilan Bahagian” dengan sebaik-baiknya demi UMNO, agama, bangsa dan tanahair.

Gunakanlah Fasal 17.5.1 ini untuk Persidangan Cawangan mengemukakan usul ke peringkat bahagian masing-masing berkaitan usaha-usaha menyelamatkan UMNO.

Satu daripada usul cawangan yang amat relevan pada waktu ini ialah mencadangkan supaya bahagian masing-masing tidak mencalonkan Abdullah sebagai Presiden UMNO. Calonkanlah siapa sahaja asalkan bukan Abdullah. Usul ini bolehlah digubal seperti berikut:

Usul Pertama:

Berasaskan kuasa yang termaktub dalam Fasal 17.5.1 Perlembagaan UMNO; demi untuk menyelamatkan UMNO, agama, bangsa dan tanahair; maka UMNO Cawangan Kampung Juara, Bahagian Pulau Buluh, dalam Persidangan Tahunan pada 22 Julai 2008, mengusulkan kepada UMNO Bahagian Pulau Buluh untuk menggunakan Fasal 14.5.4 supaya tidak mematuhi formula peralihan kuasa yang dikemukakan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Selaras dengan ini, UMNO Bahagian Pulau Buluh hendaklah mencalonkan tokoh-tokoh lain untuk menerajui kepimpinan tertinggi UMNO. (Namakan calon-calon pilihan masing-masing.)

Jika usul di atas didapati kurang sesuai, satu lagi usul yang relevan untuk dikemukakan oleh Persidangan Cawangan kali ini adalah mendesak bahagian masing-masing mengemukakan usul ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2008 untuk memendekkan tempoh peralihan kuasa itu kepada 1 Januari 2009.

Alasannya, semakin lama Abdullah memimpin UMNO, semakin ramai orang hilang keyakinan terhadap beliau, UMNO akan hancur dan BN mungkin akan kehilangan kuasa secara total dalam PRU13. Usul yang dicadangkan bolehlah digubal seperti ini:

Usul Kedua:

Berasaskan kuasa yang termaktub dalam Fasal 17.5.1 Perlembagaan UMNO; demi untuk menyelamatkan UMNO, agama, bangsa dan tanahair; maka UMNO Cawangan Kampung Juara, Bahagian Pulau Buluh, dalam Persidangan Tahunan pada 22 Julai 2008, mendesak UMNO Bahagian Pulau Buluh menggunakan Fasal 14.5.3 untuk mengemukakan satu usul ke peringkat PAU 2008 meminta tempoh peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, dilakukan mulai 1 Januari 2009.

Oleh itu, warga UMNO akar umbi buatlah keputusan muktamad, usul manakah yang sesuai untuk diketengahkan kepada bahagian masing-masing kali ini.

Jika pilihannya adalah usul yang pertama seperti di atas, warga UMNO cawangan tidak perlu takut. Keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menyatakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu terus diberikan kepada penyandangnya ketika ini – Abdullah dan Najib – tidak perlu dipatuhi kerana ianya tidak berasaskan perlembagaan parti.

Perlu Berani:

Jika dipilih usul yang kedua seperti di atas, warga UMNO akar umbi juga berhak meminda tempoh peralihan itu.

Pokoknya, warga UMNO akar umbi perlu berani dalam membuat salah usul di atas kerana matlamat utama kedua-dua usul cadangan berkenaan adalah untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanahair.

Oleh itu, Persidangan Cawangan kali ini perlu berani mencabar peringkat bahagian masing-masing dengan mengemukakan salah satu usul di atas. Jika tidak, perwakilan cawangan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian bolehlah memilih barisan baru untuk memimpin bahagian masing-masing bagi memenuhi aspirasi warga akar umbi!

Jika bahagian masing-masing gagal memenuhi usul cadangan yang pertama seperti di atas, para perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian pula boleh menggunakan Fasal 14.5.4 untuk “mencadangkan calon-calon untuk bertanding menjadi Ahli Majlis Tertinggi.”

Fasal 14.5.3.Dan 14.5.4

Berasaskan Fasal 14.5.4 ini Perwakilan Bahagian boleh membantah jika pihak bahagian masing-masing masih terus mahu mencalonkan semula Abdullah sebagai Presiden UMNO. Jika bantahan ini menerima sokongan, ianya terpaksa diputuskan menerusi pengundian. Jika menerima undi sokongan daripada majoriti perwakilan, bahagian terpaksalah akur dengan keputusan berkenaan – tidak mencalonkan Abdullah ke jawatan Presiden UMNO.

Jika usul cadangan yang kedua seperti di atas mengenai memendekkan tempoh peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib juga tidak dipedulikan oleh peringkat bahagian, para perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian boleh menggunakan Fasal 14.5.3 yang memberikan kuasa untuk “membincangkan dasar-dasar parti untuk dikemukakan dalam Perhimpunan Agung.”

Menerusi kuasa dalam Fasal 14.5.3 ini, cadangkanlah usul mendesak bahagian masing-masing mendesak PAU 2008 memendekkan tempoh peralihan kuasa mulai 1 Januari 2009.

Huraian dua contoh di atas membuktikan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Dan, jalan yang terbuka dalam konteks ini adalah jalan yang diizinkan oleh Perlembagaan UMNO.

Selamat bersidang dan selamat majujaya dalam menyelamatkan UMNO dari kehancurannya.

Sunday, July 20, 2008

FORMULA PERALIHAN KUASA DAPAT SOKONGAN BESAR ANGGOTA PARTI - ABDULLAH

KEPALA BATAS 20 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata formula peralihan kuasa yang dibuat secara muafakat antara beliau dan timbalannya mendapat sokongan besar daripada akar umbi yang mahu melihat parti terus kukuh dan aman.

Beliau berkata formula itu diterima dengan baik oleh anggota parti bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti itu berjalan lancar.

“Nampaknya ada sokongan besar pada peringkat ini untuk saya dan Datuk Seri Najib Tun Razak terus memegang jawatan masing-masing,” katanya ketika merasmikan persidangan kelompok cawangan-cawangan Umno bahagian Kepala Batas, di sini hari ini. – Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm
32 CAWANGAN UMNO GUA MUSANG LULUS USUL CALONKAN KU LI TANDING PRESIDEN

GUA MUSANG, 20 Julai (Bernama) -- Sebanyak 32 cawangan Umno dalam bahagian Gua Musang yang mengadakan mesyuarat tahunan semalam, sebulat suara meluluskan usul mencalonkan Anggota Parlimen dan Ketua Umno bahagian itu, Tengku Razaleigh Hamzah, bertanding jawatan Presiden Umno Disember ini.

Cawangan yang bersidang itu membabitkan 17 cawangan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, sembilan cawangan dalam DUN Paloh dan enam cawangan dalam DUN Galas. Umno Bahagian Gua Musang mempunyai 116 cawangan.

Bagaimanapun, semua cawangan terbabit tidak mengusulkan sebarang nama bagi jawatan Timbalan Presiden Umno dan lain-lain jawatan kerana perkara itu terserah kepada anggota Umno di cawangan lain di seluruh negara. –BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=347230

Saturday, July 19, 2008

MUHYIDDIN PERTAHANKAN KERUSI NAIB PRESIDEN

Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan mempertahankan jawatannya selaku Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti pada Disember 2008 ini.

Keputusan ini pasti mendatangkan pelbagai tafsiran. Tetapi, Muhyiddin juga pasti mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk membuat keputusan tersebut.

Bagaimanapun, keputusan di atas membuktikan bahawa Muhyiddin memang sentiasa menyerahkan destini siasahnya kepada ketentuan Allah SWT.

Dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia 27 Disember 1996, Muhyiddin menyatakan seperti berikut:

Masa dan keadaan akan menentukan (masa depan saya dalam politik). Saya reda dengan ketentuan takdir. Politik bukan segala-galanya.

Dalam interbiu dengan Mingguan Malaysia 13 April 2008, beliau pula menegaskan seperti berikut:

Sekarang ini kedudukan saya adalah Naib Presiden. Saya bersuara lebih daripada pihak-pihak yang lain, saya tidak kisah. Kadang-kadang ada orang kata saya lebih banyak bersuara daripada Najib, bercakap lebih daripada Pak Lah, tetapi kalau mereka tidak bercakap, saya bercakap… Saya tidak berfikir langsung inilah peluang terbaik untuk masuk bertanding di mana-mana peringkat bagi melawan sesiapa.

Pada 16 April 2008, Muhyiddin pula berkata bahawa beliau “tidak berniat menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun dilihat lantang bersuara selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.”

Katanya, dalam senario politik yang meruncing, (selepas PRU12) beliau terpaksa menyatakan kebenaran untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu.

“Tiada motif politik. Niat saya ikhlas dan bukan tujuan saya untuk bertanding lawan Presiden, Pak Lah atau bertanding lawan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib, itu bukan niat saya.”

Demikianlah hakikatnya Muhyiddin. Saya pasti beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan di atas dalam tempoh terdekat ini. Kita nantikanlah perkembangan selanjutnya. – Ruhanie Ahmad

Thursday, July 17, 2008

ANWAR IBRAHIM TERIMA BANYAK SIMPATI
KERAJAAN ABDULLAH DIKUTUK RAKYAT

Sejak semalam mencurah-curah luahan rasa hati rakyat jelata mengutuk tindakan kerajaan terhadap Datuk Seri Abwar Ibrahim dikirimkan ke blog ini. Luahan hati itu juga mengirimkan simpati kepada Anwar. Di bawah ini adalah perkembangan terbaru dalam kes ini. – Ruhanie Ahmad

ANWAR ENGGAN BERI DNA BIMBANG DIMANIPULASI PIHAK BERKUASA, KATA PEGUAM

KUALA LUMPUR 17 Julai — Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan Hospital Kuala Lumpur mengambil sampel DNA beliau kerana khuatir ia akan dimanipulasi oleh pihak berkuasa, kata peguamnya, Sankara N.Nair.

Katanya, mereka bimbang DNA akan dimanipulasi kerana pasukan penyiasat dalam kes liwat membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998 juga terlibat dalam siasatan kali ini. “Lagipun DNA (Anwar) telah diambil masa kes dahulu (1998), kenapa perlu ambil lagi,” kata Nair. –Bernama, 11:40am

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_06.htm

ANWAR DIBEBASKAN DENGAN JAMINAN POLIS

KUALA LUMPUR 17 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan pukul 9.45 pagi ini dengan jaminan polis.

Anwar bagaimanapun diarahkan melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 18 Ogos ini. – Utusan, 10:15am

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_02.htm

Wednesday, July 16, 2008

PERKEMBANGAN POLITIK TERBARU

Di bawah ini disiarkan tiga berita terkini mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipetik daripada Utusan On-line sebentar tadi. – Ruhanie Ahmad

ANWAR DITAHAN POLIS

KUALA LUMPUR 16 Julai – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis berhampiran kediamannya di Segambut dekat sini pukul 1 tengah hari ini.

Difahamkan sepasukan anggota komando lengkap dengan topeng dan jaket memintas kereta Anwar di simpang berdekatan rumahnya sekembali beliau daripada memberi keterangan di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya. – Utusan, 1:20pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm

ANWAR TIBA DI IPK KL PUKUL 1.15 TENGAH HARI

KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba dengan kenderaan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini untuk memberi keterangan berhubung kes liwat melibatkannya tepat pukul 1.15 petang ini.

Semalam, polis memberi kata dua kepada Anwar untuk hadir memberi keterangan di IPK sebelum pukul 2 petang ini atau berdepan dengan tindakan ditahan selepas polis mengeluarkan waran tangkap. – Utusan, 2:02pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_08.htm

WAN AZIZAH KESAL CARA ANWAR DITAHAN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis kira-kira pukul 1 petang ini dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Segambut, sekembalinya daripada ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya.

Ketua Pembangkang itu berkata, suaminya memaklumkan perkara itu menerusi panggilan telefon daripada dalam kenderaan polis ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. – Utusan, 2:18pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_09.htm
UMNO JOHOR WAJAR SOKONG MUHYIDDIN

Kiriman Putera Bentan

TS Muhyiddin Yassin orang yang calculative dalam melakukan gerakan dan tindakan. Kita harap UMNO di bumi tumpah darahnya sendiri memulakan gerakan untuk TSM dalam hal yang besar ini. YAB Ghani Othman wajar bantu TSM selaku sahabat sepersekolahnya ini untuk maju ke depan.

Semua pihak harus ketepikan rasa cemburu tak tentu pasal terhadap TSM. Carilah nasihat orang tua-tua politik Johor. Himpunkanlah pendapat para veteran UMNO Johor untuk cari kata muafakat. Seluruh anggota UMNO akar umbi Johor juga kena bersuara. Buktikan bahawa UMNO di lahirkan di Johor dengan tekad untuk memartabatkan bangsa di abad ke-21 ini.

Apa kurangnya bumi Johor? Bekas TPM Tun Musa Hitam ada. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika ini datangnya dari Johor. Ketua Puteri UMNO Malaysia memang anak Johor jati. Bekas Ketua Puteri UMNO Malaysia, mungkin bukan anak Johor, tapi berkubu di Johor. Anak bekas Singa UMNO, entah anak Johor entah tidak, juga berkota di Johor. Anak Allahyarham Tun Ismail Abdul Rahman juga di Johor. Personaliti ini dan lain-lainnya ada kekuatan, pengaruh dan penoykong setia masing-masing. Semua ini wajar digemblengkan demi UMNO memperolehi seorang Presiden seperti TSM. Dengan susunan langkah macam ini warga UMNO di negeri-negeri lain pasti akan hormat kepada gerak dan langkah TSM. Dengan ini juga pasti ramai warga UMNO di luar Johor akan tergerak dan terpanggil untuk membantu mengketengahkan TSM bagi jawatan Presiden UMNO.

Kalau perlu dapatkan nasihat DYMM Baginda Sultan Johor yang memang amat prihatin terhadap UMNO dan pergolakan siasah semasa tanahair ini. Lebih afdhal lagi, wajarlah TSM sendiri merafak sembah ke bawah DYMM Baginda Sultan Johor untuk memohon buah fikiran, nasihat dan galakan daripada pihak Istana Johor.

Semua ini penting supaya TSM tidak rasa keseorangan. Semua warga UMNO Johor kena bergerak sederap dan selangkah, seiring dan sejalan, seiya dan sekata. Lurah sama dituruni, gunung sama didaki, hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah, patah sayap, bertongkat paruh, namun Insya Allah akan terbang jua. Mudah-mudahan TSM berjaya demi UMNO untuk agama, bangsa dan tanahair!
DUA VERSI KISAH MUHYIDDIN
DALAM UTUSAN ONLINE 15.7.8

MUHYIDDIN LEBIH BERPELUANG MENANG JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN UMNO

KUALA LUMPUR 15 Julai – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO sekiranya pemilihan bagi jawatan itu dibuat secara terbuka.

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini berikutan tanggapan umum yang melihat Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang pemimpin yang lemah dan tidak pernah mempunyai pendirian sendiri.

Beliau turut membayangkan Muhyiddin akan lebih diterima sebagai Perdana Menteri oleh ahli-ahli UMNO yang tidak dikongkong oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan orang-orang luar UMNO berbanding Najib.

Bekas Perdana Menteri itu juga menyatakan keyakinannya Abdullah akan memanipulasi mesyuarat Agung UMNO Disember ini agar ahli-ahli UMNO mengundi calon pilihannya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat Pentadbiran dan Biro Pengaduan Awam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di sini hari ini. – Utusan15.7.2008 2:04pm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm


MUHYIDDIN BERPELUANG MENANG - DR. MAHATHIR

KUALA LUMPUR 15 Julai - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO sekiranya pemilihan bagi jawatan itu dibuat secara terbuka.

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kini wujud tanggapan umum yang melihat Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang pemimpin yang lemah dan tidak pernah mempunyai pendirian sendiri.

''Dia (Najib) hanya cakap, selalu cakap, saya sokong, saya sokong, saya terharu. Tetapi dia tidak pernah sebut apa-apa mengenai hasrat rakyat terhadapnya atau bagaimana dia menghormati mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Pentadbiran dan Biro Pengaduan Awam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, keputusan Najib untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO bermakna beliau mungkin terpaksa berdepan dengan Muhyiddin.

''Mengikut amalan UMNO, Najib tidak lagi boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri sekiranya dia kalah,'' jelasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm

Tuesday, July 15, 2008

BENARKAN MUHYIDDIN YASSIN
BAGAI SINAR DALAM GERHANA?

Ruhanie Ahmad

Pada saat ini ramai warga UMNO berhasrat menggandingkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai dua pemimpin utama parti mereka. Malangnya, Najib sudah diikat oleh janji peralihan kuasa ciptaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengatakan gandingan dirinya sebagai Presiden UMNO dengan Najib selaku Timbalan Presiden UMNO kononnya akan dikekalkan dalam pemilihan pucuk pimpinan parti Disember 2008 ini.

Berikutan kesanggupan Najib untuk terus berketuakan Abdullah - walaupun Abdullah sudah disanggah oleh segolongan warga UMNO dan rakyat jelata menerusi PRU12 - rata-rata warga UMNO jadi serba salah, marah-marah dan berasa amat kecewa.

Kata mereka, Najib tidak harus mengizinkan dirinya dijebak percaturan kuasa Abdullah. Ini kerana kesanggupan Najib untuk terus berpaut kepada Abdullah menyebabkan Najib tidak terdaya menentang Abdullah.

Dalam keadaan seperti ini, warga UMNO akar umbi yang sedang meluap-luap dengan sentimen serta perasaan anti-Abdullah terpaksa mengenepikan Najib dan terus memfokus kepada Muhyiddin.

Mereka mengharapkan Muhyiddin mara menentang Abdullah bagi jawatan Presiden UMNO semata-mata kerana UMNO amat memerlukan pemimpin yang tegas dan tangkas untuk memperkasakan semula parti mutakhir ini.

Rendah Hati

Muhyiddin sudah lama berkecimpung dalam siasah negara. Beliau menghadirkan diri di arena politik bermula daripada bawah. Beliau naik secara bertangga - peringkat demi peringkat, secara perlahan-lahan, secara tertib, bersopan dan bersantun. Muhyiddin bukan ahli politik ala-parachute.

Muhyiddin tidak menempah nama menerusi kemasyhuran salasilah keluarga. Beliau menempah nama dan kedudukan menerusi prestasi dan kecemerlangan dirinya sendiri.

Biarpun Muhyiddin bukan insan yang bebas daripada cacat dan cela, beliau sentiasa berusaha menjauhi kemungkaran dan mendekati kemakrufan, setakat mana yang termampu, setakat mana yang diredai oleh Allah.

Muhyiddin seorang yang rendah hati dan sering memperkenalkan dirinya sebagai anak seorang warga Johor tanpa pangkat dan tanpa nama. Ini kerana Muhyiddin enggan mengheboh-hebohkan dirinya sebagai anak seorang ulamak.

Tetapi, sesiapa yang mengenali ayahanda Muhyiddin – Allahyarham Cikgu Haji Mohd. Yassin - pasti tahu akan susur-galur Muhyiddin. Keluarganya berpengaruh, dihormati, disegani dan dedikated kepada pembangunan insaniah menerusi dakwah, pembelajaran dan pendidikan ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ayahanda Muhyiddin menabur bakti kepada anak bangsa kerana Allah.

Lemah Lembut

Demikianlah hakikatnya Muhyiddin yang lemah lembut tutur katanya. Beliau tidak prasangka. Biarpun difitnah pelbagai cara, beliau tetap tidak akan bertindak balas. Beliau sentiasa berpegang teguh kepada cogankata Anak Johor: Kepada Allah Berserah.

Tetapi, kerana Muhyiddin hanya berkata apabila perlu, beliau pula sering disalahsangka oleh sesetengah warga politik tanahair, sebagai seorang yang kurang peramah atau pun sombong.

Bagaimanapun, bila Muhyiddin mula bersuara dan berbicara mengenai sesuatu, kata dan bicara itu adalah suara hatinya dan nada jiwanya.

Kata-kata dan bicara Muhyiddin sering tercetus atas kesedaran dan keinsafan yang memerlukan tindakan sewajarnya. Kata-kata dan bicara itu diartikulasikan dengan mindanya yang tajam dan kemudiannya digerakkan menjadi tindakan yang berkesan dan menyeluruh.

Lazimnya, Muhyiddin berjaya dalam misi yang sedemikian rupa. Ini kerana beliau memang sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah supaya seluruh kata, bicara, gerakan dan tindakannya menerima restu dan hidayahNya jua.

Sinar Gerhana

Muhyiddin juga sentiasa memohon kepada Allah semoga dirinya dipandu ke jalan yang lurus dan benar. Dan, dalam sesuatu misi perjuangan siasahnya, kebenaran dan kelurusan niat Muhyiddin ini adalah didedikasikan kepada agama, bangsa dan negara.

Demikianlah lakaran profil insan politik yang bernama Muhyiddin yang kini difokus oleh akar umbi UMNO.

Muhyiddin sering dilambung badai dan sering diterjah gelora. Namun beliau sentiasa tenang dalam menghadapi apa juga suasana. Beliau berusaha dan terus berusaha. Kemudiannya, beliau pasrah diri kepada Allah memohon keredaan dan kejayaan daripada Yang Maha Kuasa!

Muhyiddin sukar untuk kelihatan marah. Beliau sentiasa menghormati sahabat dan musuh. Beliau kuat kerja. Beliau sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan dalam apa jua yang diperjuangkan.

Hari ini, banyak pihak menganggap Muhyiddin sebagai lilin yang membakar diri. Hakikatnya bukan begitu. Muhyiddin adalah sinar dalam gerhana.

Cahaya sebatang lilin yang menerangi kegelapan, makin lama makin malap dan cahaya yang terang kembali gelap. Tetapi, cahaya sinar dalam gerhana, mula-mulanya memang kelam, suram dan berbalam-balam. Tetapi, makin lama, pancaran sinarnya makin cerah dan dunia kembali terang benderang.

Razaleigh

Jadi begitulah Muhyiddin. Beliau adalah jenis insan politik yang susah untuk berputih mata. Beliau juga sukar untuk berputus asa. Buat ketika ini beliau mempunyai pelbagai pilihan.

Satu: Muhyiddin mungkin akan mendesak Najib bertanding jawatan Presiden UMNO dan beliau sendiri mengisis jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Dua: Jika Najib enggan berganjak, Muhyiddin mungkin akan berakit dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang sudah menawarkan diri untuk menentang Abdullah?

Tiga: Muhyiddin mungkin tidak akan bergabung dengan Razaleigh. Tetapi, bertindak menentang Abdullah dan Najib serta Razaleigh bagi jawatan Presiden UMNO. Kalau kemungkinan ini jadi realiti, siapakah pula regu beliau?

Jika ketiga-tiga opsyen di atas tidak langsung dipertimbangkan oleh Muhyiddin pastinya beliau juga akan digolongkan oleh warga UMNO sebagai insan yang sama kategori dengan Abdullah dan Najib.

Oleh itu, apakah perkembangan selanjutnya? Demi manfaat agama, bangsa dan tanahair, pastinya Muhyiddin berada dalam keadaan yang amat sukar untuk membuat satu keputusan muktamad. Mudah-mudahan beliau diberikan petunjuk oleh Allah SWT akan opsyen manakah yang akan diambil dalam tempoh terdekat ini!

Sunday, July 13, 2008

KE MANA AKHIRNYA NAJIB?

Kiriman Spycatcher-03

Peralihan kuasa di Malaysia dewasa ini digagaskan kerana rakyat jelata tidak sukakan Perdana Menteri dan ahli UMNO tidak sukakan presiden parti yang tidak berkesan dari segi kepimpinan dan pemerintahannya.

Matlamat utama peralihan ini adalah mengembalikan keyakinan rakyat selepas kekalahan teruk dalam PRU12 kepada kerajaan dan UMNO yang diterajui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ia juga bertujuan membolehkan pengganti Abdullah melakukan konsolidasi untuk memeta stretegi dan persiapan menghadapi PRU13.

Tekanan terhadap Abdullah menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berlandaskan matlamat di atas. Najib memerlukan tempoh secukupnya untuk proses konsolidasi berkenaan bagi memastikan prestasi BN yang lebih baik dalam PRU13.

Najib juga memerlukan waktu secukupnya kerana keadaan ekonomi semasa yang kian merudum akan menyukarkan beliau meyakinkankan rakyat terhadap kemampuan parti dan kepimpinannya menangani isu ini sebelum PRU13. Tempoh ini juga diperlukan supaya Najib mampu mengatasi isu kredibiliti dirinya yang kelihatan makin meruncing.

Jadi, adakah tempoh peralihan kuasa yang diumumkan oleh Abdullah ini adil dan menepati tujuan asalnya? Oleh kerana Abdullah nyata tidak lagi berkebolehan untuk memimpin negara ini, mengapakah harus dilengah-lengahkan lagi proses peralihan yang wajib beliau lakukan ini?

Gimik Politik

Pada hemat saya, pengumuman tempoh peralihaan tersebut hanya dibuat oleh Abdullah untuk memenuhi tekanan semasa daripada rakyat. Ia juga sekadar untuk meredakan tekanan ke atas diri Abdullah.

Jadi, kenapakah Abdullah masih mahu mengekalkan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Disember 2008 nanti? Mengapakah setiap hujung minggu Abdullah mengaturkan (diaturkan?) perjumpaan dengan ahli UMNO akar umbi, walaupun ini menyalahi etika UMNO?

Indikasi kepada semua tindakan ini ialah Abdullah mahu terus berkuasa. Pengisytiharan tempoh peralihan kuasa yang beliau umumkan hanya satu gimik politik untuk menentukan Najib tersepit dan berada dalam dilema.

Sementara itu, siapa dapat memastikan bahawa proses untuk merobek kredibiliti Najib tidak mungkin diteruskan, satu demi satu, sehingga Najib tidak bermaya untuk menepisnya dan mungkin menyerah kalah kepada persepsi yang amat negatif. Pada waktu yang sama, tiada siapa juga dapat memastikan kemungkinan Najib terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Jika ini terjadi, Abdullah akan mempunyai alasan untuk membatalkan niatnya menyerahkan kuasa kerana tiada mempunyai pengganti yang difikirkan matang untuk mengambi alih darinya.

Justeru, Abdullah pun akan terus kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri walaupun akan menghadapi risiko ditolak oleh rakyat dalam PRU13.

Perlindungan

Kemungkinan senario ini berlaku adalah amat besar memandangkan faktor kegelojohan orang-orang terdekat Abdullah untuk mendapat tempat di persada kuasa.

Anehnya, kenapakah Najib seolah-olah akur sahaja dengan arrangement ini? Mungkinkah kerana beberapa sebab tertentu? Mungkinkah Najib berfikir inilah ganjaran for being loyal?

Mungkinkah kerana ancaman terhadap kredibilitinya ketika ini begitu bertubi-tubi, Najib pun menganggap pengumuman peralihan kuasa ini sebagai peluang terbaik beliau untuk berteduh di bawah perlindungan Abdullah bagi tempoh dua tahun ini?

Atau, mungkinkah Najib beranggapan Abdullah tidak tega merestui sebarang tindakan undang-undang terhadapnya? Sebab itukah Najib mungkin menyifatkan Abdullah sebagai penyelamatnya?

Kalau inilah pendirian Najib, saya menganggap beliau bersikap naïf dan lari dari tujuan asal untuk membetulkan keadaan UMNO dan negara akibat angkara kepimpinan Abdullah.

Maka, tidakkah Najib sedar bahawa ada jari-jemari lain yang sedang merangka untuk berkuasa (sudah tentu dengan bantuan Abdullah)? Tidakkah Najib sedar bahawa beliau berada di final curtain? Tidakkah Najib sedar bahawa beliau tidak mungkin jadi Perdana Menteri dalam keadaan sekarang?

Muhyiddin

Oleh itu, apa akan jadi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin? Adakah beliau akan berpuashati mengekori rentak Najib untuk tinggal ditakuk lama? Setahu saya, Muhyiddin mencetuskan isu peralihan kuasa ini sebagai tindakan segera mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan kerajaan.

Kalau tempoh peralihan tersebut terlalu panjang, sudah tentu ia menjejaskan proses mengkonsolidasi yang dirancangkan. Jadi adakah wajar Muhyiddin berdiam diri?

Bagi saya, kesanggupan Najib untuk menunggu proses peralihan kuasa yang begitu lama ini mengesahkan bahawa beliau hanya inginkan jawatan dan pangkat sahaja.

Jadi, tujuan asal untuk menyelamatkan UMNO dan negara menjadi sekunder bagi Najib. Beliau harus sedar kesuntukan masa untuk mengkonsolidasikan UMNO hanya akan mengundang keputusan yang amat negatif dalam PRU13 kelak.

Dalam masa dua tahun Najib tidak mungkin sempat untuk membuat sesuatu yang boleh meyakinkan rakyat supaya kembali menyokong BN dan kerajaan. Jadi, relakah Najib jadi Perdana Menteri hanya bagi tempoh dua tahun sahaja? Ini mungkin akan berlaku kerana parti pembangkang telah mendapat momentum yang begitu tinggi ke arah memenagi PRU13!

Saya harap Najib fikir masak-masak dan gunakanlah kepintaran think-tank beliau untuk membuat keputusan demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair. Jangan biarkan Muhyiddin mengambil tindakan berasaskan opsyen yang terdedah kepadanya secara individu. - Spycatcher03, 9:50 AM, 13 Julai 2008.

Friday, July 11, 2008

GAGASAN PERALIHAN KUASA ABDULLAH
BOLEH DIBANTAH SECARA DEMOKRATIK

Ruhanie Ahmad


Politik Malaysia diramalkan jadi lebih menarik. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal memahami aspirasi rakyat jelata menerusi PRU12. Lantaran itulah beliau mengumumkan pada 10 Julai 2008, beliau hanya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Ini bermakna Najib akan terus dibelenggu detik-detik penantian yang amat panjang – penuh dengan getaran jiwa, gegaran jantung dan denyutan sukma yang menjeruk hati.

Tiada sesiapa dapat menyelami isi hati Najib yang sebenar mengenai hal ini. Bagaimanapun, tidakkah kenyataan Najib bahawa “suara parti pada akhirnya akan menentukan keputusannya,” memberikan mesej tersirat daripada hati Najib?

Apakah maksud kenyataan Najib ini? Tidakkah ayat singkat tersebut boleh ditakrifkan sebagai cara berhemah Najib membuka opsyen kepada warga UMNO untuk memuktamadkan keputusan Abdullah – sama ada mereka setuju atau sebaliknya?

Tidak mungkinkah suara hati Najib ini juga selari dengan reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Naib Presiden UMNO?

Untuk memastikan mesej tersirat Muhyiddin yang sedang menjalankan tugas rasmi di Tokyo, Jepun, dan tidak dapat menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 10 Julai 2008, bacalah kenyataan beliau yang dipetik oleh Utusan Malaysia seperti berikut:

Kebimbangan

Sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama. Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira.

Oleh yang demikian, ada ahli UMNO yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti. Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang.

Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing.

(Diharapkan) sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka.

Sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti.

Keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati. Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan. Mereka ada aspirasi. Mereka juga ada harapan.

Tersirat

Reaksi Muhyiddin di atas mendatangkan pelbagai tafsiran. Abdullah pasti faham mengenainya. Najib pasti dapat membaca maksudnya yang tersirat. Warga UMNO di seluruh peringkat juga pasti bijak menterjemahkan mesej itu kepada tindakan yang selaras dengan perlembagaan parti dan secocok dengan aspirasi mereka mutakhir ini.

Sementara itu, Tengku Razaleigh Hamzah yang kini menawarkan dirinya untuk menandingi Abdullah bagi jawatan Presiden UMNO pula menyifatkan keputusan Abdullah untuk menyerahkan kuasa kepada Najib “sebagai satu langkah yang silap.” Razaleigh juga dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata seperti berikut:

Mana-mana jawatan dalam UMNO ditentukan oleh ahli dan tidak wajar Perdana Menteri memutuskan sendiri peralihan kuasa yang akan berlaku dan kepada siapa hendak diserahkan.

Ramai orang terlupa bahawa jawatan Perdana Menteri perlu mendapat restu Yang di-Pertuan Agong seperti yang tercatat dalam Perlembagaan.

Dalam Perlembagaan dinyatakan, Perdana Menteri boleh dilantik di kalangan sesiapa Ahli Parlimen yang mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat.

Apa yang ditegaskan oleh Razaleigh seperti di atas adalah hakikat yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan Perlembagaan Persekutuan. Jadi, bagaimanakah Abdullah akan mematahkan pendapat ini? Atau, adakah pandangan Razaleigh ini akhirnya akan diketepikan begitu sahaja?

Maka, terbuktilah bahawa gagasan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Abdullah adalah penuh dengan kelemahan yang struktural dan strategik. Jadi, adakah soal yang struktural dan strategik ini juga akan diketepikan begitu sahaja?

Dalam pada itu, kenyataan Abdullah mengenai peralihan kuasa ini sebenarnya tidak mencerminkan pendirian sebulat suara oleh seluruh ahli MT UMNO.

Berbeza

Walaupun semua ahli MT diberikan peluang oleh Abdullah untuk membicarakan gagasan peralihan kuasa ini, majoriti mereka berbicara secara berlapik dan agak berbelit-belit. Mereka bersetuju, tetapi tidak pula tergamak untuk menyangkal bahawa tempoh yang dicadangkan adalah terlalu lama.

Hanya dua orang ahli MT sahaja yang berani bersuara secara terus terang. Mereka adalah Datuk Shafie Apdal dan Datuk Seri Mohd Khir Toyo. Kedua-duanya berbeza pendapat dengan majoriti ahli MT lainnya. Mereka berkata, adalah lebih wajar jika peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dilaksanakan dengan seberapa segera.

Pandangan Shafie dan Khir ini lebih mirip kepada aspirasi sebenar warga UMNO bawahan dan segolongan rakyat jelata atas pagar yang mendukung UMNO. Tetapi, mungkinkah ini akan jadi satu pandangan popular yang akan menyebabkan upset kepada gagasan peralihan kuasa Abdullah?

Berasaskan seluruh hujah di atas, jika warga UMNO memilih untuk mengenepikan gagasan peralihan kuasa yang dicadangkan oleh Abdullah, pasti mereka akan membuat pencalonan Presiden UMNO dalam pemilihan tahun ini berasaskan aspirasi masing-masing.

Jika majoriti bahagian UMNO tidak mencalonkan Abdullah, ini bermakna Abdullah akan dipersarakan menerusi proses parti yang demokratik ini. Jika Abdullah layak bertanding dan ada pula pencabar lain yang juga layak bertanding, ini bermakna masa depan Abdullah akan dipastikan menerusi undi para perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini.

Jika Abdullah menang, beliau akan meneruskan kepimpinannya dalam kerajaan dan parti tanpa sebarang dakwa-dakwi rakyat jelata. Ini kerana kehadiran Abdullah ketika itu diputuskan oleh sistem pemilihan yang demokratik. Jika, beliau tewas, Abdullah juga terpaksa akur dengan keputusan yang demokratik.

Senario dan kemungkinan hipotatikal seperti di atas pastinya akan mendorong banyak bahagian berani menafikan gagasan peralihan kuasa oleh Abdullah dan mencalonkan personaliti lain untuk menandingi Abdullah bagi jawatan presiden. Ini kerana penafian terhadap gagasan peralihan kuasa Abdullah ini adalah dilakukan untuk membuktikan UMNO masih terus mengamalkan demokrasi. Sekiranya Abdullah berjaya, kejayaan itu juga adalah hasil tindakan yang demokratik oleh warga UMNO.

Akhir kata, sama-samalah kita insaf bahawa UMNO mesti terus mempertahankan ciri-ciri demokrasinya, mesti diperkasakan semula, dan jangan sekali-kali diizinkan jadi lemah sehingga tidak terdaya menulangbelakangi Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah negara. Dengan keinsafan ini, seluruh warga UMNO wajar bertindak secara bijaksana.

Thursday, July 10, 2008

SELAMAT HARI JADI TUN!

Tun Dr Mahathir Mohamad kini berusia 83 tahun. Beliau sedang menyaksikan Malaysia yang dalam keadaan terumbang-ambing. Beliau juga sudah keluar meninggalkan UMNO pada 19 Mei 2008 kerana parti tersebut didakwa “tidak lagi berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan tanahair.”

Perasaan kecewa Tun Mahathir terhadap UMNO mutakhir tersirat dalam posting beliau di http://www.chedet.com/ sempena harijadinya, Tun Mahathir antara lainnya menyatakan seperti berikut:

Pengasas-pengasas UMNO daripada kubur mereka akan kutuk orang yang telah musnahkan parti yang mereka bentuk dan wujud guna untuk menebus maruah orang Melayu dan negara Malaysia. Parti yang mereka tubuh sudah di hi-jack oleh Dato Seri Abdullah untuk kepentingan diri dan keluarga sehingga hancur parti dibuatnya.

Demikian hakikatnya Tun Mahathir di harijadinya yang ke-83. Semoga Allah akan sentiasa memberikan beliau iman yang kukuh, umur yang panjang, kesihatan yang baik dan semangat juang yang terus terus membara untuk membantu negara-bangsa yang sedang berada dalam zon bahaya. Selamat Harijadi Tun! Sembah salam kepada Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah daripada saya sekeluarga. – Ruhanie Ahmad
BERITA TERKINI:
DR WAN AZIZAH TO FILE NO-CONFIDENCE VOTE AGAINST PM

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat is expected to file a no-confidence vote against Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi under an emergency motion in the Dewan Rakyat.

The motion is expected to be tabled by Opposition leader Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR- Permatang Pauh) at about 3pm. – THE STAR, Thursday July 10, 2008 MYT 2:41:23 PM
TAKLIMAT KHAS PRESIDEN UMNO


PUTRAJAYA 9 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyampaikan taklimat khas kepada kesemua 191 ketua UMNO bahagian dan kepimpinan empat sayap parti di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), esok.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengesahkan perkara itu berkata, pertemuan tertutup itu akan diadakan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti dipengerusikan oleh Abdullah di Menara Datuk Onn.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm
MELAKA MAHU ABDULLAH DAN NAJIB KEKAL TERAJUI UMNO

MELAKA, 9 Julai (Bernama) -- Semua bahagian Umno Melaka akan mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengekalkan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Disember ini.

Mereka juga akan mencalonkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Umno.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Melaka di sini pada 3 Julai lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam satu kenyataan di sini hari Rabu.

Mohd Ali berkata mesyuarat itu dihadiri kesemua enam ketua Umno bahagian di negeri itu.

Sebelum ini, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Selangor turut menyatakan sokongan kepada Abdullah dan Najib untuk terus menerajui parti itu.

-- BERNAMA

Wednesday, July 09, 2008

UMNO SELANGOR CALONKAN ABDULLAH, NAJIB

KUALA LUMPUR 8 Julai - Badan Perhubungan UMNO Selangor sebulat suara akan mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Disember ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, UMNO Selangor juga memutuskan sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Presiden UMNO.

"Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Badan Perhubungan di Ibu Pejabat UMNO Selangor di Shah Alam malam tadi.

"Ia dihadiri oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian dari seluruh Selangor," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sebelum ini Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang turut memutuskan untuk mencalonkan Abdullah sebagai Presiden UMNO dan Najib sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Setakat ini, hanya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan secara terbuka hasratnya untuk bertanding merebut jawatan Presiden UMNO.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm

Komen:

Hari itu Pulau Pinang, hari ini Selangor. Nampaknya strategi pencalonan ala-pasar borong untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan tahun ini sudah mula merebak. Inikah gambarannya di seluruh negara kelak? Adakah ini mencerminkan aspirasi warga UMNO akar umbi dan bahagian-bahagian? – Ruhanie Ahmad

SINGAPURA MAHU BELI 100 PESAWAT KALIS RADAR F-35

WASHINGTON 8 Julai – Singapura menunjukkan minat untuk membeli sehingga 100 pesawat F-35 Joint Strike Fighter keluaran Lockheed Martin Corp untuk beberapa dekad akan datang, sekali gus menyamai pelan pertahanan udara Israel.

“Israel menyatakan mereka mahu membeli sehingga 100 pesawat. Singapura juga pada asasnya menyatakan perkara yang sama,” kata Ketua Program Pentagon, Mejar Jeneral Charles Davis.

Pembangunan F-35 yang merupakan pesawat kalis radar dibiayai bersama oleh Britain, Itali, Belanda, Turki, Kanada, Australia, Denmark dan Norway.

Amerika Syarikat (AS) pula merancang untuk membeli sejumlah 2,443 model F-35 termasuk 1,763 untuk Tentera Udara AS dan 680 untuk Marin dan Tentera Laut dengan kos dianggarkan AS$299 bilion (RM986.7 bilion).

Beratus-ratus pesawat model ini mungkin dijual ke seberang laut bagi menggantikan F-16s keluaran Lockheed dan F-18 keluaran Boeing.

Davis turut meramalkan Jepun akan secara rasmi meminta harga dan maklumat mengenai F-35 menjelang hujung tahun ini dalam prosesnya memilih pesawat pejuang generasi baru.

Jurucakap Lockheed Martin, Tom Jurkowsky berkata, program F-35 kini melalui “kemajuan teknikal memberangsangkan terutamanya dalam konteks pesawat paling kompleks pernah dibuat.”

Penerbangan ujian pertama bagi versi mendarat dan berlepas secara konvensional dilakukan pada 15 Disember 2006.

Antara pesaing utama model F-35 adalah Gripen keluaran Saab; Dassault Rafale; MiG-35; Sukhoi Su-35 dan Eurofighter Typhon keluaran konsortium syarikat Britain, Jerman, Itali dan Sepanyol. – Reuters

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_10.htm

Komen:

Hari ini, kita telah hilang kedaulatan Pulau Batu Puteh; kita telah batalkan Jambatan Bengkok yang strategik kepada pertahanan negara; pemerintah kita pula mungkin merestui satu jambatan raya atau super-bridge yang kalis bom dan strategik kepada pertahanan jiran selatan dibina untuk menghubungkan Singapura dengan Nusajaya dalam Wilayah Iskandar di Johor Bahru.

Dengan latarbelakang ini, sila rincikan berita di atas dengan penuh keinsafan terhadap masa depan cucu-cicit kita. – Ruhanie Ahmad

Tuesday, July 08, 2008

DR. M: ADA USAHA BERSEPADU JATUHKAN NAJIB

KUALA LUMPUR 7 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelbagai tuduhan liar terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menunjukkan terdapat usaha bersepadu untuk menjatuhkannya dalam dunia politik.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui punca di sebalik komplot terhadap Timbalan Perdana Menteri itu tetapi percaya terdapat beberapa pihak terlibat.

''Bukan sahaja Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat seorang lagi dan lain- lain. Tentu ada dalang di sebalik keadaan sebegini yang bertujuan untuk menjatuhkan Najib. Terdapat usaha bersepadu menentang Najib. Saya tidak tahu kenapa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kumpulan Tokoh-Tokoh Terkemuka (EPG) Malaysia dan Indonesia di sini hari ini.

Ditanya mengapa Anwar membuat 'serangan' terhadap Najib, Dr. Mahathir menjelaskan, beliau tidak mengetahui puncanya.

''Saya tidak tahu kenapa beliau (Anwar) menentang Najib. Setahu saya, Najib tidak melaporkan tingkah lakunya (Anwar), tetapi beliau telah menyerang Najib. Mungkin dia berasa Najib menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri," kata Dr. Mahathir.

Ditanya sama ada Najib patut membersihkan namanya yang dicemari pelbagai persepsi negatif, Dr. Mahathir berkata: ''Tuduhan terhadap beliau adalah desas-desus semata-mata. Tiada bukti. Dia hanya bercakap dia membuat ini dan itu. Orang lain kata ini dan itu. Tetapi anda perlu memberikan bukti. Bukan hanya kata saya dengar orang lain cerita dan anggapnya sebagai bukti. Itu bukan bukti," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_18.htm

REALITY CHECK BUAT ABDULLAH

Ruhanie Ahmad

Kehadiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di persada kekuasaan negara mulai 31 Oktober 2003, amat dialu-alukan oleh rakyat Malaysia. Imej Abdullah yang bersih, warak dan mesra sungguh menawan hati nurani mereka. Tekad Abdullah membanteras rasuah secara habis-habisan menambat minat semua pihak. Cita-cita Abdullah menjadikan negara-bangsa Malaysia cemerlang, gemilang, terbilang disokong sepenuhnya oleh pihak kawan dan lawan.

Rekod kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencatatkan lonjakan paradigma dalam hampir semua aspek kehidupan rakyat dan kemajuan negara pula menjadi asas paling kukuh untuk membolehkan Abdullah mencartakan kejayaan demi kejayaan di hari muka.

Lantaran itulah BN dalam fasa awal kepimpinan Abdullah mampu merangkul kejayaan paling bersejarah menerusi PRU 11 pada 20 April 2004.

Tetapi, hanya kira-kira dua tahun sesudah itu, kepimpinan Abdullah seolah-olah mula menjanjikan satu era yang malang dalam sejarah BN, UMNO dan negara. Antara puncanya adalah imej Abdullah yang mulai luntur. Hakikat ini jadi semakin ketara bila isu ECM Libra yang membabitkan menantunya, Khairy Jamaluddin, mulai diperkatakan secara meluas oleh rakyat jelata di seluruh tanahair.

Reality Check

Lain-lain faktor yang menyebabkan Abdullah tidak lagi diyakini oleh rakyat jelata boleh dipastikan menerusi reality check ke atas Abdullah dan kepimpinannya seperti berikut:

Sewaktu mula berkuasa, Abdullah menyanjung tinggi jasa dan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Hari bagaimana?

Adakah rakyat masih percayakan kata-kata Abdullah bahawa beliau tidak mahu mencari “harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya” atau “wang berjuta-juta untuk hidup bergaya”?

Sewaktu mula berkuasa, Abdullah memperkenalkan apa yang beliau katakan sebagai Islam Hadhari. Insafkah Abdullah bahawa termonologi ini kini sudah jadi bahan jenaka dan amat mengecewakan sebilangan umat Islam?

Pada ketika ini, benar-benarkah Abdullah mahu mencari “mana dia Al-Ghazali” dan “mana dia Al-Shafie”? Benar-benar jugakah Abdullah mahu “bongkar rahsia kitab suci, cari pedoman dan bongkar rahsia sunnah Nabi, cari panduan”?

Sewaktu mula berkuasa, Abdullah mengatakan beliau tidak mahu dikelilingi oleh manusia pembodek. Hari ini bagaimana? Abdullah juga mahukan para pegawai peribadinya bersikap mesra rakyat. Hari ini bagaimana?

Dolak-dalik

Benarkah Abdullah tidak berdolak-dalik? Jambatan Bengkok? Kenaikan harga minyak? Kontroversi “wanita ketuk-ketampi”? Kisah cintanya yang dinafikan tapi kini jadi realiti?

Abdullah ghairah mahu membanteras rasuah, kronisme dan neopotisme. Ini dimanifestasikan dalam manifesto BN bagi PRU11. Kini bagaimana? Kisah ECM Libra bagaimana? Mengapakah manifesto PRU12 tidak sebut langsung soal anti-rasuah?

MV Agusta dibeli oleh Proton dengan harga RM500 kenapa dijual dengan harga RM4.00? Sampai sekarang kenapa tidak ada jawapan yang telus mengenai hal ini?

Pada tahun 2007, Abdullah mengumumkan perangkaan ekonomi negara yang trillion ringgit jumlahnya untuk menggambarkan kepimpinan beliau lebih baik daripada Mahathir. Kenapa kesannya tidak dirasai oleh rakyat bahawan?

Abdullah amat marah dengan pemimpin Hindraf yang menuduh UMNO melakukan mini-genocide ke atas kaum India dan kerana mereka mendesak komuniti antarabangsa memansuhkan Perlembagaan Persekutuan yang kononnya tidak adil kepada semua pihak? Kenapa pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA tidak disiasat serapi-rapinya?

Hanya beberapa hari menjelang hari pembuangan undi bagi PRU12, Abdullah mendabik dada bahawa BN akan menang besar? Hari ini bagaimana?

Bukankah keputusan PRU12 merupakan mesej daripada rakyat jelata bahawa beliau wajar mengundurkan diri daripada persada kekuasaan kerajaan dan politik?

Post-mortem

BN dan UMNO kalah teruk dalam PRU12. Mengapakah Abdullah enggan adakan satu post-mortem menyeluruh mengenai kekalahan ini?

Mengapakah tuduh warga UMNO mensabotaj parti dalam PRU12? Apa bukti nyata mengenai hal ini jika tiada post-mortem mengenainya?

Salahkah bila Mahathir mengatakan bahawa beliau keluar meninggalkan UMNO mulai 19 Mei 2008, kerana UMNO kini hanya mempertahankan Abdullah dan bukannya berjuang demi agama, bangsa dan tanahair?

Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan melakukan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Bila? Dan, mengapakah beliau akan terus mengekalkan jawatan Presiden UMNO?

Sewaktu jadi Timbalan Perdana Menteri, Abdullah membidas Singapura kerana mempolitikkan isu air dengan Malaysia. Hari ini kenapa tangguhkan semua isu tertunggak dengan Singapura, termasuk perundingan mengenai tariff air yang baru?

Malaysia enggan jual pasir kepada Singapura untuk jadikan pulau itu dua kali lebih besar daripada saiznya hari ini. Kenapa Abdullah wujudkan Iskandar Malaysia yang dua kali saiz Singapura kononnya untuk kepentingan rakyat Malaysia?

Kenapa hapuskan semangat DEB untuk Bumiputera menyertai aktiviti ekonomi dan pembangunan di Iskandar Malaysia?

Halliburton

Halliburton sebuah syarikat minyak yang membabitkan diri dalam perang di Iraq dan segolongan pekerjanya didakwa terbabit membunuh rakyat Iraq. Kenapakah izinkan syarikat ini melabur di Iskandar Malaysia?

Telekomunikasi adalah industri strategik sesebuah negara. Kenapa izinkan syarikat Singapura melabur dalam Telekom Malaysia?

Di era Mahathir, kapal perang Amerika Syarikat yang membawa senjata nuklear tidak boleh lalu Selat Melaka. Hari ini kenapa boleh dan mengapa kapal itu juga diizinkan berlabuh di Pelabuhan Kelang?

Menteri Luar mengatakan bahawa team Pulau Batu Puteh sudah membuat persediaan sejak berpuluh tahun lamanya. Bila Malaysia kehilangan kedaulatan Pulau Batu Puteh, kenapa tidak adakah siasatan terperinci di atas kekalahan yang jelas berasaskan keputusan political?

Regime Change

Berasaskan reality check di atas, salahkah jika rakyat jelata mempunyai persepsi negatif terhadap Abdullah pada hari ini? Salahkah jika rakyat jelata mengatakan Abdullah seolah-olah dalam keadaan out-of-control dan dibelenggu sindrom penafian yang panjang.

Rakyat jelata semakin resah gelisah kerana Abdullah terus memimpin negara. Kestabilan politik tanahair pula nampaknya sedang menuju ke suatu arah yang mungkin parah dan mendebarkan.

Dalam situasi begini, wajarkah Abdullah menuduh bloggers sebagai antara faktor yang menyebabkan politik negara tidak stabil?

Sebaliknya, bukankah faktor utama yang menyebabkan politik negara tidak stabil mutakhir ini adalah keengganan Abdullah menerima hakikat dan realiti bahawa kepimpinan beliau sudah tidak lagi diyakini oleh majoriti rakyat jelata Malaysia?

Sedarkah Abdullah bahawa menurut satu poll yang dilakukan oleh lamanweb Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bar-baru ini, seramai 88 peratus responden mahukan pucuk kepimpinan negara ditukar atau negara ini memerlukan regime change?

Demikianlah realiti check mengenai Abdullah. Moga-moga beliau insaf akan hakikat ini. Demi agama, bangsa dan tanahair, segeralah berundur daripada persada kepimpinan kerajaan dan parti secara terhormat. Serahkanlah tampok kepimpinan negara dan parti kepada Najib. Insya Allah, politik negara kembali stabil, ekonomi akan berkembang, rakyat jelata tidak lagi resah gelisah malahan akan dibela dengan sewajarnya.