Sunday, November 26, 2006

Lanjutan Isu Kenyataan
Datuk Mukhriz Mahathir

Apabila Zahid Hamidi
Marahkan Mukhriz….
Oleh Mohd Sayuti Omar
www.malaysiatoday.net


Bengkengnya ahli Umno macamlah ikan haruan beranak! Bila ketua mereka disentuh, maka semuanya akan melenting! Tapi setakat ikan haruan saja, bukan macam harimau atau kucing. Ikan haruan tidak ada taring dan kuku, hanya ada gigi macam gergaji tumpul saja.

Kalaulah macam kucing atau harimau, ada kuku dan taring, nahaslah sesiapa yang berani mengusik dan mengejek ketua mereka.

Jadi Mukhriz Mahathir bernasib baik, kerana ahli Umno tidak macam kucing dan macam harimau. Walaupun dia kena marah dan diserang oleh ahli Umno apabila beliau kritik presidennya, tetapi tidak sampai luka-luka. Kulitnya tidak tercalar apa-apa, kerana ahli Umno macam ikan haruan sahaja!

Maka Mukhriz pun bolehlah berlalu senang sambil merungut dan melucu sendiri. Apa yang dihumbankan ke atasnya tidak berbekas pun. Kenyaringan itu persis tong kosong saja. Lagipun ia sudah menjadi kebiasaan dan budaya di dalam Umno, pantang ketua mereka diusik dan diejek, maka adalah tindakbalasnya.

Mungkin Mukhriz sudah belajar dan mengarifi budaya itu. Berpandukan kepada apa yang berlaku ke atas bapanya selama 22 tahun menjadi perdana menteri dan presiden parti.

Masa bapanya menjadi Perdana Menteri dan presiden parti tidak ada siapa berani menyerang dan mengejeknya. Semua ahli Umno, baik; Wanita, Pemuda atau Puteri akan bersikap macam ikan haruan tadi – menyerang sesiapa yang berani mengusik bapanya.

Kuasa

Tetapi apabila bapanya tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan presiden parti, walhasil balik asal. Bukan beliau tidak dihormati, tetapi ada yang berani mengatakan bapanya nyanyuk, gila kuasa dan macam-macam kata nesta lagi. Tidak ada lagi ahli wanita, pemuda atau puteri yang melompat macam ikan haruan beranak kecil, membela dan melindungi bapanya.

Kerana memahami dan mengarifi segala budaya dan tindak-tanduk ahli Umno itu, telah menyebabkan Mukhriz berani mengkritik dan mempersendakan Perdana Menteri. Mukhriz sedikitpun tidak bimbang risiko yang akan berlaku kepada dirinya. Kerana dia sudah saksikan hal yang sama sejak berdekad lalu.

Jadi Mukhriz buat lembu kenyang sahaja apabila ahli Umno berpakat marahkannya. Beliau buat ‘sardin’ sahaja, seolah apa yang berlaku di luar tidak sampai ke telinganya pun. Beliau tahu kritikan dan serangan balas ke atasnya itu adalah tidak lebih daripada agenda bodek ahli-ahli Umno itu untuk kepentingan diri mereka. Mereka marah bukan berlandaskan kepada realiti atau asas kritikan kepada Abdullah Ahmad Badawi itu, tapi kerana sebab lain.

Apalah sangat hendak dimarahkan. Kata-kata Mukhriz itu bukannya lantang atau biadab sangat. Beliau hanya mengupas ucapan presiden parti sebagai tidak ada apa yang baru. Sebenarnya tidak timbul anak bekas PM itu cuba memperlecehkan Abdullah. Abdullah sendiri mengakui bahawa apa yang dibaca itu adalah ulangan kepada apa yang disebut pada ucapan dasar pertamanya tiga tahun lalu.

Jadi, orang yang marah dan tersentuh dengan pandangan Mukhriz itu tidak ada alasan dan tidak logik, kerana apa yang disifatkan Mukhriz itu hakikat yang diakui sendiri oleh tuan haknya (Abdullah).

Intim

Kritikan atau pandangan itu menjadi masalah mungkin kerana orang melihat hubungan bapanya dengan Perdana Menteri yang tidak intim ke belakangan ini. Jadi orang meletakkan ucapan Mukhriz itu sebagai suara hati Mahathir. Kalau inilah keadaannya, sekali lagi tindakan itu tidak demokratik terhadap Mukhriz, seolah-olah beliau tidak ada hak dan kebebasan untuk bercakap.

Walaupun beliau ada hubungan darah daging dengan Mahathir tidak seharusnya pandangan peribadi Mukhriz itu dibabitkan dengan bapanya. Semua orang perlu melihat pandangan itu adalah haknya sebagai ahli Umno.

Sebenarnya mereka yang bingkas bangun melanyak Mukhriz dan membela Abdullah itu kerana mereka mencari udang di sebalik batu. Mereka bertindak menjadi lebih sudu daripada kuah kerana mengharapkan sesuatu ganjaran daripada presiden atau PM.

Antara mereka yang mengkririk dan lantang marahkan Mukhriz sehingga menganggap Mukhriz menghina Perdana Menteri serta tidak berpijak di bumi nyata, ialah bekas ketua pergerakan itu Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Telatah Zahid itu tidak menghairankan. Jika dibelek sejarah masa lampaunya, orang akan mudah kenal dan mengerti siapa Zahid dan kenapa beliau beriya-iya bertindak lebih sudu daripada kuah. Kesan dan tragedi yang menyinggah diri dan nasib politik ahli Parlimen Bagan Datoh itu menyebabkan beliau bangkit marahkan Mukhriz.

Bertaubat

Barangkali tidak salah kalau dikatakan tindakan Zahid itu sebagai hendak membalas dendam lamanya terhadap bapa Mukhriz. Sejarah mencatatkan bahawa Zahid merasakan dia dianiaya oleh bapa Mukhriz semasa beliau menjawat jawatan ketua Pemuda dulu dan juga setelah bertaubat – kembali semula kepada Umno.

Mahathir tidak melantik Zahid mengikut seniority dan kedudukannya ke dalam Kabinet. Semasa menjadi ketua pemuda, Zahid tidak diberi apa-apa jawatan di dalam kabinet dan hanya sebagai pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) sahaja. Hal demikian tidak pernah terjadi kepada ketua pemuda sekarang yang terus dilantik menjadi menteri kanan. Mungkin keperitan yang dilalui itu menjadikan Zahid geram lantas membelasah Mukhriz.

Kalau andaian ini benar ia tidak adil. Zahid tidak boleh menghukum Mukhriz kerana angkara bapa Mukhriz kepadanya. Cerita beliau dengan Mahathir cerita lain. Kesalahan bapa tidak seharusnya ditanggung oleh anaknya.

Di sini bukan hendak membela Mukhriz. Tetapi kalau Zahid membuka helaian sejarahnya semula dan menginsafi mengapa beliau menentang Mahathir tahun 1998 dan sebelumnya, ia akan menemui jawapan mengapa Mukhriz bersikap demikian yang dikatakan sebagai penghinaan kepada Abdullah.

Apakah apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno, 3 September 1998 di mana beliau mengambil sikap membela Anwar walaupun parti memutuskan bekas TPM itu bersalah, tidak boleh dianggap biadap?

Prinsip

Apakah ketika itu Zahid berpegang kepada prinsip dan keyakinannya maka beliau tetap menyokong Anwar? Nah, begitulah dirasakan apa yang dilakukan Mukhriz terhadap Abdullah itu.

Tepuk dada dan tanyanlah selera. Jawapan ada di dalam hati Zahid sendiri dan juga lain-lain yang marahkan Mukhriz.

Dalam keadaan sekarang ini, dilihat dari sudut mana pun Mukhriz berada di pihak yang salah hanya kerana beliau tidak bersama Abdullah. Apa yang harus difahami bahawa berada di pihak majoriti itu bukan bermakna benar, dan berada di pihak minoriti itu bukan bermakna salah.

Kalau sembilan tahun dulu Zahid juga bertindak songsang dan menentang arus, dengan menyokong orang yang dipecat dari parti, apalah perlu hairankan kalau Mukhriz juga bersikap tidak berpijak di bumi nyata. Bukankah Mukhriz itu adalah pemuda (anak kepada) Umno – yang berperangai ‘bapa borek anak rintik’.

Apakah niat Zahid menghentam Mukhriz itu kerana ingin menjaga hati Abdullah!

1 comment:

Anonymous said...

Datuk,

Rupanya kita sependapat mengenai Zahid Hamidi ni.
Cuba semak coment saya yg. lain dimana ada kisah Hang Jebat dan Hang tuah serta rakan2nya yg lain.
Disitu saya selitkan yg nama HANG JILAT.Datuk tentu paham kepada siapa gelaran yg saya berikan.
Beliu merupakan penyokong yg akan membawa rebah kepada UMNO.


Salabu salabi.