Wednesday, November 29, 2006

Terus Terang Akui
Kelemahan Yang Wujud
Kata Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Organisasi mahupun individu dalam perkhidmatan awam perlu mengamalkan sikap berterus terang dalam mengakui apa juga kelemahan serta kesilapan yang wujud, dan harus sentiasa mengambil langkah untuk memperbaiki dan membetulkan kelemahan tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata dalam konteks ini mereka tidak harus berada dalam keadaan "self denial".

Katanya usaha-usaha penambahbaikan perkhidmatan awam perlu menjadi gerakan berterusan bagi memastikan Malaysia terus dan mampu berdaya saing dalam dunia yang penuh dengan cabaran pada hari ini.

"Yang salah kita betulkan, yang tidak elok kita elokkan... itulah cara kita. Semua yang kita lakukan yang baik mesti menjadi terbaik," katanya semasa berucap di majlis penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam 2006 di sini Selasa malam.

Abdullah berkata usaha membaiki sektor perkhidmatan awam bukanlah perkara baru dalam negara, tapi sudah bermula sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein lagi.

Namun menurutnya sampai hari ini rakyat masih memandang atau mempunyai persepsi negatif terutama mengenai sistem penyampaian perkhidmatan awam, dan persepsi ini perlu diubah.

"Mungkinkah kerana perbuatan sebilangan kecil yang bersalah yang menjadi tajuk berita yang menggemparkan dan membuat kesimpulan (pandangan negatif mengenai keseluruhan sektor awam)... Sebenarnya rosak susu sebelanga kerana nila setitik. Sebenarnya oleh kerana kumpulan kecil seorang dua, timbul banyak masalah kepada ramai orang," katanya.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=233105

Kenyataan di atas cukup bermakna. Syabas. Bagaimanapun, relevankah kalau Datuk Seri Abdullah dapat mengaplikasikan hakikat "yang salah kita betulkan, yang tidak elok kita elokkan” seperti yang ditegaskan di atas kepada Umno mutakhir ini? – Ruhanie Ahmad.

1 comment:

malaysia said...
This comment has been removed by a blog administrator.