Monday, November 06, 2006


TAMBAK JOHOR
DIKEKAL – PM

ISLAMABAD 5 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Tambak Johor akan kekal seperti yang ada sekarang,

“Pada waktu ini (kita) kena pakai tambak itu. Memanglah kalau tidak ada Tambak Johor bolehlah kapal lalu, itu memang betullah,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah berada di Islamabad untuk lawatan tiga hari ke Pakistan bermula semalam selain menghadiri Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) yang diadakan di sini.

Abdullah menjelaskan, tumpuan kerajaan sekarang adalah untuk memberi perhatian kepada usaha bagi membangunkan kawasan selatan Johor bagi manfaat bukan sahaja negeri Johor tetapi juga negara.

Perdana Menteri mengulas titah Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar yang meminta Tambak Johor dirobohkan bagi memberi laluan kepada kapal melalui Selat Tebrau yang memisahkan Johor dan Singapura.

Sultan Johor bertitah demikian semasa merasmikan projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Teluk Danga, Johor Bahru semalam.

Ditanya sama ada beliau terperanjat dengan titah Sultan Johor itu, Abdullah menjelaskan, beliau tidak terkejut.

Mengulas lanjut isu itu, Perdana Menteri menjelaskan, pembangunan WPI dapat memberi lebih banyak peluang bukan sahaja kepada rakyat Johor tetapi menambah pelaburan, perdagangan dan meningkatkan kegiatan ekonomi kawasan itu yang kemudian akan memberi kesan sampingan kepada seluruh negara.

WPI juga, jelas beliau, boleh menjadi kawasan pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi negara.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad mengenai kemungkinan isu Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dibahaskan di Perhimpunan Agung UMNO minggu depan jika ia disentuh dalam ucapan dasar Presiden, Abdullah berkata, ucapannya belum siap lagi.

‘‘Ucapan dasar saya belum siap lagi, jadi pada waktu ini saya tidak mahu komen apa-apa.”

– Utusan
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_08.htm
Apa macam kita orang Johor? Puas hati tak dengan pendirian dan penjelasan Perdana Menteri? Tak ke kita rasa tersindir atau terhina kerana DYMM Sultan kita seolah-olah langsung tak dilhiraukan titahnya oleh sesiapa? Ingat, kita selalu kata, Johore The Great, betul ke??? - Ruhanie Ahmad.

1 comment:

Harat said...

Saya fikir baik juga PM mengenepikan saranan Sultan yang tidak rasional dan tidak munabah.

Jika PM bersetuju dengan saranan Sultan itu, barulah boleh kita dia seorang yang tidak bijak.