Sunday, November 05, 2006

SIRI MAHATHIR-ABDULLAH
BERDAMAILAH….
TANDA RON MENYERAH KALAH?

Saya dah katakan, saya tidak melacurkan tulisan saya untuk sesuap nasi atau seteguk madu daripada sesiapa. Saya dah katakan, saya menulis demi agama, bangsa dan negara.

Jadi, sahabat-sahabat yang melayari
www.kuda-kepang.blogspot janganlah keliru. Saya akan jelaskan mengapakah saya menulis siri Mahathir-Abdullah: Berdamailah.

Kepada Dr. Butiq, saya katakan, bahawa saya akan terus memperjuangkan kebenaran. Siri Mahathir-Abdullah: Berdamailah, saya tujukan khas kepada pihak yang berkuasa.

Contohnya, lihat sahajalah Siri 3 yang berjodol MENYANJUNG TINGGI BUDI, JASA DAN BAKTI. Sebenarnya, siri itu adalah ucapan Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat, genap tiga tahun yang lalu.

Saya ulang siar ucapan itu untuk memberitahu anda semua, mengapakah dulu lain, sekarang lain? Mengapakah dulu Perdana Menteri sanjung budi, jasa dan bakti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan hari ini beliau macam nak telan Tun Dr. Mahathir hidup-hidup?

Begitu juga dengan Siri 1 dan 2 Mahathir-Abdullah: Berdamailah. Kedua-duanya membawa mesej khas untuk Perdana Menteri. Saya bertindak demikian untuk menginsafkan beliau bahawa keadaan hari ini memang haru-biru dan tonggang-langgang.

Sebab itu saya katakan, kalaulah Perdana Menteri “memilih untuk terus hidup dalam ruang kepimpinan yang penuh ilusi, Datuk Seri Abdullah mestilah bersedia untuk dikejutkan dari lingkaran ilusi itu dengan suatu realiti yang mungkin pahit, getir dan memilukan.” [Harap baca perenggan ini berkali-kali dan fahamkanlah maksudnya.]

Sebab itu juga saya katakan bahawa “Datuk Seri Abdullah mestilah berani mengakui bahawa apa yang dibangkit dan diungkitkan oleh Tun Dr. Mahathir kebelakangan ini adalah sesuatu yang strategik demi maruah bangsa dan kedaulatan negara.

Dan sebab itulah juga saya katakan bahawa “Datuk Seri Abdullah kenalah menerima hakikat bahawa soal Kamaluddin Abdullah, Khairy Jamaluddin, Datuk Kalimullah Hassan, Brendan Pereira, Patrick Lim dan lain-lainnya adalah satu realiti dan bukannya fitnah.”

Lantaran itulah juga saya meminta Khairy Jamaluddin bertanyakan dirinya sendiri, sama ada dia jadi liabiliti kepada Datuk Seri Abdullah? Kata saya, tepuklah dada, tanyalah selera!

Akhir sekali, saya cadangkan Datuk Seri Abdullah kenalah berkorban. Hapuskanlah apa jua yang tidak serasi dengan kehendak rakyat jelata pada masa ini. Tegakkanlah mana yang pincang. Jernihkanlah mana yang keruh. Yang tua, dimuliakan. Yang dulu, dihormati. Bertindaklah mengikut suara hati, lagu jiwa dan bisikan sukma sendiri.

Saya buat cadangan di atas supaya Perdana Menteri mampu membuat keputusan demi agama, bangsa dan negara secara bijaksana dan tanpa sebarang manipulasi oleh sesiapa, termasuklah menantunya.

Seorang lagi peminat blog ini, Dr. Muzi, pula bertanya sama ada saya resah jika Tun Dr. Mahathir dipecat. Jawab saya, kalau itu terjadi, UMNO akan berhadapan dengan krisis yang parah.

Oleh itu, janganlah anda semua bimbang. Kalau ditakdirkan saya kena pecat daripada UMNO, pecatlah! Kalau ditakdirkan saya kena tahan di bawah ISA, tahanlah. Saya dah katakan, kalau semua ini demi agama, bangsa dan negara, lakukanlah! Kepada saya, kebenaran mesti diperjuangkan. Biar putih tulang, jangan putih mata!

2 comments:

Dr Butiq said...

Terima Kasih Dato kerana masih memperjuangkan kebenaran,minta maaf kerana saya tersilap tafsir tulisan Dato,Apa pandangan Dato tentang KU LI.Tak ada ke usaha usaha dari org org kuat Umno untuk memertabatkan Ku Li kerana saya berpendapat Najib juga tidak berapa layak untuk menduduki kerusi PM,sekurang kurang nya kita berterima kasih diatas jasa Ku Li membina bangunan PWTC dan masih digunakan sampai sekarang.Mukris juga saya rasa berpontensi, kita lihat saja NGO AMAN MAlaysia yang diterjuinya berjaya

Harat said...

Saya kira tidak ada salahnya jika saudara menyeru supaya PM dan Tun M berdamai.

Akan tetapi, oleh kerana Tun M telah menyerang dan melanyak PM dengan begitu serius sekali, saya kira "jalan damai" itu sudah pun tertutup.

Konfrantasi antara mereka akan terus berpanjangan, sehingga Pak Lah tidak lagi menjadi PM.

Sementara itu, orang Melayu, khasnya ahli UMNo akan terus keliru dan mungkin juga berpecah. Dan parti pembangkang seperti PAS mungkin akan mengambil keselamatan untuk tumpang melanyak PM dan kerajaan, dan mengharapkan akan mendapat "bonus" untuk pilihan raya yang akan datang.