Monday, November 13, 2006

Cetusan Rasa Hati
Pemuda Selangor

Semakin hari, semakin ramai sahabat-sahabat seperjuangan di seluruh negara yang mengirimkan cetusan-cetusan yang menggemparkan menerusi blog ini dan e-mail kepada saya.

Hakikat ini menjadikan saya dalam dilemma. Kalau saya pendamkan sahaja cetusan-cetusan itu dalam kotak-kotak komen dalam blog ini, nanti saya dituduh tidak bersikap gentleman.

Kalau saya siarkan komen dan cetusan berkenaan, pastinya saya akan dicap oleh beberapa kalangan dalam UMNO sebagai tidak menjunjung aspirasi perjuangan parti.

Jadi apa pilihan saya? Fikir punya fikir, saya mesti mengambil risiko. Demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi negara, saya mengambil keputusan menyiarkan komen dan cetusan berkenaan. Antara komen dan cetusan terbaru adalah seperti berikut:

Hd: Assalamualikum Datuk Ruhanie dan para pembaca blog. Saya mulakan dengan doa semoga YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disayangi rakyat Malaysia cepat sembuh dan teruskan perjuangan Melayu belum selesai demi bangsa, agama dan negara.

Pada ruang ini saya nyatakan kepada Saudari Puteri Luar Istana dari Johor. Kami pemuda dari Selangor dianggarkan mencecah 5000 orang, bergiat aktif dalam parti dan belia, telah sepakat bersumpah bertindak seperti keputusan Saudari meninggalkan parti keramat jika ayahanda kami hormati dihina demikian rupanya.

Kami bukan Melayu mudah lupa dan tidak tahu mengenang jasa. Kami berjuang demi meneruskan Wawasan 2020 ayahanda kami menjadi kenyataan.

Kami pemuda pelapis parti sedia menerima kritikan. Tetapi, tolong jangan hina ayahanda kami yang telah banyak berjasa pada bangsa agama dan negara.

Kesempatan ini juga saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Ruhaine Ahmad kerana menyediakan tempat bagi kami meluahkan perasaan kami.

Saya mewakli teman-teman perjuangan dari bekas penuntut Universiti sudahi dengan penutup kata dengan doa semoga ayahanda YAB Dr. Mahathir teruskan perjuangan kita yang belum selesai. – Hd. AJK Pemuda Bahagian/Belia 4B Selangor. 9:39 PM.

Saya ucapkan terima kasih kepada Saudara Hdi. Saya hormati pendiriannya yang tegas mengnai agama, bangsa dan negara. Bagaimanapun, saya harap beliau juga akan bertenang dan bersabar. Tindakan yang terburu-buru pasti akan menyebabkan kita keliru dan bercelaru.

Saya harap para pembesar UMNO akan memandang serius cetusan Saudara Hdi seperti di atas. Jangan pandang remeh. Cepat-cepatlah laporkan kepada pucuk kepimpinan parti akan perkembangan seperti ini.

Tetapi, janganlah pula kelompok anak-anak muda ini dikecam, dikutuk atau dimalukan.

Apa yang mereka perlukan bukannya kata-kata. Apa yang mereka perlukan adalah keputusan dan tindakan yang tidak menjejaskan maruah, martabat serta kedaulatan negara.

Oleh itu, saya harap Saudara Hdi dan sahabat-sahabat seperjuangannya, ambillah iktibar daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan terus berada di dalam UMNO. – Ruhanie Ahmad.

No comments: