Tuesday, November 14, 2006

JANGAN UJI SAYA – PM
WALAUPUN DASAR BERLEMBUT
DALAM PENTADBIRAN DITERUSKAN


KUALA LUMPUR 13 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan meneruskan dasar berlembut dalam pentadbirannya tetapi pada masa yang sama mengingatkan supaya jangan ada pihak cuba menguji pendiriannya itu.

Perdana Menteri berkata, walaupun ada pihak mengkritik cara beliau mengendali parti dan kerajaan, sikap secara berhemah itu tidak harus dianggap sebagai satu kelemahan.

“Memang sukar untuk bersikap baik dan sabar, tapi janganlah hendak menguji saya pula nanti,” katanya semasa bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan amanat hampir dua jam kepada lebih 2,000 perwakilan UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurut Abdullah, beliau lebih suka mengekalkan sikap berlembut dalam mentadbir kerajaan dan parti, tetapi pada masa yang sama beliau juga ada pendirian tertentu dalam menilai sesuatu.

Bagaimanapun, katanya, dalam banyak hal apabila ada keperluan, beliau akan mengambil pendirian dan keputusan yang lebih tegas dalam menangani soal politik, polisi atau ekonomi.

“Ini hanya satu kelainan dalam cara dan corak menjayakan kepimpinan, tetapi ia tidak boleh dilihat sebagai kelemahan,” katanya.

Abdullah juga berkata, pada masa yang sama beliau mahu mengekalkan dasar terbuka dan telus terutama membenarkan pemimpin-pemimpin parti memberi pandangan tanpa rasa takut.

“Kalau kita ambil contoh, wakil UMNO dalam Parlimen sekarang sudah mampu mengeluarkan pandangan mereka dengan jelas tanpa rasa takut.”

Presiden UMNO itu juga mengingatkan ahli dan pemimpin parti itu supaya terus menjaga kepentingan parti bagi memastikan ia terus kuat, teguh dan sentiasa mendekati rakyat.

Sehubungan itu, katanya, ahli dan pemimpin UMNO perlu berhati-hati dalam memperjuangkan sesuatu isu dengan mengambil kira sensitiviti pihak-pihak lain.

Menurutnya, ahli dan pemimpin UMNO perlu sedar bahawa UMNO diberi kepercayaan secara sukarela oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk mengetuai muafakat itu.


http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

2 comments:

Anonymous said...

Allah telahpun berfirman yg mafhumnya, "Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku".

Bukankah dalam kita menjalani ibadat kerap saja kita didatangi pelbagai ujian dan dugaan?

Lagi firmanNya, "Janganlah kamu (dengan begitu mudah) mengatakan yg kamu telahpun beriman sebelum datangnya ujian terhadapmu"

Bagaimana AAB bisa menjadi seorang dai' jika tak mahu diuji sama sekali? Budak-budak sekolah semenjak Darjah 1 lagi telah diuji dengan Ujian Formatifnya, Ujian Sumatifnya. Aneh sekali.

Lagi firmanNya yg berbunyi, "Janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan rasa bongkak/sombong"

Tidakkah dengan mengugut orang yg dikatakan mahu menguji AAB jelas menunjukkan yg AAB cukup angkuh dan sombong?

Firman Allah lagi, "Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi"

Tidakkah dengan mengelakkan diri kita daripada diuji bermakna kita tak bisa menghisab diri yang mana akhirnya mendorong kepada keputusan yang salah dan ternyata merugikan agama, bangsa dan negara. Tidakkah itu kerosakan namanya?

sahabat said...
This comment has been removed by a blog administrator.