Thursday, November 16, 2006

Dunia Terlalu Kecil Untuk Jadi Pentas Telagah
Bangsa Terlalu Kecil Untuk Kita Berpecahbelah
Hayat Terlalu Singkat Untuk Kita Bersengketa
Oleh Ruhanie Ahmad

Pendapat umum yang tidak berprasangka politik mengatakan Datuk Seri Abdullah Ahmad telah membuat satu ucapan dasar yang baik di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2006, di PWTC, Kuala Lumpur, 15 November 2006.

Menerusi ucapan itu, Datuk Seri Abdullah dikatakan berjaya mendorong jemaah Umno dalam PAU tersebut memfokuskan perdebatan mereka ke arah perjuangan memartabatkan bangsa Melayu di abad ke-21.

Menerusi ucapan dasar itu, Datuk Seri Abdullah juga dikatakan berjaya memadamkan bara kemarahan segolongan warga Umno terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ucapan Datuk Seri Abdullah yang dikaitkan dengan pendapat di atas adalah yang mengenai perbezaan gaya dan cara kepimpinan antara beliau dan Tun Dr. Mahathir dalam pengurusan negara.

Satu lagi aspek ucapan Datuk Seri Abdullah yang dikatakan berjaya meredakan bara kemarahan terhadap Tun Dr. Mahathir adalah yang berkaitan soal perpaduan dan perpecahan Melayu.

Kandungan penuh ucapan Datuk Seri Abdullah mengenai kedua-dua aspek di atas adalah seperti berikut:

Pedoman

“Dua belas gagasan yang saya gariskan tiga tahun lalu, telah dijadikan pedoman ketika menggubal Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan.

Wawasan utama untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 tidak diubah. Matlamat yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru untuk membina warga yang bersatu padu melalui penyusunan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tetap dipertahankan.

Jika ada yang dikatakan berubah adalah cara dan kaedah pelaksanaan untuk disesuaikan dengan keadaan dan perkembangan semasa.

Malaysia di hari semalam, di era DEB diperkenalkan, ketika Wawasan 2020 dilancarkan berbeza dengan Malaysia di era ledakan teknologi maklumat.

Kini ekonomi dunia lebih terbuka; negara tanpa sempadan adalah satu kenyataan; proses liberalisasi dan globalisasi terus melanda ekonomi dunia; persaingan peringkat antarabangsa menjadi lebih sengit; pelaksanaan dan pencapaian agenda sosial negara menjadi lebih sukar dan mencabar.

Tauhid

Para Rasul dan Nabi diturunkan di era yang berbeza bagi menghadapi situasi yang berbeza; namun setiap mereka berpegang kepada prinsip ketauhidan yang sama.

Manusia juga diciptakan berbeza-beza. Malah yang dilahirkan kembar, sekalipun memiliki paras fizikal yang serupa semasa kelahiran, semakin mereka dewasa, rupa mereka semakin berbeza.

Malah ruang ibu jari yang begitu kecil, dijadikan Allah belum ada yang sama di antara sedemikian ramai manusia; apatah lagi perkara-perkara berkaitan fikiran, hati dan emosi.

Demikian pula logiknya dengan kaedah mentadbir dan mengurus negara. Perbezaan kaedah akan berlaku berasaskan keadaan semasa; ia adalah sesuatu yang normal.

Berbeza

Janganlah kita bertelagah kerana kita berlainan cara dan berbeza gaya. Jangan sumber, tenaga, masa dan fikiran kita bazirkan dengan melakukan perkara-perkara yang destruktif yang merugikan semua pihak.

Amatlah rugi kepada negara bangsa jika kita terlalu taksub untuk berselisih.

Bangsa perlu satu kekuatan sejati. Orang Melayu begitu juga warga Malaysia keseluruhannya telah berada di pelantar yang lebih tinggi dari dahulu. Kita harus yakin dengan kapasiti untuk mencapai dan mencipta kejayaan baru.

Tumpukanlah fikiran kita meningkatkan ukhuwah, tujukanlah tenaga kita untuk membina kekuatan bangsa.

Bertelagah

Dunia adalah terlalu kecil untuk dijadikan pentas bertelagah dan jangka hayat adalah terlalu singkat untuk kita mahu bersengketa.

Dunia adalah pentas kehidupan ciptaan ILAHI, manusia adalah pembawa watak menentukan lakonan hidup di pentas dunia.

Lakonlah babak yang mencernakan semangat ukhuwah di pentas dunia, supaya dunia menjadi lebih aman, damai dan sejahtera; laksanakan kebaikan sebagai tanda terima kasih kepada Allah yang Maha Mencipta.

Bangsa kita terlalu kecil untuk kita berpecah. Negara kita terlalu kecil untuk kita berpisah.

Islam menyeru kita mengamalkan ukhuwah, penyatuan, perpaduan, toleransi dan kesederhanaan.

Warisan

Hayat yang ada perlu kita gunakan untuk meninggalkan warisan sejarah yang dapat membawa kesejahteraan negara bangsa.

Bersamalah kita bertekad menumpukan fikiran dan tenaga untuk menjayakan Rancangan Malaysia Kesembilan.

Bersamalah kita menepis segala gangguan yang boleh menjejas tumpuan kita untuk mencapai Misi Nasional.”

Tafsiran

Saya serahkan ucapan di atas untuk ditafsir sendiri oleh anda semua, walau di mana sekalipun anda berada. Ini akan mengelakkan sebarang tohmahan semberono dilemparkan kepada saya.

Bagaimanapun, satu perkara yang tidak konsisten dengan perkembangan siasah Umno baru-baru ini adalah terkandung dalam dua perenggan ucapan Datuk Seri Abdullah seperti berikut:

Satu: Dunia adalah terlalu kecil untuk dijadikan pentas bertelagah dan jangka hayat adalah terlalu singkat untuk kita mahu bersengketa.

Dua: Bangsa kita terlalu kecil untuk kita berpecah. Negara kita terlalu kecil untuk kita berpisah.

Retorika

Banyak pihak menyifatkan kata-kata di atas sebagai retorika siasah. Saya pula menganggapnya sebagai keinsafan minda sub-conscious Datuk Seri Abdullah terhadap apa yang melanda Umno kebelakangan ini.

Pokok persoalan yang wujud daripada andaian saya, berdasarkan kedua-dua perenggan seperti di atas, adalah seperti berikut:

Kalau Datuk Seri Abdullah insaf bahawa “dunia adalah terlalu kecil untuk dijadikan pentas bertelagah dan jangka hayat adalah terlalu singkat untuk kita mahu bersengketa,” kenapakah beliau tidak menjawab seluruh kritikan dan isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir sejak setahun yang lalu?

Polarisasi

Kenapakah Datuk Seri Abdullah mengheret kritikan dan isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir selama satu tahun, sehingga ianya menyebabkan polarisasi sikap di kalangan sesetengah warga Umno di peringkat akar umbi?

Kalau persengketaan dan pertelagahan adalah seperti yang ditegaskan di atas, dan kalaulah “bangsa kita terlalu kecil untuk kita berpecah,” mengapakah baru-baru ini diizinkan beberapa Ketua Pemuda Umno, Naib Ketua Perhubungan Umno Negeri dan Ketua Perhubungan Umno Negeri mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang negatif impaknya kepada Umno dan Melayu?

Soalan-soalan di atas saya timbulkan untuk mendorong serta memangkinkan semua pihak supaya mulai hari ini, insafi, hayati dan amalkanlah semangat, prinsip dan falsafah di sebalik kedua-dua perenggan di atas, secara ikhlas dan jujur.

Falsafah

Insafi, hayati dan amalkanlah juga semangat, prinsip serta falsafah di sebalik kedua-dua perenggan di atas sebagai usaha permulaan menjernihkan semula perjuangan Umno mutakhir.

Dalam konteks ini, kalau Tun Dr. Mahathir dianggap sebagai bersalah kerana mengkritik kepimpinan mutakhir, perbetulkanlah kesilapan itu secara berhemah, ikhlas dan jujur.

Kalaulah kepimpinan mutakhir pula yang sebenarnya menyebabkan kritikan itu berpanjangan sehingga memunculkan ribut dan krisis, maka kesilapan itu juga mestilah diperbetulkan dengan segera, secara berhemah, ikhlas dan jujur.

Peluang

Datuk Seri Abdullah seharusnya tegas mengambil peluang daripada reaksi positif terhadap ucapan dasarnya kali ini untuk menjawab seluruh kritikan Tun Dr. Mahathir secara berhemah, ikhlas, jujur, komprehensif, berkesan dan berwibawa.

Pada waktu yang sama, seluruh kepimpinan Umno di semua peringkat sewajarnyalah mematikan segala kecaman terhadap Tun Dr. Mahathir dengan serta merta.

Jadikanlah kata-kata dasar Datuk Seri Abdullah seperti di bawah ini sebagai pedoman ke arah usaha menjernihkan perjuangan Umno mutakhir:

Maksum

Pemimpin adalah insan biasa. Insan biasa tidak sempurna sifatnya. Insan biasa dijadikan tuhan dengan segala kelemahan agar insan itu senantiasa insaf tarafnya sebagai makhluk. Insan biasa tidak maksum, kerana itu ia harus terus beristighfar memohon kemaafan Ilahi, membetulkan diri sepanjang hayat.

Teguran dan kritikan adalah sesuatu yang sihat untuk insan dapat cepat melakukan pembaikan. Lakukanlah teguran dan kritikan secara ikhlas – secara jujur; secara konstruktif – secara rasional untuk kebaikan kita bersama supaya langkah dan perbuatan menegur itu menjadi satu amal – satu jariah yang membawa kepada kebaikan.

Kejujuran

Teguran yang ikhlas lagi jujur dilakukan dengan tujuan untuk membantu yang ditegur supaya ia dapat melakukan sesuatu yang lebih baik; bukan untuk menjatuhkannya, bukan untuk memberi aib, bukan untuk menabur fitnah.

Saya yakin hanya keikhlasan dan kejujuran sahaja yang mampu menjernihkan perjuangan Umno, dalam konteks persengketaan Mahathir-Abdullah, pada hari ini.

Saya berpendapat sebegini kerana Tun Dr. Mahathir mengkritik kepimpinan mutakhir bukan kerana beliau “tidak berniat baik,” mahu memfitnah, jauh sekali atau mahu “merancang kejahatan” terhadap Datuk Seri Abdullah.

Sebaliknya, sebagaimana yang telah diketahui umum, Tun Dr. Mahathir berbuat demikian demi agama, bangsa dan negara.

Penjernihan

Jadi, janganlah sampai kita mahu berkerat rotan dan berpatah arang. Janganlah kita mahu memanjangkan perbalahan dan persengketaan kalau Datuk Seri Abdullah sendiri berpendapat bahawa “dunia adalah terlalu kecil untuk dijadikan pentas bertelagah dan jangka hayat adalah terlalu singkat untuk kita mahu bersengketa.”

Seluruh warga Umno mestilah memahami dan menghayati kenyataan Datuk Sri Abdullah bahawa “bangsa kita terlalu kecil untuk kita berpecah. Negara kita terlalu kecil untuk kita berpisah.”

Lantaran itu, selepas PAU kali ini, adalah menjadi tugas semua kepimpinan dan warga Umno untuk menjernihkan wadah perjuangan Umno yang keramat ini berasaskan semangat, prinsip serta falsafah perpaduan yang diketengahkan oleh Datuk Seri Abdullah seperti di atas.

No comments: