Wednesday, November 08, 2006


TIADA HALANGAN
BANGKIT ISU DR. M

KUALA LUMPUR 6 Nov. – UMNO tidak akan menghalang mana-mana perwakilan untuk membahaskan isu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung UMNO 2006 bermula minggu depan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad mengingatkan perwakilan supaya mengikut peraturan dan perlembagaan parti sebelum mengusulkan isu tersebut.

‘‘Kita tidak memberitahu mereka (perwakilan) untuk tidak bercakap (isu yang dibangkitkan Dr. Mahathir), tetapi kita tahu kita berada di bawah perlembagaan UMNO.

‘‘Kebanyakan pembahas tahu (tentang perlembagaan), kita sendiri tidak mengatakan (kepada perwakilan) supaya tidak bercakap (mengenai Dr. Mahathir),’’ katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas taklimat Setiausaha Agung Kepada Wakil Media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, beliau bagaimanapun berharap perbahasan kali ini dapat membuahkan cadangan dan idea yang bernas.

Radzi berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perwakilan ditegah daripada membahas atau mengusulkan isu bekas Perdana Menteri itu yang lantang mengkritik kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengenai kehadiran Dr. Mahathir pada perhimpunan kali ini, beliau berkata, bekas Presiden UMNO itu masih belum menjawab surat jemputan.

‘‘Tun hanya dijemput pada hari perasmian Perhimpunan Agung 2006 pada 15 November ini,’’ ujar beliau.

Mengulas arahan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak mahu perwakilan menyentuh isu peribadi dalam perhimpunan kali ini, beliau berkata, memang terdapat garis panduan yang jelas dalam perlembagaan parti berhubung perkara itu.

‘‘Tiap-tiap tahun (Perhimpunan Agung UMNO) kita ada peraturan, mana-mana pihak tidak boleh sentuh isu peribadi, ada garis panduan, jadi kena ikutlah. Perhimpunan Agung ini adalah forum perbincangan terbesar di negara kita,’’ tegas beliau.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm
PERHIMPUNAN AGUNG
PECAT TUN MAHATHIR?

Nampak gayanya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini memang hangat. Bukan hangat pasal apa-apa. Tapi hangat pasal rasa-rasanya ada pihak yang akan bantai, tibai, balun, lanyak, bedal, sesah, hentam, pukul dan henyak Tun Dr. Mahathir Mohamad, kanan, kiri, depan dan belakang.

Apa tidaknya? Para perwakilan dah dapat passport besar untuk berbuat demikian. (Sila rujuk kepada brita di atas).

Oleh itu, siap sedialah kita semua. Beberapa pihak mungkin akan menaboh gendang perang secara lantang. Pihak-pihak ini mahukan Tun Dr. Mahathir diserang habis-habisan dalam PAU kali ini.

Kemungkinan ini tidak boleh dinafikan. Seperti telah saya katakan dalam blog ini dua hari lalu, adalah difahamkan bahawa kini sekumpulan insan sedang bekerja keras mengutip tanda tangan untuk menyokong usaha memecat Tun Dr. Mahathir daripada UMNO.

Pada wakyu yang sama, ada pula pembaca yang mengirimkan sms kepada saya dengan mesej berikut:

“Satu gerakan diterajui oleh …… (namanya saya rahsiakan), dan segolongan individu UMNO Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka telah secara sulit mengarahkan perwakilan pemuda dan wakil-wakil negeri tersebut yang akan berucap dalam PAU supaya berucap hentam Tun Dr. Mahathir dan mendesak supaya Tun Dr. Mahathir dipecat. Dengan alasan ini Tun Dr. Mahathir akan dipecat kononnya atas kehendak perwakilan UMNO, dan bukan atas kehendak Majlis Tertinggi atau Presiden UMNO. Berita ini dari sumber dalaman.” - 012 2134…

Saya harap kenyataan di atas adalah tidak benar. Ini kerana tidak ada sapa pun yang hendak mengesahkannya.

Tetapi, kini jelas bahawa isu Tun Dr. Mahathir memang diizinkan untuk dibahas. Inilah sebabnya maka Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membuat kenyataan pre-emtif semoga para perwakilan yang berucap di PAU kali ini tidak akan menjadikan perhimpunan itu sebagai medan untuk melakukan kecaman peribadi terhadap mana-mana individu tertentu. Kenyataan Datuk Seri Mohd. Najib disokong oleh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Bagaimanapun, waspadalah. Beberapa pemimpin UMNO telah menyatakan, bahawa pihak-pihak yang ghairah hendak menghentam dan membawa usul untuk memecat Tun Dr. Mahathir menerusi PAU kali ini wajarlah berhati-hati.

Kata mereka, jangan sampai suasana dan keadaan jadi terbalik court atau bertukar gelanggang. Jangan sampai Tun Dr. Mahathir yang hendak dihentam dan dikecam, tetapi orang lain yang mungkin akhirnya jatuh terbongkang!
– Ruhanie Ahmad


No comments: