Tuesday, November 14, 2006

LAIN GAYA, LAIN CARA
DAN LAIN PRINSIPNYA?
Oleh Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Abdullah bukannya “Perdana Menteri satu penggal.” Beliau mahu “mengekalkan dasar terbuka dan telus” dalam era kepimpinannya.

Beliau juga lebih suka mengekalkan sikap berlembut dalam mentadbir kerajaan dan parti. Beliau tetap “in control.” Beliau “takkan lari.” Beliau berkata, “I am here to stay.”

Saya yakin segolongan rakyat jelata Malaysia bergembira dengan seluruh hakikat di atas. Inilah buktinya Datuk Seri Abdullah memang “Mr. Nice Guy”.
Nice Guy
Datuk Seri Abdullah adalah “Mr. Nice Guy” pujaan ramai yang sedang bertungkus lumus memperjuangkan nasib Melayu supaya jadi “the Towering Malays.”

Datuk Seri Abdullah adalah “Mr. Nice Guy” yang bercita-cita besar untuk menjadikan Malaysia dan bangsanya “cemerlang, gemilang, terbilang.”

Tetapi, Datuk Seri Abdullah juga merupakan “Mr. Nice Guy” yang tidak mahu diganggu, tidak mahu dikacau, dan tidak mahu diuji. Kemungkinannya besar, beliau juga tidak rela dikritik!

Di sinilah ironinya. “Mr. Nice Guy” yang tidak mahu diuji ini pula mengatakan bahawa beliau “akan membenarkan para pemimpin memberi pandangan tanpa rasa takut.”
Ungkit
Habis, macam mana kita semua? Pastinya kita akan setuju bahawa Datuk Seri Abdullah bukannya Perdana Menteri satu penggal.

Perkara ini tidak pernah pun dibangkit dan tidak pernah pun diungkit oleh sesiapa. Jadi, kenapa Datuk Seri Abdullah sendiri yang menghebahkan hakikat tersebut?

Rakyat jelata Malaysia juga tidak pernah menuduh Datuk Seri Abdullah sebagai “lost control.” Jadi, kenapakah beliau mesti menyatakan bahawa dirinya adalah “in control” terhadap kerajaan dan kepimpinan negara. Kenapakah beliau perlu berkata demikian?
Menguji
Walau pun berkata beliau mahu mengekalkan pendekatan berlembut serta mengamalkan dasar terbuka dan telus, mengapakah Datuk Seri Abdullah meminta supaya “jangan ada pihak cuba menguji pendiriannya”

Pastinya saya akan dikecam oleh segelintir balaci Datuk Seri Abdullah bila menanyakan soalan-soalan seperti di atas.

Ini kerana kebelakangan ini memang ada seorang manusia tertentu yang nampaknya ditugaskan khas memantau saya menerusi blog ini. Malanganya, dia memilih untuk bertindak secara bertopeng!
Dunia
Apa pun, biar saya katakan di sini bahawa Datuk Seri Abdullah memang tidak boleh jadi seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, negarawan Malaysia yang bertaraf dunia..

Kedua-duanya memang berbeza. Tun Dr. Mahathir berkelulusan dalam bidang perubatan. Datuk Seri Abdullah terlatih sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Kedua-duanya faham bahawa dalam pengurusan sesuatu parti, kerajaan dan negara, gaya dan cara memanglah boleh berbeza. Tetapi, cita-cita, matlamat, dan prinsipnya mestilah sama.

Kedua-duanya insaf bahawa seseorang pemimpin memang boleh menangangi sesuatu masalah bilateral dengan jirannya menerusi gaya dan cara yang berbeza.
Prinsip
Tetapi, bolehkah seseorang pemimpin menangani masalah bilateral itu menerusi matlamat dan prinsip yang berbeza sehingga boleh menimbulkan persepsi yang negatif kepada kedaulatan negara?

Kedua-duanya insaf bahawa seseorang pemimpin memang boleh menguruskan sesuatu agensi kerajaan menerusi cara dan gaya yang berbeza.

Tetapi, wajarkah pemimpin itu mengizinkan agensi berkenaan diuruskan menerusi prinsip dan aspirasi yang berbeza sehingga kelihatan seolah-olah mengkhianati aspirasi nasional dan Agenda Melayu?

Majoriti rakyat jelata Malaysia bukannya dididik sebagai kelompok anti-nasional dan anti-establishment. Mereka sentiasa mencintai agama, bangsa dan negaranya.
Kepincangan
Tetapi, siapakah akan dipersalahkan kalau pada hari ini ada sesetengah matlamat serta prinsip perjuangan mutakhir yang mungkin mendorong segolongan rakyat jelata Malaysia jadi anti-establishment?

Persoalan ini saya kemukakan berasaskan realiti di peringkat akar umbi. Realiti ini wujud akibat polarisasi sikap yang tidak lagi dapat menerima kepincangan yang kian berleluasa.

Realiti ini jadi semakin serius bila pihak-pihak yang berusaha membanteras kepincangan pula dituduh dan dikategorikan dengan berbagai-bagai nama, waimah pengacau, iblis, mahu pun beruk.

Jadi, apakah benar Datuk Seri Abdullah ikhlas mahu meneruskan dasar ketelusan dan keterbukaannya dalam menguruskan kerajaan dan Umno?

Tidak mungkinkah Datuk Seri Abdullah memang sebenar-benarnya tidak suka dikacau, tidak suka diganggu, atau tidak suka diuji oleh sesiapa?

Pada waktu yang sama, mana satu yang betul? Datuk Seri Abdullah dan Tun Mahathir berbeza gaya, berbeza cara, tetapi sama pada matlamat, cita-cita dan prinsip perjuangannya?
Gaya
Atau, adakah Datuk Seri Abdullah dan Tun Mahathir memang sebenarnya berbeza gaya, berbeza cara, dan berbeza matlamat, cita-cita dan juga prinsip perjuangannya?

Warga Umno yang menghadiri Perhimpunan Agung 2006 mulai 13 November 2006, sewajarnya menuntas dan merincikan soal asas dan strategik seperti ini.

Ianya penting untuk membantu rakyat jelata, khususnya orang Melayu, membuat kesimpulan sama ada Tun Dr. Mahathir bertindak pada hari ini demi satu perjuangan yang peribadi, atau pun demi agama, bangsa dan negara tercinta.

5 comments:

malaysia said...
This comment has been removed by a blog administrator.
kluangman said...

Siapa tu datuk,

Dia bercakap macam dia tahu semua perkara, tetapi bila dia bertanya macam dia tak tahu apa apa.

Mungkin inilah pemantau yang datuk maksudkan dan kenalah datuk tabik hormat kepada tugas dan kerjanya. Cari makan di zaman paklah lebih mudah, ampu bodek masyuukklah elaun untuk bagi anak bini makan.

Datuk cuma pantau nyamuk denggi, tapi kalau sekadar nyamuk dengki, datuk buat buat tak faham sudahlah..

za said...

Setuju Datuk

Nampaknya PM tak tahu apa yang dicakapkannya... dia sendiri keliru sekejap kata saya boleh terima pandangan dan teguran...diwaktu yang lain katanya jangan ganggu saya... Macam mana nak harap memimpin negara...hancur jadinya..

Anonymous said...

Sepatutnya AAB meneruskan agenda besar negara pada landasan yang telahpun dibina oleh para pemimpin terdahulu. Bukannya terkial-kial asyik hendak menonjol diri memperaga kehebatan diri yang tak sekelumit mana itu.

Hairan sekali inilah pertama kali dalam sejarah UMNO seorang presiden asyik bercakap pasal 'Saya punya cara dan gaya tersendiri'. Kelakar sungguh! Ini bukan soal 'style' dan 'popularity' TAPI maruah negara, survival bangsa dan kemandirian serta jatidiri dan hala tuju negara di persada antarabangsa.

Kronik sekali nampaknya AAB hingga sanggup mempertaruhkan masa depan negara dan bangsa hanya demi untuk memastikan beliau punya 'gaya tersendiri' dan 'punya populariti'. Malah ironisnya tergamak melacurkan prinsip diri dan fitrah manusiawi dengan membelakangkan prinsip-prinsip yang sewajarnya ditunjangi oleh seorang ulil amri sebagaimana yg kerap beliau war-warkan dalam Islam hadharinya itu.

Ryuen said...

Saya cuba mencari comment2 dari Malaysia seperti yg disebut-sebutkan oleh dato. Teringin ntuk melihat gelagat manusia bertaraf 'senior' melatah.

Terus terang saya katakan datuk,sejak akhir2 ini, bila saya membaca akhbar2, ditambah pula dgn tulisan2 dato, saya berasa amat seram, dan resah. Beginikah negara kita. Alangkan saya yg masih 20-an ini terbayang yg negara ini seolah-olah akan ditelan naga.

Terfikir akan saya bagaimana nasib saya selepas belajar dlm keadaan yg nampak huru-hara ini, bolehkah para pelajar nanti selepas habis pengajian mendapat peluang pekerjaan, hidup selesa bersama keluarga, berjalan bebas di bandar2 tanpa tasa takut akan ditikam atau ditembak dari belakang?

Penceritaan datuk akan corruption, tukang2 boneka dan pembisik-pembisik halus seolah-olah menuju ke arah itu.

Andainya satu perubahan yg 'menyeramkan' bakal berlaku, saya tidak mahu melihat negara kita rebah... hanya doa yg mampu saya lafazkan...