Saturday, November 18, 2006

Ada GLC Didakwa
Mahu ‘Bunuh’
Ekonomi Melayu

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Kegagalan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) membela nasib orang Melayu terus mendapat perhatian Perhimpunan Agung UMNO hari ini apabila beberapa perwakilan mendakwa ada GLC seolah-olah mahu ‘membunuh’ ekonomi orang Melayu.

Ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, beberapa wakil UMNO negeri berkata, terdapat GLC yang tidak berjiwa Melayu apabila langsung tidak mahu memberikan orang Melayu peluang perniagaan.

Justeru, mereka mencadangkan jawatan tertinggi dalam pengurusan GLC diberikan kepada peneraju yang benar-benar berkemampuan menghayati jiwa Melayu dan bersemangat untuk membantu meningkatkan ekonomi bumiputera.

Semangat

Wakil Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar berkata: “Mereka (GLC) tidak langsung mempunyai semangat ‘Melayu tolong Melayu', malah mereka mula lupa diri.”

Rizalman mendesak agar peneraju GLC yang terbabit dengan penyelewengan disoal siasat agar rakyat mendapat jawapan sebenar mengenai apa yang berlaku dalam syarikat-syarikat milik kerajaan.

Menurutnya, peneraju GLC yang terlibat dalam penyelewengan boleh dikategorikan sebagai golongan yang menganiaya, menggagalkan visi kerajaan dan mengabaikan amanah untuk membantu orang Melayu khususnya ahli UMNO.

Wakil UMNO Selangor, Datuk Salamon Selamat pula berkata, GLC patut menyediakan program khas membantu bumiputera seperti pemberian kontrak, kemudahan latihan dan bantuan pemasaran.

Agenda

Beliau berkata, GLC perlu berusaha menjayakan agenda Melayu tanpa menjejaskan matlamat keuntungan syarikat-syarikat itu.

“Tidak guna pembangunan hebat, cepat, untung besar tetapi Melayu tidak mampu, terpinggir, hilang kuasa politik, hancur kuasa ekonomi.

“Biarlah kita sederhana tetapi kepentingan dan penguasaan geopolitik kita terpelihara,” katanya.

Isu peranan GLC turut disentuh oleh wakil UMNO Johor, Negeri Sembilan dan Pergerakan Pemuda UMNO.

Pertanian

Wakil Johor, Maulizan Bujang menyarankan kerajaan mewujudkan GLC dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan penglibatan orang Melayu dalam ekonomi khususnya di luar bandar dipertingkatkan dengan lebih ketara.

“Jika kita telah memiliki syarikat GLC dalam industri automotif, tenaga, telekomunikasi dan lain-lain, saya yakin telah sampai waktunya bagi kita melonjakkan sektor pertanian dan asas tani dengan bantuan GLC,” ujarnya.

Global

Beliau turut menyarankan agenda Melayu dijadikan salah satu daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) GLC dalam usaha melahirkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana Melayu.

Wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Jamlus Aziz pula berkata, GLC perlu membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan bukannya bersaing dengan usahawan Melayu yang baru hendak bertapak.

“GLC mempunyai modal yang besar dan perlu bersaing di arena global kerana sudah terbukti syarikat terbabit seperti Petronas, Khazanah dan Telekom Malaysia berjaya menembusi pasaran dunia,” katanya.

Wakil Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Reezal Merican Naina Merican pula mencadangkan penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) dalam kalangan GLC.

Ketirisan

Katanya, langkah itu perlu diambil bagi menangani isu ketirisan pemberian kontrak yang menyebabkan keuntungan ratusan juta ringgit yang sepatutnya menjadi milik Melayu tetapi telah berpindah tangan kepada bukan Melayu.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Saya berbangga dengan sahabat-sahabat yang telah membangkitkan isu GLC seperti di atas. Saya akan mengartikulasikan isu ini secara bersiri menerusi blog ini. Ini termasuklah kontroversi kehadiran seorang ketua pakar ekonomi (rakyat Singapura) dalam Khazanah Nasional dan kisah segelintir CEO GLC yang asyik sibuk dengan golfing tour dan sebagainya.

Oleh itu, saya harap surfers ke blog ini dapat membantu saya dengan maklumat-maklumat yang anda ketahui. Mudah-mudahan kita sama-samalah menyumbang kepada perjuangan memperkasakan Bangsa Melayu di abad ke-21
.– Ruhanie Ahmad.

No comments: