Friday, November 03, 2006

MAJLIS TERTINGGI UMNO PUTUSKAN
DR MAHATHIR KEKAL JAWATAN PENASIHAT

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Majlis Tertinggi Umno hari Khamis memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak diberhentikan daripada kedudukannya sebagai penasihat kepada beberapa badan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mempengerusikan mesyuarat badan tertinggi parti itu di sini petang Khamis berkata Umno juga tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Dr Mahathir kerana mengkritik kerajaan secara terbuka.

"Berkaitan cadangan kepimpinan Umno Kedah berhubung kedudukan Tun sebagai penasihat beberapa badan kerajaan, MT telah ambil kira, dan mengambil keputusan Tun tidak diberhentikan daripada kedudukannya sebagai penasihat badan-badan kerajaan itu," kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"MT juga tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Dr Mahathir kerana mengkritik kerajaan secara terbuka," kata Abdullah pada sidang media di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Abdullah berkata tiada sesiapa pun dalam parti kebal daripada tindakan disiplin, namun MT memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap bekas perdana menteri itu.

Cadangan-cadangan itu dibuat atas alasan tindakan Dr Mahathir terus mengkritik kerajaan secara terbuka, menjejaskan imej kerajaan dan negara serta perpaduan rakyat.

Abdullah tidak menyatakan alasan keputusan itu diambil, tetapi berkata keputusan yang dibuat itu tidak bererti bahawa seorang bekas perdana menteri kebal daripada sebarang tindakan parti.

Perdana Menteri berkata kerajaan dan Umno akan terus memberi penjelasan terhadap kritikan yang dibuat oleh Dr Mahathir sekiranya bekas perdana menteri itu terus mengkritik kerajaan secara terbuka.

"Kita akan beri jawapan secara terbuka (jika Dr Mahathir terus mengkritik secara terbuka)," katanya.

Ditanya sama ada beliau bersedia mengadakan pertemuan sekali lagi dengan Dr Mahathir jika ada pihak ketiga mengaturkannya, Perdana Menteri enggan menjawab kerana soalan itu adalah spekulatif.

Dr Mahathir ketika bercakap kepada pemberita di Langkawi Rabu berkata beliau akan menerima apa sahaja keputusan berhubung kedudukannya sebagai penasihat beberapa badan kerajaan dan juga akur jika keanggotaannya dalam Umno digantung.

Mengenai gesaan Umno bahagian Kubang Pasu supaya Dr Mahathir tidak terlalu kritikal terhadap kerajaan dan kepimpinan Abdullah, bekas perdana menteri itu berkata beliau "sedang mempertimbangkan secara mendalam".

Dr Mahathir pernah menjadi Ketua Umno bahagian Kubang Pasu selama lebih 20 tahun sebelum mengundurkan diri daripada aktif dalam politik pada 2003 apabila meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=227520

No comments: