Friday, November 17, 2006


Perhimpunan Agung Umno 2006
Perintis Damai Dollah-Mahathir?
Oleh Ruhanie Ahmad

Perhimpunan Agung Umno ( PAU) 2006 berakhir esok, Jumaat, 17 Novmber 2006. Ia telah melakarkan sejarahnya yang tersendiri.

Namun sejarah itu pastinya lebih abadi jika PAU 2006 merintis jalan damai antara Datuk Seri Abdullah Ahmad dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Saya berpendapat, jalan damai itu mudah dirintis. Syaratnya, semua pihak mestilah prihatin, ikhlas dan jujur. Semua pihak juga wajar bertindak demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

Sebenarnya, hati nurani Datuk Seri Abdullah telah pun membayangkan kemungkinan perdamaian dengan Tun Dr. Mahathir diusahakan dan dicapai tidak lama lagi.

Hasrat ini tercermin dalam ucapan dasar beliau di PAU 2006, bahawa dunia ini terlalu kecil untuk jadi pentas bertelagah, jangka hayat terlalu singkat untuk bersersengketa, bangsa Melayu pula terlalu kecil untuk berpecahbelah.

Murni

Hasrat murni ini juga tercermin dalam ungkapan beliau supaya: “janganlah kita bertelagah kerana kita berlainan cara dan berbeza gaya… Amatlah rugi kepada negara-bangsa jika kita terlalu taksub untuk berselisih… Tumpukanlah fikiran kita meningkatkan ukhuwah, tujukanlah tenaga kita untuk membina kekuatan bangsa.”

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, pun jelas merindukan perdamaian Abdullah-Mahathir.

Lantaran itulah beliau melontarkan persoalan “mampukah kita bercanggah sedangkan impian dan wawasan tinggal 13 tahun untuk dipenuhi? Mampukah kita bersengketa jika anak bangsa masih belum gagah di bumi sendiri? Pertelagahan akan berakhir dengan perpecahan.”

Sebab itulah juga Datuk Seri Mohd. Najib menggantungkan harapan semoga “semua pihak yang cintakan agama, bangsa dan negara agar cahaya perdamaian akhirnya nanti menyinari suasana yang muram.”

Berdamai

Tun Dr. Mahathir juga membayangkan harapannya untuk berdamai. Dalam sepucuk surat yang diedarkan kepada para perwakilan PAU di PWTC semalam, beliau berkata:

“Saya berdoa mudah-mudahan Allah Subhanahuwat’aala, Allah Yang Maha Esa membuka hati kita semua, memberi hidayat dan petunjuk supaya mengorbankan segala-gala demi ksejahteraan agama, bangsa dan negara.”

Sebilangan besar perwakilan dan pemerhati di PAU 2006 juga mahu Abdullah-Mahathir “buang yang keruh ambil yang jernih.”

Seluruh indikasi di atas sebenarnya seolah-olah telah difahami, dihayati dan diiktiraf oleh majoriti warga Umno di PAU 2006.

Kemelut

Ini terbukti bila dalam seluruh perbahasan para perwakilan daripada 14 November 2006 hingga ke hari ini, tidak ada seorang pun yang telah melahirkan kata-kata kesat atau negatif mengenai Tun Dr. Mahathir.

Oleh itu, adakah keterlaluan jika dalam PAU 2006 ini dicetuskan satu usul supaya Umno segera mengatasi kemelut Abdullh-Mahathir dengan seberapa segera?

Oleh itu, tidakkah menjadi langkah yang terpuji jika dalam ucapan penggulungannya esok, Datuk Seri Mohd. Najib atau Datuk Seri Abdullah sendiri menyatakan bahawa soal Mahathir-Abdullah akan segera di atasi secara ikhlas dan jujur?

Hendak seribu daya. Tak hendak, seribu dalih. Biduk lalu, kiambang bertaut. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua.

Segera

Realiti kepada seluruh kebijaksanaan di atas bergantung kepada Umno, ahlinya, dan kepimpinan mutakhirnya. Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia, bertindaklah segera!

Sepatah kata Datuk Seri Abdullah, “janganlah kita bertelagah kerana kita berlainan cara dan berbeza gaya. Jangan sumber, tenaga, masa dan fikiran kita bazirkan dengan melakukan perkara-perkara yang destruktif yang merugikan semua pihak. Amatlah rugi kepada negara bangsa jika kita terlalu taksub untuk berselisih.”

Mahathir-Abdullah, berdamailah! Melayu masih perlu diperkasakan. Kedaulatan negara perlu terus dipertahankan. Kemerdekaan Malaysia perlu terus dipelihara. Tanpa Umno yang kukuh dan berwibawa, kesemuanya boleh luruh, runtuh dan binasa.

1 comment:

Harat said...

Mahathir sudah melancarkan serangan, tetapi setakat ini belum dapat menumbangkan Pak Lah.
Sekiranya Mahathir setuju berdamai, bermakna Mahathir menerima "kekalahan". Adakah Mahathir seorang yang mahu mengaku kalah?