Monday, November 20, 2006

Khir Johari
Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pemimpin veteran Umno Tan Sri Mohamed Khir Johari meninggal dunia hari Ahad dipercayai kerana serangan jantung di kediamannya di Suasana Central Kondominium, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini.

Allahyarham yang berumur 83 pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam Umno termasuk sebagai Setiausaha Agung Umno dan antara anggota Kabinet kerajaan yang paling lama berkhidmat iaitu sejak tahun 1950an sebelum bersara pada 1983.

Anaknya, Zairil, 23, ketika ditemui Bernama berkata Allahyarham kelihatan sihat semasa bersarapan bersama keluarganya pagi ini apabila tiba-tiba sesak nafas dan terjatuh dari kerusi makan pada 10.30 pagi.

Zairil berkata keluarganya kemudian memanggil ambulans dan anggota perubatan yang tiba 10 minit kemudian mengesahkan Mohamed Khir telahpun meninggal dunia.

Mohamed Khir pernah mendapat serangan jantung pada Mac 1981.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohamad Sidek Hassan dalam kenyataan media berkata kerajaan bersetuju Allahyarham diberikan penghormatan terakhir mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara bagi mengenang jasanya.

Jenazah Allahyarham diberi penghormatan dengan dikebumikan di Perkarangan Makam Pahlawan di Masjid Negara pada 7 petang ini sejurus selepas solat jenazah di masjid itu.

Yang turut memberikan penghormatan akhir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid, Mohamad Sidek dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Upacara pengebumian itu yang berlangsung dalam hujan lebat tidak menghalang keluarga dan sahabat handai hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh yang banyak berjasa itu.

Allahyarham yang dikenali dengan nama "Pak Khir" meninggalkan sembilan anak, lima daripadanya perempuan.

Isteri pertama Allahyarham Puan Sri Kelsom @ Che Tom Abdul Rahman yang dikahwininya pada 1943, meninggal dunia pada 20 Sept 1994 dan beliau kemudian mengahwini Puan Sri Christine Lim pada Februari 1996.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Kancut, Alor Star, Kedah pernah menjadi guru di Maktab Sultan Abdul Hamid pada 1945 sebelum menceburi politik serta dipilih menjadi Menteri Pelajaran pertama negara dan kemudian beberapa portpolio lain seperti Menteri Perdagangan dan Industri serta Menteri Pertanian.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai duta negara ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York serta di Mexico dan Brazil.

Selain itu, Allahyarham juga aktif dalam dunia sukan negara apabila pernah memegang banyak jawatan penting antaranya Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia dan Presiden Persatuan Bina Badan Malaysia.

Antara detik manis baginya ialah kejayaan Malaysia membawa pulang Piala Thomas, piala berprestij badminton selepas mengetuai skuad negara ke kejohanan di Jakarta pada 1967.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=231152


Negara Kehilangan
Tokoh Politik Veteran

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Tan Sri Mohamed Khir Johari, yang meninggal dunia hari ini, mempunyai biodata cemerlang dari segi pengalaman dan pendedahannya dalam politik yang disegani ramai tokoh politik semasa.

Dikenali dengan panggilan mesra Pak Khir, beliau dilahirkan pada 29 Jan, 1923 di Kampung Kancut, Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Bahru, Alor Setar dan Sekolah Sungai Korok, Kedah.

Beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan mendapat kelulusan Sijil Pelajaran Malaya (MCE) pada 1932.

Pada 1966, beliau dianugerahi Doktor Undang-undang oleh Universiti Malaya, Doktor Kehormat Pendidikan dan Sains oleh De La Salle College, Manila, Filipina pada 1967, dan Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) pada 1987.

Khir mula menceburi politik pada 1946 pada usia 23 tahun bila menyertai Saberkas, sebuah gerakan aktif memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, selaku setiausaha agung.

Lima tahun kemudian, beliau membuat keputusan yang mengubah seluruh hidupnya - menyertai Umno. Tiga tahun kemudian beliau dilantik sebagai setiausaha agung dan berkhidmat dalam jawatan ini selama setahun.

Pada Pilihan Raya Majlis Perundangan 1955, beliau memenangi kerusi Kedah Tengah atas tiket parti Perikatan.

Pada 1957, beliau menjadi pengerusi Umno bahagian Kuala Muda dan mengekalkan kerusi Kedah Tengah dalam pilihan raya umum negara yang pertama pada 1959.

Beliau seterusnya mempertahankan kerusi ini dalam pilihan raya umum berikutnya pada 1964 dan dilantik setiausaha agung Umno buat kali kedua dua tahun kemudian.

Beliau mempertahankan kerusi parlimen Kedah Tengah, kemudian dikenali sebagai Kuala Muda, untuk enam penggal hingga pilihan raya umum kelima pada 1978.

Penglibatan beliau dalam kabinet negara bermula pada 1956 selepas beliau dilantik Menteri Muda Hal Ehwal Ekonomi. Sejak itu beliau berkhidmat sebagai Menteri di empat kementerian berlainan.

Beliau adalah Menteri Pelajaran pertama Tanah Melayu merdeka, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (1960), Menteri Pertanian dan Koperasi (1962), dan sekali lagi Menteri Pelajaran (1965), dilantik semula Menteri Perdagangan dan Perusahaan (1969) dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1972).

Khir kemudian dilantik Menteri Tak Berportfolio pada 1973, bila beliau ditugaskan sebagai Wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York, dan juga duta besar ke Mexico dan Brazil.

Khir tegas sebagai seorang yang menolak kurniaan bintang dan darjah kebesaran berdasarkan prinsipnya tidak akan menerima sebarang anugerah ketika dalam politik, menolak tawaran gelaran Datuk sebelum menerima anugerah PNM dari Yang di-Pertuan Agong pada Jun 1986 yang membawa gelaran Tan Sri.

Beliau juga menolak tawaran darjah kebesaran dari kerajaan Brunei kerana anugerah itu disertai pencen seumur hidup.

Sekalipun kehidupan politiknya sibuk, beliau masih punya ruang masa untuk beberapa sukan dan organisasi alam sekitar.

Pengalaman dan sumbangan Khir kepada negara tetap disanjung oleh tidak saja Umno tetapi seluruh rakyat Malaysia terutama mereka yang mengenali Pak Khir dari dekat.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=231106

No comments: