Tuesday, November 14, 2006

Najib Harap
Cahaya Damai
Kembali Dalam UMNO

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan harapan yang tinggi agar ‘cahaya’ perdamaian dalam parti itu bersinar kembali bagi memastikan agenda orang Melayu dapat dicapai menjelang 2020.

Walaupun tidak menyebut nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan perasmian persidangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di sini malam ini, beliau berkata, ahli-ahli UMNO runsing dengan senario politik sekarang.

“Mampukah kita bercanggah sedangkan impian dan wawasan tinggal 13 tahun untuk dipenuhi? Mampukah kita bersengketa jika anak bangsa masih belum gagah di bumi sendiri? Pertelagahan akan berakhir dengan perpecahan.

“Dari itu, tinggi harapan kepada semua yang cintakan agama, bangsa dan negara agar cahaya perdamaian akhirnya nanti menyinari suasana yang muram. Alangkah lega dirasakan jika kita diberi peluang untuk membina bangsa dan negara tanpa cabaran seumpama ini,” katanya.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang lebih dikhuatiri oleh ahli-ahli parti ialah pertelagahan antara pemimpin UMNO terbabit memberi kesempatan kepada parti pembangkang.

‘‘Tradisi UMNO mementingkan musyawarah bagi menjamin perpaduan dan itulah tanda persepakatan perjuangan dengan semangat sepasukan yang padu. Itulah tanda kesetiaan demi mencapai wawasan,” katanya.

Najib turut menegaskan, ahli-ahli UMNO sentiasa memberi penghormatan yang tinggi kepada Perdana Menteri terdahulu berikutan idea, sumbangan dan jasa yang ditaburkan kepada agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, jasa Perdana Menteri terdahulu terus terpahat dalam tinta emas sejarah negara tanpa boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

“Setiap Perdana Menteri telah berkhidmat, berbakti dan berjasa dalam zaman dan era mereka tersendiri. Jasa para pemimpin tinggi nilainya. Hormat kita kepada mereka tiada taranya. Generasi kini amat menghargai setiap idea, sumbangan fikiran, dasar-dasar kecil dan besar yang telah mengubah landskap sosiopolitik negara bangsa kita,” katanya.

Najib turut mengingatkan bahawa pemimpin parti akan silih berganti dan tidak ada yang kekal menerajui parti atau negara.

Sehubungan itu, beliau mahu setiap ahli memberikan sokongan padu kepada Presiden UMNO selaku Perdana Menteri sejajar dengan tradisi parti yang memberi ketaatan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan.

“Marilah kita sama-sama sebagai sebuah pasukan yang padu mendukung kepimpinan Perdana Menteri dalam menterjemahkan hasrat yang besar ini iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),” katanya.

Gagasan besar itu, jelasnya, mengambil kira kepentingan semua rakyat agar tidak ada sesiapa pun yang tertinggal daripada arus perdana pembangunan negara.

Malah, menerusi RMK-9, tegasnya, agenda orang Melayu dalam mencapai Wawasan 2020 kini lebih jelas.

‘‘Ia bukan satu fatamorgana sebaliknya satu pelan implementasi komprehensif merangkumi pendidikan, penguasaan sains dan teknologi, pembangunan usahawan, pertanian berasaskan teknologi moden, pembasmian kemiskinan, mengurangkan jurang pendapatan, jurang kekayaan dan jurang antara wilayah,” katanya.

Selain itu, Najib mengajak ahli UMNO membuat perubahan besar dengan meninggalkan corak pemikiran yang kolot jika mahu menjadi umat terbaik serta terbilang selaras dengan kehendak Islam Hadhari.

‘‘Sebagai khairul ummah, kita ingin membina tamadun hebat demi kesejahteraan serta hasanah di dunia dan hasanah di akhirat,” tambahnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

2 comments:

Anonymous said...

DS Najib dilihat masih terkial-kial menjaga kedudukan diri. Langsung tak punya ideologi perjuangan! Sungguh memalukan.

Pemimpin Bijak Pemimpin Dilonjak
Pemimpin Bongkak Pemimpin Dikotak

malaysia said...
This comment has been removed by a blog administrator.