Monday, November 06, 2006

LAIN ORANG YANG NAK DIKECAM
LAIN PULA YANG TERBONGKANG?

Pada 2 November 2006, blog ini menyiarkan berita bahawa sekumpulan insan sedang bekerja keras mengutip tanda tangan untuk menyokong usaha memecat Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada UMNO.

Bagaimanapun, adalah tidak diketahui sama ada Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan Presiden UMNO sendiri menyedari akan wujudnya usaha ini. Juga tidak diketahui sama ada usaha ini dilaksanakan di seluruh negara.

Blog ini difahamkan, usaha tersebut dikatakan dipelopori oleh seorang individu tertentu yang memang mahukan Tun Dr. Mahathir segera disingkirkan daripada UMNO.

Berita di atas mendapat reaksi daripada dua orang pengunjung blog ini. Seorang mengirimkan sms kepada saya. Seorang lagi menghubungi saya menerusi telefon.

Mesej sms itu adalah seperti berikut: “Hebahkanlah berita terkini ini kepada seluruh penjuru alam. Satu gerakan diterajui oleh …… (namanya saya rahsiakan), dan segolongan individu UMNO Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka telah secara sulit mengarahkan perwakilan pemuda dan wakil-wakil negeri tersebut yang akan berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO bulan ini supaya berucap hentam Tun Dr. Mahathir dan mendesak supaya Tun Dr. Mahathir dipecat. Dengan alasan ini Tun Dr. Mahathir akan dipecat kononnya atas kehendak perwakilan UMNO, dan bukan atas kehendak Majlis Tertinggi atau Presiden UMNO. Berita ini dari sumber dalaman.” - 012 2134…

Mesej yang diperolehi menerusi panggilan telefon daripada seorang orang kuat UMNO adalah seperti berikut: “Kemungkinan Tun Dr. Mahathir dipecat menerusi satu usul daripada perhimpunan agung UMNO kali ini susah untuk dinafikan. Seorang pegawai kepada seorang orang kuat Ibu Pejabat UMNO Malaysia terlepas cakap pasal hal ini kepada saya.”

Saya harap kedua-dua kenyataan di atas adalah tidak benar. Ini kerana tidak ada sapa pun yang hendak mengesahkan seluruh berita di atas.

Tetapi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, tidak menolak kemungkinan isu Tun Dr. Mahathir dibahaskan pada perhimpunan agung parti pada 13 hingga 17 November 2006.

Katanya, perkara ini bergantung kepada ucapan dasar yang akan dibentangkan oleh Presiden UMNO.

Jadi, adakah Datuk Seri Abdullah Ahmad akan memberikan pembayang dan lambang mengenai penghentaman ke atas Tun Dr. Mahathir itu dalam ucapan dasar beliau kelak?

Apa pun, inilah agaknya maka Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pun membuat kenyataan pre-emtif semoga para perwakilan yang berucap di perhimpunan agung UMNO tidak akan menjadikan perhimpunan agung kali ini sebagai medan untuk melakukan kecaman peribadi terhadap mana-mana individu tertentu.

Dalam pada itu, ada pula beberapa pemimpin UMNO memberitahu saya hari ini, bahawa pihak-pihak yang ghairah hendak menghentam dan membawa usul untuk memecat Tun Dr. Mahathir menerusi perhimpunan agung kali ini wajarlah berwaspada dan berhati-hati.

Kata mereka, jangan sampai suasana dan keadaan jadi terbalik court atau bertukar gelanggang. Jangan sampai Tun Dr. Mahathir yang hendak dihentam dan dikecam, tetapi orang lain yang akhirnya jatuh terbongkang! – Ruhanie Ahmad


No comments: