Friday, May 09, 2008

UMNO BERUSIA 62 TAHUN
DALAM SITUASI DARURAT

Ruhanie Ahmad

Pada Ahad, 11 Mei 2008, UMNO menjangkau usia 62 tahun. Senario siasah yang melatarbelakangi kedewasaan ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Kali ini UMNO dalam keadaan rapuh. Ia baru sahaja ditimpa bala yang dimanifestasikan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 12 kira-kira dua bulan lalu.

Hakikatnya begitu kerana dalam PRU12, UMNO yang jadi induk Barisan Nasional (BN), kehilangan kuasa pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Ia gagal menebus maruahnya di Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990. Majoriti undi calon-calon BN di Johor – bumi kelahiran UMNO – merosot dengan amat ketara sekali. BN juga hanya memperolehi majoriti tipis di peringkat kerajaan pusat.
Sehingga hari ini belum ada satu post-mortem secara serius dan menyeluruh dilakukan oleh UMNO. Agak sukar untuk memastikan mengapa begini realitinya. Segelintir kecil pemimpin UMNO yang lantang ke arah usaha menghapuskan musibah yang menimpa UMNO dan BN cuma disifatkan sebagai sinar dalam gerhana – kelihatan kelam, suram dan berbalam-balam.

Gagasan dan pandangan kelompok ini selaras dengan aspirasi warga UMNO dan rakyat Melayu yang jadi simpatisan UMNO di peringkat akar umbi. Malangnya, suara dan usaha kelompok ini seolah-olah dipersenda-senda dan diperkecil-kecilkan. Lebih serius lagi, suara dan usaha ini juga disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai penentangan kepada pucuk pimpinan parti.

Keadaan seperti ini amat ironis. Setelah ditimpa musibah sehingga kehilangan kuasa di empat buah negeri, majoriti pembesar UMNO seolah-olah masih beranggapan bahawa UMNO hari ini adalah serupa dengan yang semalam.

Walau dalam situasi darurat, mindset pemimpin besarnya masih terus berada dalam zon selesa. Walau sudah diberikan “kad merah” menerusi PRU12, pemain yang perlu dibuang padang masih terus bermain seperti sediakala. Mungkinkah ini petanda awal bahawa UMNO sedang menuju kehancuran?

Lantaran itu, 11 Mei 2008 wajar dijadikan tarikh asas permulaan UMNO membuat muhasabah diri secara ikhlas, jujur, serius dan menyeluruh. Pelbagai aspek mengenai UMNO, termasuk matlamat, falsafah, roh dan jiwa perjuangannya perlu dituntasi secara rinci.

Usaha di atas wajar dihalusi secara makro dan mikro. Antara lainnya, usaha ini wajar merangkumi aspek-aspek berikut:

Satu: Halusi semula seluruh Fasal 3 Perlembagaan UMNO untuk memastikan sama ada parti ini masih lagi “berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.”

Dua: Adakah matlamat UMNO dalam Fasal 3.1 perlembagaannya yang memaktubkan bahawa parti ini “mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara” memang benar-benar satu realiti pada saat dan ketika ini. Jika matlamat ini sudah tergelincir atau menyimpang, bukankah ianya mesti segera diperbetulkan seperti sediakala?

Tiga: Aspek insaniah di dalam UMNO perlu dirungkai dan dikaji sedalam-dalamnya. Ini penting untuk memastikan bahawa sesiapa sahaja yang dimandatkan menjunjung obor perjuangan parti di seluruh peringkat adalah pihak yang benar-benar memberikan sinar pembelaan demi rakyat jelata dan bukan diri sendiri.

Empat: Aspek insaniah ini juga perlu dikaji dan dirungkai sedalam-dalamnya supaya soal kepimpinan, kesetiaan dan kesetiakawanan dalam UMNO adalah benar-benar demi agama, bangsa dan tanahair dan bukannya demi sesuatu kelompok tertentu, lebih-lebih lagi elemen asing tertentu yang sedang berusaha mewujudkan hegemoni politik, sosial, ekonomi dan ketenteraan mengikut agenda geopolitik global dan serantau.

Lima: Berkaitan aspek insaniah ini juga, fikirkanlah keperluan mendesak supaya penerapan, pengukuhan dan penyemarakan daya juang dan jiwa perjuangan di kalangan seluruh warga UMNO, khususnya kelompok pemimpinnya, adalah keutamaan semasa yang wajar dilaksanakan secara terancang, konsisten dan berkesan menerusi satu blueprint yang mengandungi perincian etika, disiplin, prosidur dan gerak kerja yang standard.

Enam: Usaha-usaha sosialisasi siasah atau kerja-kerja memasyarakatkan UMNO wajar dilaksanakan pada setiap masa, di semua peringkat dan merangkumi pelbagai kegiatan, khususnya di sektor akar umbi.

Demikianlah antara pandangan saya selaku ahli akar umbi parti yang berusia hanya setahun lebih muda daripada UMNO. Saya mengemukakan pandangan ini demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Pendek kata, seluruh matlamat, asas dan falsafah perjuangan UMNO yang termaktub di dalam perlembagaan parti wajar dikaji dinamismenya supaya boleh dijadikan program dan aktiviti.

Aspek-aspek perjuangan yang strategik pula wajar dijajarkan semula dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara dan Wawasan 2020. Ini mungkin boleh membentengi apa jua usaha untuk mempolemik dan mempolitikkan kontrak sosial supaya ia tidak melunturkan seluruh ciri-ciri keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam negara yang multi-etnik.

Lantaran itu, alangkah murninya jika “amanat khas” yang akan disampaikan oleh pembesar UMNO kepada seluruh warga parti di Kuala Lumpur Ahad ini sudi menimbangkan suara akar umbi yang cetek seperti di atas.

Lantaran itu juga, amat meleset sekali jika sambutan UMNO 62 tahun tersebut hanya untuk “mengingati perjuangan para pemimpin terdahulu yang berjaya membangunkan negara sehingga rakyat pelbagai kaum menikmati kemajuan dalam pelbagai bidang.”

Akhir kata, sekali lagi insafilah bahawa UMNO kini bukannya UMNO semalam. UMNO hari ini adalah UMNO yang dalam darurat. UMNO hari ini adalah UMNO yang wajar direkayasan serta diperkasakan semula. UMNO hari ini adalah parti yang dituduh sudah tidak relevan dengan zaman. UMNO ketika ini mestilah dipimpin oleh pembesar-pembesar yang berani mengakui bahawa PRU12 akan menjadi musibah yang lebih parah di hari muka jika tuntutan, hasrat dan aspirasi warga akar umbinya mutakhir ini hanya diperlekeh dan diperkecil-kecilkan. – Disiarkan oleh Sinar Harian

6 comments:

politica said...

Salam perjuangan,

Saya rasa dah patah hati dengan UMNO. Sebab tu saya dah lama tak lawati blog Datuk atau buat posting sendiri. Secara rasmi, saya masih ahli UMNO. Tapi jiwa saya sudah saya bebaskan ikatannya dengan UMNO. Saya tak pasti bila luka di hati saya akan sembuh. Sehingga itu, saya nak jadi pemerhati, berapa lama lagi Dollah dengan Najib nak main wayang pekji. Harap-harap Muhyiddin buat kerja cepat-cepat selamatkan parti kita.

wankamar said...

Semalam ada terlihat (bukan terbaca)tajuk utama akhbar picisan yang mana satu, tak pasti. Tajuknya 'ORANG MELAYU MARAH - PM'

Saya rasa ada typing error di situ, sepatutnya tiada tanda '-' di tajuk itu dan sepatutnya dibaca 'ORANG MELAYU MARAH PM'. Ada ralat la tu kut...

Bung Karno said...

Datuk,

Dollah dengan Zaid tu kena pooh-pooh masa dinner dengan Bar Council, walaupun dia ada jin melindung nya.

Sekarang penghulu bar counil tu muntah balik pada dia. Padan muka.

Ini klasik kera di hutan di susukan...ke.. melepaskan anjing ?

Unknown said...

Datuk,

Saya ni dari keluarga UMNO yang paling totok. Maksudnya yang paling setia dan paling tidak pernah mahu mengenal parti siasah lain. Saya juga pernah jadi Ketua Pemuda UMNO cawangan.

Masa ni saya sangat-sangat sedih. UMNO macam tak ada keutamaan dalam perjuangannya. Patutnya UMNO parti pro-aktif. Hari ini UMNO asyik re-aktif. Hanya buat kenyataan atas isu dibangkitkan pembangkang. Adakah UMNO parti yang hidup atas isu?

Tengok je hari ini. Rakyat minta Abdullah berhenti. Tapi, orang UMNO bangga dengan sana sini sibuk pasal Karpal Singh. Orang DAP tak berani bersuara kalau UMNO kuat. Sekarang ini, pasal UMNO lembik dan kuat tidur, Karpal Singh melalaklah.

Dalam keadaan macam ni, mana satu yang mesti UMNO betulkan dulu? Betulkan UMNO atau buat laporan polis pasal Karpal Singh dan cari publisiti murahan, lepas tu masuk angin keluar asap?

Sebagai anak UMNO yang amat totok, saya tak kira UMNO sekarang ni UMNO baru atau UMNO lama, usia UMNO 62 tahun atau 20 tahun (UMNO yang ada sekarang didaftarkan semula pada 1988). Yang saya titikberat dan persoalkan adalah arah perjuangan UMNO ke mana dan keutamaan UMNO ke mana?

Macam Datuk cakap dalam tulisan Datuk, abad ini abad Asia dan abad Asia Tenggara dalam geopolitik dunia dan serantau. Tapi pemimpin UMNO terus leka dengan bodek dan ampu dari proksi-proksi neoimperialis. Kita bukan tak boleh berkawan. Tapi berpada-padalah bila berkawan dengan sekutu zionis. Ini sampai buka kawasan, atas nama apa pun, untuk proksi neoimperialis. Apakah pemimpin besar UMNO tak boleh fikir tentang tipu muslihat neoimperialis?

Saya harap Datuk teruskan usaha Datuk. Loyalis UMNO yang lain pun gitu juga. UMNO untuk Islam, Melayu dan Tanah Melayu. Memang UMNO berkongsi kuasa dengan orang lain. Itu boleh dihalusi menerusi BN. Dalam UMNO, kita kena jaga kemuliaan Islam, kepentingan Melayu,dan kedaulatan Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak. Atas pletfom BN baru kita cakap pasal bangsa Malaysia dan kepentingan Malaysia yang dipersetujui oleh semua menerusi perlembagaan negara.

Saya harap UMNO balik ke pangkal jalan. Kalau tidak ramai warga UMNO tersesat jalan atau tersadai di pinggir jalan kerana mereka kecewa dengan pemimpin besar mereka yang sepatutnya memandu mereka ke jalan lurus dan jalan yang benar!

Unknown said...

WPI memang agenda asing yang dilaksanakan oleh pemimpin kita. Saya sokong cadangan Politica. Kita berdoa Muhyiddin Yassin jadi PM. Lepas itu, bubarkan WPI. Saya yakin semua orang Johor dan rakyat Malaysia menyokong penuh tindakan seperti ini.

motro said...

Saya memang menanti resolusi yang dibuat oleh Majlis Permuafakatan Melayu pada Ahad, 4/05/08. Usaha ini memang baik, kiranya cuba hendak merungkai permasalahan yang kelihatannya Melayu telah berpecah.

2100 orang hadhir, tambah dengan persidangan meja bulat. . Namun tidak berapa nampak ahli korporat ternama yang hadhir. Jika betul tak ada, itu dikira tak cukup 'kuorum'. Maksudnya, ahli akademi, sasterawan, seniman, budayawan diwakili oleh 'top figure', wakil korporat juga mesti lah yang 'top' juga. Faktor penguasaan ekonomi adalah antara tiang paling utama dalam survival bangsa.

Namun, saya kira ia kelihatan tidak menyeluk sampai ke dasar nya. Tidak menyentuh 'the crux of the matter'. 'Holy grail' nya tak jumpa.

UMNO ditubuhkan pada 1946, PAS 1955, PKR 1999. Inilah 3 parti politik yang bernaungnya orang Melayu. Melayu di Malaysia bukan setakat bangsa, tapi ia lebih bersifat institusi.Tapi mengapa sekarang timbulnya isu ketuanan Melayu. Mengapa tidak selepas pilihanraya 1999, atau 2004 ataupun 1987/88 dulu,atau masa 'Ku Li and the gang' selesai 'membakar jambatan'. Apa fasal ramai sangat yang 'paranoid' sekarang ini.

klik:-
http://rainwonder.blogspot.com