Monday, May 26, 2008

Siri Satu:

PERCTURAN KUASA DAN GEOPOLITIK:
Tekanan Amerika Syarikat Kepada Abdullah

Ruhanie Ahmad

Abad ke-21 adalah abad Amerika Syarikat (AS) di Asia. Ini bermakna, dalam abad ini, AS akan menumpukan sebilangan besar program serta dasar hegemoni, neoimperialisme dan geopolitiknya ke Asia - Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur.

Hakikat ini juga bermakna, dalam abad ke-21, AS mesti menghadirkan dirinya dengan apa cara sekalipun - menerusi tipuhelah, peperangan, penjajahan, penggunaan proksi atau secara subversion - ke seluruh wilayah sasarannya di Asia.

Lantaran itulah dicetuskan Peperangan Antiterorisme Global (PAG) yang terbahagi kepada beberapa bentuk. Pertama, PAG dijelmakan dalam bentuk peperangan nuklear di mana musuh sebenarnya tidak pernah dibunuh atau ditawan, tetapi ratusan ribu, dan mungkin jutaan umat Islam tanpa dosa di Asia telah jadi korbannya. Contohnya adalah di Afghanistan. Akibatnya, negara itu diserang habis-habisan hingga jadi padang jarak padang tekukur.

Keduanya, PAG dijelmakan dalam bentuk peperangan nuklear dan penjajahan yang berpanjangan. Contohnya adalah di Iraq. Akibatnya, negara itu diperangi, dijajah dan melalui pertukaran rejim. Sampai kini negara itu huru-hara dan kacau-bilau.

Ketiganya, PAG dijelmakan dalam bentuk subversion, propaganda, operasi hitam, sabotaj, pengadu-dombaan antara agama dan siri ledakan bom yang kononnya dilakukan oleh teroris Islam antarabangsa. Hakikat ini berlaku di Asia Tenggara.

Akibatnya, hingga ke hari ini AS mempunyai bala tenteranya di selatan Filipina, selatan Thailand bergolak dan terus bermandi darah kononnya akibat keganasan puak-puak Islam, Indonesia dijadikan medan kepada tiga siri ledakan bom yang kononnya angkara Jemaah Islamiah, dan beberapa negara pula menjadi sasaran subversion pelbagai cara.

PAG juga menyebabkan AS melantik dirinya sebagai polis dunia di mana bala tenteranya dihalalkan berada di mana sahaja atas alasan membanteras teroris Islam antarabangsa, memerangi mana-mana negara yang disyakki melindungi teroris, atau memerangi mana-mana kuasa yang didakwa sebagai membiayai terorisme Islam antarabangsa.

Seluruh perkembangan di atas adalah berasaskan blueprint Project for the New American Century (PNAC) yang digubal oleh sekumpulan neo-conservative - majoritinya pro-zionis - termasuk Dick Chiney, Paul Wolfowitz dan Donald Ramsfeld.

Blueprint ini memaktubkan bahawa abad ke-21 adalah abad AS memfokus kepada Asia untuk melakukan beberapa pertukaran rejim, untuk membina sekutu-sekutu baru dan untuk mengeratkan semula hubungan dengan sekutu-sekutu tradisionalnya.

Blueprint itu juga mendorong AS untuk menguasai seluruh telaga minyak dan gas di benua Asia, untuk memulihkan hubungan ketenteraan atau mewujudkan beberapa pengkalan ketenteraan yang baru, dan untuk menguasai seluruh laluan maritime utama yang strategik kepada pengangkutan petroleum dari Asia Barat ke Asia Timur.

Matlamat kepada seluruh usaha di atas ialah untuk memastikan AS berjaya mewujudkan hegemoni politik, ekonomi, dan ketenteraannya di Asia. Tetapi, matlamat akhir kepada seluruh bentuk hegemoni itu pula ialah AS mahu mengekalkan status quonya sebagai hyperpower global yang akan mengimbangi kuasa Republik Rakyat China yang sedang membangun sebagai gergasi ekonomi dunia.

Oleh itu, adalah penting bagi setiap rakyat dan pemimpin negara di Asia untuk sentiasa bersikap sensitif dan prihatin terhadap soal-soal hegemoni, neoimperialisme dan geopolitik. Mereka juga dituntut bijaksana mentafsirkan sebarang perkembangan di sekeliling mereka demi mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan tanahair masing-masing di abad ke-21.

Lantaran itu jugalah rakyat Malaysia perlu mentafsir dan mengkaji perkembangan politik di negara ini menerusi perspektif hegemoni, neoimperialisme dan geopolitik serantau dan global. Ini penting kerana sebuah jiran terdekat Malaysia adalah sekutu AS dan proksi zionis di Asia Tenggara.

Inilah sebab utama mengapa sejak kira-kira empat tahun lalu rakyat Malaysia berasa amat bimbang terhadap persepsi umum yang mengatakan segolongan pegawai peribadi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Jabatan Perdana Menteri kononnya adalah individu yang disusupkan oleh sesetengah elemen asing, kuasa asing atau agensi perisikan asing yang tertentu.

Inilah juga sebab utama yang membimbangkan banyak pihak di Malaysia bila persepsi umum mempercayai kononnya Abdullah dicengkam dan dikuasai oleh sesetengah kuasa asing tertentu sehingga menyebabkan beliau dikatakan jadi terlalu intim dan sentiasa memihak kepada kuasa asing berkenaan.

Persepsi seperti ini tidak boleh diremehtemehkan. Implikasinya luas dan amat serius. Khususnya bila matlamat serta cita-cita perjuangan UMNO adalah demi agama, bangsa dan tanahair, serta untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara pada setiap masa.

Lantaran itu, saya pun berusaha merungkai kebenaran atau kepalsuan di sebalik persepsi di atas. Ini saya lakukan menerusi kajian ke atas pelbagai kenyataan serta tindakan Abdullah sejak dilantik Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003 hingga sekarang.

Pertama sekali saya kaji kenyataan Abdullah selaku Pemangku Presiden UMNO, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO buat pertama kalinya pada 6 November 2003. Kenyataan Abdullah sepenuhnya dilaporkan oleh Utusan Malaysia seperti berikut:

KUALA LUMPUR 6 November 2003: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, isu anti-semitik dan dakwaan anti-Yahudi perlu ditangani dengan pemahaman yang lebih baik dan tidak harus dijadikan konfrontasi.

Perdana Menteri berkata, langkah berkonfrontasi antara kedua-dua pihak tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika ini.

“Kita tidak boleh memilih berkonfrontasi, kita mesti memilih jalan terbaik dengan memahami isu yang kita hadapi masa ini,” katanya.

Beliau yang juga pemangku Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas pertama kali mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Isu anti-semitik itu timbul apabila pihak Barat membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berikutan ucapannya pada Sidang Kemuncak ke-10 Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), di Putrajaya pada Oktober 2003.

Dr. Mahathir dalam ucapannya berkata, kaum Yahudi kini sangat berkuasa dan memerintah dunia melalui proksi.

Berikutan itu, pelbagai pihak di Barat menyelar Dr. Mahathir termasuk keputusan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang mahu menghentikan bantuan ketenteraan kepada Malaysia.

Abdullah berkata, Dr. Mahathir sebenarnya hanya menjelaskan apa yang telah berlaku berdasarkan sejarah apabila kaum Yahudi dianiaya, tetapi mereka akhirnya berjaya seperti hari ini.

Menurutnya, beliau mengetahui bahawa Dr. Mahathir bukan bersikap anti-Yahudi sebagaimana yang didakwa oleh pihak Barat. Tetapi, orang Yahudi sebenarnya tidak suka dengan cara Dr. Mahathir meluahkan pendapatnya.

Sebaliknya, kata Abdullah, Dr. Mahathir mahu menjelaskan kepada umat Islam beberapa peristiwa sejarah yang pernah berlaku apabila mereka dianiaya dan agama Islam dicemuh serta bagaimana mahu mengatasinya.

Katanya, oleh itu umat Islam mesti bertindak dengan cara sabar dan mendalami ilmu pengetahuan serta berusaha mencari strategi-strategi baru.

Abdullah membuat kenyataan di atas secara sukarela. Bukannya sebagai reaksi kepada soalan daripada pihak media. Oleh itu, apakah signifikennya kenyataan di atas sehingga ia mesti dikeluarkan sesudah Abdullah mempengerusikan mesyuarat MT UMNO, seminggu sesudah beliau menjadi Perdana Menteri?

Mengapakah Abdullah membuat kenyataan di atas secara sukarela? Mengapakah hanya selepas satu bulan Mahathir membuat kenyataan yang disifatkan oleh Barat sebagai anti-Yahudi, baru Abdullah membuat kenyataan reaksi mengenainya?

Jadi, berasaskan seluruh hujah di awal tulisan ini, apakah niat sebenar Abdullah membuat kenyataan di atas? Adakah kerana Abdullah menerima tekanan daripada pihak-pihak zionis atau proksinya? – [bersambung dalam siri kedua]

13 comments:

luaskanmata said...

Amww Datuk:

suka saya membaca penulisan Datuk.

Dalam kajian pertahanan, barat sememangnya amat sedar akan kehebatan ilmu peperangan Islam. Antaranya bilamana tentera Islam menang di badar kubra.

Antara kaedah yang diguna pakai ialah apa yang disebut sekarang sebagai "forward defence".

Dalam kaedah ini, sesebuah negara akan mempertahankan dirinya dari luar zon negara itu sendiri agar kepentingan dalam negara tidak terjejas sekaligus bumi akhir (negara mereka) terselamat dari kehancuran.

Keberjayaan tentera Islam di bawah pimpinan Rasul Allah S.A.W. ini semasa perang badar membuktikan berjayanya kaedah ini dan kini dimanfaatkan oleh US.

Forward defence ini juga memberi kelebihan semangat kepada tentera yang terlibat. Rasa rindu kepada tanah air dan keluarga mendorong mereka untuk mempertahankan tanah air di mana keluarga mereka berada dengan kesediaan dan komitmen menghadapi apa jua kemungkinan di negara-negara atau rantau mereka ditempatkan.

Delema depan mata kita kini telah nyata. Perlaksanaan WPI seterusnya kemenangan mutlak oleh S.pore dengan keputusan ICJ perlu diberi perhatian yang tulus dan sirius.


Sekian, selamat berjuang.

Wasalam.

CINTA suci abadi said...

Assalamualaikum.
Musuh utama orang Islam ialah iblis yang tak nampak tapi boleh di rasa melalui hasutannya.Kedua orang orang yahudi, nasrani dan kafir, dimana yahudi yang paling utama patut orang islam memberi perhatian.Apa kata Tun M memang ada kebenaran .Mereka sekarang menguasi dunia melalui proksi..Government over the other governments...Amerika ialah satu contoh terbaik, sebenarnya sebuah negara yang di kuasi sepenuhnya oleh Israil...Negara besar di kuasi negara kecil...cara terbaik adalah untuk semua negara Islam bersatu..tapi semua pemimpin negara Islam di kotak katikkan oleh yahudi melalui negara USA.

Syorkan Tun M bergerak menyatukan negara Islam. dimana Tun M ada pengaruh dikalangan majority rakyat negara Islam walaupun Pemimpin mereka mungkin tidak.Walaupun saya tak berapa suka Tun M tapi terpaksa akui bahawa Tun M adalah Hero kepada rakyat di timur tengah!

Saya baru terbaca blog Nuriana Samad,pasal patriotism, dimana dia mempersoalakan,bila negara berperang tak mestinya dia kena pergi berperang,untuk menunjukan patriotism... Kalau kat Amerika, dan dia jadi rakyatnya sudah tentu kena jail macam Mohammad Ali bila dia tak mahu pergi Vietnam untuk berperang...

Unknown said...

Insyaallah Abdullah bukan seperti yang anda sangka. Jangan syak wasangka bukan2 selagi tak ada bukti... Wallahualam.

Isud said...

Askum Dato`,

Kawan rasa dah ramai yg bimbang ngan situasi sekarang lebih2 selepas Batu Putih.

Dato` ngan Takzimnya kawan rasa walaupun satu cadangan, kawan rasa Dato` dan Dato` Kadir Jasin dapat mengadakan SOLAT HAJAT secara RAKSASA dan kawan rasa JOHOR tempat nak mulakan. Dulu di Johor jugak UMNO bermula.

Kawan terus ikuti penulisan DAto` dan byk logiknya.

Wasssalam

NFH said...

Salam Datuk,

Saya menjadi semakin yakin bahawa Pak Lahab adalah merupakan agen asing atau setidak-tdaknya mangsa agen asing.

Apakah perbebezaan antara menjadi agen asing dengan mangsa agen asing? Jawapannya TIADA BEZA.

Dulu sewaktu membaca berita luar negara saya hanya ketawa bila melihat negara lain yang mempunyai pemimpin yang lemah dan diperkotak-katik kuasa asing.

Pemimpin macam Pak Lahab ni harus ditolak mentah-mentah. Mantan PM kita dulu sememangnya bukan benci pada Yahudi tapi Zionist.

Pak Lahab sengaja mengelirukan rakyat dan memang sengaja dan bersebab mengambil jalan mudah buat kenyataan akhbar seumpama itu.

Apalah nasib kita rakyat. Dulu kita terlepas dari masuk mulut buaya(Anwar), kita dengan rela dah masuk mulut naga(Pak Lahab)

politica said...

Cadangan datuk supaya kita prihatin dan sensitif kepada soal geopolitik amat baik. Soalnya, adakah para pemimpin kita peduli soal ini? Kalau mereka peduli, tentunya tak ada Iskandar Malaysia dan kapal perang Amerika tak diizinkan berlabuh di Pelabuhan Kelang. Inilah yang membimbangkan kita semua waktu ni.

Unknown said...

Saya akan baca rungkaian datuk seterusnya untuk pastikan apa yang saya jangkakan betul atau fitnah. Buat setakat ni, saya harap pihak keselamatan kita kajilah persepsi rakyat yang mendakwa pejabat PM disusupi agen asing. Hal ni dah bertahun-tahun tapi pihak berkuasa dok diam je. Nafikanlah biar kita semua lega. Kalau terus diam, kita semua dalam bahaya....

noor said...

apa yang mustahak bagi kita adalah membina persatuan dan patriotik bangsa sehingga kerejaan ini tidak menjadi mangsa penjajah dunia. hanya semangat itulah yang dapat menyelamatkan kita dari tekanan dan penjajahan zionism yang dikuatkan proxynya us...

InMine said...

Dato' dapat ke document yang saya email tempoh hari? Apa yang Dato' tulis ni banyangannya ada dalam document tu.

Mungkin kah lokasi yang dikehendaki adalah Pulau Batu Putih?

Unknown said...

Baca posting Datuk, saya tak lena tidur. Hari-hari apa yang Datuk bayangkan dalam banyak posting, macam dah mula jadi kenyataan.

Posting pasal Selat Melaka - kapal perang AS dah boleh berlabuh di Port Klang.

Posting pasal ejen-ejen asing - saya khuatir hari ini banyak dah masuk ke negara kita pakai macam-macam jenis penyamaran.

Posting pasal toyol code - nampak gayanya 80 peratus macam dah betul terjadi.

Posting pasal WPI - setelah kes Pulau Batu Putih, suara-suara kebimbangan kita jadi makin relevan.

Posting pasal kedaulatan negara - mula-mula orang kita tak peduli sangat. Hari ni, semua buka mata dengan mulut melopong.

Saya harap ramai lagi blogger macam Datuk. Saya harap makin ramai orang kita sedar percaturan kuasa asing di abad ke-21. Kita dalam bahaya kalau Abdullah terus leka dan lena.

Unknown said...

Abdullah kan bekas Mentri Luar. Tak kan dia tak arif soal geopolitik, subversion atau the great power games di Asia Tenggara. Kalau dia faham, kenapa agaknya pejabat dia penuh dengan manusia-manusia yang dikatakan talibarut asing? Adakah Abdullah pilihan asing, seperti George Bush pilihan neo-con di Amerika?

Unknown said...

Salam Dato',
Saya cukup risau bila pikir2 balik yang AAB, SIL&Co. tak pernah nampak mengkritik S'pore/LKY sepatah pun sejak jadi pm... dan hakikat SIL& baluchinya (Kali&Co. yang control media masa negara) pun ada close ties dgn LKY... ditambah pulak dengan DSAI&Co. "cuma berkawan rapat" dgn Paul Wolfowitz, kepala neocons bawah Bush... dan umno dah mula retak & nak rebah... Indonesia tak habis2 dengan kemelut sejak financial crisis 1997... "peperangan/war" sekarang tidak semestinya dengan jet pejuang, kereta kebal, dll., tujuan nya sama - memporakperandakan pihak "musuh"... dan nampaknya, kita "losing the battles", walau pun "war" belum tamat lagi... mungkin baru mula?

azlishukri said...

Inilah yang amat kita bimbangkan jika Pak Lah terus berkuasa, Malaysia sejak ketiadaan Tun Mahathir, seolah-olah dibiarkan terancam daripada pengaruh kuasa asing.