Wednesday, May 14, 2008

BLOGGERS DI MAYAPADA
MANUSIA DI BUMI NYATA

Ruhanie Ahmad

Blogs adalah media komunikasi interaktif baru yang berasaskan internet. Ia dilahirkan oleh ledakan ICT yang sentiasa hidup dan terus berkembang. Ia membabitkan perisian atau contents dalam bentuk teks, audio dan video yang mencakupi seluruh aspek kehidupan.

Contents paling popular bagi blogs adalah teks yang merangkumi pelbagai disiplin. Teks ini pula dihasilkan bedasarkan citarasa, latarbelakang, pengalaman, pengetahuan serta minat pemilik-penulis blogs yang dikenali sebagai bloggers.

Sebab itulah wujud berjuta-juta kategori blogs dan bloggers di alam maya - ada yang membicarakan soal agama, membincangkan soal ekonomi, mempolemikkan isu politik, merungkai aspek-aspek geopolitik, menfokus kepada hal-hal peribadi, undang-undang, perubatan, sastera, teknologi, keusahawanan dan segala-galanya.

Secara umumnya, ciri utama seluruh blogs adalah kebebasan yang dinikmatinya. Bloggers memuatkan contents ke blogs milik mereka atau blogs kelolaan mereka secara bebas mengikut citarasa mereka sendiri dalam semua aspek, termasuk cara pemaparan tema perisiannya, gaya bahasanya dan lenggok tarinya.

Ini bermakna, contents seluruh blogs adalah dicorakkan oleh empowerment atau kebebasan yang wujud bersama ICT. Ini juga bermakna, kuasa di hujung jari bloggers boleh menggerakkan apa sahaja contents mengikut citarasa dan kebebasan yang diberikan oleh internet kepada mereka.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna majoriti bloggers tidak mempunyai disiplin diri dan etika peribadi dalam menyedia dan memaparkan contents masing-masing. Soal ini wajar dihalusi tanpa prejudis dan kebencian yang tebal.

Pengorbanan

Menetik pendapat blogger SU-KJ: blog adalah rumah kita sendiri. Kita lebih bebas untuk menulis. Manakala akhbar pula adalah ibarat rumah sewa di mana kita terikat dengan syarat tertentu. Maksudnya kita tak boleh bebas.

Kepada saya, blogs adalah umpama pelbagai taman yang diwujudkan untuk dikongsikan dengan semua pihak yang sudi berkunjung untuk menikmati keindahannya atau untuk menganalisa cacat dan celanya. Kalau blogs boleh diibaratkan sebagai akhbar, maka blogs adalah lembar akhbar peribadi yang disediakan untuk bacaan umum secara percuma dan secara digital.

Kalau blogs diibaratkan sebagai antologi puisi, maka blogs adalah himpunan catatan rasa, luahan jiwa dan jeritan suara pemiliknya terhadap apa sahaja yang menyentuh sensitiviti dan keprihatinan naluri mereka pada sesuatu waktu tertentu dan berdasarkan sesuatu perkembangan serta latarbelakang yang juga tertentu.

Satu lagi ciri utama blogs adalah hakikat kesukarelan dan pengorbanan yang muncul bersamanya. Ini adalah perbezaan yang amat nyata berbanding media cetak atau elektronik yang majoritinya diwujudkan dengan motivasi keuntungan. Hakikat kesukarelaan dan pengorbanan ini menjadikan misi dan matlamat kewujudan blogs lebih murni dan lebih abadi.

Sebab itulah ada juga blogs yang dikategorikan sebagai “citizen journalism” atau “kewartawanan rakyat” kerana blogs dalam kategori ini diwujudkan secara sukarela oleh warga internet untuk dijadikan suguhan minda kepada seluruh warga maya secara global.

Berasaskan huraian di atas, bloggers bukan wartawan dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Mereka tidak mempunyai suratkabar atau majalah. Mereka tidak menghasilkan sesuatu tulisan atas motivasi material. Mereka tidak mempunyai majikan. Mereka tidak makan gaji. Mereka menjana minda, menyengkal mata, berkorban masa dan membelanjakan wang ringgit sendiri demi dorongan hati, komitmen diri, dan keyakinan terhadap sesuatu misi kehidupan.

Khazanah Minda

Bloggers bersuara dan berbicara di alam siber kepada audiens yang tidak dikenali, sama ada audiens tempatan, serantau atau internasional. Mereka memang merupakan warga di sesebuah negara yang mempunyai sempadan politik dan geografi yang spesifik. Tetapi, khazanah minda mereka di internet adalah untuk dikongsikan dengan seluruh warga jagat yang sudi berkongsi minat, pendapat, destini, ideologi, kepercayaan atau belief dan identiti.

Apa yang dimiliki oleh bloggers hanyalah nama, azam, cita-cita, kesungguhan, motivasi diri dan ruang maya yang dikenali sebagai blogs dengan contents yang multi-tema, multi-fokus, multi-corak dan multi-suasana. Nama itu juga lazimnya hanya nama pena. Hanya segelintir bloggers yang mempunyai pendidikan dalam disiplin kewartawanan dan hanya segelintir juga yang menggunakan nama sebenar.

Lantaran itu, dalam konteks yang seluas-luasnya, bloggers bolehlah dikategorikan sebagai pembekal contents, penulis, kolumnis, penganalisis, pengkritik, penyimpan jurnal, pembentuk pendapat, penjana minda atau pembekal maklumat yang berasaskan kepada citarasa, pengetahuan serta pengalaman diri.

Maka, adalah satu kesilapan besar untuk mana-mana pihak membuat kesimpulan bahawa bloggers hanya menumpukan minat kepada soal sosio-politik, ekonomi dan hal ehwal semasa. Sesiapa yang membuat kesimpulan seperti ini adalah golongan yang naïf, kurang memahami soal blogs, blogging dan bloggers. Kumpulan seperti ini wajar mendalami soal blogs, blogging dan bloggers sebelum membuka mulut dan menyatakan sesuatu yang akan memaparkan kedangkalan mindanya.

Bagaimanapun, kesimpulan pukul borong seperti inilah yang ketika ini menyebabkan majoriti bloggers di Malaysia disifatkan sebagai kumpulan insan penuh kontroversi. Hakikatnya begitu kerana ada pihak menyifatkan semua bloggers dengan pelbagai label negatif. Hakikatnya demikian kerana sesetengah masyarakat umum, pemimpin kerajaan dan parti pemerintah terbukti cetek pengetahuan masing-masing mengenai blogs, bloggers dan blogging.

Kerugian

Semua ini terjadi kerana majoriti kumpulan di atas hanya menumpu kepada blogs dan bloggers sosio-politik. Mereka melabelkan bloggers kategori ini kononnya sebagai penabur fitnah. Sebenarnya mereka menggunakan label tersebut kerana fitnah adalah perkataan emotif yang mudah digunakan untuk menafikan sesuatu kebenaran yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Kumpulan manusia seperti ini sebenarnya amat kerugian kerana sikap negatif mereka terhadap blogs, blogging dan bloggers menyebabkan mereka gagal memahami pentingnya blogs, sebagai wadah komunikasi rakyat yang paling berkesan dan mudah pada ketika ini.

Sikap prejudis dan kebencian yang amat tebal ini menyebabkan individu-individu berkenaan jadi buta hati. Mereka enggan menerima hakikat bahawa bloggers sosio-politik di Malaysia adalah golongan yang mempunyai kepakaran di bidang profesional. Mereka juga gagal untuk mengakui bahawa majoriti bloggers sosio-politik di negara ini majoritinya adalah kumpulan wartawan yang berpengalaman dan ada nama.

Lebih serius lagi, kegagalan di atas menyebabkan kumpulan yang prejudis terhadap blogs, blogging dan bloggers gagal menggunakan blogs sebagai satu daripada media penting dalam soal-soal negara dan kenegaraan.

Dalam konteks politik, sikap negatif ini menyebabkan sesetengah parti politik jadi pihak yang paling ketinggalan dalam memanfaatkan blogs sebagai satu cara mengukuhkan parti, baik dari segi proses memenangi jiwa dan sokongan generasi muda, mahu pun dalam konteks melicinkan pengurusan politik hingga ke akar umbi.

UiTM

Oleh itu, saya cadangkan kepada UiTM supaya membuat satu kajian terperinci mengenai blogs, blogging dan bloggers di seluruh dunia, termasuk Malaysia, dan serahkan hasil kajian itu kepada pihak pemerintah negera ini, khususnya agensi yang bertanggungjawab memantau pendapat umum terhadap sesuatu kenyataan, dasar serta tindakan pemerintah.

Pada waktu yang sama, seluruh agensi yang bertanggungjawab terhadap ICT wajarlah mengadakan siri perbincangan menyeluruh dengan seluruh bloggers tempatan untuk membincangkan aspek etika blogs, blogging dan bloggers tempatan. Etika seperti ini pastinya membantu ke arah kewujudan dunia blogs, blogging dan bloggers Malaysia yang lebih sejahtera di hari muka.

UiTM wajar mempelopori usaha di atas kerana universiti ini mempunyai Sekolah Kewartawanan yang tertua di negara ini. Saya optimis usaha ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada pemerintah malahan akan meneroka lain-lain bidang berkaitan dengan blogs, blogging dan bloggers yang boleh dikomersilkan di hari muka.

Saya mempunyai banyak idea mengenai soal ini. Tetapi, ianya hanya akan saya artikulasikan pada forum yang sewajarnya. [Nota: posting di atas adalah sebahagian daripada kandungan buku terbaru saya yang sedang dalam proses penyediaannya berjodol Bloggers Kawan Atau Lawan. Insya Allah, buku akan menemui anda semua pertengahan Jun 2008.] - telah dikirimkan kepada akhbar Sinar Harian

4 comments:

mn said...

A.kum Datuk,

1. Datuk Chamil Wiraya boleh goyang kaki, sebab Datuk Ruhanie dah beri penjelasan panjang lebar.

2. Anyway, nanti Datuk kena ingat sebab masa yang diberi termasuk iklan cuma 20 minit saja.

3. Jika Datuk hurai panjang sangat sesuatu topik, takut nanti tiba-tiba muncul orang main gitar..'Rancangan Rentak Juara' jam 09.00 hingga 10.30!

http://www.penyokong-kj.blogspot.com

Tech Sr. said...

Salam KK,

Pelbagai orang, pelbagai cita rasanya yang dimuatkan dalam blog masing-masing.

Bagi saya, saya gunakan blog untuk mendapatkan wang. Saya menyifatkan blog saya sebagai sebuah majallah atau akhbar. Saya mempunyai sekian-sekian ramai pengunjung (pembaca). Mana-mana syarikat yang ingin meletakkan iklan dalam blog saya akan dikenakan kadar bayaran tertentu sama seperti yang dilakukan oleh majalah atau akhbar.

Disitu saya dapat meraih sedikit pendapatan selain saya dapat meluahkan daya kreativiti, intelektuil dan keupayaan saya untuk tatapan semua.

Bagi blogger yang lebih advance, mereka mampu menjana beribu-ribu RM sebulan daripada blog mereka.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut aktiviti blogger seperti saya ini, sila lawati forum Forum Wangcyber

A Voice said...

Program Blog ini ridiculous. Dalam 20 minit apa yang boleh diperkatakan.

Buat setakat ini, program ini cetek. Hanya bercakap mengenai blog.

Kalau ada program TV temuramah seorang penulis dan karyanya, mereka ditanya mengenai karyanya dan lifenya.

Saya tak nampak ada usaha untuk memahami tulisan-tulisan penulis2 blog ini.

Selalunya, penemuramah ada agenda tertentu dan mereka sering cepat memotong yang ditemuramah sedang bercakap jika apa yang dihajat tidak mengikuti.

Penemuramah pun nampaknya tidak buat homework mengenai blog juru blog yang ditemuramah. Soalan mereka menjadi agak generic.

Saya lihat keterbukaan dan promosi blog yang dilakukan sekarang bertujuan untuk dilute blog2 yang ada.

Disamping itu, semacam usaha untuk discredit blog secara subtle. Medan blogger adalah penulisan di Internet tetapi kenapa dibawa ke media TV? Apa salahnya di suratkhabar?

Bloger tidak ada censorship tetapi bila dimedia TV yang bercensor, semestinya mereka tidak sebaik.

luaskanmata said...

Amww:

Datuk, antara pendorong saya menulis blog bilamana saya tertarik untuk sama-sama menyertai perbincangan dalam blog ini. Keadaan tersebut seterusnya membuka minat saya untuk menulis dalam blog sendiri.

Menjadi harapan saya untuk sedikit sebanyak pandangan dan pengalaman yang ada dapat dikongsi untuk manfaat bersama.

Selamat berjuang,...