Wednesday, May 07, 2008

Suara Muhyiddin (3)
RASA TIDAK SENANG HATI
KEPADA KEPIMPINAN PARTI

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, reda dituduh oleh sesetengah pihak sebagai tidak bijaksana semata-mata kerana beliau memilih untuk berterus terang dalam usahanya membicarakan soal kemelut Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam era pasca PRU12. Muhyiddin reda menerima tuduhan itu kerana kepadanya, soal agama, negara dan bangsa adalah lebih penting daripada lain-lainnya pada saat dan ketika ini.

Sebab itu, kini saya sambung semula siri Suara Muhyiddin yang dipetik daripada wawancara beliau dengan Mingguan Malaysia 13 April 2008. Dalam siri kedua, Muhyiddin telah mencadangkan bahawa satu post-mortem perlu dilaksanakan “secara bebas supaya tidak ada pihak yang mengubah suainya untuk kepentingan sesiapa.”

Kali ini, Muhyiddin pula berbicara mengenai perasaan tidak senang hati rakyat jelata yang disampaikan kepada beliau terhadap pucuk kepimpinan parti. Kenyataan penuh beliau adalah seperti berikut:

MINGGUAN: Apakah pembentukan semula ini turut menuntut supaya kepimpinan parti juga perlu berubah seperti mana didesak oleh banyak pihak?

MUHYIDDIN: Saya lihat dengan jelas perasaan tidak senang hati terhadap kepimpinan parti. Saya sebut ini bukan saya cakap tetapi berdasarkan kepada maklumat yang dikumpul. Dalam percakapan mereka yang dilakukan secara terbuka dan ikhlas tanpa 'digagahi' oleh mana-mana pihak, satu perkara pokok yang disebut ialah soal kepimpinan. Di luar parti pun ada yang bercakap perkara yang sama, dikaitkan dengan masalah keluarga dan sistem yang diamalkan.

Peralihan Kuasa

Justeru saya bimbang jika tidak ada satu perubahan berlaku seperti mana yang bukan sahaja dituntut oleh UMNO tetapi orang luar UMNO, rakyat akan terus tolak BN dan UMNO. Oleh itu, ahli parti harus fikir secara matang, Perdana Menteri sudah buat kenyataan. Pertama, beliau akan pergi bila sampai waktunya. Kedua, beliau menyebut Datuk Seri Najib bakal penggantinya. Ketiga, beliau kata, ''beri saya sedikit masa untuk perbetulkan parti sebelum saya menyerahkan parti kepada pengganti saya.''

Ramai berkata, itu bagus dan jelas dari segi pelan peralihan kuasa tetapi mereka juga bertanya, bila?

Saya fikir ada satu perasaan membuak-buak di peringkat bawah iaitu perasaan tidak puas hati yang ketara. Oleh itu saya berpendapat, kalau tidak berlaku perubahan dalam UMNO maka banyak perkara tidak baik akan terjadi. Justeru saya takut jika saya tidak bercakap dengan benar, ia akhirnya boleh membawa bencana kepada orang Melayu dan UMNO.

Sebab itu saya perlu bersuara walaupun tidak lantang tetapi tegas dan jelas kerana apabila saya bercakap ini, saya tidak melihat (membayangkan) muka sesiapa, sama ada muka Pak Lah, Najib, Muhyiddin atau Mat Taib atau mana-mana pemimpin UMNO. Apa yang saya bimbang ialah UMNO dan orang Melayu akan kalah. Saya benar-benar takut kalau saya tidak mengatakan yang hak (benar) walaupun yang hak itu adalah pahit maka UMNO boleh terjerumus ke dalam keadaan lebih teruk.

Bukan setakat terjerumus tetapi disebabkan UMNO tidak lagi unggul maka UMNO akan hilang kuasa. Saya bertemu ramai tokoh, mereka berkata kalau tidak berlaku apa-apa perubahan, kita akan kalah lebih teruk.

Sebab itu saya rasa bertanggungjawab untuk bersuara walaupun mungkin ada pihak yang membaca kenyataan saya ini, ia satu yang mungkin agak luar biasa tetapi akhirnya saya harus menyatakan perkara yang benar. Tetapi saya menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan untuk memikirkan bagaimana caranya (peralihan dilakukan).

Semangat Baru

MINGGUAN: Mungkin sesetengah menganggap kenapa perlu UMNO melakukan perubahan kerana turun naik adalah adat dalam pilihan raya.

MUHYIDDIN: Jangan anggap situasi sekarang adalah biasa, mungkin kita dibuai oleh lagu-lagu lama seperti dondang sayang dan rentak-rentak Mawi, maka kita lupa sedangkan situasi sekarang agak berbeza. Apa yang terjadi sekarang adalah luar biasa, kita tidak boleh memperkecilkan gerakan parti pembangkang. Mereka mendapat semangat baru, mereka boleh tumbangkan kerajaan BN, sudah ada Pakatan Rakyat diwujudkan.

Saya pernah sebut PKR hanya ada nafas ikan, saya salah. Banyak pihak kepimpinan kita pun membuat tafsiran salah. Mereka bukan sahaja ada nafas baru malahan kekuatan baru. Jadi kita harus fikir secara drastik untuk mencari formula terbaik untuk selesaikan masalah ini. Dalam soal ini kita ambil pendekatan berhemah. Kalau tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, itu peribahasa yang cukup tepat dalam situasi sekarang.

Persoalannya, modus operandi dan caranya bagaimana? Ia lebih terletak di atas bahu Presiden parti. Kami dalam barisan kepimpinan yang lain bersedia memikul amanah besar, bukan untuk diri saya atau Datuk Seri Najib atau sesiapa tetapi untuk orang Melayu. Dalam situasi ini semua orang harus berfikir mengenai kepentingan parti, bukannya nasib mana-mana individu.

Sekarang adalah waktu kita bersemuka dengan fakta sebenar dan menyatakan kebenaran, kalau tidak bencana lebih besar boleh menimpa kita.

[Siri 4 akan menyusul sehari dua lagi.] – Ruhanie Ahmad

11 comments:

Berita dari gunung said...

Malaysia selama 22 tahun biasa dan maklum dengan stail era Mahathir, dari segi pemikiran, fokus dan tindakan.

Kini era Abdullah pula. Ramai yang takut dengan era ini. Takut dengan ketidaktentuan. Terlalu takut dengan hilangnya keberkesanan formula BN yang multiracial. Rakyat melihat ada semacam curiga yang tebal antara parti komponen.

Pemimpin UMNO tanpa segan silu menghentam pemimpin komponen parti yang lain. Hentam tak kisah sangat sebab itu mainan politik. Tapi rakyat tak dapat kesan usaha berdamai.

Oleh demikian siapa mahu percaya dengan formula BN lagi?

Muhyiddin bukannya bercakap tentang perkara yang bukan-bukan. BN bukan harap pengundi UMNO sahaja. BN untuk menang harapkan undi dari ahli UMNO, MCA, MIC dan yang lain-lain. BN untuk menang harapkan sokongan rakyat Malaysia.

Kini ramai orang sangsi, dengan kewibaan kepimpinan. Terlalu banyak insiden yang membina persepsi demikian. Media perdana telah memaparkan semuanya.

Bung Karno said...

YB Datuk,

Saya minta izin untuk muatkan keratan berita dalam Malay Mail 6May 2008.

Di bawah tajuk "Ruckus over rising Rulers" ada keratan ini :

At a Press conference, Karpal argued that the palace cannot order the State government to reinstate him and that Nizar was at fault for bowing to pressure.

He said a "disturbing" trend of Rulers interfering in State government business is emerging and cited the recent crisis in Perlis and Trengganu over the appointment of the Mentris Besar, and now in Perak.

" In Selangor too, the pressure is building up, " he said, blaming the weak Federal government as the main reason why rulers are emboldened to "interfere" in executive matters.

"During Mahathir's (former PM Tun Dr Mahathir Mohamad) time, there was no such interference because he would not allow it. In fact, he curbed their powers and removed their immunity.

"The Prime Minister (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) is weak and so the Rulers are cashing in," Karpal said.

Saya macam tak percaya laporan MM ni.

Walaupun benci, tapi Karpal Singh rindu dengan Tun Mahathir !!!!
Dia setuju dg Tun bahawa weak Federal Govt is no good for the country.
MB Perak ni jadi budak belasahan Karpal je.
Paklah ni lemahhhhhhh patut diganti
Tapi Karpal ni dah lawan raja !!!!!

wira said...

YB Datuk.

Saya setuju dengan ulasan YB Tan Sri bahawa UMNO perlu sedar dan berhijrah.

Pemimpinnya perlu muhasabah diri mereka kerana tanda-tanda kearah tidak relevan jelas terbukti dan akan dibuktikan oleh rakyat di PRU13 jika UMNO tidak dibawa kearus yang diterima oleh rakyat yang memilih kepada perubahan.

Kamalkamal said...

Datuk,

Selepas tsunami politik melanda negara, ramai pemimpin yang bersuara. Yang jelas hanya bebarapa kerat sahaja yang benar-benar berani dan telus. Pelbagai formula cuba dicetuskan hasil bedah siasat yang dijalankan.

Namun apa yang dikesalkan masih belum ada tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh para pemimpin tertinggi UMNO untuk menyakinkan ahli UMNO peringkat akar umbi dan rakyat bahawa UMNO benar-benar releven dalam menyatukan orang Melayu menghadapi tsunami politik masakini.

Warga Melayu seolah-olah tidak lagi berkeyakinan bahawa kepimpinan tertinggi UMNO mampu mengubah tatacara kehidupan mereka dalam mendekati ahli dan rakyat secara bersepadu. Pernahkah ketika ini kita lihat ada pemimpin tertinggi UMNO turun padang berjumpa ahli-ahli peringkat akar umbi. Kalau ada pun perjumpaan diadakan dengan pemimpin peringkat bahagian, itupun terhad. Untuk makluman, ramai pemimpin peringkat bahagian yang ada pada masa ini, memenangi jawatan diperingkat bahagian adalah kerana politik wang bukannya kerana ketokohan dan kewibawaan mereka. Sekiranya perkara ini masih juga tidak berubah, maka amat sukar untuk UMNO bertahan lebih lama lagi dibumi Malaysia ini.

Unknown said...

Bukan senang untuk menjadi pemimpin2 negara. Bagi orang biasa seperti kita mungkin lebih senang memberi komen dan menjadi kritikal kepada semua benda salah yang dilakukan. Tapi itulah gunanya memberi kritikan membina, tapi kalau majoriti orang di luar sana yang lebih suka menjatuhkan antara satu sama lain, memang tak boleh nak buat apa.

Bila betul muka2 baru cuba memerintah negara (mungkin dari parti selain BN), barulah meereka sendiri tahu betapa sukar dan kompleksnya proses itu.

Mana tau, mereka pun boleh berjangkit sikap pemimpin2 umno yang kita sangat suka hentam sekarang ini.

Unknown said...

Datuk,

Perasaan tidak senang hati rakyat kepada pemimpin besar negara kita seperti ditegaskan oleh Muhyiddin bukan hanya persepsi. Ia adalah kebenaran. Keputusan PRU12 adalah bukti yang amat nyata dan bukti yang tidak boleh didakwa-dakwi oleh sesiapa.

Jangan perkecilkan kebangkitan suara akar umbi ini. Kalau Abdullah tidak mahu iktiraf suara rakyat, biarkan beliau seorang diri. Kalau Najib hendak sama-sama dengan Abdullah, biarkanlah beliau buat begitu.

Tapi, apa yang Muhyiddin buat adalah yang betul dan wajar disokong. Beliau tidak mahu situasi sekarang jadi tambah buruk. Sebab itu beliau ambil risiko dan seolah-olah bertindak seorang diri untuk berusaha memberikan kepimpinan dalam perjuangan menyelamatkan agama, bangsa dan tanahair yang dilanda musibah.

Ikut kata orang tua-tua, ujian bagi seseorang pemimpin adalah bila berhadapan dengan krisis dan juga bahaya. Kalau pemimpin itu pintar meleraikan krisis dan berani meredah bahaya, beliau wajar disokong. Pemimpin macam ini adalah trouble-shooter yang tajam mindanya dan jauh pandangannya.

Saya desak ramai lagi pemimpin UMNO semua peringkat mendukung perjuangan yang dipelopori Muhyiddin. Ini bukan pembelotan kepada Abdullah atau Najib. Ini adalah tuntutan agama, negara dan bangsa yang mesti dilakukan kalau masa depan kita semua mahu terus dijamin dan dipertahankan. Kalau tidak, kita tunggu dan lihat sahaja, secepat mana keseluruhannya akan hancur berkecai dan kita semua jadi mangsanya.

Saya harap Muhyiddin teruskan usahanya. Jangan pedulikan suara-suara sokong bawa rebah. Suara-suara itu cuma suara segelintir pihak yang berjuang untuk diri bukan untuk rakyat jelata. Apa yang diperlukan hari adalah suara yang menggerak dan membangkitkan perjuangan secara segera dan berkesan.

Biarlah orang kata Muhyiddin seperti lilin membakar diri. Tidak mengapa. Yang penting, cahaya lilin itu sangat-sangat diperlukan pada masa ini. Mudah-mudahan lilin yang sebatang kara itu akan disertai oleh banyak lagi sinar perjuangan daripada akar umbi demi menyelamatkan kita semua dari musibah di masa depan.

teman said...

YB Datuk,

Salam perkenalan. Saya memang berharap ramai lagi pemimpin kita yang berani melontarkan pandangan ikhlas masing-masing seperti YB Tan Sri.

Unknown said...

Muhyiddin boleh disifatkan seperti Hang Nadim dalam legenda Singapura dilanggar todak. Bezanya, Muhyiddin bukan kanak-kanak. Bezanya, beliau adalah insan yang sudah diuji dan teruji. Waktu jadi Menteri Besar Johor, Muhyiddin adalah pemimpin negeri yang sangat kerap dilanda badai siasah.

Mula-mula episod Shahril Samad tanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil Parlimen Johor Bahru. Waktu itu, UMNO baru dihidupkan semula setelah diharamkan oleh Mahkamah. UMNO dan BN tewas dalam episod itu.

Keduanya, pilihan raya kecil DUN Parit Raja dalam Parlimen Seri Gading di Batu Pahat. Ketika itu, Muhyiddin sangat-sangat tercabar untuk menebus kekalahan BN di Johor Bahru. Beliau bekerja berhempas-pulas, tak kenal penat, tak kenal lelah. Alhamdulillah, BN menang di Parit Raja.

Sesudah itu, pilihan raya kecil DUN Tambatan dalam Parlimen Pulai di Johor Bahru. Sekali lagi, UMNO dan BN dilanda tentangan hebat dari pembangkang yang rata-ratanya warga UMNO yang enggan mengiktiraf UMNO baru. Alhamdulillah, UMNO dan BN beroleh kemenangan lagi. Ini bermakna muruah UMNO dan BN sudah ditebus.

Sesudah itu, Muhyiddin memikirkan cara terbaik untuk menyatupadukan semula Melayu Johor. Maka beliau dan sahabat-sahabatnya, termasuk Ghani Othman, pun menganjurkan Perhimpunan Melayu Johor.

Muhyiddin tidak menonjolkan diri dalam hal ini. Tetapi beliau menerima sokongan padu dari warga Johor semua peringkat, termasuk Tun Hussein Onn, Tan Sri Abdul Jalil Hassan, Datuk Lokman Musa, Datuk Othman Awang dan lain-lainnya.

Perpaduan Melayu Johor pun dipulihkan. Pemulihan itu merintis jalan pulang kepada pihak siasah Johor yang menggelarkan dirinya sebagai “golongan bebas.” Maka Tun Musa Hitam, Shahrir Samad dan lain-lainnya pun kembali ke pangkuan UMNO. Siasah Johor pun kembali tenang dan damai.

Sewaktu krisis perlembagaan, Muhyiddin sekali lagi dilanda badai. Tapi, beliau gunakan kebijaksanaannya sewaktu berurusan dengan DYMM Sultan Johor. Dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan dan dengan pengabdian totalnya kepada Allah SWT, badai dan gelora kembali reda. Hubungan rakyat dan istana pun pulih seperti sediakala.

Saya catatkan kisah Muhyiddin di sini bukan untuk memuji beliau. Tetapi untuk berikan mesej kepada pihak yang sinis terhadap kemampuan Muhyiddin menjinakkan gelora dan menongkah badai seperti pada waktu ini. Pihak-pihak yang membidas dan memperlekehkan Muhyiddin sekarang adalah pihak buta sejarah.

Warga Johor tahu hati budi Muhyiddin. Warga Johor juga menghargai bakti beliau diwaktu-waktu krisis seperti di atas. Saya yakin ramai warga perjuangan di seluruh Malaysia turut menginsafi rekod Muhyiddin dalam konteks ini.

Saya harap, Abdullah dan Najib berilah Muhyiddin restu dan mandat rasmi supaya beliau bergerak dengan lebih berkesan dan gigih dalam misi menyelamatkan agama, negara dan bangsa pada ketika ini.

jojo51 said...

Menyatakan perkara yang benar memang menyakitkan. Namun jika dipendam sekadar untuk menghiburkan pemimpin tertinggi akan merosakkan negara dalam tempoh masa yang panjang. Saya percaya apa yanag disuarakan oleh Tan Sri Muhyiddin adalah ikhlas untuk menyelamatkan UMNO. Supaya UMNO tetap relevan serta disayangi oleh orang-orang Melayu.

Tidak susah untuk mengetahui samada seseorang itu pemimpin yang lemah/lesu atau yang berwibawa. Pemimpin yang lemah boleh berpura-pura bijak tetapi akhirnya akan juga terbongkar.

Pak Lah sebenarnya lebih sayang kepada dirinya daripada UMNO. UMNO boleh hidup dan menjadi kuat semula tanpa Pak Lah tetapi Pak Lah tak boleh "survive" tanpa UMNO. Tetapi orang-orang sekelilingnya memberi gambaran palsu bahawa UMNO lebih memerlukan Pak Lah. Seolah-olah jika Pak Lah melepaskan jawatannya sekarang UMNO akan hancur atau pun menjadi porak peranda.

Saya berharap Tan Sri Muhyiddin akan terus berani memberi pandangan yang mencerminkan perasaan dan kehendak ahli dan pemimpin akar umbi.

LazerJuan said...

Saya masih ingat lagi semasa menjadi menteri besar johor, muhyiddin amat tidak disenangi...tohmahan seperti menjual tanah melayu, pembangunan pantai Lido, selling JB to the non-bumis sebagainya?

Tak tahu benar atau tidak kerana saya terlalu muda pada masa itu.

Yang peliknya, macam mana segala allegations itu sudah tidak disebut lagi? Did time heal everything or orang kita ni mudah memaafkan segala kesilapan lalu?

wallahualam....yang pernah dibenci kini di anggap penyelamat.

Unknown said...

askum dato,

saya amat sokong kata2 YB Tan Sri kerana kberanian utk membuka mata para pemimpin yang hanya pandai berkata2 tapi takut nk memberi padangan dari apa yang akar ubi maukan, diharap pak lah dgr lah apa yang di luahkan oleh akar ubi UMNO