Tuesday, May 20, 2008

ABDULLAH PERLU JUJUR KEPADA UMNO

Ruhanie Ahmad

Sempena harijadi UMNO ke-62 tahun baru-baru ini, saya katakan bahawa UMNO adalah dalam keadaan darurat. Maksudnya, UMNO berhadapan dengan ancaman dan bahaya. UMNO juga boleh hancur dan hilang status induknya dalam Barisan Nasional (BN).

Antara ancaman dan bahaya yang dihadapi UMNO mutakhir ini, khususnya dalam era pasca PRU 12, adalah seperti berikut:

Satu: Kepura-puraan di kalangan sesetengah pemimpin tertingginya. Bila PRU 12 memberikan mesej kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengosongkan kerusi Pengerusi BN, Presiden UMNO dan Perdana Menteri, segolongan pemimpin UMNO dan BN tergamak memberikan sokongan kepada Abdullah.

Kelompok ini langsung tidak insaf bahawa mereka sebenarnya telah mengkhianati mandat rakyat yang menjadikan mereka pemimpin dan mandat rakyat yang mahukan Abdullah mengundurkan diri di era pasca PRU 12. Mereka hanya bertindak demi kepentingan dirinya.

Dua: Sindrom penafian oleh presidennya. Mulai 2006, Abdullah sentiasa dibelenggu sindrom penafian. Ini menyebabkan beliau seolah-olah berada di awang-awangan dan tidak berpijak kepada realiti. Apa sahaja yang disuarakan demi agama, bangsa dan tanahair disifatkan oleh Abdullah sebagai fitnah atau usaha mengganggu-gugat kepimpinannya.

Hakikat ini telah menghakis keyakinan segolongan rakyat, termasuk ahli UMNO dan penyokong UMNO, kepada BN, UMNO dan kerajaan. Namun begitu, Abdullah tetap tidak sensitif dan tidak prihatin. Akibatnya, kekecewaan rakyat mendorong mereka sama ada tidak keluar mengundi, memberikan undi rosak, atau menyokong parti lawan dalam PRU 12.

Sebagai blogger, saya mengesan hakikat ini sejak akhir 2006. Saya juga mempunyai ratusan komen yang menjurus kepada penyingkirkan BN menerusi PRU 12, bukan kerana pengundi tidak sayangkan BN, tetapi kerana mereka amat kecewa dengan Abdullah. Sebab itulah posting blog saya pada awal 2007 ialah mengenai soal bagaimanakah jika wujud tsunami politik dalam PRU 12?

Pertanyaan saya terjawab. Tsunami politik memang melanda kepimpinan Abdullah menerusi PRU 12. Sebab itulah BN kehilangan kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Sebab itu juga BN gagal menawan semula Kelantan dan hanya memperolehi majoriti tipis di Parlimen Malaysia.

Tiga: Krisis kepimpinan yang kian meruncing. Sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Abdullah atas kepentingan agama, bangsa dan tanahair - khususnya dari sudut memelihara maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara - mulai 2006, Malaysia sebenarnya melalui satu fasa krisis kepimpinan yang serius.

Berikutan PRU 12, krisis ini kian meruncing. Tetapi, Abdullah seolah-olah tidak mahu mengiktiraf hakikat ini. Beliau juga terus yakin bahawa UMNO masih kukuh, UMNO di kampung-kampung terus jadi tunjang kekuatan parti, dan UMNO pula tidak perlu dipost-mortemkan sesudah PRU 12.

Empat: Soal pengganti Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Baru-baru ini Abdullah mendakwa, beliau akan menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi, tempohnya tidak dinyatakan. Pada waktu yang sama, Abdullah pula berkata, beliau akan mempertahankan kerusi Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember 2008 ini?

Najib yang dijangka mengambilalih tampuk kekuasaan daripada Abdullah juga seolah-olah membisu terhadap masalah yang melanda UMNO pasca PRU 12. Ini menyebabkan segolongan ahli UMNO tertanya-tanya.

Bila Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan supaya diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), Razaleigh pula jadi bahan kecaman dan cemuhan.

Tatkala Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengeluarkan kenyataan supaya UMNO dipost-mortemkan oleh pihak yang berkecuali, Muhyiddin pula dikecam dan diperlekehkan.

Akibatnya, ahli-ahli UMNO terus berada dalam dilemma dan masalah UMNO pasca PRU 12 juga belum ditangani secara berkesan dan menyeluruh. Dalam keadaan begini, salahkah jika ada ahli-ahli UMNO berani bersuara lantang dan mengkritik Abdullah? Salahkah jika mereka juga mendesak Abdullah berhenti serta merta?

Lima: Kehancuran parti dalam tempoh terdekat jika Abdullah tidak mengundurkan diri selaku Pengerusi BN, Presiden UMNO dan Perdana Menteri dengan serta merta. Hakikat ini jelas di depan mata. Perkembangan mutakhir yang membabitkan Mahathir, jika tidak ditangani secara positif oleh kepimpinan tertinggi UMNO, pasti akan menyebabkan lebih ramai ahli UMNO keluar daripada parti.

Ada pula segelintir insan UMNO mentafsirkan tindakan Mahathir sebagai “duri terkeluar daripada daging.” Ini seolah-olah bermakna bahawa selama ini, segala kenyataan dan kritikan Mahathir selaku negarawan ulung, terhadap UMNO dan Abdullah, adalah umpama “duri” yang menyebabkan situasi yang tidak selesa.

Pokoknya, wajar diakui oleh semua pihak, bahawa ikut persepsi rakyat jelata, “duri dalam daging” dalam konteks UMNO mutakhir, adalah Abdullah, bukannya Mahathir. Kalau ada pihak beranggapan sebaliknya, ia hanya akan jadi suara yang membawa rebah.

Pendek kata, apa yang berlaku mutakhir ini adalah bunga-bunga perpecahan yang parah. Ini boleh menghancurkan UMNO. Ubat kepada kemungkinan terjadinya kehancuran ini ialah: Abdullah terpaksa mengundurkan diri dengan segera.

Maka, jika seluruh hipotesis yang pesimis seperti di atas jadi kenyataan, pastinya UMNO tidak lagi jadi induk BN dan tidak lagi jadi tunggak kepada pemerintahan negara. Siapakah bertanggungjawab jika ini jadi kenyataan? Ahli-ahli UMNO? Segolongan pemimpin UMNO yang berpura-pura? Mahathir? Atau Abdullah?

Kini, Mahathir, anggota UMNO seumur hidup dengan nombor keahlian 000000001, sudah keluar daripada parti. Tindakan ini adalah untuk menyanggah Abdullah yang terus berada di persada kepimpinan walaupun sudah tidak lagi menikmati keyakinan majoriti rakyat dan segolongan ahli UMNO.

Mahathir pasti mempunyai “wisdom”nya tersendiri untuk bertindak sedemikian. Bagaimanapun, saya pasti tindakan itu adalah untuk mendorong ahli-ahli supaya berani mengambil risiko, berani bersuara dan berani bertindak sewajarnya.

Abdullah memang boleh memberikan apa sahaja reaksi kepada tindakan Mahathir. Umpamanya, dalam televisyen, Abdullah berkata, “why should I (resign). I have work to do” atau “mengapa perlu saya mengundurkan diri? Saya ada tugas untuk dilaksakan.”

Bagaimanapun, Abdullah wajar insaf bahawa kehadiran beliau sebagai Pengerusi BN, Presiden UMNO dan Perdana Menteri sudah tidak lagi menikmati keyakinan rakyat jelata. Jadi, kalaulah ada “tugas” yang perlu beliau dilaksanakan, “tugas” itu adalah meletakkan jawatan!

Abdullah juga berkata bahawa ahli-ahli UMNO tidak akan meninggalkan parti kerana mereka cintakan parti. Hakikat ini benar. Tetapi, apakah cara terbaik untuk membuktikan cinta, kasih dan sayang kepada parti bila pucuk pimpinan parti itu sendiri nampaknya tidak lagi cinta, kasih dan sayang kepada parti yang sama?

Jika pucuk pimpinan tertingi parti benar-benar cinta, kasih dan sayang kepada UMNO, pastinya Abdullah insaf bahawa UMNO mesti diselamatkan dan diperkasakan menerusi perletakan jawatan beliau atas semua kapasiti dengan serta merta.

Kalau Abdulah tidak bertindak selaras dengan kehendak rakyat jelata, ini bermakna kata-kata beliau menenai cinta, kasih dan sayang kepada UMNO hanya retorika kosong semata-mata.

Hakikatnya demikian kerana atas rasa cinta, kasih dan sayang kepada agama, bangsa dan tanahairlah maka keputusan PRU 12 dijadikan mesej utama menuntut Abdullah keluar daripada persada kekuasan tanahair.

Dan, atas rasa cinta, kasih dan sayang terhadap UMNOlah maka Mahathir sanggup keluar dari parti yang dianggotainya sejak 1946 dan dipimpinnya selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003.

Oleh itu, Abdullah perlu ikhlas kepada UMNO dan dirinya sendiri. Akuilah bahawa diri beliau adalah punca kepada apa yang sedang melanda UMNO mutakhir ini. Lantas, jangan berasa selesa kerana kemarahan anggota parti di peringkat akar umbi terhadap beliau memang sedang menggelegak dan menyemarak. Bertindaklah secara gentleman seperti apa yang dilakukan oleh beberapa pemimpin besar UMNO yang dilanda krisis sebelum ini. – Telah dikirimkan kepada akhbar Sinar Harian

26 comments:

amieaziz said...

Seruan kepada orang Melayu jangan tergoda oleh ungkapan Musa Hitam yang sebenarnya duri ialah Pak lah sendiri

Berita dari gunung said...

Tak dapat tidak, ingatan terhadap Tun Mahathir bersilih ganti antara peristiwa beliau mengumumkan perletakan jawatan dalam Perhimpunan Agong UMNO dengan pengumuman beliau berhenti dari UMNO.

Waktu dalam perhimpunan, pengumuman Tun jadikan dewan tergamam. Ramai yang menangis. Ada yang berkata "but why?". Dalam kekecohan itu, Abdullah mengambil mikrofon dan menjerit "kami tidak mahu presiden berhenti, kami mahu presiden teruskan" (lebih kurang).

Saya melihat gelagat Abdullah ketika itu dengan rasa risau. Risau kerana Abdullah tidak menepati citarasa dan persepsi saya dengan apa yang dimaksudkan kepimpinan unggul, kekuatan mental dan kewarasan.

Kali ini adalah pengumuman Tun berhenti dari UMNO. Abdullah masih juga begitu, kewarasan kepimpinan jauh tersasar.

Dalam banyak-banyak hal yang sering disebut tentang kelemahan kepimpinan sekarang saya pilih dua;

PERTAMA: Kegagalan Abdullah memahami "sovereignty".

KEDUA: Kegagalan Abdullah memimpin BN dan memelihara sensitiviti komponen parti.

Tidak terlalu lewat untuk Abdullah berundur sekarang. Masalahnya ramai yang mahu Abdullah kekal kerana kepentingan peribadi termasuk PEMBANGKANG!. Pembangkang pula sudah berkira-kira timing yang sesuai bagi melompat untuk the final kill.

NFH said...

Salam Datuk,

Tahniah dengan posting bernas ini. Are u joining the call?

Let us all be a true Malays and a gentlemen

LazerJuan said...

Datuk,

You speak better than your old boss, Tun Musa Hitam. Your Thoughts are clearer, and you display true elegance by standing up and speaking your mind without sounding too emotional or judge mental. Siapa kata orang umno with guts dah pupus!! tapi malangnya Datuk, you don't hold a senior post in a now ailing party. Is it too late?....

Brahim Nyior said...

Saya keliru dengan tindakan Tun, tapi saya yakin Tun ada alasan yang tersendiri.
UMNO akan makin parah, kerana PM sendiri tidak peduli dengan mesej dan signal daripada Tun.
Apa lagi yang boleh dharap pada MT, kerana semuanya Pak Angguk yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

SAM said...

Salam,
Pemimpim tertinggi umno ni kalau letak jawatan ketika masih bernyawa, alamatnya jadi macam Allahyarham Tunku Rahman atau Tun Mahathir, dicemuh sehingga langsung tidak dikenang. Kata-kata nasihat mereka diibaratkan duri. Tidak ada rasa hormat seolah-olah they are nobody. Kesian. Tapi itu lah hakikatnya yang terjadi. Pengalaman ini dipegang oleh Pak Lah, Kalau berhenti alamat kena cemuh, semestinya lagi teruk kerana dia telah melakukan pelbagai kerosakan. Jadinya jangan terkejut kalau dipertahankan jawatannya sehingga akhir hayatnya. Cuma ahli Umno yang boleh bertindak merungkaikan masalah ini jika mahu MELAYU dan MALAYSIA terbela !

mat_terab said...

assalamualaikum...
Doto saya sangat kagumi Tun Dr Mahadir...
tindakan tun keluar parti adalah jalan yang terakhir bagi orang yang tidak mempunyai kuasa lagi macam tun dan ahli umno bawahan...
Kalau dulu semasa Tun ada kuasa semua orang puja dia termasuk Pak lah.. kini bila tun tak lagi mempunyai kuasa semua orang cerca dia dan tidak mahu dengar pandangan dia...jadi jalan terbaik ialah keluar umno kalau tun yang kita anggap sebagai bapa anak-anak tidak mahu lagi dengar nasihat bapa lantaran bapa telah tua dan tak kuat lagi..Umno di ibaratkan rumah pusaka yang mana Tun terpaksa keluar dari rumah pusaka kerana anak-anak telah membuang nya tak ambik endahnya tidak mendengar pandangannya..
Tindakan keluar rumah pusaka ini adalah untuk menyedarkan anak-anak yang lain iaitu pemimpin atasan umno....
Kita sebagai anak-anak yang taat kepada bapa haruslah mengikuti jejak langkah bapa keluar daripada umno termasuk doto sendiri..
kita pakat ramai-ramai hantar surat keluar umno kepada Pak Lah supaya Pak Lah letak jawatan...
Kalau kita lihat saja bapa kita Tun sorang-sorang keluar umno ia tadak memberi bekas kepada pak lah jadi marilah kita sama-sama dengan beliau....terutamanya Dota yang kuat pengaruh..
Maka saya ahli Umno bahagian sungai petani dengan ini mengistiharkan keluar parti serta merta...
surat keluar parti akan menyusul...

mie said...

Salam Datuk,

Pada pandangan saya Abdullah ada agenda tersembunyi. Bukan apa, sampai sekarang Abdullah masih bersikap angkuh dengan kata-kata beliau.

Dapat kita lihat semua PM yang sebelum ini mempunyai era masing-masing. Jika Abdullah letak jawatan, era apakah yang sesuai dengan beliau?

Tai said...

Sesungguhnya Pak Lah masih tidak mahu insaf dan sedar di atas apa yang sedang berlaku.

Sesungguhnya TDM punya cara untuk menangani issue ini dan tindakan beliau keluar Umno adalah salah satu cara untuk memaksa Pak lah meletakkan jawatan. Teruskan usaha anda TDM!

Unknown said...

apa dah jadi? Saya bukan ahli mana2 parti. Selama ini saya memangkah BN di dalam setiap pilihanraya. Cuma di PRU12, campur2 sebab tak tahan dengan kenaikkan harga barang dan terpengaruh dengan apa yang ditulis di laman2 blog.
Apa yang saya baca, dengar,lihat dan alami.
Baca, dengar dan lihat:
1. Sistem pengesahan Halal di monopoli oleh keluarga PM.
2. Wang royalti petroleum trengganu di monopoli oleh khairy dan kroni (idris).
3. Projek kenderaan awam di monopoli oleh scomi.
Alami;
1. Master Builder tak bayar saya lebih 20 ribu upah kerja pemasangan bas rapid KL sebab saya di beritahu mereka tak dapat sambung kerja akibat semua kontrak di alihkan kepada scomi / mtrens. Contoh Melayu bunuh Melayu.
2. Kroni yang saya tak kenal minta RM5 ribu untuk securekan kerja supply ke satu kementerian. Yang hairan, segala spesifikasi ada padanya sedangkan tender belum keluar. Bila ditanya kalau tak dapat tender macamana? Jawabnya, kena tawakkal (dan duit 5 ribu hangus?)
Semoga Allah tunjukkan siapa salah dan siapa benar.
Datosirr

onn said...

Bibit-bibit Tsunami Politik bermula dari pemecatan Anwar Ibrahim lagi. Sebagai ahli UMNO yang keluar parti pada Okt 1998; sebahagian isi kandungan kenyataan akhbar Tun hari ini sama dengan surat saya kepada MT UMNO.

Tun Mahathir lah perosak UMNO sebenarnya. Diikuti Pak Lah dan MT yang lain. Arwah Tan Sri Syed Jaafal Albar dah lama pesan bahawa Tun Mahathir akan merosakkan parti...

Tapi apa nak dikata....MT yang ada sewaktu Tun memerintah semuanya buta dan pekak.

Fikir Tajam said...

Salam Datuk Ron,

Syabas di atas kupasan yg cukup menarik dan bernas. Sememangnya diakui oleh Rakyat khususnya oleh ahli-ahli UMNO sendiri bahawa Abdullah adalah duri dalam daging yg kini kian membusuk menjadi tokak.

Malah para pelabur sendiri sudah lama hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah dan kabinet setengah masaknya. Begitu juga para pemimpin dunia yg langsung tidak memandang kepada beliau. Bukan kata pemimpin negara-negara maju saja yg tidak menghormati beliau malah lebih teruk lagi pemimpin negara dunia ketiga, G16, NAM, OIC, malah ASEAN sendiri memperlekehkan beliau. Seorang mediocre seperti Abdullah hanya layak menjadi pembantu tadbir di JAKIM saja.

Datuk Ron,

Abdullah dan Anwar ternyata berkongsi agenda yg sama. Benar kata-kata Michael Chang bahawa, "The enemy of my enemy is my friend". Mereka ini adalah MUNAFIK yg sungguh BUSUK HATI. SOP mereka telah direkabentuk oleh pendukung Zionist di Singapura. Jika telaah semula The Toyol Code ternyata sangat kebenarannya. Grand Design mereka untuk menghancurkan bukan sahaja UMNO malah kerajaan Melayu Islam yg progresif di mana selama ini menjadi contoh ikutan negara-negara membangun dan pemimpin dunia ketiga.

Sememangnya diakui seluruh dunia bahawa legacy Tun Dr Mahathir yg paling memberi impak besar terhadap dunia khususnya di kalangan negara membangun dan negara-negara Islam ialah mewariskan sebuah kerajaan pimpinan/teraju Melayu-Islam yg ditunjangi UMNO bersama rakan kongsi BN. Justeru dengan melemahkan UMNO, mengkucar-kacirkan UMNO maka mereka pendukung Zionist ini telah berjaya melenyapkan satu simbol kemegahan dan kebanggaan dunia Islam dan role model di kalangan negara-negara membangun.

Niat jahat serta perancangan licik ini mmudah dibaca daripada rentetan peristiwa yg berlaku di nuansa politik tanahair semenjak gagalnya proksi Zionist iaitu Anwar menduduki puncak persada kepimpinan negara. Ianya diikuti dengan pusingan 180 darjah oleh Abdullah dalam menjalin hubungan dengan Singapura dan sekutu Amerika seperti Australia. Barangkali di kala itu ramai yg menyangka dengan berbaik-baik, bermain golf, makan durian bersama maka pelbagai isu tertunggak dapat diselesaikan dengan Singapura. tapi ternyata setelah hampir 5 tahun ternyata ianya DUSTA belaka!

Pendekatan yg digunapakai Abdullah ternyata memakan diri sendiri, menjual maruah negara malah menghakis martabat tinggi negara yg telah terbina sekian lama oleh kewibawaan Tun Dr Mahathir meneraju pelbagai inisiatif baharu membawa negara-negara membangun keluar daripada 'the nut shell' yg membelenggu mereka semenjak sekian lama.

Satu pertanyaan cepumas daripada saya:

PERNAHKAH TERDENGAR DAP/PAS/PKR MEMBELASAH ABDULLAH DAN SEGALA KEPUTUSAN GILA YG MEMALUKAN NEGARA?

Saudara/i pembaca renungkanlah sendiri. Yg pastinya Karpal sibuk menghentam Tun Dr Mahathir. Ironinya dia cuba menutup mulut Tun daripada terus mengkritik Abdullah. Logik mudah menyatakan bahawa terdapat "KEPENTINGAN BERSAMA DAN PERKONGSIAN CITARASA/IMPIAN/AGENDA/ ANTARA KEDUA-DUANYA!"

Lagi pula lihatlah bagaimana satu demi satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan demi memenuhi desakan Lim Kit Siang yg lapar 'suruhanjaya'. Tidakkah tindakan Abdullah hanyalah sebagai budak suruhan DAP?

Datuk Ron,

Sebenarnya jika pembangkang benar-benar berintegriti, mereka sepatutnya telah mengusulkan ketidakpercayaan terhadap kepimpinan Abdullah semasa belaiu mengarahkan Azmi Khalid ke China untuk memohon maaf dalah kejadian ketuk ketampi bogel. Di mana akhirnya ketahuan seluruh dunia bahawa wanita tersebut berbangsa Melayu dan rakyat Malaysia pula! Justeru itulah sejak dulu lagi saya telah sarankan para pembesar negara menelaah Gurindam 12 Raja Ali Haji.

Ternyatalah kepada seluruh Rakyat Malaysia dan warga dunia kini bahawa Abdullah adalah seorang yg 'BERJIWA HAMBA". Meskipun negara telah merdeka 50 tahun namun JIWA MERDEKA masih belum upaya dijelmakan pada batang tubuh Abdullah ini. Orang yg berjiwa hamba akan terus menghambakan diri pada:

1. kuasa
2. kedudukan/pangkat
3. material
4. wang ringgit
5. fatamorgana 'populariti'
6. manusia yg disangkakan hebat
7. negara yg dilihat gagah walaupun sekerdil Singapura!

JIWA HAMBA sepatutnya dizahirkan kepada yg maha esa the creator of the universe. Tuhan yg menjadikan kita, meletakkan kita di puncak kuasa, Tuhan yg menurunkan hujan, memberi rezeki melata.

Apakah Rakyat Malaysia dan ahli-ahli UMNO khususnya masih mahu ber'Tuankan' manusia(?) bernama Abdullah Ahmad (Badawi itu saja ditaruhnya untuk popular barangkali) yg BERJIWA HAMBA ini?

Unknown said...

Dato'

Kalau TDM ugut nak terjun bangunan twin towers pun, Pak Lah takkan letak jawatan. Inikan pula kalau keluar parti; apalah sangat walaupun satu negara 'ribut' jadinya.

Betul, TDM orangnya bijak tapi Pak Lah pun bukanlah bodoh sangat. Kelebihan TDM ialah dari aspek 'nothing to loose' dan tindakan beliau yang sering di luar jangkaan. Pak Lah pula dengan hikmat 'elegant silence' dan 'bebudak tingkat 4'.

Pertarungan ini kian menuju kemuncak dan harus diingat, UMNO jadi taruhannya. Bermaksud, maruah agama, bangsa dan negara turut diperjudikan.

Hakikatnya, UMNO kian lemah dan parah, menanti kemungkinan rebah dan dikirim ke alam barzakh. Siapa yang bikin susah? Mereka dan keluarga mereka.

p/s... tahniah atas kemunculan di rancangan Blog RTM. Macam gaya aktor Jalaludin Hasan pun ada... kata anak buah le.

jojo51 said...

Isunya ialah samada UMNO akan menjadi lebih kuat dibawah pimpinan Pak Lah atau akan terus menjadi lemah, tak bermaya dan dipinggirkan oleh orang Melayu jika terus diterajui oleh beliau. Apabila UMNO lemah sudah pastinya BN akan turut menjadi lemah. Persoalannya berapa lama rakyat boleh bersabar dengan situasi ini.

Sikap membisu Pak Lah mengenai pengesahan tarikh untuk melepaskan jawatannya kepada Najib dan keputusan Pak Lah untuk mempertahankan jawatan Presiden menunjukkan beliau ingin kekal menjadi PM selama yang boleh. Kalau boleh sehingga 10 tahun lagi. Inilah hakikatnya.

Semua orang tahu Pak Lah seorang pemimpin yang lemah. Seorang pemimpin yang bukan sahaja mandul idea tetapi juga ketandusan ilmu.

Kita tak dapat menyalahkan beliau jika enggan melepaskan jawatan. Berbuat demikian akan memberi kerugian yang besar kepadanya, kepada kabinet keluarganya dan kaki ampu. Terpulang kepada ahli-ahli UMNO untuk menentukan samada UMNO akan terus kuat dan relevan.

UMNO bukan milik Pak Lah dan menantunya. Dalam situsi sekarang UMNO tidak memerlukan Pak Lah. Oleh itu, ahli UMNO perlu bertindak berani dan membuktikannya pada AGM pada bulan Disember. Ini peluang terakhir untuk membuat keputusan yang betul kerana jika sebaliknya UMNO tidak akan dapat diselamatkan.

Tun Mahathir telah berkorban dengan membuat keputusan keluar dari parti. Sekarang giliran ahli-ahli UMNO pula untuk berani menyuarakan kehendak mereka dan kuasa undi mereka untuk kepimpinan yang baru.

Hang-Jebat said...

Tuan Hamba,

Hamba berasa amat dukacita dengan perkembangan terbaru UMNO. Hasrat untuk menjadi ahli UMNO terpaksa ditangguh. Walau bagaimanapun, hamba ingin memberi beberapa cadangan. Mungkin ia dapat memberi pedoman dan perangsang kepada semua.
Hamba cadangkan Presiden UMNO merangkap Presiden BN yang juga Perdana Menteri Malaysia ke-5 supaya pergi BERCUTI atau CUTI-CUTI MALAYSIA. Ambillah masa selama 100 hari untuk "honey-moon". Pergilah ke Perth, atau ke Turki. Mungkin dengan menaiki kapal mewah milik "rakan"nya boleh menenangkan beliau. Sejak berkahwin, Pak Lah nampak tidak cukup tidur. Ke sana-sini dengan isteri barunya. Lepas merasmikan koridor ini, kena pergi koridor sana pula. Hamba yakin, Pak Lah tidak cukup tidur. Melihat cara beliau membuat komen terhadap Tun M keluar UMNO, seperti beliau letih dan lesu. Tidak ada tenaga untuk bertindak balas. Ini menyebabkan akalnya lemah dan kurang berkesan untuk memahami apa yang tersirat dan sudah tersurat.
Tampuk kepimpinan negara hendaklah diterajui oleh Najib selaku Pemangku Perdana Menteri (yang bercuti), dibantu oleh Muhyidin dan Ku Li.Di peringkat parti, mungkin Najib boleh menubuhkan jawatankuasa ala-MAGERAN untuk memperkukuhkan sokongan akar umbi dan rakyat.
Oh ya, kepada Perdana Menteri yang sedang bercuti, jangan lupa bawa anak dan Menantu kesayangan. Menantu takut tinggal keseorangan. "Lion Super-Mukh" dan "Tiger-Khir" bersedia membaham Menantu.
Sekembalinya dari bercuti, buatlah pengumuman untuk tidak mahu bertanding jawatan presiden parti kerana ada tanda-tanda isteri tersayang loya-loya dan pening-pening lalat.
Ahli-ahli, ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua bahagian faham-faham sahajalah, buatlah undian untuk calon presiden parti ke 6.
BERANI KERANA BENAR, SYABAS TUN M.

Juraimi Zainal said...

Kupasan yg menarik....

Tak sabar sabar rasanya menunggu komen Mukhriz pulak ni... Nak ditelan mati mak, nak diluah mati bapak...

Kalau pilihan raya lagi sekali lagi pun best gak ni..... Kita tunggu episod seterusnya.......

midrees aziz said...

Assalamualikum YBhg Dato',

Kita ni memang suka banyak cakap, kadang-kadang tak tau siapa yang akan buat atau ambil tindakan. Lagi banyak kita bercakap, lagi meruncinglah kedudukan Bangsa Melayu.

Saya mohon sesiapa saja yang berkedudukan (mungkin YBhg Dato' orangnya)sila laksanakan yang ini:-

1. Hantar team untuk pujuk balik Tun,

2. Panggil semua pemimpin yang bertelagah untuk duduk semeja dan bincang dari hati ke hati dan cari jalan penyelesaian. Kalau tak boleh selesai sehari buat dua hari, tiga hari...samapai mencapai matlamat. Jangan gunakan pihak ketiga. Untuk laksanakan ini tak perlu professor dari Harvard University pun. Cuma yang perlu, lakukanlah secara penuh jujur,

3. Adalah matlamat selepas ini. Matlamatnya adalah SEGALA BENTUK KEPUTUSAN SEKALI PUN, IANYA ADALAH DEMI UNTUK KEPENTINGAN BANGSA MELAYU, UGAMA, NEGARA. Nak laksanakan yang ni pun tak susah. Cuma yang perlu, lakukanlah secara ikhlas dan jujur,

4. Cukuplah kita bertelagah di dalam media (apa bentuk media sekalipun) kerana ianya tidak akan membantu, malahan mungkin ianya akan meroasakan lagi suasana,

5. Lepas ni, adakan perjanjian, di antara pihak yang bertelagah dan jangan ada dakwa-dakwi lagi,

6. Bertindak sekarang dan jangan tunggu lagi.

Terlalu mudah kan!!, cuma yang perlu adalah,

JUJUR, JUJUR, JUJUR

Salam

maskadove said...

pendapat saya kita sebagi ahli UMNO yg berada di akar umbi harus bertidak. tetapi jika kita lihat dari apa yg telah berlaku sehingga kehari ini Pak Lah tidak berganjak dengan apa yg telah terjadi.. ini adalah kerana beliau takut nak turun memandangkan sudah terlalu banyak kesalahan yg telah dilakukan dan manusia itu belum puas untuk melakukan yg seterusnya. itu adalah sifat keji manusia... bila dia dah mula melakukan kesalahan dia akan terus melakukan kesalahan yg lebih besar... kerana buat masa ini dia kebal dari undang-undang. dan begitu juga bila manusia itu sudah mula melakukan dosa dia sudah tidak takut untuk melkukan dosa yg seterusnya. ini adalah kenyataan.
sebagai ahli UMNO adakah kita sanggup berada dibawah pimpinan Dolah yg tak bermaruah itu... sampai bila kita harus bersekongkol dengan Dolah... pada pendapat saya tindakan TDM keluar dari UMNO tak salah... UMNO sekarang ibarat sebuah rumah yg penuh dengan kemaksiatan. penuh dengan gejala rasuah.. sebagai seorang melayu yg beragama islam adalah menjadi tanggungjawab kita menghindarkan segala kemaksiatan tersebut. akan tetapi ketua rumah telah menggunakan penasihat yg licik sehinga nasihat kita yg diakar umbi tidak dipedulikan. dan dalam pada itu juga pewaris-pewaris rumah tersebut telah menyatakan sokongan yg kuat kepada ketua rumah yg membawa kemaksiatan... jadi apa lagi yg harus kita buat? sebagai ahli dalam rumah yg sudah tidak dipedulikan lagi, kita harus bertindak. dan cara TDM tak salah, kita harus meninggalkan UMNO sehingga kembali kepada jalan yg sebenar (hapuskan dulu ketua dan pewaris-pewaris yg membawa kepada kehancuran)... kalau kita tak tinggalkan UMNO... dolah akan terus berkusasa... selagi dia berkuasa, segala kepentingan melayu akan terhapus sedikit demi sedikit... wang royalty minyak t'ganu kalau digunakan betul-betul masakan masih ada melayu yg beragama islam masih hidup dalam kedaifan di T'ganu, sedangkan patrik badawi senang mengaut keuntungan tanpa erlu bersusah payah. sepuluh tahun lagi apa akan jadi dengan nasib orang melayu dengan tanha tumpah darahnya... melayu mudah lupa, melayu masih alpa, melayu kata tak pa, melayu bakal menjadi papa, papa yg kedana. marilah kita sama jatuhkan dolah... kita kelar UMNO... dan kita kembali kepada UMNO bila pembawa sial sudah tiada..

artakus said...

Inilah padahnya apabila matlamat dan perjuangan sudah tidak betul sedari mula lagi.. Orang UMNO mengejar jawatan utk memenuhi tembolok masing2. Sungguh mengecewakan apabila melihat pemimpin2 melayu adalah terdiri daripada mereka yang tidak layak.

Tak sabar nak dengar komen si Nazri Aziz. Diakan dulu siap pernah nak jadi pendekar utk memprtahankan Pak Lah dan pernah bagi cadangan supaya Tun keluar dari UMNO. Saya menjangkakan dia akan berlembut sikit kali ini. Yelah, masa sombong dulu, UMNO masih kuat. Sekarang ayat kena berlapik, kalau tak ada yang kena penyepak politik, tersungkur di pintu parlimen, balik ke kampung di Perak terpaksa tanam jagung hahaha.

So Nazri Aziz, apakah komen anda?

Pok Loh said...

Kami sokong Pak lah ....... teruskan agenda yang masih belum selesai....che det nak buktikan apa lagi... dah memang Pak Lah n the crew ikut tunjuk ajar dari che det gak....

safuanabdullah said...

Keluarnya Tun Mahathir dari UMNO sebenarnya memberi kesan dan impak yang besar kepada politik UMNO sendiri dan juga lanskap politik negara.

Pendapat dangkal beberapa menteri kabinet yang menyatakan tidak ada kesan atas tindakan Tun ini merupakan penyedap hati mereka.

Pengaruh Tun sememangnya masih bernafas dalam UMNO dan UMNO sebagai parti dominan dalam BN seharusnya cepat belajar dari keputusan PRU12.

Hakikatnya, "Presiden Tidur" yang dimiliki dan dijulang oleh ahli-ahli UMNO sendiri, UMNO akan menanti saat dan ketika sahaja untuk ditalkinkan.

Secara mudahnya, keluarnya Tun dalam UMNO memberi kesan bukan hanya pada UMNO tetapi memberi kesan dan keuntungan kepada Pakatan Rakyat.

Analogi Datuk Seri Anwar yang mana Pakatan Rakyat akan mengambil alih pemerintahan Kerajaan Pusat mungkin semakin hampir dan mudah.

Sebagai renungan, tiada kerajaan di dunia ini akan kekal selama-lamanya hatta "Kerajaan Firaun" yang hebat sekalipun akan runtuh akhirnya.

Letting the time pass me by said...

Ini bukan lagi isu tapi malapetaka. Apa yang menimpa Malaysia selepas PRU 12 adalah malapetaka... Kat Myanmar dan China ade malapetaka bencana alam, tapi kat Malaysia nie malapetaka politik, dan sikit lagi boleh jadi malapetaka ekonomi pulak...

Teringat saya cerita pemandu bas,

Dulu bas dipandu oleh pemandu yang cekap dan rajin berfikir, dan sentiasa memastikan bahawa bas dipandu jalan yang betul dan kerosakan-kerosakan enjin bas dibaiki dengan segera, tetapi kini semenjak pemandu bas bertukar, bas nie telah tersesat dan dipandu kearah jalan yang berlobang-lobang dan tak berturap... Sikit-sikit jalan langgar lubang, sikit-sikit jalan langgar lopak...

Enjin pun tak servis, minyak hitam pun tak check, radiator asyik berasap aje, kejap-kejap kena tuang air tambah coolant...

Air cond tak payah nak kata la, kena bukak tingkap selalu bagi angin masuk sikit...

Puas dah driver lama bagi tips-tips nak jaga enjin, tapi tak nak dengar... Driver lama pun ade bagi peta supaya keluar ikut jalan yang elok sikit, pun tak nak dengar...

Jangan sampai bas masuk gaung pulak karang... Sekarang nie bas dah masuk jalan hutan nie memang kena tawakal aje la, Driver lama pun dah lompat keluar dari bas dah tak sanggup nak duduk lagi...

arcadia said...

My Dear Dato,

Appreciate if you could ask your old boss to keep his opinion to himself ..Its very kurang ajar to refer Tun as duri dalam daging in UMNO ..the duri dalam daging are all the existing Supreme Council members that we have now ..

infoBIZonline said...

Asalamualaikum, Dato`
Boleh kiranya guna kelebihan Dato mengenali mereka dalam Umno ni dah lama,fikirkanlah Umno ni dah tenat sangat tak malukah kita dengan sikap pimpinan kita yang macam ni, tak ada ke siapa boleh jadi orang tengah....
Deman Tak kebah UMNO ni dato`...

zamyx said...

Saya anak melayu...ibu baya saya umno...saya juga ahli UMNO. Persamaan saya sekeluarga dengan Tun M ialah kami semua hanya ahli biasa (tidak punya sebarang kedudukan dlm parti). Ketika kesetiaan kepada parti makin goyah dengan tindakan pengecut/membodek para pemimpin UMNO, tidah saya nafikan niat untuk keluar dari UMNO sentiasa terlintas.

Kini Tun M telah memulakan apa yg saya fikirkan selama ini. Ramai para menteri pembodek akan menyalahkan Tun M jika ada ahli yg turut keluar parti...tp bagi saya...telah ramai ahli yg ingin bertindak keluar parti kerana tidak puas hati dengan Pak lah...long before Tun M decides his fate in UMNO

Kamalkamal said...

Datuk,

Tun Dr. Mahathir membangunkan negara selama 22 tahun. Pelbagai pahit maung dilaluinya. Ada sahabat menjadi musuh dan ada musuh menjadi sahabat.

Dalam UMNO TDM juga menghadapi pelbagai rintangan tapi beliau berjaya mengatasinya dan berjaya menyakinkan ahli UMNO bahawa tindakan beliau adalahlah betul. Lihat saja Parti Semangat 46...sekarang dimana Semangat 46, Datuk Abdullah Ahmad Badawi lebih mengetahuinya.

Bagi saya pengorbanan TDM sudah tidak dihargai bukan saja oleh AAB tetapi ramai lagi kalangan pembesar UMNO yang ada pada masa ini. Jawapannya tentunya semua lebih maklum. Nak jaga TDM ke...atau nak jaga perut masing-masing. Siapa berada diatas akan disanjung, bila jatuh akan dipijak-pijak orang.

UMNO sudah 62 tahun, cukup matang. Adakah ahli UMNO juga sudah matang !!! Hanya ahli UMNO yang matang sahaja tahu yang mana intan dan yang mana kaca.