Sunday, September 02, 2007

50 Tahun Merdeka
Pun Dicemari Darah?

Sesuatu pergaduhan selepas kegembiraan menyambut ambang ke-50 tahun merdeka adalah sangat dikesali. Sesuatu pembunuhan dalam tempoh yang sama adalah jenayah sangat membimbangkan.

Begitulah reaksi saya terhadap dua pembunuhan yang membabitkan dua orang generasi merdeka – satu di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dan satu lagi di hadapan Pekaka Square, Sungai Dua, Pulau Pinang – yang terjadi pada awal pagi 31 Ogos 2007.

Menurut Utusan Malaysia 1 September 2007, mangsa di Pulau Pinang, Mohd. Anwar Harun, 24 tahun, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Koh Hong Sun, berkata: “Saya tegaskan bahawa kejadian itu bukan kes isu perkauman, tetapi pergaduhan berpunca daripada kesan minuman keras.”

Di Kuala Lumpur, Utusan Malaysia melaporkan, dalam satu kejadian di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, pada kira-kira 5 pagi, Mohd. Khairul Juraimi, 21 tahun, mati akibat ditikam.

Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Begitulah hakikatnya. Sambutan ambang 50 tahun merdeka pun dicemari jenayah berdarah. Inilah lumrah hidup, walaupun memalukan kita semua.

Oleh itu, mengapakah Ketua Polis Pulau Pinang perlu buat kenyataan yang kejadian di Pulau Pinang “bukan kes isu perkauman”?

Kenapakah beliau tidak seperti Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur yang hanya berkata “motif dan punca kejadian masih dalam siasatan”?

Adakah Ketua Polis Pulau Pinang mengtahui sesuatu yang mahu disembunyikan daripada kita semua? – Ruhanie Ahmad

4 comments:

AkuberCerita said...

Assalamualaikum.
Kepada Datuk Ruhanie dan juga yang menjenguk blog kuda-kepang.
Saya tertarik apabila Datuk menggunakan perkataan GENERASI MERDEKA didalam artikel Datuk. Buat pengetahuan Datuk dan semua, saya juga merupakan generasi yang lahir selepas merdeka. Kira-kira 29 tahun negara sudah merdeka (1976). Saya akui generasi saya (maaf) amat sedikit yang mengerti akan perkataan merdeka itu sendiri. Malah apa yang dapat saya simpulkan, MERDEKA pada tahun 1957 dulu merupakan MERDEKA yang benar-benar MERDEKA. Sambutan kemerdekaan negara ke-50 (2007) tidak dapat dinafikan hanya lakonan. Lakonan pada maksud saya ialah sambutan tersebut hanya meneruskan atau paling tidak mengingatkan generasi kini akan tarikh negara menyambut merdeka. Sehinggakan melupakan akan pengertian dan susah-payah generasi tahun 1957 dan sebelumnya mendapatkan kemerdekaan negara.
Mungkin Datuk (dan generasi yang lebih lama dari saya) mengetahui atau mungkin tidak, namun saya suka untuk menceritakan bagaimana taksubnya sambutan kemerdekaan negara bagi sesetengah generasi merdeka yang seusia saya atau pun mungkin lebih muda dari saya.
Bagi saya yang 'kemacar', berjalan dan terus berjalan dapat melihat akan situasi sambutan hari kemerdekaan sambil bertanya diri sendiri? Apakah sambutan hari kemerdekaan negara kita meriah dengan hanya percikan bunga api? Atau laungan merdeka itu sudah cukup untuk mengingatkan akan generasi merdeka seperti saya akan keperitan mendapatkan kemerdekaan dahulu? Mungkin juga Datuk (dan yang lain-lain) terlepas pandang akan sambutan yang lebih meriah melibatkan kaum MELAYU di kelab-kelab malam? Melaungkan MERDEKA dengan berlaga gelas yang berisi arak dan kemudian bercumbuan kerana meraikan kemerdekaan negara? Perkara sebegini memang berlaku malah bukan hanya di sambutan kemerdekaan negara malah sambutan apa saja. Bangsa apakah yang memenuhi kelab-kelab malam sekitar Kuala Lumpur setiap hari minggu? Jenguklah disekitar Jalan P.Ramlee setiap hari minggu atau lebih menarik suasananya pada hari seperti sambutan hari kemerdekaan negara.
Saya juga terbaca mengenai berita yang Datuk tulis. Malah Datuk mungkin terlupa peristiwa yang berlaku berhampiran Puduraya dimana generasi merdeka dengan penampilan penjajah (PUNK) melakukan kekecohan. Punk, Black Metal dan bermacam lagi jenis fahaman baru menjadi ikutan generasi merdeka (generasi saya). Saya tidak tahu dimana silapnya. Apakah SIFAT LANGIT TERBUKA diambil kesempatan oleh mereka untuk menampilkan gaya hidup sebegitu? Atau mungkinkan kawalan terhadap kes-kes sebegini terlepas pandang oleh pihak tertentu kerana terlalu memandang kes bloggers? Apakah idea atau buah fikiran bloggers perlu dicantas sehinggakan terlupa bahawa pada masa hadapan generasi merdekalah yang akan memimpin negara. Apakah tidak terfikir akan musibah jika perkara seperti punk atau black metal menjadi virus sehinggakan sambutan kemerdekaan 20 atau 50 tahun lagi menjadi salah satu kontijen dalam pembarisan hari kemerdekaan? Mungkin BODOH bunyinya tapi fikir-fikirkanlah.
Sebagai generasi merdeka, saya hanya mampu menulis akan keperitan apabila melihat akan rakan-rakan yang terseleweng dari maksud sebenar kemerdekaan. Ingin bersuara tidak mampu kerana saya bukan SESEORANG kerana apa yang saya belajar perlu menjadi SESEORANG untuk bersuara, itupun jika ada SESEORANG yang dapat menjadi perisai.

kudakepang said...

Saudara Ahmad Fared

Saya bersedia memberikan ruang untuk anda mengirimkan buah fikiran anda kepada blog ini atau pun puteramaya. Komen anda kali ini akan cuba saya edit dan siarkan tidak lama lagi.

Pokoknya di sini, kita perlu turut menyumbangkan kepada pembangunan generasi merdeka, generasi anda, secara berterusan.

Salam perjuangan dan salam takzim dari saya.

Daulat Tuanku!!!
Merdeka!!!

AkuberCerita said...

Assalamualaikum Datuk.
Terima kasih kerana memberikan saya ruang untuk berkongsi sedikit-sebanyak pengetahuan dan belajar sebanyak-banyak pengetahuan dari mereka yang lebih berpengalaman.
Dikesempatan ini, saya menjemput Datuk dan pembaca blog Datuk sekalian untuk menghadiri majlis perkahwinan saya pada 8 September 2007 (Sabtu) di Taman Tun Aminah Johor Bahru. Jika ada antara bloggers yang berada di Johor Bahru, bolehlah kiranya menghubungi saya melalui e-mail hangnadim@gmail.com agar dapat kita bertukar pendapat dan berbicara tentang apa saja yang melibatkan negara kita yang tercinta.
Pertanyaan kepada Datuk Ruhanie, bagaimana ingin menghubungi Datuk (e-mail atau mungkin tel)agar perhubungan ini dapat diteruskan di bumi nyata.
Kepada semua sekian, terima kasih.

kudakepang said...

Ahmad Fared

Saya sekeluarga ucapkan selamat pengantin baru kepada anda semoga ikatan kasih itu tersimpul sepanjang hayat hingga ke anak cucu. Tapi, ralat kerana saya tak dapat ke Tun Aminah pada hari tersebut. Hanya doa sahaja mengiringi hari bahagia anda daripada kami.

Sila hubungi saya di puteramaya@gmail.com. Hantarlah apa jua pendapat anda secara bebas.

Salam takzim dan selamat pengantin baru.