Monday, September 03, 2007

Anak Merdeka Berjiwa Hamba (3)

Restoran Kelantan Delights, satu-satunya restoran masakan Melayu yang telah beroperasi selama 10 tahun di Suria KLCC, Kuala Lumpur, terpaksa menamatkan riwayat perniagaannya mulai 23hb Ogos 2007. Keputusan penutupan itu dipercayai dibuat oleh Pengurusi Eksekutif Suria KLCC dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, seorang warga Australia bernama Brian Andrew.

Kabarnya keadaan di Alamanda Putrajaya yang juga diuruskan Suria KLCC, tidak banyak berbeza dengan apa yang sedang berlaku di Menara Kembar Petronas. Ini kerana Ketua Pegawai Eksekutif Alamanda adalah isteri kepada Brian Andrew, iaitu Lisa Words. Apakah tidak aneh isteri boleh dilantik sebagai boss anak syarikat di mana suaminya menjadi ketua?

Difahamkan bahawa Suria KLCC diuruskan oleh sebuah syarikat pengurusan daripada Singapura. Adakah ini benar? Mengapa jadi begini? Inikah satu daripada bukti bahawa di era merdeka ini pun masih ada orang Melayu yang berjiwa hamba di mana dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, ayam di kepok mati kelaparan, itik di air mati kehausan sedangkan anak di rumah sendiri mati kebuluran?

Apa akan kerajaan lakukan untuk membetulkan keadaan ini dan untuk mengikis jiwa abdi seperti yang berlaku di Suria KLCC ini? Mengapakah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak tunjuk keprihatinan terhadap kes-kes seperti ini? Atau, mungkinkah rakyat jelata sendiri yang terpaksa memilih cara terbaik untuk melaksanakan sesuatu corrective measures terhadap kepincangan seperti ini?

Untuk membaca artikel sepenuhnya sila layari

www.puteramalaysia.blogspot.com

5 comments:

Dr. Hamizi said...

assalamualaikum datuk...

lama sudah tidak menulis... walau demikian saya masih membaca blog datuk...

tahun ini saya tidak menyabut merdeka buat pertama kalinya... saya tidak mempunyai sebarang perasaan gembira menyambut kemerdekaan...

tiada satu bendera pun saya kibarkan... saya juga menukar siaran apabila sambutan kemerdekaan ditayangkan di kaca-kaca tv...

cuma jikalau ikut hati mahu saja saya kibarkan bendera separuh tiang di hari kemerdekaan lalu...

adakah saya penderhaka? adakah saya tidak sayangkan negara? adakah saya tidak bersyukur? mereka boleh cakap apa sahaja yang mereka suka... saya tidak peduli...

selagi pemimpin-pemimpin melayu yang hipokrit ini masih mahu mengambil setiap inci keuntungan politik di dalam mana-mana sambutan, selagi itu saya mahu boikot...

Dr. Hamizi said...

datuk...

baru-baru ini, kedua ibu bapa saya yang setiap kali pilihan raya mengundi BN berkata kepada saya bahawa mereka tidak akan pergi mengundi tahun ini kerana tidak puas hati dengan kerajaan sekarang...

ibu saya berkata apabila mereka tidak pergi mengundi, maka BN akan kekurangan 2 undi...

tetapi saya sedang melobi mereka supaya pergi mengundi pembangkang tahun ini (di tempat saya biasanya PAS yang bertanding)...

bukannya saya penyokong parti pembangkang, tetapi saya mahu melihat majoriti BN merosot dan pembangkang menjadi 'check and balance' yang baik kepada kerajaan...

persetankan tentang paling tadah... pemimpin yang kami undi pada PRU lalu telah lama berpaling tadah kepada kami...

p/s: jika ada cyber troopers UMNO yang membaca di sini, saya ingin berikrar bahawa saya akan melobi bersungguh-sungguh supaya undi BN akan merosot dengan teruk di kawasan saya...

jika anda mahu ketawa anda punya pasal...

kerana anda tidak tahu bahawa di kawasan kami, majoriti kami bersaudara (adik-beradik, sepupu, dua pupu dll) kerana ibu-bapa kami (terutama orang-orang Johor)berkampung di sini...

kudakepang said...

Saudara Hamizi

Anda berhak bersuara seperti apa yang anda luahkan di sini. Ibu bapa anda juga mempunyai hak dengan kuasa undinya. Inilah satu daripada ciri-ciri demokrasi.

Bagaimanapun, elok dikaji dulu siapakah calon yang akan bertanding di kawasan anda. Kalau orang lama, anda dah tau hati budinya. Kalau orang baru, carilah jalan mengenali hati budinya. Kita manusia. Rambut sama hitam, jiwa lain-lain...

Soal perayaan merdeka, saya pun melalui satu tekanan jiwa yang agak serius menyaksikan perayaan yang ke-50 tahun baru-baru ini.

Saya baca body language antara Agong dan PM. Saya ikuti ucapan PM. Saya lihat bagaimana dalam usia 50 tahun ni kita seolah-olah mau melupakan bahawa negara ini adalah negara Raja Berperlembagaan yang mengamalkan sistem dmokrasi berparlimen.

Hakikat ini menyebabkan saya tertanya-tanya sendiri mengapakah Agong seolah-olah dipinggirkan. Pada waktu yang sama, saya perhatikan warga kota Kuala Lumpur seolah-olah membantah arahan kerajaan untuk mengibarkan bendera. Beberapa bangunan milik asing hanya pasang bendera ala-kadar.

Lepas tu saya muak dengan gelagat acara mengibarkan bendera di Padang Kelab Selangor dan di Stadium Merdeka. Tak ada muka lain ke yang layak. Sambutan 50 tahun harus berbeza dengan lainnya. Kalau ada acara nak kibar bendera pun carilah tokoh yang memang dah terbukti berjasa kepada UMNO. Ada lagi bekas-bekas pemimpin atau Ketua Pergrakan Pemuda UMNO Malaysia yang masih hidup. Contohnya macam Datuk Suhaimi Kamaruddin yang banyak memperjuangkan hak dan isu Melayu di zaman kepimpinannya.

Saya bukan anti Khairy. Dia bijak dan dia berpengaruh. Tapi, persepsi umum terhadap beliau adalah negatif. Ini menyebabkan umum marah-marah pada PM. Lebih dari itu, manis ke sambutan 50 tahun jadi acara kluarga dan anak beranak?

Salam perjuangan dan salam takzim dari saya.

Daulat Tuanku!!!
Merdeka!!!

pemerhati said...

As'kum Dato' Apa sudah jadi Johor banjir lagi, 103 keluarga diarah berpindah

Monday, 03 September 2007
JOHOR BAHARU: Seramai 627 orang melibatkan 103 keluarga di Taman Pontian Jaya, Batu 34, Jalan Pontian-Batu Pahat dekat Pontian dipindahkan ke pusat pemindahan secara berperingkat petang ini berikutan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian ketika dihubungi di sini hari ini berkata, kesemua mangsa mula dipindahkan sejak pukul 3 petang ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Batu 34 selepas rumah mereka yang terletak di kawasan rendah ditenggelami air kira-kira 0.3 meter akibat hujan lebat sejak semalam.

Jurucakap itu berkata, keadaan di Pontian kini masih hujan dan lebih ramai keluarga mungkin dipindahkan sekiranya hujan belum reda.

Katanya, bagaimanapun sehingga pukul 6 petang tadi tiada sebarang kemalangan ataupun kes lemas dilaporkan dan semua laluan di sekitar Pontian juga masih dibuka untuk semua kenderaan.

Sementara itu Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pontian, Junhainon Mohd Shukri ketika dihubungi berkata, bantuan seperti makanan, selimut dan tikar sudah diagihkan kepada mangsa dan ia mencukupi sehingga kini.

Junhainon berkata, semua pegawai JKM juga kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang keadaan sekiranya hujan turun lebih lebat sehingga menyebabkan lebih ramai lagi mangsa terpaksa dipindahkan.- Bernama

Dr. Hamizi said...

hahaha...

ya datuk... itulah perkataan yang sesuai... sambutan merdeka yang lebih kepada upacara anak-beranak...