Wednesday, September 05, 2007

Fasa Pertama Berjaya
Kini Tumpuan Terhadap Fasa Kedua
Kata Mukhriz

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- "Fasa pertama (pembedahan) berjaya dilepasi, kini perhatian kami pada fasa kedua iaitu tempoh pemulihan Tun (Mahathir) selepas pembedahan. Kami harap semuanya lancar dan selamat".

Ini merupakan harapan Datuk Mukhriz Mahathir, anak kelima bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 81, yang selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) hari Selasa.

Mukhriz, yang juga Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pemuda Umno berkata doktor memberi tempoh 48 jam untuk Dr Mahathir sedar dan melepasi keadaan kritikal.

"Tempoh pemulihan ini merupakan 'lifeline' bagi ayah, kerana apa-apa boleh berlaku dalam tempoh ini. Jadi kami perlu banyak berdoa dan memberikan jagaan serta perhatian khas kepada beliau untuk lulus ujian kedua ini.

"Doktor beritahu keadaan ayah kini stabil dan denyutan jantung dan nadi adalah normal. Tun boleh sedar bila-bila masa dan kita akan beritahu media perkembangan dari masa ke masa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Institut Jantung Negara (IJN) Selasa malam.

Mukhriz, 43, berkata ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali amat berterima kasih kepada setiap rakyat Malaysia yang mendoakan agar pembedahan itu berjaya.

Beliau berkata Dr Siti Hasmah juga tersentuh dengan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan e-mel yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Beliau amat gembira ketika saya menunjukkan kepadanya SMS dan e-mel itu. Keluarga kami berterima kasih kepada setiap pihak kerana memberikan perhatian," katanya.

Beliau berkata doktor tidak membenarkan sesiapapun melawat Dr Mahathir dalam tempoh terdekat kerana Dr Mahathir perlu banyak berehat.

Ini merupakan pembedahan pintasan jantung kali kedua bagi Dr Mahathir selepas yang pertama pada 24 Jan 1989 di Hospital Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

2 comments:

A Voice said...

Sedikit layangan fikiran

Catatan Ku: Pasti Ada Lagi Yang Kau Perlu Lakukan

jue said...

Saya doakan semoga Tun akan sembuh. InsyaAllah.