Friday, September 07, 2007

Raja Berkedudukan Amat Istimewa
Di hati Rakyat Dahagakan Pembelaan

Blogger DASA

Di bawah ini saya siarkan komen Blogger Dasa terhadap posting saya di www.puteramalaysia.blogspot.com bertajuk Raja-Raja Adalah Bahagian Penting Negara, Tegas Raja Nazrin. – Ruhanie Ahmad

Kelangsungan institusi raja sesebuah negara amat berkait-rapat dengan kemampuannya untuk “membaca” suasana semasa dan seterusnya menyesuaikan diri menerusi tindakan-tindakan yang perlu. Peneraju institusi raja yang prihatin kepada apa jua perkembangan yang berlaku kepada negara dan rakyat tidak akan teragak-agak menzahirkan pandangannya kepada pihak yang terlibat secara langsung tetapi terhormat.

Di bumi bernama Malaysia, institusi raja mempunyai ruang untuk memastikan negara benar-benar ditadbir secara sewajarnya dari masa ke semasa kerana rakyat hanya berpeluang “menghakimi” kerajaan selepas beberapa tahun iaitu menerusi pilihanraya umum. Kenyataan sesetengah pihak bahawa institusi raja di negara ini adalah simbol semata-mata merupakan satu penghinaan kepada raja-raja. Ianya umpama menyamakan institusi raja dengan objek yang tidak bernyawa seperti bendera dan tugu.

Raja-raja sesungguhnya berada di kedudukan yang amat istimewa bukan sahaja dari segi Perlembagaan malah di hati sanubari rakyat yang dahagakan keadilan dan pembelaan. Apatah lagi sekiranya raja-raja terdiri daripada insan-insan berkeperibadian mulia, berpendidikan tinggi, berpandangan jauh dan yang sentiasa memahami jiwa serta hasrat rakyat kebanyakan.

Dalam keadaan di mana negara ditadbir secara lemah dan diserapi unsur-unsur tidak sihat, hanya satu tempat yang ada untuk rakyat mengadu dan menyandarkan harapan mereka iaitu institusi raja sebagai pemulih keadaan. Tanpa institusi raja yang berfungsi dengan berkesan, masa depan negara dan rakyat umum akan mempunyai laluan yang kelam dan berduri.

Daulat Tuanku!

– Dasa, 7.47 PM, 6 September 2007 7:47 PM

3 comments:

Unknown said...

Saya berpendapat demokrasi berparlimen negara kita harus dipertahankan sebagai demokrasi berajakan rakyat, walaupun begitu Raja-raja Melayu boleh memainkan peranan mereka sebagai selah seorang rakyat yang berajakan demokrasi. Saya berharap Raja-raka akan membangkit untuk menuntut hak mereka bersuara sebagai rakyat negara yang berdemokrasi, tetapi jangan nak meletakkan diri lebih tinggi dari parlimen yang berdemokrasi

Hanif Zuhdi said...

Salah berajakan demokrasi, nanti menjadi hamba otak. Bukankah mesti beraja kepada "Raja segala Raja"?

kudakepang said...

Iskandar dan Hanif. Salam perkenalan dan terima kasih.

Perlu diinsafi bahawa Malaysia adalah negara Raja Berperlembagaan yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen. Lantaran itu, Raja berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen prlu saling mengukuhkan satu sama lain.

Kalau hakikat yang termaktub dalam perlembagaan ini difahami dan dihayati, maka kita akan berada dalam kerangka persepsi dan minda yang selaras dengan pemikiran datuk nenek kita yang menggubal perlembagaan.

Salam takzim.